Wednesday, September 28, 2022

9 September: Akad Nikah Dan Kenduri

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Ok sambung cerita sebelumnya. Bangun awal dan bersiap kemas barang untuk keluar dari rumah penginapan. Pukul 8 pagi lebih bertolak ke rumah penginapan Pak Tam untuk sama-sama ke masjid tempat akad nikah. 

Sementara tunggu pengantin lelaki bersiap maka sarapan dan borak-borak dahulu. Pihak pengantin perempuan ada hantar pulut dengan ikan goreng dan kelapa parut. Saya bertanggungjawab untuk angkat salah satu dulang hantaran.

Pukul 9 pagi bertolak ke Masjid At-Taqwa mukim Lakota,Jeli. Tidak jauh perjalanan. Kira-kira 15 minit. Rumah pengantin perempuan memang dekat dengan masjid ini.

Bukti saya sudah sampai di masjid.

Peta Lakaran Masjid At-Taqwa Mukim Lakota, Jeli



Sementara menunggu rombongan pengantin perempuan, kami ambil gambar bersama mereka yang angkat dulang pengantin. Saya yang pakai pelitup separuh muka.

Mereka Yang Comel Lote



Lepas itu kami disuruh ke dewan belakang masjid. Ia sangat selesa ada karpet, kipas dan kerusi. Ketika ini Tok Kadi ada, bakal pengantin lelaki dan perempuan ada.

Kami Yang Menyaksikan Majlis Akad Nikah Baik Daripada Pihak Lelaki Mahupun Perempuan



Selepas sekali lafaz, maka selamat ijabkabul Ihhan dan Miera. Tiada percubaan. 

Lepas itu pengantin lelaki dan perempuan masuk ke masjid untuk solat. Baguslah ya solat berjamaah mereka berdua. Selepas itu bermulalah acara mengambil gambar dalam masjid. Bermula dengan pengantin dengan ibubapa masing-masing.

Pengantin Dengan Ibu Bapa Masing-Masing



Kemudian dengan sanak-saudara keluarga lelaki.

Keluarga Sebelah Pihak Lelaki Tapi Ada Yang Tiada Juga



Kemudian sanak,-saudara keluarga perempuan. Banyaklah ya gambar. Saya letak yang penting dan mana ada.

Acara dinantikan makan kenduri. Ehem. Berjalan kami beramai-ramai lalu lorong kecil ke rumah pengantin perempuan.

Ada gulai daging kambing, lembu, ayam masak merah, kerabu (tidak pasti tapi macam ada daun limau purut yang dihiris. Sedap!) dan sambal ikan bilis dengan kering dihiris.

Ini Yang Saya Ambil



Rasa rugi tidak cuba gulai kambing dan lembu. Apapun lauk yang saya ambil sedap. Apa boleh buat saya makan sedikit. Air pula air soda herbs. Segar rasanya. Cuaca panas masa ini. Pencuci mulut ada bubur cha cha, tapai pulut. Tapi tidak makan pun pencuci mulut. Apabila fikir rasa rugi tidak dapat rasa semua makanan di kenduri Jeli ini.

Lepas makan kami ke masjid semula untuk berarak dari masjid untuk ke rumah pengantin perempuan. Masa ini pengantin tukar baju songket biru muda. Bawa sekali hantaran ke rumah (sebelum itu tinggalkan hantaran di tembok masjid. Tawakal betul yakin tidak dicari ketika makan di kenduri).

Lepas itu kami bersurai dalam pukul 12 tengahari. Masa untuk pulang.

Terima kasih Pak Tam sekeluarga sedikan penginapan dan makan minum. Tidak lupa juga bagi keluarga Pihak pengantin perempuan juga. Moga Allah Murah kan rezeki mereka. Amin. Ada benda kami boleh ambil sebagai contoh.


Friday, September 23, 2022

Rezeki Jumaat: Susu Berperisa Kismis & Kurma Dengan Badam

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Salam Jumaat penghulu hari. 
Hari ini tiba masanya saya ke Mydin. Pilih hari ini kerana ikut abah solat Jumaat dan saya akan beli barang peribadi. Pilih hari saya uzur.

Sebelum pergi Mydin teringat hendak ke Belweel untuk beli gajus tiada kulit. Tidak sangka pula dapat percuma susu Nilofa. Perisa kismis dan kurma dengan badam.

Susu Perisa Kismis & Kurma Dengan Badam Jenama Nilofa



Saya minum lepas beli barang di Mydin. Duduk di kerusi depan medan selera sambil makan sushi Mydin dan susu. Boleh tahan sedap tapi itulah tidak dapat beza bahan-bahan dalamnya iaitu kismis, kurma dan badam.

Apapun tiada rungutan. Minum sampai habis. Alhamdulillah. Jimat duit tidak payah beli air.

Ada sesiapa pernah rasa susu ini?

Wednesday, September 21, 2022

8 September: Pengembaraan Ke Jeli

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Tidak kisahlah masalah suapan keluar lambat pada pemuka blogger, saya tetap akan coretkan sebagai kenangan.

Kami bertolak dari Tampin kira-kira pukul 3 pagi melalui Lebuhraya Utara-Selatan. Jadi ada singgah di beberapa perhentian RnR seperti di Dengkil Utara untuk lepas hajat. Kemudian perhentian Tapah untuk solat, makan dan sarapan. Alhamdulillah perjalanan agak lancar. Banyak kenderaan berat sahaja.

Akhirnya kami memasuki Persimpangan Kuala Kangsar untuk keluar ikut jalan dalam melalui Gerik seterusnya ke Jeli.

Persimpangan Kuala Kangsar



Sepanjang perjalanan kami disajikan hutan-hutan dan pemandangan gunung. Mencabar sedikit. Dalam perjalanan ini kami tidak singgah mana-mana sebab kejar waktu. Lagipun kami kena ambil kunci daripada Pak Tam untuk masuk ke rumah penginapan kami yang bernama Amir's Homestay. Apapun kami sempat menghayati keindahan Tasik Banding dari kereta.

Pemandangan Tasik Banding



Pukul 11 pagi kami sampai di kawasan penginapan iaitu Taman Kifayah. Tidak pasti mana satu kerana ia terletak di kawasan perumahan dan tiada nama rumah. Kami menunggu Pak Tam yang belum sampai lagi. Dalam pukul 12 Pak Tam sampai dan beritahu mana satu rumahnya beserta kunci. Alhamdulillah selesa. 1 bilik utama bersama 1 bilik air. 2 bilik tidur berkongsi 1 bilik air. Ada dapur gas, pinggan mangkuk, peti sejuk. Macam di rumah. Kami cuma masak air dan panaskan semula nasi goreng. Rehat dahulu dan solat qasar dan jamak takdim. Pukul 2 petang lebih Pak Tam telefon ajak makan tengahari ramai-ramai bersama di gerai.

Gerai Ly'd Cafe jadi pilihan. Saya memilih nasi putih dan lauk paprik.

Gerai Ly'd Cafe


Berbeza sedikit paprik yang selalu saya makan. Cara Kelantan agaknya bukan cara Thai. Banyak bahan-bahannya. Apapun makan sampai habis. Alhamdulillah kenyang dan kami pulang ke homestay masing-masing. 

Nasi Putih Dan Lauk Paprik


Pak Tam sewa 3 rumah. Berehat betul-betul kali ini. Lepas Maghrib ke penginapan rumah Pak Tam untuk gubah hantaran. Ada video saya ambil.




Ok sambung lagi cerita esok pula iaitu majlis nikah dan kenduri. Tunggu....

Monday, September 19, 2022

Tidak Pasti

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Baru perasan tulisan terbaru saya tidak keluar dalam senarai blog Blogger mahupun penulis blog lain.

Gambar besar ke? Tapi tidak pernah pula hadapi sebelum ini. Perasan blog-blog tertentu pun hadapi masalah sama.

Harap masalah teknikal dan berbentuk sementara. Baru semangat untuk sambung tulisan perjalanan ke Jeli. Minggu lepas larut tengok telenovela jadi tidak perasan masalah ini. Hari ini perasan sebab pos tulisan baru tapi tidak muncul sampai pos ini ditulis.

Hadiri Kenduri Kahwin Di Lunas Kedah

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Alhamdulillah hasrat tercapai untuk makan kenduri di Kedah.

Hari Jumaat 16 September kami ke Rawang lepas solat Jumaat untuk tidur di rumah adik. Jalan alhamdulillah dari Melaka lancar tapi tengok arah ke Melaka macam sesak sedikit.

Lepas Subuh, Sabtu 17 September ke Lubuk Pusing, Bagan Terap, Sungai Besar dahulu sebab abah hendak pasang besi pada kebun pisang. Tidak lama pun dalam 30 minit lebih.

Pisang Masih Kecil



Kemudian ke masjid seketika sebelum bertolak ke Kedah dalam 9 pagi lebih.

Kami guna lebuhraya baru iaitu Lebuhraya Persisir Pantai Barat ikut Persimpangan Teluk Intan tapi tidak siap sepenuhnya lebuhraya lagi. Kemudian lalu jalan dalam sampai ke Ipoh baru masuk semula ke Lebuhraya Utara-Selatan hingga sampai Persimpangan Kulim.

Persimpangan Teluk Intan



Hampir pukul 1 juga sampai di Lunas. Alhamdulillah hasrat tercapai makan gulai umbut/batang pisang bersama daging dan pekasam. Ini makanan saya ambil. Tamak punya pasal banyak lauk saya ambil tapi habis makan. Hehe keinginan tercapai tapi tidak dapat rasa laksa, cendol sebab kenyang.

Nasi Putih+ Nasi Minyak+ Ayam Masak Merah+ Gulai Daging Bersama Umbut/Batang Pisang+ A car Jelatah



Balik terus ke Melaka sampai pukul 9 malam lebih. Banyak singgah untuk solat dan isi minyak. Alhamdulillah trafik lancar tidak seperti mana perjalanan pulang dari Jeli.

Thursday, September 15, 2022

Kiriman Misteri

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Belum lagi karang tentang perjalanan menghantar sepupu di Jeli minggu lepas tapi tulis pasal kiriman yang saya terima petang semalam. Memang tulisan tidak ikut kronologi.
Bukan saya ambil daripada kurier malah tidak dengar bunyi loceng sebab khusyuk tengok telenovela di bilik. 

Bungkusan Misteri



Tiada menunggu, tiada pengharapan malah tertanya-tanya siapa beri.

Apabila dibuka ternyata ada sampul kad tertulis nama samaran saya di blog. Jadi boleh agak siapa beri.

2 Kotak Teh Uncang Cameron Vallry Perisa Asli Dan Strawberi



Apabila membaca kad diberi betullah telahan saya iaitu daripada blogger Ako Retna. Terpilih secara rawak untuk pengomen bulan Jun. Terima kasih kepada pemilik blog anakomak.

Ucapan Daripada Cik Ako Retna




P.S: Insya Allah minggu ini pergi kenduri ke Kulim, Kedah pula.

Saturday, September 10, 2022

Al-Fatihah Untuk Mangsa Dihempap Pokok Di Jalan Karak-Kuantan

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Semalam  (9 September) dugaan betul untuk balik semula ke rumah. Asalnya perjalanan lancar tapi sampai di Raub atau Bentong hujan lebat. Mula-mula terhenti di kawasan Lurah Bilut sebab ada runtuhan. Maka kereta perlahan sebab satu jalan boleh guna.

Kemudian ketika kami memasuki ke Lebuhraya Karak dalam pukul 6 petang lebih tiba-tiba kereta perlahan. Kami nampak depan kami pokok tumbang merentasi lebuhraya. Terhenti juga seketika kenderaan. Ketika itu nampak sebahagian orang ramai dalam kenderaan di depan dan di seberang laluan bertentangan hulurkan bantuan. Ada lori yang tarik pokok ke tepi, ada pemandu ayam hulurkan tali untuk ikat. Ada bawa parang untuk potong ranting.

Keadaan Pokok Tumbang Dialihkan Dan Sebahagian Ranting Dipotong



Ingatkan pokok tumbang sahaja. Masa sisa pokok tumbang ditarik ke tepi dan trafik lancar ternampak kereta putih kena dan ke hadapan sedikit kami nampak jasad penunggang motosikal tersorok di  bawah celah-celah pokok. Terkejut. Innalillahiwainnailahirajiun. Masa itu tidak pasti keadaan mangsa.

Hari ini baca suratkhabar mangsa meninggal di tempat kejadian. Al-Fatihah untuk arwah  Muhammad Mustaqim Noor Azhar 21 tahun penuntut UTM. Semoga Allah temoatkan di kalangan orang yang beriman.

P.S: Berapa kali kami berpusing di tempat yang sama sebab keliru.

Wednesday, September 7, 2022

Kemas Barang

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Setelah berbolak-balik hendak pergi atau tidak maka akhirnya....

Jawapannya Pergi!



Kemas pakaian. Semoga dipermudahkan. Banyak tempat hendak singgah. Ikutkan hendak singgah rumah adik bongsu dahulu di Rawang (ada gambar Maryam pada pos sebelumnya) tapi adik sekeluarga kena Covid.

Maka kami akan terus ke Jeli  setelah singgah Tampin ambil Chikya dan suami tapi ada singgah rehat nanti. Jangka balik semula hari Sabtu.

Harap rancangan berjalan lancar. Insya Allah. Amin.

Jumpa lagi. Mungkin tidak dapat melawat blog korang semasa musafir nanti.

P.S: Pergi pada 7-10 September

Saturday, September 3, 2022

Cuti Sekolah

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Bermula cuti sekolah semalam. Masjid Al- Alami mula terima rombongan bas yang ramai ketika Subuh semalam. Mereka datang manakala yang tetap datang (pemaustatin) kurang (tengok pada jumlah kereta).

Kitorang pun mungkin tiada di Melaka nanti pada Rabu depan tapi saya tidak pasti 100% hendak ikut ke Jeli ke tidak sebab banyak benda kena timbangkan. Pastinya emak dan abah pergi sebab sepupu saya kahwin dengan orang sana. Balik itu emak cakap hendak lalu Cameron Highlands. Sebenarnya saya teruja hendak pergi Kelantan dan hendak makan makanan kenduri orang Kelantan.

Macam mana korang ada rancang pergi mana-mana?

Gambar Sekadar Hiasan