Nuffnang

Showing posts with label Luahan. Show all posts
Showing posts with label Luahan. Show all posts

Saturday, August 29, 2026

Coretan Minggu Maulidur Rasul

 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Hari ini seorang di rumah. Tidak rancangpun ingat hendak ikut balik kampung tapi Abah kata minggu tidak balik kampung. Kemudian malam tadi kata balik pula. Hmm...tidak ikut jawabnya sebab tidak suka buat keputusan saat akhir lagipun saya sudah pesan barang.

Minggu ini tidak masak. Emak pula yang hendak masak. Hehe agaknya masakan saya kurang memuaskan hati. Saya cuma masak nasi dan kemas dapur itu memang kerja saya. Rabu malam ada sambutan Maulidur Rasul. Ada bacaan selawat dan ceramah. Terima bekal nasi putih, sambal belacan, sayur campur dan kari ayam. Makan nasi pukul 9 malam lebih di rumah. Kira buka puasa berat sebab di surau cuma makan kurma dan air putih.

Makan Selepas Solat Isyak. Saya Yang Berdiri Baju Kurung Warna Biru Seluar Merah Jambu😅



Hari Khamis malam Jumaat bacaan Yasin sendiri dan dapat 2 bungkus nasi lemak. Alhamdulillah buka dengan nasi lemak dengan telur mata kerbau.

Lusa ada kenduri aqiqah dan doa selamat. Tidak pasti akan ikut. Kalau Abah dan Emak balik Melaka dari kampung hari Ahad maka saya ikut pergi kenduri. Insya Allah.

Itulah luahan minggu ini. Jumpa lagi.

 

Wednesday, August 26, 2026

BOSSBROTHERS Halal Sos Peri-Peri Pedas Gilar 270g

 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Pembelian ke-2 dapat hari Sabtu 22 Ogos 2026. Rasmikan ketika berbuka puasa hari Isnin ketika makan cekodok putih. Pesan hari Khamis pukul 10:13 malam.

Pembelian Saya



Parcel BOSSBROTHERS Halal Sos Peri-Peri Pedas Gilar 270g

 

Pertama kali mencuba tahun lepas ketika beli di Chong Hoe. Asal hendak cari sos peri-peri Nando's itu tapi tidak jumpa. Maka jumpa yang seakan-akannya. Harga di kedai runcit RM14.90 murah lagi daripada sos Nando's. Ia memenuhi citarasa saya dan memang pedas betul. Dua kali beli di kedai. Hehe selalu rasa kena minum air kopi susu atau coklat atau teh susu lepas makan. Atau kalau malas sulam minum air, kena campur sedikit mayonis atau sos bijan kewpie itu. Haha guna banyak sos.

Memandangkan jarang ke Chong Hoe. Cari di Mydinpun tiada maka marilah guna Shopee.

BOSSBROTHERS Halal Sos Peri-Peri Pedas Gilar 270g




Alhamdulillah barang sampai dalam kotak kecil dengan pembungkus gelembung.
Insya Allah kalau susah lagi hendak beli di kedai, boleh beli lagi secara dalam talian. Ada niat untuk beli cheese bomb jenama Mama Food sebab sudah susah jumpa di kedai.

Ok jumpa lagi.



Wednesday, August 19, 2026

Terjebak Juga

 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Akhirnya saya terjebak dengan Shopee! Tergoda juga akhirnya untuk buat pembelian dengan pelantar ini.

Alkisahnya digoda perlahan-lahan. Tanggal 17 Ogos 2026 pukul 9:27 malam saya telah daftar keluar pembelian pertama iaitu tudung bawal kapas bercorak bidang 45' warna hijau lembut. Buat bayaran secara COD. 

Tangkap Layar Butiran Pesanan Di Laman Shopee




Saya guna laman sesawang Shopee. Jadi apabila buka balik saya tidak dapat tengok status barang. Bagi saya kelemahan sebab kena muat turun aplikasi Shopee untuk tengok status. Patut untuk galak orang beli macam saya kena mudah akses melalui mana-mana sama ada laman sawang atau aplikasi. Saya tunggulah sama ada dapat barang atau tidak. Tidak merugikan saya. Saya menunggu dalam teka-teki.

Akhirnya hari ini pukul 1 lebih saya dapat whatsapps daripada van Shopee. Huhu saya bayar RM11. Tidak kisahlah pembelian pertama yang berjaya. Jakun sekejap.

Parcel Comel Yang Ditunjuk Dalam Whatsapps



Alhamdulillah barang diterima dengan selamat dalam beg zip tertutup. Hehe saya beli sehelaipun diberi layanan yang bagus. Tahniah kedai Miss Blue. Harga murah, banyak potongan dan cepat. Insya Allah mungkin saya beli lagi di kedai ini.

Tudung Bawal Kapas Saiz 45' Bercorak Warna Hijau Lembut




Kalau saya disuruh beri kadar pengalaman guna Shopee, saya beri 4 daripada 5 bintang. Shopee sila ambil komen saya.

Ok jumpa lagi.

P.S: Hari ini sinki tersumbat.

Monday, August 17, 2026

Pertama Kali Buat Kari Ikan Bawal

 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Semuanya ada pertama kali. Saya buat kari ikan bawal hitam untuk ibubapa saya. Sebenarnya saya pernah guna resipi Nabil Saleh untuk sardin dan tidak guna santan sebaliknya boleh guna yogurt atau susu sejat. Kari ikan bawal ini saya guna 2 sudu besar santan.

Selesai masak itu, saya rasa kuahnya. Kurang sesuatu. Saya fikir saya akan tambah sesuatu.

Kari Ikan Bawal Hitam Dengan Brndi



Lepas itu Emak dan Abah balik tengok saya sudah masak kari ikan. Saya suruh Emak rasa untuk tanya apa yang kurang. Emak saya rasa ok sahaja. Haha lepas itu Emak saya hendak makan. Padahal saya buat untuk makan tengahari esok. Emak kata dia terliur hendak makan. Jadi saya masak nasi. Kelakarnya Abahpun hendak makan selepas balik solat Maghrib.

Regu dengan sambal kerang Abah bawa dari Tampin.

Esoknya saya ubah sebab sudah tahu apa yang kurang. Alhamdulillah sedap balik. Tapi cakap terus-terang lagi sedap masa buat kari sardin. Mungkin saya guna santan jadi kurang sedap. Takpelah, nanti kena ikut betul-betul resipi.
 

Wednesday, August 5, 2026

Terima Hadiah Daripada Blogger Roziah Muhammad Nor

 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Alhamdulillah saya jadi tukang komen utama blog Cie pada Julai lepas. Cie umum pada 1 Ogos, parcel sampai 2 Ogos hari Ahad. Cepat betul.

Parcel Shopee

 

Apabila pegang parcel itu, ada rasa kotak. Dapat itu sudah pukul 6 petang lebih lepas Abah sampai dari kampung. Dia yang nampak. Maka buka lepas Isyak.

Cawan Pengacau Magnet Automatik



Ada pengisar dalam cawan. Boleh kacau air bagi sebati.

Cawan ini boleh dicas guna pengecas. Saya uji, alhamdulillah berfungsi. 28 yang tertera pada butang itu ialah jumlah pusingan untuk mengacau air.


Bahagian Dalam Cawan



Tq Cie kerana beri hadiah ini. Ala sedih blog Cie sekarang tidak boleh buka sekarang. Harap sebab masalah Blogger dan dapat diakses semula. Amin.

P.S: Yeay blog Cie dah boleh buka pukul 9:50 malam. Tengok blog Cikgu Etuzapun dah boleh. Alhamdulillah.

Tuesday, July 28, 2026

25 Julai 2026: Walimatulurus Izzati Dan Hazrin

 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Hari yang mendung ketika itu. Hujan dari pukul 11 malam tadi sampailah ke pagi hari kami hendak pergi. Hujan tidak berhenti. Sekejap lebat sekejap renyai. Siap pakej guruh dan petir.

Nama Pasangan Pengantin Yang Diraikan Di Hadapan Tepi Kiri Pintu Masuk



Jemputan daripada pengantin perempuan kepada Abah. Pekerja di pusat dialisis. Majlis diadakan di Balairong MITC Melaka berdepan dengan Restoran Al-Marjan yang malangnya telah berhenti operasi.

Masih Hujan Dan Hadapannya Ialah Restoran Al-Marjan Yang Terbiar



Kami (saya,Emak,Abah dan anak saudara Azim) sampai depan dewan pukul 11 pagi. Kami orang ke-2 sampai. Hehe bagusnya sampai awal boleh ambil gambar dengan tenang tanpa orang. Saya suka pelaminnya kombinasi hijau dan putih. 

Pelamin Serba Hijau Putih

Bufet Makanan Utama Dan Air

Antara Menu: MLCA Nangka Muda

Tempat Basuh Tangan Ada Disediakan Cecair Pencuci Tangan Dan Tisu



Suasana dalam dewan ini sejuk sangat. Mungkin dengan penyaman udara dan cuaca hujan di luar. Ada aiskrim kon itu tapi saya tidak ambil. Saya cuma ambil nasi dan kuih. Semestinya teh tarik atau apa-apa air panas. Nasi yang saya ambil, nasi putih dan nasi hujan panas. Lauk ayam masak kerutuk, daging masak hitam, salad, timun, sambal belacan dan MLCA nangka muda. Kuah masak lemak itu memang pedas sesuai dengan selera saya. Kuih pula saya ambil kuih ketayap.

Makanan Dan Minuman Yang Diambil



Masa hendak balik, orang masih tidak ramai dan hujan masih turun. Kitorang sekejap sahaja di sini. Pukul 11:30 pagi kami sudah bersalam dengan tuan rumah. Saya dapat beg cenderamata begini.

Beg Cenderamata


Tisu, Sudu Dan Garfu, Air Mineral



Balik rumah petir kuat macam kena bom. Memang hari itu cuaca mendung sampai ke malam. Rasa macam bulan 12, musim hujan. Cuaca sejuk. Saya seorang di rumah. Emak dan Abah balik kampung lepas hantar saya balik ke rumah.


Hadiah Ke-10 Daripada Shikin Razali

 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Masya Allah sedar tidak sedar saya terima hadiah ke-10 daripada Shikin Razali. Pemurah sungguh rajin bagi hadiah. Saya antara tukang komen bertuah bulan April. Tengok gambar bawah, ramai pemenang daripada bulan Februari hingga bulan Julai 2026

Pemenang Tukang Komen Daripada Bulan Februari Hingga Bulan Julai 2026 



Hadiah yang saya terima lewat petang Isnin. Ada drama sedikit, ada terima emel daripada Shikin parcel dihantar pukul 12 tengahari lebih. Saya tenang sahaja sebab mungkin van Shopee datang petang dalam pukul 3 petang lebih. Sekali saya jenguk luar tengok lantai serambi letak kereta tiada parcel terdampar. Kemudian tidak puas hati saya tengok di peti surat. Tiada juga.

Sampai pukul 6 petang, saya jenguk balik tiada juga. Saya buat kesimpulan van itu tidak sempat hantar. Dalam saya berjalan ke tv dapur, saya ternampak parcel comel warna kelabu atas sejadah Abah. Sah parcel saya. Haha rupanya Abah sudah ambil awal pukul 11 pagi lebih waktu balik daripada dialisis tidak bagitahu sayapun yang ketika itu menonton tengok #Qurantime.

Saya biarkan parcel itu belum buka. Sibuk sedikit lepas itu. Alhamdulillah lega hadiah selamat sampai.

Buka kemudian. Tq Shikin semoga murah rezeki dan Allah sentiasa beri kegembiraan pada dirimu.

Jumpa lagi. Nanti saya kemaskini hadiah saya dapat di pos ini juga.

Kemaskini 8:34 pagi.

Parcel Kelabu



Rempah Gulai Cap Bunga Rose Dan Rempah Masak Cap Bunga Rose




Saya dapat 2 paket Rempah Gulai Cap Bunga Rose 35 gram dan 2 paket Rempah Masak Cap Bunga Rose 25 gram. Produk dari Terengganu. Cakap terus-terang saya tidak pernah masak gulai. Nanti boleh cuba sebab ada resipi di belakang. Mungkin olah sedikit bahan.



Tuesday, July 21, 2026

Berjaya Tukar

 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Hari ini dapat juga tunai zakat secara khultah untuk ASB. Punyalah hari itu cuba buat di pejabat pos Tampin tidak berjaya. Alhamdulillah tanpa dirancang sebab ikut Emak dan Abah pergi Hospital Melaka. Alang-alang Emak tunggu Maybank Bukit Baru buka dan saya pergi tandas di Masjid Al-Azim lalu cawangan ASNB yang sudah buka pukul 8 pagi lebih.

Singgah masuk pejabat selepas singgah tandas Masjid Al-Azim, minta nombor giliran untuk tukar ke Kelas B (pihak ASNB buat potongan untuk kita) Kiranya saya dapat pelaburan bersih selepas zakat. Saya ada 2 akaun dan dua-dua saya buat zakat khultah.


Emel Mengenai Zakat Secara Khultah



Oklah untuk makluman korang, korang boleh buat zakat khultah melalui 2 cara iaitu:
  1. Melalui aplikasi myASNB atau
  2. Kaunter atau kiosk cawangan ASNB atau ejen (pejabat pos,bank-bank)


Kalau korang sudah tukar ke Kelas B maknanya korang TIDAK boleh tukar ke Kelas A. Lepas itu orang kaunter bagi borang untuk tandatangan persetujuan.

Alhamdulillah satu beban hilang. Malas hendak kira dan keluarkan duit untuk zakat. Tq untuk MR asyik ingatkan suruh bayar zakat, solat malam jangan culas, banyakkan puasa sunat. Hehe mentang-mentang baru setahun lebih masuk Islam semangat betul untuk amalkan semua rukun Islam dengan segera. Apapun moga Allah beri kekuatan untuk tegakkan walaupun susah.

Nasihat produktiviti. Klik sini

Saturday, July 18, 2026

11 Julai 2026: Sambutan Harijadi Uwan

 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Pagi Sabtu seawal pagi, hujan turun dengan lebat. Saya sarap pulut d3ngan sambal ikan bilis, kuih kaswi dan puteri ayu.

Pukul 10 pagi lebih acara bermula dengan doa selamat diketuai Achik di sebelah kiri Uwan. Kumpulan wanita kali ini.

Uwan Potong Kek Lobak Merah




Achik ini pernah tegur saya masa hujung Ramadhan tahun lepas sebab selalu nampak saya di masjid siang dan malam. Saya cakaplah saya cucu Uwan Timah. Saya cuma ada sampai raya ke-5. Eh tapi dia tidak kenal siapa Uwan Timah. Hehe, saya hendak sahaja bagitahu inilah Uwan Timah yang sambut harijadi. Kebanyakan jemaah wanita kenal saya asbab Uwan Timah.

Lepas doa dan potong kek, bermula makan tengahari. Macam-macam kuih muih. Koci, kaswi, puteri ayu, tat keju, seri muka durian, brownies, kek pisang, kek sarang semut, kek coklat dan lain lain.

Kuih-Muih


Lauk Pauk


Sup Tulang




Lauk paukpun pelbagai seperti daging salai masak lemak cili api, pucuk ubi dan biji nangka masak lemak cili api, udang buttermilk, sambal udang, daun kayu masak tempoyak, segala macam sambal: sambal belacan, sambal gila, sambal tempoyak, sambal daun kantan, pucuk ubi celur. Ada sup tulang, sup tendon. Spageti bolognese. Pilihan sangat luas. Mampu makan semua jenis atau tidak persoalannya.

Air panas: teh o dan teh 

Air sejuk: laicikang

Suasana sejuk dan nyaman kerana masih hujan renyai.

Lauk Yang Diambil



Saya cuma ambil nasi, daun kayu masak tempoyak, pucuk ubi celur, sambal bunga kantan, sambal tempoyak dan udang buttermilk. Air semestinya teh.

Kenyang tidak dapat semua. Saya cuma amvil spageti bolognese dan kek coklat, kuih puteri ayu, kaswi dan kek sarang semut untuk simpan untuk makan petang.

Lebihan makanan ada yang sudah tapau bawa balik rumah masing-masing.

Majlis tamat sebelum Asar sebab ada yang datang kemudian secara beransur-ansur.

Corat-coret hari tersebut

  • CikYa sekejap sahaja di majlis ini (pukul 12 tengahari bertolak) sebab hendak balik mengundi di Jementah. Cerita politik, Pak Tam kata lepas PRN N9 nanti dun Melaka bubar pula. Adik perempuan saya dah 'bising' dia belum tukar tempat mengundi. Saya tidak kisah mengundi tempat lama. Bolehlah melawat tempat lama mengenang kenangan.
  • Cuaca mendung dan kadang-kadang hujan rintik.
  • Teh tarik cepat habis. Dapat minum 2 kali.
  • Kek lobak kena sorok sebab takut cepat habis. Haha😆 Ya saya tidak dapat makan sebab sudah habis.

Friday, July 10, 2026

Durian Melimpah

 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Tahun ini sakan makan buah durian. Durian melimpah-ruah. Tidak habis-habis gugur. Minggu lepas selang sehari Abah balik Tampin untuk ke kebun dan jemput adik-adik Abah datang makan durian. Adik perempuan pula ajak bapa dan emak mertua datang. Itupun masih banyak lagi durian.

Durian Yang Dikutip Pada Hari Tersebut


Minggu lepas ceramah fardu ain lepas Maghrib, Emak sediakan bubur kacang hijau durian. Tinggal sedikit untuk rumah. Saya sekarang sudah suka makan bubur manis terutama ketika berbuka puasa. Saya perlukan lebih gula waktu berbuka walaupun bubur Emak kurang manis tapi saya suka!

Bubur Kacang Hijau Durian Untuk Surau



Minggu ini bacaan Yasin. Ramai hadir. Alhamdulillah. Jiran satu jalan dari Sarawakpun ada. Bawah ialah whatsapps untuk taman. 



 *💓PROGRAM BACAAN YASSIN SURAU AL FALAH 💓*

*" ‏اَلسَلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اَللهِ وَبَرَكاتُهُ*‎ 

*📋Tarikh*: Khamis 9 July 2026
*🕓Masa*: Lepas Maghrib 
*🕌Tempat* : Surau Al Falah
👳‍♂️Imam: Hj Sharif
😋 Jamuan Disediakan 

Muslimin & Muslimah dijemput hadir

*🤲جَزَاكُمُ اللهُ خَيْرًا🤲* 

Sekian Terima Kasih



Rezeki nasi putih, ikan sambal dan sayur kobis masak lemak makan di rumah lepas solat Isyak. Kenyang. Alhamdulillah.

P.S: Lambat kemaskini blog sebab wayar pengecas untuk telefon yang ada gambar bubur kacang hijau durian tertinggal di kampung. Pengecas jenis Micro USB untuk telefon lama. Telefon sekarang banyak guna wayar jenis C. Sekarang saya di kampung.


Wednesday, July 1, 2026

Hadiah World Cup 2026 Tumbler

 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Alhamdulillah selamat sampai termos Piala Dunia FIFA 2026. Sebenarnya saya tidak ikuti sangat Piala Dunia ini sejak Miroslav Klose bersara. Kurang semangat hendak sokong Jerman. Pasukan Jermanpun macam tidak sekuat dahulu.

Apapun terima kasih Cik Notie sebab anjurkan pemberian termos percuma sempena Piala Dunia. 

Parcel yang diterima berwarna hitam.

Mari buka.

Parcel Keriangan



Tengok deskripsi parcel ada tulis  WC2026 Tumbler Florian Wirtz 30 Top Player. Hehe tidak kenal siapa. Terpaksalah google pemain no 17 ini. Takpelah tidak popular buat masa ini. Mana tahu akan datang awak akan popular dan sehebat Klose. Umurpun baru 23 tahun. Klosepun masa mula main pada tahun 2002 (umur 24) saya tidak berapa kenal. Lepas itu popular banyak jaringkan gol tapi namanya masih tidak segah pemain lain. Pelik jugalah. Lantaklah asal banyak jaringkan gol.

17 Florian Wirtz



Lepas itu marilah kita cuba isi air panas dalam ini. Isi berhati-hati. Terfikir macam manalah hendak nampak suhu air terkini. Rupanya kena tekan bahagian tengah bulatan hitam lama-lama. Haha kasihannya baru tahu.



Suhu Air Panas 97°C



Tq Cik Notie. Semoga murah rezeki.


Friday, June 26, 2026

Aktiviti 20 Jun 2026 (Sabtu)

 بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamualaikum...

Selamat berpuasa Hari Asyura.

Cerita minggu lepas. Alkisahnya Emak sudah beritahu awal-awal iaitu Jumaat lepas kata hendak balik kampung esok  bermalam dan hendak sarapan di Laman Hijau. Mula-mula tidak berminat untuk ikut tapi ubah fikiran sebab hendak ke pekan Tampin untuk selesaikan satu urusan yang dikira penting.

Memang lepas Subuh bertolak dari rumah. Sampai sana 5 minit sebelum pukul 8 pagi. Syukur tidak ramai dan ada meja kosong.

Mercu Laman Hijau


Menu Laman Hijau



Menu pilihan saya kali ini. Mihun kari nyonya.

Watak Utama: Mihun Kari Nyonya


Mihun Kari Nyonya + Teh Tarik + Air Suam



Lepas makan pergi kebun di Keru. Ada durian jatuh. Pandang dalam kereta, Abah yang ambil yang ada jatuh tergolek ke bawah. Macam cari harta karun.

Misi Mencari Durian Jatuh Tergolek


Stor Baja



Selesai ambil durian, baru singgah rumah di kampung. Solat Dhuha dan bersedia ke tempat menunggu bas. 


Pakaian Hari Tersebut: T-Shirt Biru Nila Dan Jeans. Pakaian Kegemaran



Hari tersebut ada urusan tidak dapat buat. Maka pergi ke Dapur Lengkong untuk makan tengahari walaupun masih kenyang tapi sudah pukul 11 pagi lebih. Baik makan sebelum lapar sebab ada satu lagi urusan untuk dilaksanakan.

Jalan kaki ke Dapur Lengkong

Bangunan Dapur Lengkong


Dinding Untuk Bergambar

Pilihan makanan:

Nasi Penyet Sotong Dan Air Suam


Komen saya sotong goreng tidak banyak sangat. Tahu dan tempe seketul masing-masing. Harga RM16. Lepas ini boleh cuba menu lain pula.

Pergi pejabat pos tutup pula sebab minggu ke-3 (ke buka separuh hari?) Tidak peka pula saya dengan waktu operasi pejabat pos. Nampaknya kena datang lagi.

Jadi lepas itu beli barang di MR.DIY dan Mydin Pulau Sebang. Solat Zuhur dahulu sebelum naik bas untuk pulang.

Sampai pukul 3 petang. Panas dan haus sangat hari itu.

P.S: Hujung minggu ini bersendirian di rumah. Insya Allah. Alhamdulillah seronoknya.