Nuffnang

Showing posts with label Renungan. Show all posts
Showing posts with label Renungan. Show all posts

Sunday, August 31, 2014

Menyesuaikan Diri


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Saya macam terharu ada juga yang masih baca pos saya. Terima kasih. Itu yang mampu saya ucapkan. Sambung kisah perjalanan saya akan titipkan kemudian. Ikut rasa hati ini. Insya Allah.

Pintu Keluar Dari Bilik Tidur Ke Tempat Ampaian



Esok bermulalah tanggungjawab saya. Harap-harap saya dapat jalankan tugas dengan sabar dan bertenaga. Wahaha sini sejuk sangat kadang-kadang malas nak bangun dari katil dan selimut. Kadang-kadang malas nak mandi. Ambil wuduk pun hampir nak terjerit kena air. Oh sekarang baru saya tahu mengapa saya rasa berat hati tapi tugas ini direstui oleh mak. Harap-harap Allah ampunkan kelemahan saya. Rasa jadual hidup tunggang-langgang di sini. Cara hidup berubah tapi tuntutan kewajipan agama tidak harus berubah.

P.S: Selamat Hari Kemerdekaan Ke-57.



Tuesday, March 25, 2014

Not A Good Day


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

It's definitely not a good day. Bulan ni rasa bulan kelabu sedikit dan perit untuk saya hadam. Ujian kepada negara, ujian pada kru dan penumpang MH370, ujian kepada diri ini. Bertabahlah. Saya perlukan masa untuk diri. Banyak-banyaklah sebut ucapan istirja wahai diri.

Harap-harap mendung akan berlalu.

Maaf semua. Tak tahu bila akan timbul semula secara aktif untuk blog ini. Jaga diri semua.

 

Monday, January 27, 2014

Kita Yang Memilih


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Setelah sejuk, panas pun kembali.

Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesusahan ada kemudahan (ayat 6 surah Al-Insyirah)

Selepas pos sebelum itu, ia memberi kesan pada saya. Lagi-lagi pula beberapa hari sebelum itu adalah harijadi saya (terima kasih adik M kerana membeli sepotong kek Secret Recipe) Ia mengetuk fikiran saya dalam-dalam betapa saya ketinggalan dalam kehidupan ini. Betapa mengapa saya suka keseorangan dan seorang. Jika saya bersama kelompok lain, saya mesti rasa saya ketinggalan dengan mereka. Mungkin eloklah teman sekolah saya 'lost contact' dengan saya (cuma harima sahaja yang sanggup ikuti perkembangan saya di blog, itupun macam saya pencilkan dia sekali-sekala tak layan soalan atau sapaan. Atau ada yang lain-lain ikuti secara senyap). Mungkinkah sebab utama saya takmo ada FB ialah saya takmo ada kenalan. Takmo ambil tahu secara terperinci yang mana nanti saya rasa tak setanding dengan mereka. Mungkin juga saya takmo mereka ambil tahu hal peribadi saya. 

Melalui blog saya tak kisah untuk TIDAK seorang. Pelik kan? Mungkin melalui blog, cara dan suasana terkawal berbanding di FB dan alam nyata. Ini pendapat saya lah kan... Lain padang lain belalang, lain orang lain pandangan :)

Bahagia saya ketinggalan kehidupan dan zaman? Kadang-kadang bahagia kadang-kadang bosan juga. Cuma pilih mana yang lebih baik untuk saya walaupun nampak tak seronok. Pencilkan diri untuk perkara buat sedih di dunia. Harap-harap untuk majlis ilmu, saya tak pencilkan diri. 

Kenangan waktu sekolah memang tidak akan dilupakan sebab kebanyakannya indah dan kelakar. Kita tak fikir banyak sangat mengenai masa hadapan. Ikut aliran sahaja.

Saya memilih untuk bersyukur dengan keadaan saya ini. Mana tahu saya bertukar cara pula kan? Manusia berubah mengikut keadaan, masa dan tempat. Seperti cuaca mengikut apa yang dikehendaki Allah walaupun tak logik pada fikiran manusia pun! 

 

Sunday, January 12, 2014

Monolog: Post To Ponder


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

**********************************************************

Aku dah lama tak tulis pos yang sentimental atau yang berkaitan pencarian jiwa (blog pun dah nama pencarian jiwa saya). Tengok-tengok pos-pos yang pernah aku buat banyak jugalah pandangan mukanya walaupun tak dapat menandingi pos mengenai peraduan, resipi atau pengetahuan am (tapi kadang-kadang pos berkaitan boleh masuk dalam carta 10 pos popular). Hmm. Resolusi aku untuk tahun 2014 adalah menulis lebih banyak dan terperinci mengenai pencarian jiwa. Tulisan yang lebih pada hati. Selami jiwa dan telus untuk bercerita. Aku kadang-kadang tak tulis secara mendalam. Berkias sahaja. Macam tak sampai pula mesej tersebut. Tapi kadang-kadang aku dilema antara berkias atau berterus-terang kerana aku jenis memendam perasaan (mak aku cakap). Macam biar jerlah aku yang tahu. Eh memang aku jer yang tahu sebab orang lain tak dapat memahaminya. Atau luahkan sahaja dalam jurnal. Aku rasa kalau nak tulis pasal perjalanan pencarian jiwa aku pun biarlah:-

1) memberi kesan emosi/rasa pada pembaca.
2) memberi manfaat/kesedaran.
3) tidak jemu diulang baca pos tersebut.

Aku memang suka pos tulisan orang yang boleh dibaca berulang-ulang kali. Aku maksudkan tak jemu untuk dibaca, ada sahaja maklumat yang boleh dihadam. It gives you to ponder everytime you read that post. Cewah tak bolehlah lawan al-Quran terutama bagi aku surah al-Fatihah. Tak jemu dibaca, direnung. Macam ada sahaja pencerahan baru apabila baca al-Fatihah tu. Memang tak bosan nak baca ulang-ulang.

Tengoklah macam mana nanti.
 

Thursday, January 2, 2014

Perutusan Daripada WombatME


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Pos pertama saya untuk 2014. Alhamdulillah masih hidup lagi saya. Bagi saya 2013 adalah tahun YANG baik bagi saya. Kesihatan baik, emosi baik, LOA saya baik dan pengembaraan pun baik. Tapi kewangan biasa-biasa (banyak berbelanja). Rangkaian (networking) kurang buat. Harap-harap tahun ini semua bagus. Jika ada yang kurang, satu peringatan untuk saya :)

Pada yang tak menang Peraduan Syok Sabtu tu, jangan kecewa dan sedih. Kita cuba lagi. Bila dah selalu masuk peraduan ni saya dah kebal takde perasaan apa-apa. Alhamdulillah masih bersemangat nak sertai. Kenang apa yang baik daripada peraduan itu. Insya Allah satu hari adalah hari kita berjaya juga. Allah nak suruh kita sabar. Hehe. Saya ketika ini ada masuk satu lagi peraduan. Harap menang. Kalau menang, satu daripada senarai hasrat tercapai. Jadi saya berfikiran positif sahaja :D

Terima kasih semua yang melawat, bulan lepas blog saya ramai dikunjungi orang. Nampaknya saya kena luaskan rangkaian (networking) lagi. Haha insya Allah. I just want to do what I want and love. Tak suka paksa diri kalau rasa tak seronok nak buat sesuatu.

Oklah jumpa lagi. Bila tiba tahun baru bermakna umur saya bertambah setahun :( Nak jadi semakin baik dan penyabar.

P.S:Harap-harap pengembaraan saya untuk tahun ini mengujakan. Jumpa orang yang boleh tunjukkan 'keajaiban'. 

  

Monday, December 30, 2013

Petua Murah Rezeki


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada yang sertai peraduan macam saya kerana memberi maklum balas. Saya cuba sedaya-upaya untuk penuhi permintaan. Ok, kita lupakan seketika cerita mengenai peraduan.

Salah satu petua untuk mudah murah rezeki ialah memenuhi hajat orang yang sangat memerlukan. Tak kisahlah manusia ke atau haiwan. Hajat kecil pun tak apa asalkan kita dapat menggembirakan orang atau makhluk lain. Tak percaya cuba amalkan. Insya Allah. Allah akan penuhi hajat kita pula.

Selamat beramal. Jadikan sikap suka memberi itu amalan pada 2014. Biar kecil asal ikhlas dan istiqamah. 

Lagi satu ialah sentiasa sebut kebaikan orang tersebut dan doakan orang yang memberi itu murah rezeki. Doa itu akan diaminkan malaikat dan kembali pada kita.

Jumpa lagi.

P.S: Usaha yang kecil tapi besar kesannya. 

Gembira Dapat Pengisar Lada Hitam Ini
 

Sunday, December 22, 2013

Kain Pasang Dari Bukit Tinggi


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Kain pasang warna pic [klik sini]

Sambungan internet yang kejap elok dan kejap tak elok buat rasa hmm...

Siapa suka pemberian? Semua orang suka terima pemberian orang lain kan? Tanda ingatan orang itu pada kita walaupun tak kenal rapat lagi. Hehe.

Petang tadi, adik si M bawa turun plastik. Ingat apalah dalam bungkusan beg tu. Sekali tengok ada 3 kain pasang untuk baju kurung yang sama corak berbeza warna. Warna pertama ialah coklat, warna kedua ialah ungu dan warna ketiga ialah kelabu. Jadi saya berkenan warna ungu. Saya andaikan 2 pasang kain lagi untuk adik saya si Y dan emak.

"Along orang pertama yang pilih kain," si M beritahu.
"Takpe ke kut mak berkenan along punya," saya tanya M.
"Mak dan abah punya dia dah pilih khas."
"Eh camtu siapa punya lagi satu kain ni?" saya pelik.
"Satu lagi untuk Kak Aqish," M membalas

Tak teringat langsung saya pada seorang adik ipar perempuan itu. Hehe lupa.

Pemberian kain pasang daripada bakal adik ipar. Harap maklum saya anak sulung. Jadi saya dah ada 2 adik ipar dan seorang bakal adik ipar. Baik betul dapat kain yang cantik ini. Hehe tapi tak tahu bila dapat pakai. Saya ada kain pasang yang pernah diberi oleh emak mertua si Y (masa terima kain tu masih status bakal emak mertua si Y) dan kain pasang daripada seorang chatter Kak Sofi. Hehe. Kena tunggu giliran sebab emak yang buat baju kurung. Selalu nak suakan kain-kain yang saya ada, emak dah pilih kain yang dia nak potong untuk baju kurung saya. Jadi ikut jerla apa emak buat untuk saya.


Kiri Ke Kanan, Atas Kemudian Bawah: Kain Pasang Saya, Kain Pasang Emak, Kain Batik Uwan Dan Kemeja

Emak dapat kain pasang, abah dapat kemeja dan Uwan dapat kain batik. Sedondon warna sama iaitu hijau pekat. Emak berkenan dengan kain pasang saya. Hehe tak kisah kalau emak nak tukar.  

Kain pasang dari Bukit Tinggi. Syukur alhamdulillah dapat rezeki tak disangka.

Oklah jumpa lagi. 

 

Melancong Memerlukan Kesabaran


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Tak jadi pergi Kuala Selangor. Tiba-tiba rasa malas. Rasa nak bersendirian di rumah (alasan sampingan). Hoho sebenarnya tinggal berdua dengan adik. Rupa-rupanya dia taknak pergi atas sebab utama sama macam saya. Rasa serba salah tak pergi tapi fikir dah pergi kali pertama resepsi tu kira lega hati. Entah saya banyak ikut kata hati. Jika rasa tak seronok jangan pergi. Itu prinsip saya di mana emak saya sangat memahami tapi kadang-kadang buat emak jengkel. Maaf mak. I am an annoying person. Kadang-kadang saya buat hal waktu merantau/melancong. Salahkan faktor penat dan jetlag tapi sesungguhnya saya suka melancong.


Kalau Tahu Bahasa Rusia Tahu Apa

Papan Peringatan Perang Dunia Ke-2(betul ke???) ketika di Moscow.Haha sebenarnya tak tahu apa nama batu ni. Mood penat melanda jadi antara dengar atau tidak pemandu pelancong terangkan. Banyak benar fakta sejarah. Cuba teka Rusia di pihak mana? Perikatan atau Fasis? Penat dah ambil gambar tengok saya terkulai layu. Demi kenangan sanggup berposing sakan. Saya rumuskan kena bersedia mental dan fizikal dan pengetahuan sesuatu tempat sebelum pergi.

Apapun saya bersyukur kepada Allah diberi peluang dapat menjejak kaki ke tanah Rusia. Bukan mudah yer tuan-tuan dan puan-puan untuk dapatkan visa. Korang tak boleh saja-saja pergi untuk melancong sana. Kena ada sebab konkrit nak masuk sana. It was not easy.

Oklah itu sahaja. Jumpa lagi.
 

Monday, November 25, 2013

Saya Dan Terengganu



 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...
Alhamdulillah selamat pergi dan selamat pulang. Pemergian ke Terengganu memang menyeronokkan walaupun penat. Kadang-kadang mood tu macam ke longkang. Tapi selalu ingatkan diri supaya bersabar dan ingat nikmat macam-macam saya dapat. Haha macam-macam saya dapat dari Terengganu ni.

Saya rasa saya sekarang ni lebih gembira dan terbuka nak borak-borak, lebih banyak tersenyum sorang-sorang. Haha tapi tak seronok saya tersenyum pada yang bukan mahram. Adeh nanti ingat ada urusan mengurat pula. Padahal saya tersenyum sebab saya elak becak masa nak pergi rumah pengantin. Saya melompat dan terpandang orang memandu yang senyum kat saya di tepi. Agaknya dia kelakar tengok cara saya elak becak.

Sempatlah pergi Desa Murni dan Pasar Payang. Oklah tu saya ikut orang nak beli-belah kan. Adik saya sempat jumpa kawan dia di Pasar Payang. Kawan dia siap beli keropok lekor untuk kami.

Syukur pada nikmat Allah dan pemberian orang-orang. Moga Allah murahkan rezeki kalian.

Jumpa lagi. 

 I got a little time
 A little time to think over
 

Wednesday, October 23, 2013

Telinga Kanan


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...
Alhamdulillah tak sedar bila telinga kanan ni dah boleh dengar dengan normal.

Maka dapatlah dengar lagu dengan 'volume' yang normal. Haha punya kuat sebelum ni. 

Syukur nikmat ini tidak hilang. Moga saya lebih menghargai nikmat pendengaran ini.

P.S: Hilang sekejap lepas beberapa hari pulang dari NZ. 

Saturday, October 19, 2013

Kuasa Doa


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Alhamdulillah tadi baca suratkhabar, seorang penerbit Belanda yang buat filem menghina Nabi Muhammad S.A.W. telah memeluk Islam dan mengerjakan haji. Wah daripada pembenci kepada pencinta Islam! Itulah hidayah. Beliau berjanji akan menerbitkan filem tentang kehebatan Nabi Muhammad S.A.W. dan Islam selepas selesai mengerjakan haji. Subhanallah. 

Kita pun kalau dapati ada orang menghina ajaran Islam atau Nabi Muhammad S.A.W. janganlah kita caci-maki dorang balik. Sila terangkan dengan berhikmah tentang keindahan Islam di samping jangan lupa berdoa moga orang yang menghina Islam mendapat hidayah atau dilembutkan hati untuk tidak memburuk-burukkan Islam.

Kita sebagai Muslim pun menunjuk keindahan Islam dengan menunjuk akhlak Islam. Saya selalu juga ditanya secara tak langsung. Kadang-kadang macam terkelu (sebab terima soalan cepumas tiba-tiba) atau lupa nak promosikan ini cara Muslim. Kena perbaiki diri supaya petah menerangkan. Ada satu cerita yang pernah saya alami. Nanti saya ceritakan.

Apapun gembira juga ramai yang bukan Islam menghormati orang Muslim. Malah ramai yang tahu ajaran Islam. Saya ingat di kapal terbang, saya duduk sebelah seorang perempuan orang putih. Dia tahu apa yang bersarang di fikiran sebab saya teragak-agak nak makan. Dia cakap jangan risau awak boleh makan (cakap dalam Bahasa Inggeris). Dia tahu saya boleh makan apa. Tanya pramugari memang betul boleh makan.

Kepada yang bukan Islam yang sibuk nak gunakan kalimah "Allah", moga kamu diberi pencerahan dan dilembutkan hati untuk tidak menggunakan kalimah tersebut.

Ok jumpa lagi.

P.S: Bagi saya dorang ni berani. Korang layan jerla beri jawapan walaupun rasa soalan dorang tu soalan remeh/bodoh. Mana tahu dengan penerangan korang membukakan hati dorang :)

***************************************************







P.S: Selalu doakan dia menerima hidayah jika dia jodoh diri ini. Jika dia bukan jodoh diri ini pun tetap berdoa semoga dia terima hidayah.
  

Tuesday, October 15, 2013

Tentang Sambutan Raya Aidil Adha


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Alhamdulillah, saya dan emak selamat pulang ke rumah. Beraya. Buat lontong dan soto di samping rendang dan lemang. Semalam berbuka dengan barbeku kambing. Rasa diri sangat dilimpahi dengan makanan sedap. Syukur dapat saudara-mara yang pandai masak. Tu rasa lagi suka makan makanan yang dimasak daripada makanan luar. Hehe kalau tak sedap mesti diri ini akan rasa menyesal beli.

Menguji kesabaran juga semalam. Mungkin penat lepas tu kena cari barang-barang masak di TESCO dan Cowboys.
Gambar Lama


Perasaan rasa tak seronok sangat raya. Takpelah salahkan diri sendiri yang tak sempurna, kurang sabar. Oklah jumpa lagi. Gambar juadah raya haji boleh tengok pos ini.
 

Monday, October 14, 2013

Selamat Berpuasa Hari Arafah


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...
Bersiaran dari SMK Bukit Rambai. Temankan mak(sebenarnya menyibuk di pejabat emak). Sempatlah tidur sekejap di surau sebelum tu. Ngantuk katakan. Ni segar sedikit jadi ambil kesempatan kemaskini blog. Kebetulan internet sini laju sebab tak ramai kakitangan yang guna.


Alhamdulillah tercapai hasrat untuk puasa walaupun tak bangun sahur. Tulisan hari sama tahun lepas boleh baca di sini.

Saya nak kongsi gambar-gambar ketika di Christchurch dan gambar budak yang semakin gebu, si Aidan berumur 4 minggu. Waktu gambar Aidan diambil, kitaorang dah kat Malaysia. Gambar-gambar ihsan dari kamera adik dan abah. 

Takde aral nanti buka puasa dengan kambing bakar dengan segala hidangan Barat sampingan di kampung. Insya Allah :)

Aidan Ketika Pemeriksaan Doktor

Sebelum Masuk Haruslah Bergambar Di Hadapan Papan Tanda
 
Pengembara Antartika Dan Abah


Churros Ditaburi Serbuk Kayu Manis Dan Pencecah Coklat


Thursday, October 3, 2013

Makanan Untuk Fikiran


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Hari ni rasa ceria sahaja, gembira menonton tv dan sambil-sambil merenung nikmat Allah yang dirasai.

Jetlag dah hilang. Hampir seminggu dalam dunia sendiri. Tidur awal bangun awal terpisat-pisat fikir eh aku kat mana? Kadang-kadang rindu dengan rumah adik sampai termimpi-mimpi aku terbang semula ke Christchurch dan adik terkejut melihat diri ini di depan pintu rumah. Macam antara realiti dan fantasi bercampur-baur. Kadang-kadang rasa macam diri masih di sana.

Kuat penangan melancong ni. Make you wonder and ponder. Make you think broader than usual. Make you feel that you are blessed WITH everything. Finally make you fresh and alive.

Welcome back to reality and home dear ME! Subhanallah
 

Thursday, April 4, 2013

Kata Hati


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Entah emosi kecamuk sahaja minggu ini. Orang kata pergelutan antara jahat dan baik dalam diri. Kuat betul pertarungannya sehingga macam tak bertenaga. 

Apa yang terdetik dalam hati, komen  pada orang akan terkena balik pada diri sendiri balik. Padahal kelaziman, saya tak pernah buat perkara tu tapi kerana saya komen orang buat perkara tersebut tengok-tengok saya pula buat perkara yang sama. Buat saya sedar, saya tak boleh komen walaupun dalam hati dan orang tu tak dengar apa saya komen pada dia. 

Ya balasan Allah. Allah dengar apa dalam bisikan jiwa raga. Walaupun takde niat nak kutuk, secara spontan ia terkeluar dalam diri. Oh! Macam manalah nak jaga hati ini supaya tak beri komen yang mengarut-ngarut. Betul. Apa saya monologkan tak bermakna saya berhak menghakiminya.

Rasa macam nak pulaukan diri. Tapi tak boleh pula. Saya hidup dengan keluarga dan masyarakat. Apa saya perlu tutup mata supaya tiada komen yang keluar daripada diri? 

Apapun ini adalah teguran untuk saya. Memang kena berhati-hati. Kalau terlepas kata hati yang tak sepatutnya, saya patut cepat sedar itu adalah kesilapan. Oh! Susahnya tak beri komen secara spontan ni. Kena berhati-hati selalu.

P.S: Saya baru dapat anak buah perempuan Selasa lepas. Nur Ayaana :)

Saturday, March 23, 2013

Keseorangan Dan Doa Yang Tidak DiTolak


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Bersiaran lagi. Alhamdulillah tengah hujan lebat di sini. Hampir seminggu cuaca panas. Kali ni saya berseorangan di rumah. Mak, abah, Y dan anak sedara, Iva balik kampung. Minggu ni rasa macam malas nak balik kampung. Hoho dapatlah 'kuasai' rumah ni sorang-sorang. Tengok tv pun takde halangan boleh tengok cerita kegemaran. Lepas tu alirkan episod 3 Masterchef The Profesionals(Australia) pun takde putus. Cepat daripada kebiasaan dan dapat habiskan tengok.

Oh! Ya, saya nak kongsi satu pengetahuan doa banyak-banyak waktu hujan. Rasulullah bersabda: "Dua doa yang tidak pernah ditolak iaitu DOA KETIKA AZAN dan DOA KETIKA WAKTU HUJAN."

Selamat beramal. Perkara mudah ni :)


Friday, March 15, 2013

Malam Jumaat Hening Dan Saf


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Sangat gembira line internet ok. Jadi rasa nak menulis malam Jumaat ni.  Haha orang malam Jumaat buat amal ibadah banyak-banyak, saya pergi tengok cerita-cerita hantu di tv. Entah kadang macam terlampau banyak fikir, sakit kepala nak tenangkan diri dengan tengok cerita begini. Adik saya pernah tegur sebab dia pernah terserempak turun bawah nak minum air nampak saya tengok cerita hantu. Saya cuma tersenyum jerla. 

Dengan cara saya ini, saya tahu surau saya terbakar. Bulan lepas surau saya terbakar ketika saya menonton tv. Mula-mula khusyuk tengok cerita. Lepas tu saya perasan macam ada cahaya api warna merah di tingkap. Saya ingat perasaan saya sahaja (maklum tengok cerita kut terbayang). Lagipun pandangan sisi. Tapi kali ke-2 pun macam tu, saya jeling dan saya pergi ke tingkap. Tak nampak apa-apa yang mencurigakan. Jadi biar jerla. Lepas tu saya dengar suara orang kecoh. Bunyi siren ambulans. Saya macam terpinga-pinga. Tertanya-tanya rumah siapa yang terbakar. Tengok kiri, tengok kanan dari tingkap dan dari pintu. Tak nampak. Masa ni saya belum tahu surau saya terbakar.

Tak lama lepas tu abah saya turun dan meluru keluar. Saya tanya kenapa. Abah cakap surau terbakar. Saya rasa pelik sebab serius saya tak nampak api kat surau. Surau depan rumah saya. Saya buat kesimpulan mungkin kebakaran kecil tu yang buat saya tak nampak.

Kesannya memang takde azan untuk Subuh hinggalah minggu 2 minggu lepas baru ada azan. Nasib baik sini banyak surau dan masjid memang boleh dengar azan dari tempat lain. Rabu kelmarin barulah pertama kali saya masuk surau yang dah diperbaiki sempena sambutan Maulidur Rasul (baru nak buat walaupun dah lama berlalu). Lain gila dah. Bahagian solat perempuan macam dah dikecilkan. Mula-mula rasa tak selesa, nak cabut lari je sebab dapat saf terakhir. Tapi lepas tu ok duduk saf tu. Takdelah panas sebab pasang penyaman udara. Rasanya seronok solat dengan budak-budak sebab dorang tak menjarakkan diri. Memang rapat sehingga berlaga bahu. Korang tahu kadang-kadang ada orang jarak tak rapat betul-betul. Tulah nak tegur tapi tahap makcik-makcik, nenek-nenek dan mak-mak. Perasaan tak seronok tulah menyebabkan saya tak berapa suka sangat solat berjemaah di masjid dan surau. Ada satu peristiwa yang lebih kurang begini, tak rapat tu sampai boleh satu orang lagi masuk tapi taknak rapatkan. Entahlah kecil hati saya dengan orang begini. Kadang sebab sejadah besar dabak yang sebabkan jarak begini, orang lain tak masuk atau dia tak nak masuk sebab nak dalam sejadah dia bawa. Kalau begitu baiklah awak solat sorang-sorang. Itulah dilema saya. Sungguh tak seronok. 

Saya rasa mungkin ada yang tak sedar atau terlepas pandang. Kalau ada yang membaca yang buat saya cakap tu harap-harap bolehlah muhasabah. Oklah ini ingatan untuk saya juga. Mungkin saya patut tegur terang-terang. Hehe.

Oklah jumpa lagi.

Friday, January 25, 2013

Jangan Berharap Untuk Mendapat Apa Yang Orang Lain Ada


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Pernah dahulu apa terdetik di hati apa yang saya inginkan. Saya dapat dengan segera. Ketika itu saya rasakan apa saya minta Allah beri tanpa menunggu lama. Alhamdulillah. 

Hinggalah saya meminta sesuatu yang saya rasa ia memberi kegembiraan kepada saya, benda yang saya suka. Apabila dapat, saya tidak gembira dan dapat masalah. Ketika itu baru saya tahu tidak semua kita hendak memberi kebaikan atau kesukaan.

Saya menangis dan mengadu kepada Allah yang saya tidak suka apa yang saya minta. Saya ingat saya gembira dengan apa yang saya pinta. Rupa-rupanya tidak. Saya pinta diambil semula apa yang diberiNya. Saya baru sedar jikalah kita minta, kita tidak tahu mungkin apa yang kita minta (apa yang kita minta berdasarkan pada orang lain dapat) tapi tidak sesuai untuk kita. Saya berdoa jika saya minta itu kurang sesuai untuk saya tidak dimakbulkan atau dimakbulkan ketika saya bersedia menerima apa yang diminta.

Sekarang ini kalau saya tengok orang lain dapat/ada sesuatu yang saya rasakan saya ingin juga, saya akan minta pada Allah. Kalau tak dimakbulkan, saya tahu saya belum dapat memikul tanggungjawab terhadap saya hendak itu atau belum masanya. Bukan sekarang. Ia memberi kelegaan supaya tidak bersedih jika tidak mendapat apa yang saya hendak. Setiap perkara berlaku bersebab dan mengikut masa yang telah ditentukanNya.

Sekadar ingatan untuk saya dan renungan untuk semua. Jangan berharap untuk mendapat apa yang oran lain ada. Kalau dapat, kita bersyukur. Kalau tak dapat, kita bersyukur juga.

Jumpa lagi.

Tuesday, January 22, 2013

Tak Kenal Tak Cinta


 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Tengok akaun Nuffnang tadi, ada pula saya dapat iklan promosi Australia. Agaknya saya dengan OZ tak dapat dipisahkan. Eheh. Dulu pun saya dalam program ACHEM untuk sambung pengajian di sana. Mula-mula macam tak berapa 'cinta' sangat dengan Australia ni. Emak macam suka dulu saya dapat program ni. Dia kata dekat kalau nak pergi melawat saya. Padahal hati pada USA. Macam kecewa juga.

Lepas itu, belajar Australian Studies barulah kenal sikit-sikit pasal Australia. Pasal binatang paling saya ingat sebab unik ada wombat, wallaby, platypus, emu dan lain-lain. Saya pula dalam kumpulan wombat. Huhu memula tak tahu apalah menatang ni. Lepas cari maklumat baru tahu camne. Si Sha pula kata rupa wombat macam rupa saya. Terus cop saya panggil wombat. Pasrah jerla.

Tapi saya tak dapat belajar di Australia tu. Kegawatan ekonomi. Kami dihantar ke universiti biasa. Kecewa juga. Macam kempunan nak belajar sana.

Apapun saya tak pernah lupa pensyarah-pensyarah saya dan penting saya tak lupa wombie saya :) Jadi ingatan tetap ada.

Allah lebih tahu apa yang baik untuk saya. Moga saya redha dan tidak timbul kekecewaan. Mungkin satu hari saya dapat sambung ke sana. Jika tidak semoga perasaan itu tak hilang.
 

Saturday, January 19, 2013

Rumah Diserang


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Baru sahaja tetamu pulang. Macam diserang. Begitulah keluarga abah saya. Datang secara beramai-ramai. Saya teringat dulu-dulu kami 'menyerang' rumah saudara-mara ketika raya. Seronok sebab masa itu arwah datuk yang merancang untuk menyerang rumah-rumah sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Jadi arwah datuk adalah mastermind kami. Masa itu arwah datuk tinggal di Jalan Enggang, Keramat. Masa tupun takdelah sangat lebuh raya jadi macam jimat masa sebab warga kota balik kampung. Hehe. Kesian orang yang kena serang apabila kitaorang datang beramai-ramai. Memang tak cukup tangan nak layan. Macam manalah arwah nenek saya sanggup tinggal rumah sorang-sorang layan tetamu kalau ada tetamu amalkan macam kitaorang buat.

Apapun memang seronok, saya ketika itu budak-budak lebih pada main dengan sepupu dan makan biskut dan makanan ringan.

Sekarang ini dah tak berapa seronok nak raya di KL dan tak berapa amalkan konvoi beramai-ramai sangat. Rindu jugalah nak beraya sekitar KL dan Selangor.
Ok kembali kepada peristiwa tadi. Memang tak cukup air kena buat lagi dan air biasapun dah habis. Juadah makanan petang yang ada pengat durian dan roti, epok-epok, keria gula Melaka (warna coklat). Air pula air biasa, sarsi dan air teh.

Saya banyak duduk di dapur sajalah. Lebih pada buat air, sediakan piring, pinggan dan basuh pinggan. Emak pula melayan dan jadi orang tengah antara ruang tamu dan dapur (bawa pinggan kotor dan isi semula pinggan kosong). Abah memang melayan tetamu sahajalah. Si Y tidur! Hehe. Dia kena layan si Adiva nak tidur jadi di bilik tidur sahajalah.
Apapun syukur apabila terima tetamu. Ia bermakna rahmat Allah untuk rumah tersebut. Lagi ramai lagi banyak rahmat. Jadi janganlah merungut atau rasa terbeban dengan tetamu.

Ok itu sahaja. Jumpa lagi.

P.S: Eh ada tetamu baru datang ketika menaip ini.