Saturday, October 29, 2011

Paranoid


 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Selamat pagi semua. Rindu nak menulis dan berjalan ke blog dengan bebas. Apakan daya masih tak dapat lagi. Peraduan yang saya kata nak letak kat blog tu hampir siap 99%. Ikutkan memang boleh siapkan cepat tapi nak pastikan saya buat dengan betul. Mula-mula tulis, kemudian masukkan gambar dan edit. Lepas tu adalah kena tambah apa yang kurang. Jadi saya buat semua tu di pc sekolah dan cc. Saya paranoid sikit sebab pasal keselamatan internet ni. Jadi tak dapat siapkan 100% dan hantar lagi. Saya tak suka pakai internet awam. Ada curiga takut orang lain boleh buka. Saya akan pastikan cuba bersihkan 'cache' apabila selesai pakai. Ni pun saya takleh baca pos-pos kat google reader.

Oklah semua jumpa lagi. Saya buat apa termampu. Sabar jerla kan ujian ni. Pada sisi lain, saya punya pandangan muka bulan ini melebihi bulan lepas. Alhamdulillah.


Saturday, October 22, 2011

Kembali Tak Selamanya


 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Akhirnya perkara yang ditakuti berlaku juga. Kalau korang ingat tulisan ini, tahu maksud saya. Saya dah tak boleh nak kemaskini blog seperti dahulu. Ni saya kemaskini blog di pc orang. Maknanya saya ikut emak ke sekolah sebab nak pinjam menaip di pc sekolah. Sungguh kasihan betul saya.

Apapun saya terima dengan fikiran terbuka. Dalam tak dapat nak melayari internet, dapatlah deria berfikir dengan tajam dan fikir masak-masak nak sertai satu pertandingan ni. Korang tanya pertandingan apa kan? Nanti saya dah siap buat dan pos pada blog, korang tahulah nanti pertandingan apa. Ni belum siap pos sepenuhnya untuk peraduan tersebut. Harap dapat siapkan dalam keadaan mencabar. Baru terasa keseronokan nak buat pos tersebut apabila nikmat pc sendiri ditarik.

Ok itu sahaja nak tulis. Jumpa lagi. Maaf kalau ada blog saya tak singgah. Masa tak mengizinkan. 


Sunday, October 16, 2011

Peraduan Cash Extravaganza Dengan Jacker


 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Cuti hujung minggu dah pun nak habis. Semoga anda dapat buat aktiviti-aktiviti yang disukai. Ada yang berehat, membeli-belah, pulang ke desa ataupun menonton siri yang tak dapat ditonton.

Saya nak kongsi sesiapa yang suka makan kudapan terutama kerepek kentang macam saya :) Kalau kebetulan anda beli kerepek kentang jenama Jacker, eloklah sertai peraduan yang disediakan. Hadiah pun lumayan iaitu:

2X Hadiah Pertama:RM 30 000 seorang
2x Hadiah Kedua:RM 20 000 seorang
3x Hadiah Ketiga:RM 10 000 seorang
4x Hadiah Keempat:RM 5 000 seorang
50x Saguhati: RM 1 000 seorang

Cara nak menyertai pun mudah, sertakan 1 bukti pembelian penutup aluminium atau keratan logo Jacker. Produknya Jacker Potato Crisps- 160g/75g atau Jacker Potato Chips- 60g.

Lepas tu anda jawab 1 soalan betul atau salah. Soalan memang senang.

Kemudian beri tandatangan yang kreatif bagi perkataan Jacker. Borang penyertaan boleh didapati di jacker.com.my. Jawapan pun boleh dijumpai di sini.


Muat Turun Borang Di Sini


Contoh Perisa Yang Ada




Jom kita masuk ramai-ramai. Tarikh tutup 30 November 2011. Jadi ada peluang untuk hantar banyak-banyak.


Saturday, October 15, 2011

Tulisan Luahan Perasaan


 بسم الله الرحمن الرحيم

Pada saat ini apa yang dilakukan serba tak kena. Apa yang tak kena ni? Buat burger ikan pun, isi ikan hancur.

Rasa angin satu badan je.

Bukan saat yang menyenangkan.


Monyok Macam Wombat Ni


Friday, October 14, 2011

Blog Jiran Jiran Blog


 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Baru terperasan yang saya menulis terbalik perkataan jiran blog. Patut blog jiran. Ada beza rupanya. 

Ok nak umumkan saya dah ada jiran. Eh saya terkeliru. Blog jiran atau jiran blog? Saya dah ada jiran blog. Saya dah ada blog untuk berjiran dengan blog saya.

Hehe persetujuan suka sama suka. Oklah kami sama-sama tinggal di Melaka. Mungkin boleh berjumpa di luar pula. Terima kasih Iqa sebab menawarkan diri untuk menjadi jiran Kak Wina.

Iqa ni pernah kasi dodol doodle. Mungkin lepas ni kasi lain pula *kenyit mata kat Iqa* Haha saya belum kasi dia apa-apa lagi. Minta macam-macam saya ni.

Ok anda yang belum kenal Iqa (rasa ramai dah kenal dia ni), boleh ke blog dia yer atau tengok pos-pos dia atas arkib tu.

Jumpa lagi.

Mari kita menjadi jiran blog yang baik.


 Ni dodol-dodol yang Iqa pernah buat.


Thursday, October 13, 2011

Pencarian Popular Google Untuk Blog Ini


 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Atas jasa enjin pencarian google maka terdapat perkataan-perkataan masuk ke blog saya. Hari ni nak kongsi perkataan-perkataan yang masuk ke blog ni atau senang cerita pencarian popular  untuk blog ini.

Ini sebahagian sahaja. Ikutkan ada lagi.  Apapun terima kasih kepada google yang letak mukasurat tulisan saya dalam enjin carian. Tak percaya cuba taip perkataan-perkataan di atas.

Ok itu sahaja. Jumpa lagi.


Enjin Pencarian Google


Monolog Spontan Khamis 13/10


 بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah apa yang ingin kuhajati semakin dapat kucapai. Tak sangka sasaran yang aku buat menampakkan hasil. Mulanya nampak mustahil tapi rupanya tidak.

Macam mahu buat lompat bintang je. Hiyaahhhhh...




P.S: Rasa kekurangan perasaan jer dari semalam hingga kini takde pos/tulisan Mimito. Macam nak rehat juga lepas baca pos dia semalam.


Wednesday, October 12, 2011

Jantung Berdegup


 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Cuba letakkan tapak tangan di sebelah kiri dada. Dengar tak bunyi degupan jantung? Kuat atau perlahan? Kalau bunyi perlahan tu maknanya jantung megepam dalam keadaan kita berehat. Kalau cepat, laju dan seumpamanya maknanya kita baru melakukan aktiviti yang memaksa jantung bekerja lebih keras untuk mengepam darah. Takpun perasaan cemas boleh cetuskan perkara yang sama. Kalau takde degupan pula? Sama ada kurang pendengaran atau deria saraf pada tangan tak berfungsi ataupun ____ (isi tempat kosong)

Hehe sebenarnya nak cerita episod ke-2 House tajuk 'Transplant' (pemindahan). Cerita ringkas jer ambil intipati. Jadi dah dapat agak kan pemindahan apa? Anda jawab jantung? Tet...Salah. Sila lihat gambar di bawah.

Paru-Paru Dihubungkan Dengan Saluran Oksigen - S08E2 Transpant


Tugas paru-paru mengikut definisi Kamus Dewan: Penyedutan dan pengeluaran udara dari paru-paru.

S08E02-House yang sepatutnya tinggal di penjara telah dijamin Foreman untuk membantu dia. House pada asalnya tidak berminat untuk merawat pesakit tertarik kerana cabaran mencari punca mengapa paru-paru menghadapi masalah. Paru-paru tidak boleh bercakap.Hanya menunjukkan simptom dan fizikal paru-paru yang berubah warna daripada warna merahjambu menjadi hitam.

Saya tertarik tengok paru-paru yang kembang kuncup (diletakkan di sebuah bekas kaca seperti di atas). Ada adegan paru-paru kehabisan nafas serius macam nampak manusia sesak nafas gak.

Korang jangan gelak pula atau anggap saya jakun tapi inilah pertama kali saya lihat paru-paru boleh hidup di luar badan selama beberapa hari. Sebelum ni ingatkan lepas dapat organ ni daripada penderma terus masukkan ke dalam badan pesakit. Tambahan maklumat baru untuk saya.

Itu sahaja nak tulis. Jumpa lagi.

P.S: Nak tahu mengapa paru-paru tu bermasalah? Sebelum penderma tu mati, dia telah menyedut asap rokok dan curut yang banyak di sebuah tempat yang tertutup. Ini membuktikan bahawa tidak merokok menghadapi risiko buruk 3 kali ganda daripada perokok aktif. Jadi kepada perokok silalah jauhi diri daripada orang sekeliling apabila merokok atau jangan merokok langsung.


Tuesday, October 11, 2011

Si Kanan Si Kiri


 بسم الله الرحمن الرحيم

Ingatan untuk diri.

Selagi hidup tanggungjawab takkan pernah selesai dan setiap perbuatan tidak akan habis ditulis sama ada malaikat di kanan atau kiri.

Bertuahlah diri kalau banyak ditulis oleh malaikat di kanan. Lumrah manusia yang memang mudah khilaf, catitan di kiri juga akan ditulis. Cuma bertuahlah kalau diri itu sedar dan bertaubat. Maka catitan di kiri itu akan dipadam maka malaikat belah kanan pula menulis.

Sejauh mana kita sedar dan sentiasa membersihkan diri dengan pengampunan maka harap-harapnya banyaklah si kiri memadam catitan dan biarlah si kanan yang sibuk menulis. Proses yang berterusan tambah tolak amal. 

Jangan dilupa wahai diri jauhi perbuatan mengumpat. Orang yang mengumpat memberi pahala percuma pada orang diumpat maka rugilah kerana pahala yang dikumpul telah ditolak (-) maka lagi malang jika mendapat tambahan(+) dosa percuma si diumpat. 

Tambah tolak amalan takkan habis hingga ke hujung nyawa.


The Unforgetful Moment Before Raining


 بسم الله الرحمن الرحيم


Alone was my companion that midnight
Thinking, breathing
Hearing the thunder
It gave calmness, eternity and serenity

Out of blue
Hearing the frogs sang whimsically
Asking for the rain to fall
Are you sure you want the rains?
Imagine myself asking the frogs
The frogs would answer yes we want the rains

Then the mosquitoes appeared nowhere
Pretended to scream to the frogs
Flick your tongues!
Eat these annoying mosquitoes
The mosquitoes ringing at my ears
Humming like laughing to me
The frogs are too busy calling for the rains
They are too busy to flick their tongues

I clapped my hands toward the mosquitoes
They crumpled and died
If the frogs would not kill you
I as human could kill you!

Minutes later, the rain poured heavily
It's time for sleep


Flicking Frog -Image Googled


Monday, October 10, 2011

Penghargaan Terima Kasih


 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Dah lama tak buat tulisan penghargaan terima kasih ni. Apabila dilihat pada pos lama barulah teringat. Ingat nak buat sebulan sekali tulisan terima kasih sekali terlupa pula.

Tak rugi pun menyatakan penghargaan kan? Malah Allah tambah-tambah lagi kalau kita bersyukur. Lain orang lain cara. Ada buat pemberian, peraduan dan macam-macam kan. Saya cuma dapat balas lawatan dan semestinya doa juga (sebenarnya doa kan patut untuk para Muslimin Muslimat)  serta pos khas ni.

Terima kasih yang sudi singgah sama ada secara tersinggah atau memang dah tahu blog ni lalu singgah. Hehe kalau saya rajin, boleh ditukarkan cara dengan beri hadiah pula kan satu hari nanti. Satu cara menghubungkan silaturrahim tu dengan pemberian hadiah. Lagi erat. Macam dicadangkan oleh Rasullah. 

Terima kasih juga kepada pembaca senyap dan tak lupa bekas rakan sekolah saya harima. Sokongan saya hargai.

Ok itu sahaja. Jumpa lagi.

P.S: Tolong doakan saya tak lupa diri. Hehe. Takut lupa daratan.


Bunga Untuk Yang Singgah :)




Kenangan Ketika Menonton Jewel In The Palace


 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Selamat petang semua. Tengah buat apa tu? Mesti ada yang ambil angin di luar, minum petang tengok tv, beriadah.

Oklah tak reti nak pusing-pusing cuma nak kongsi sesiapa peminat siri drama Korea. Pernah tengok siri 'Jewel In The Palace Tak'? Siri ni memang popular kan? Kali pertama tak silap 7 tahun dahulu. Cepat masa berlalu.

Saya pun sebenarnya tak pernah tengok siri ini sepenuhnya. Ada tertinggal juga episod. Cuma Jumaat lepas (tak silap saya), saya ada terbaca di suratkhabar, siri ini muncul semula di TV Hijrah. Tak sangka pula. Jadi tadi pukul 3:30 petang memang buka siaran al-Hijrah tengok memang ada. Tapi dah mula ketika Changjin tu cuba ubatkan anak maharaja dan dia kehilangan deria rasa. Bahagian ini memang menarik sebab dia nanti kena tolong Puan Han untuk bertanding jawatan Istana Dapur 1 (tak ingat nama)

Masa tengok siri ni, teringat dulu-dulu ketika borak di laman sembang tengah siri ni tersiar di tv 8 kul 8, tanya pada si rotary (nama samaran) 

Saya: Rot, awak tengok tak siri Changjin tu?
Rotary: Cerita masak-masak ke? Mengarut jer.
Saya: Mana ada mengarut. Tu ada ajar cara memasak dan tunjuk masakan Korea yang unik. Macam-macam dan banyak juga eh makanan dan teknik dalam masakan.
Rotary: Tak best. Baik ko tengok siri pasal motor ke.
Saya: Eleh, tak best awak tengok gak. Ni camne leh tahu siri Changjin tu pasal masak-masak? Saya tak cakap pun siri Changjin siri pasal masak. Haha kantoi. Awak tengok kan. Haha (saya dah gelak kuat)
Rotary: Aku tertengok la. Mak aku bukak.
Saya: Ala ngaku jerla. Ceh salahkan mak pula.
Rotary: Aku tengok mula-mula jer.

Lepas tu perbualan ke topik lain. Nak tutup malu la tu. Kahkah lawak betul budak ni.

Jewel In The Palace- Imej Google


Ok siapa-siapa yang nak tengok siri tu bersiaran dari Isnin hingga Khamis pukul 3:30 hingga 4:30 petang. Seronoknya siri ini guna suara asal dan bahasa Korea tak macam dulu tu guna bahasa Cina. Iklan pun tak banyak. Jadi memang takde terganggu sangat tengok siri ini.

P.S: Saya tanya chatters lelaki lain, ok jer ada yang tak malu mengaku tengok siri ni. Malah ada yang beli vcd siri ni. Apsal si rotary ni malu nak mengaku. Bukan cerita porno pun. Pelik tul tak hilang kelakian tengok cerita masak-masak ni.

P.S.S: Pembesar Min tu kacak kan? :)


Lambat


 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Hari ini (ke semalam) lambat buka kilang ni maknanya lambat tutup kan sebab tuan blog ni takleh tidur. Maka haruslah menulis satu pos untuk memenuhi masa. Berjalan ke blog orang dah pun dilaksanakan dan pastinya ketika ini semua (semua ke?) yang dah beradu di katil empuk.

Bercakap pasal lambat ni kan, saya perasan ada beberapa blog saya lambat dapat pos terkini. Maksud saya in-real time ok, saya buka google reader dan dashboard, tulisan pada blog tertentu lambat masuk. Bukan apa, apabila tulisan tu masuk, saya tengok waktu disiarkan dan waktu diterima tu lewat. Kalau lewat seminit dua tu takpe. Ni ada lewat sampai 1 jam. Ada 1 blog ni sampai 2 jam. Cuba korang tengok kat bawah.


Diterbitkan 1:10 Tapi Terima 2:07 Pagi 10 Oktober




Lagi satu ada blog pula pos terkini tak kemaskini masuk google reader dan dashboard. Kadang-kadang pelik gak. Bukan apa kalau takde kemaskini tulisan/pos maka tak teringat. Cuma apabila dah siap jalan-jalan ke blog yang selalu singgah baru teringat blog orang ni. Itupun teringat sebab dia komen. Eh terdetik, takkan tak kemaskini kut? Tengok-tengok ada pos baru dia tapi tulah kat dashboard dan google reader takde. 

Saya tak suka letak dalam blog senarai blog sebab kalau dalam google reader lagi tersusun macam emel. Susunan nama blog di sebelah kiri dengan pos-pos/tulisan-tulisan di sebelah kanan. Kalau klik satu nama blog di sebelah kiri, maka pos-pos blog tersebut keluar disusun dari tulisan terkini ke tulisan lama (tengok di bawah)

Contoh Tajuk Tulisan Kerana Lily Disusun Mengikut Pos Terkini Hingga Pos Lama.


Lagi pula saya ada lebih 183 blog yang saya ikut atau langgan. Kemas, boleh tengok semua pos-pos semua blog.

Korang ada masalah tak, pos keluar lambat kat dashboard? Takpelah ni luahan saya untuk bunuh masa saya kat blog. Hehe. Jumpa lagi.

P.S: Apapun Google Reader masih di hati. Bukan semua blog saya hadapi lambat dapat pos. Cuma kadang-kadang apabila lambat masuk pos terkini maka lambat komen.


Sunday, October 9, 2011

Di Persimpangan Dilema


 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Semalam ketika di dapur ketika melihat kelibat tubuh emak memasuki dapur, saya bertanya kepada emak  kerana inginkan jawapan sementelah kerajaan menaikkan usia persaraan daripada 58 ke 60 tahun (Belanjawan 2012). Perasaan ingin tahu membuak-buak.

"Mak, nanti nak teruskan bekerja atau bersara tahun depan?"

"Tak tahulah kena tunggu dapat surat daripada kementerian."

"Kalau dapat surat, mak nak sambung tak?"

"Entahlah. Tengoklah camne."

Kali ini nada mak tak melambangkan keyakinan mahupun keterujaan. Bermakna mak tak sangka yang umur persaraan dilanjutkan lagi. Ketika mak berumur 54, Belanjawan 2009 keluar memberi peluang pekerja melanjutkan lagi usia persaraan daripada 55 ke 58, mak tanpa teragak-agak menerima pilihan untuk menyambung perkhidmatan. Apabila mental dah bersedia untuk bersara, diberi peluang keemasan tentulah rasa serba-salah. Persoalan adakah mak akan ambil atau tidak kalau surat pekeliling sampai?

Tunggu dan lihat. Apapun pilihan mak, saya tumpang gembira.

P.S: Ramai cakap mak saya seorang yang kuat bekerja.


Saturday, October 8, 2011

Monolog Hujung Minggu


 بسم الله الرحمن الرحيم

Tak boleh mengharapkan atau terlalu bergantung kepada bantuan atau janji orang lain. Jangan letakkan harapan pada orang kelak merasa kecewa dan merana. Manusia memang tak mampu menolong secara mutlak.

"Prepare for worse". Bukan bermakna bersangka buruk tetapi bersedia untuk terima sebarang kemungkinan yang kita tak suka supaya kita tabah dan tidak terkejut beruk macam tidak menjangka keadaan malang itu tidak akan singgah pada kita.

"Don't be too happy." Bukan bermakna tidak boleh gembira tapi gembira biarlah berpada-pada supaya sedar ia boleh hilang sekelip mata. Sila wahai diri bersyukur pada Allah.


Dah Nak Setahun Dan Punca Pondan


 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Apa yang dah nak setahun tu? Hampir setahun meninggalkan alam percintaan? Tidak. Bukan. Sebenarnya pada bulan ini pada tarikh 29 Oktober maka akan genaplah setahun usia blog ini. Alhamdulillah bertahan dan tetap saya menulis pada blog ini. Hehe alam blogging sangat menyeronokkan. Segelintir dah tahu saya sebelum ini menulis blog di tempat lain yang lebih terpencil tapi sekarang di sini lebih luas pembaca. Asal-asal pun nak buat blog ni biasa-biasa untuk kenalan rapat tapi rasanya alang-alang berblog biarlah kita menulis memberi manfaat pada sesiapa yang singgah.

Kalau blog lama memang sempoi dengan hanya pos tulisan semata-mata. Tiada perabot lain, tiada kain rentang, tiada kotak jerit dan semestinya tiada iklan. Di sini semuanya ada. Bulan depan pula setahun menggunakan Nuffnang. Terima kasih Nuffnang kerana tidak mengecewakan.

Eh tukar topik sedikit, kelmarin dan semalam ruangan Ratu Berita Harian, saya ada baca mengenai salah makan punca pondan. Hujahnya bahan kimia dalam sajian jejas hormon menyebabkan genetik tidak normal. Korang setuju ke dengan pedapat ini?


P.S: Berhati-hati apa yang kita makan



Friday, October 7, 2011

Mengulang Baca Novel


 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Selamat malam semua. Hari ni lambat pula buka kilang (blog) Haha gelabah membalas komen dan singgah blog. Terasa macam tak cukup masa nak buat macam biasa.

Disebabkan mengulang semula membaca novel terbitan Jemari Seni tajuk Dame Zoete Sarah. Sapa dah baca? Saya beli tahun lepas masa Pesta Buku di KL. Mengulang baca sebab dah lupa jalan cerita cuma ingat secara kasar Sarah menjadi buruan polis setelah kematian seorang penagih. Dia juga diburu penjahat juga sebab dia ada formula dadah baru. Lupa dah nama dadah tu. Baru baca bab pertama. Novel ni memang mendebarkan selalu buat adrenalin meningkat, teruja nak tahu apa kesudahan. Novel nukilan Khairyn Othman memang tak pernah mengecewakan saya setakat ini. Eh ni buku kedua yang saya baca. Novel pertama yang saya baca Zahrah de Tigris memang membuat saya terfikir tentang perang di Iraq.

Bilalah saya nak tambah koleksi buku dan terutama novel ni? Ada buah tangan baru si Khairyn ni nak kena beli.

Ok itu sahaja luahan saya. Jumpa lagi.

P.S: Saya hantu buku.


Membaca Sambil Makan Coklat Memang Nikmat




Thursday, October 6, 2011

Spontan Khamis 6 Oktober


 بسم الله الرحمن الرحيم


Nak tulis ulasan mengenai siri Top Chef Just Desserts musim ke-2. Siapa akan menjadi juara? Masih jauh lagi perjalanan siri ini tapi saya rasa Mathew, Chris atau Carlos akan menjadi peserta melangkah ke peringkat akhir.

Salah Satu Hasil Air Tangan Peserta Top Chef Just Desserts Musim 1





Menggunakan Lebihan Bahan Yang Tinggal Dan Resipi Minuman Mudah: Susu Kocak Atau Milk Shake


 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Dah lama tak berkongsi resipi di blog ni. Maklumlah bulan Syawal banyak makan kat luar jadi masak-masak kat rumah ni kurang. Tapi hari ni saya nak kongsi resipi buat susu kocak.

Aspirasi daripada tinggalan separuh besar tembikai dan susu segar daripada tinggalan adik juga. Haha adik suruh habiskan susu segar. Kebetulan tarikh lupus 8 Oktober ni, maka nak minum satu kotak 1 liter semata-mata tak lalu. Eloklah buat susu kocak tembikai. Ni korang boleh gantikan tembikai dengan buah lain. Kalau korang ada buah yang tak boleh habiskan sebiji atau buah tu hampir benyek. Mudah sahaja nak buat.

Bahan-bahan:
Susu segar
Tembikai
Ais
Sedikit gula (pilihan)

Cara membuatnya lagi mudah. Masuk semua bahan tu dalam pengisar dan kisar. Lupa pula nak terangkan bahagian susu dan tembikai tu. Biar susu tu tenggelamkan atau sama paras dengan tembikai pada pengisar. Kisar sampai hancur tembikai tu.

Ok gambar takde tapi korang boleh bayangkan rupa macam mana kan? Nanti saya tepek di kemudian hari. Selamat mencuba.

Ok itu sahaja nak kongsi. Jumpa lagi tulisan akan datang.

P.S: Saya baru perasan tajuk tulisan saya mesti panjang-panjang.


Wednesday, October 5, 2011

Andainya Saya Tiada


 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Selamat malam semua. Alhamdulillah bertemu kita kembali pada tulisan ini. Awal pagi tak dapat buka pc yang asyik 'shutdown'. Nasib baik apabila petang dah boleh buka. Takpelah bersangka baik bahawa PC juga memerlukan rehat yang cukup setelah pulun tengok siri internet dan melayan blog sampai pukul 2 pagi. Tapi andainya satu hari nanti pc umum ni 'kaput' mesti saya seperti cacing kepanasan. Ada pernah pc ni takleh hidup pada bulan April lalu. 2 minggu gak la termenung tak dapat melayari internet. Nasib baik ada adik yang bijak bistari si H tu yang tengok apa masalahnya. Tapi masa tu makan jerla kata-kata nasihat yang diberikan. Haha. Ikutkan dia tak kuasa nak betulkan tapi sebab abah nak juga pakai. Hehe saya tak reti betulkan. Ni tak tahulah kepada siapa nak mengadu kalau ada masalah sebab H dah terbang jauh ke hemisfera selatan.

Maka nak tak nak saya kenalah bertanggungjawab menjaganya. Saya akan buat apa yang sepatutnya. Jadi saya akan kurangkan sikit masa untuk melayari internet dan menggunakan komputer ni. Kalau orang lain akan harap ada masa lebih untuk melayari internet dan melawat blog. Saya pula akan kurangkan.

Ok itu sahaja luahan nak saya coretkan. Eh saya kurangkan tau bukan tiada. Melayari internet akan dibuat petang-petang paling awal pukul 5 atau pukul 6. Pagi dan sebelum pukul 5 takkan dibuat kecuali ada kes khas yang dipertimbangkan penulis.


P.S: Takde yang jawab apa jadi pada House. Ok sesapa nak tahu pengakhiran episod pertama tu: House tak dapat parol sebab buat hal di klinik dan pesakit tu bukan ada penyakit lupus.


P.S.S: Selamat mencapai umur 22 tahun wahai adik 

Ok jumpa lagi jika diizinkan Allah. Kalau saya diam tak menulis ada sebab la tu kan :) Tiada yang fana kekal selama-lamanya.

Gambar Hiasan
 



Gambar Dapat Mewakili Beribu- Ribu Perkataan: Statistik Pada Satu Masa



 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum... 
Lepas poskan tulisan ini.



Tuesday, October 4, 2011

Sinopsis Siri Tv: House S08E01 Twenty Vicodin


 بسم الله الرحمن الرحيم

For foreigners, please use Google Translate to translate this post :)

Assalamualaikum...

Akhirnya siri terbaru House (siri ke-8) episod pertama muncul semalam di saluran FOX pukul 9 malam di US. Di tv Malaysia belum ditayangkan tapi dapatlah tengok di internet. Siri House ni antara siri kegemaran dan ditunggu-tunggu. Jalan cerita setiap episod dan siri makin lama makin menarik. 
Pemegang Watak House, Hugh Laurie - Imej Daripada Google

Kalau pada episod terakhir siri lepas, House langgar rumah Dr Cuddy dan melarikan diri ke luar negara selama 3 bulan. Untuk episod terbaru ni, pada permulaan ditunjukkan House di hadapan pegawai-pegawai untuk penilaian parol. Salah seorang penilai tu tanya dia menyesal tak? House yang terkenal dengan sikap sarkastik cakap kena ke rasa menyesal untuk dilepaskan? Lepas tu sorang pegawai lelaki tu cakap boleh tak awak tak timbulkan masalah selama 5 hari di penjara? Kalau boleh, dia akan dilepaskan. Wah dari sini dah tertarik nak tahu House boleh tahan ke tidak.
House Dengan Alatan Untuk Membersih Menuju Ke Klinik- Print Screen Daripada PC


Lepas tu jalan cerita berjalan tunjukkan setiap hari selama 5 hari.
Isnin- Permulaan hari, setiap banduan ambil ubat termasuk House. House kemudiannya meludah semula bagi ubat kepada seorang banduan ini namanya Middleton. Ditunjukkan perangai House membantu banduan satu sel untuk ambil ubat. Ok ni semua pengenalan watak-watak baru macam ada seorang banduan mengadu sakit lutut dan siku. House marah suruh dia pergi jumpa doktor. House ke selnya mendapati Roland (banduan lain) mencuri makanan. Roland dah tahu House akan dilepaskan Jumaat jadi House tak boleh melakukan kekecohan atau kekerasan. House ada tugasan membersih di klinik banduan, terdengar doktor perempuan memberi preskripsi salah kepada banduan yang mengadu sakit kepadanya. House mencelah suruh rawat untuk lupus. Doktor perempuan tu tanya macam mana boleh tahu pasal hal perubatan dan seorang doktor lelaki memberitahu House ni seorang doktor.

Selasa- Isnin malam Selasa, House tak dapat tidur kerana bunyi cengkerik. House nak bunuh cengkerik tu tapi rakan sel yang bengis tu tak bagi House bunuh kerana itu binatang peliharaan dia. Ironi kan? House pergi ke sel banduan yang sakit untuk cari ruam pada badan bagi membuktikan teori yang banduan tu ada lupus. House jumpa doktor perempuan dan berhujah banduan tu ada lupus. Doktor tu tanya mengapa House masuk penjara. Sementara tu Middleton tahu yang House nak keluar penjara paksa House untuk curi ubat dengan lebih banyak.
House Dengan Doktor Perempuan Yang Merawat Banduan Yang Mengadu Sakit -Print Screen Juga


Ek panjang kalau cerita sampai habis. Apa terjadi pada House? Adakah dia dapat keluar penjara atau duduk penjara lagi selama 4 bulan? Bagaimana dengan banduan yang sakit tu adakah memang mengalami lupus? Nak tahu kenalah tengok :) Korang bolehlah agak/teka dengan tinggalkan komen apa terjadi selepas itu. Sesiapa peminat House bolehlah pergi tengok siri ni di internet.

Rakan 1 Sel Ketika House Merawat Cengkerik Banduan Ini. House Mengucapkan Terima Kasih Kerana Tidak Membunuhnya- Print Screen Daripada PC

Dah lama tak buat sinopsis siri. Kali terakhir episod akhir Masterchef Australia musim ke-3.

Ok itu sahaja. Jumpa lagi. 

Kemaskini 5/10: siapa nak tahu pengakhiran House boleh dapatkan di sini.