Nuffnang

Showing posts with label Diri. Show all posts
Showing posts with label Diri. Show all posts

Tuesday, April 21, 2026

Terima Kotak Misteri

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Balik dari Tampin sudah ke hujung petang dalam pukul 6 lebih. Masuk dalam laman rumah, Abah kata ada kotak tepi dalam laman. Saya cakap siapa punyalah sebab saya tiada menunggu parcel. Abah cakap mungkin adik ke- 2. Saya pula kata adik no-3. Saya pergi ke kotak. Terkejut tengok nama saya. Abah tanya saya ada pesan apa-apa ke? Saya kata mana ada. Lepas itu teringat...

Kotak Shopee Yang Ditanda Mudah Pecah



Saya ada jawab soalan Sis Notie. Tertanya-tanya saya berjaya jawab betul ke?

Lepas Isyak baru buka. Dalam kotak ada kotak kecil. Apabila buka:

Mangkuk 3 Tingkat



Ada mangkuk tingkat yang berwarna-warni. Cantik warnanya. Warna pastel.

Tq Sis Notie, senyap-senyap hantar. 

P.S: Baru baca pos Sis Notie. Maaf hari ini hari yang sibuk.


Monday, April 20, 2026

29 Syawal 1447: Kenduri Doa Selamat & Sambutan Aidilfitri 18 April 2026

 بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamualaikum...


Dapat e-kad jemputan Abah kehadapankan di whatsapps keluarga.

Majlis bacaan doa pukul 11 pagi

E-Kad Jemputan


Jemputan daripada Arman Anuar dan Yusnita Yusri

Pukul 10:30 pagi saya sudah keluar rumah. Sebelum itu tegur orang buat pagar jiran sebelah lagi satu rumah setingkat untuk tidak buang bunga kantan yang dekat dengan pagar rumah kami. 

Kemudian jalan kaki lalu jalan belakang. Lalu rumah tuan rumah sebelum ke surau. Tegur dahulu puan rumah sebelum ke surau. Saya yang pertama sampai. Kosong lagi, tiada orang.

Dalam Surau 



Bagi membunuh masa ambil gambar baju dan karpet.

Tangkap Gambar Baju Sendiri



Kemudian orang semakin ramai menghampiri pukul 11. Doa selamat bermula. Doa selamat semoga berjaya mengerjakan haji. Sekejap sahaja bacaan doanya. Kemudian adik puan rumah yang perempuan ajak ke rumah. Kami keluar surau dan ke khemah yang berwarna merah jambu. 

Dalam Khemah



Orang tidak ramai lagi. Jadi boleh ulang-alik ambil makanan dahulu. Bawah ini makanan saya ambil untuk pusingan pertama. Laksa lemak Melaka, nasi beriani, kek coklat, seri muka dan teh tarik

Makanan Pusingan Pertama



Bagusnya pergi seorang saya boleh ambil masa untuk makan. Mak dan Abah pergi Gambang jadi kira saya wakil. Pusingan ke-2, saya makan nasi putih beserta lauk masak lemak udang bersama rebung. Penutup laksa lemak macam saya pernah bagitahu pada pos terdahulu.

Hampir pukul 1 tengahari barulah beransur pulang, salam puan rumah. Jalan balik rumah sama jalan datang sebab lagi dekat.

Kenyang betul sampai saya tidak makan petang dan malam. Minum air biasa sahaja.

Nota kaki: Sebenarnya mula-mula rasa tidak mahu pergi sebab seorang tapi itulah teringat Puan Yusnita ini peramah, ambil tahu nama dan tahu saya selalu jalan laju lalu tepi rumah takkan tidak datang pulakan?


Sunday, April 19, 2026

Majlis Penutup Tilawah Hafazan Quran Kebangsaan (MTHQK) 2026

 بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamualaikum...


Malam tadi pukul 9 lebih ingat hendak tutup tv tapi tengok di skrin ada majlis penutup MTHQK di Terengganu. Teruskan tengok hendak tengok keputusan.

Saya tengok sebelah pagi iaitu hafazan. Itupun bukan semua.

Teruja kumpulan Hijjaz buat persembahan. 2 lagu.

Munif Hijjaz


Arifin Hijjaz




Lepas persembahan barulah diumumkan pemenang. Alahai seorang sahaja wakil Melaka yang juara untuk hafizah 1-30 juzuk.

Kemudian penghafaz terbaik keseluruhan buat persembahan. Penghafaz terbaik keseluruhan iaitu juara 1-30 juzuk dan tafsir iaitu hafiz: Muhammad Izzul Afnan Bin Sazali dari WP Kuala Lumpur.

Muhammad Izzul Afnan Bin Sazali


Bacaan Hafazan

Tafsir surah Luqman ayat 16. Ayat yang saya selalu baca sejak setahun lepas.

Selepas persembahan hafiz, muncul pula juara keseluruhan tilawah al-Quran iaitu qariah: Nur Syakura Binti Mohamad Musa dari Sarawak.

Nur Syakura Binti Mohamad Musa



Selesai bacaan qariah, baru hadiah diberikan untuk setiap kategori.

Nota: Simpan sini sebagai kenangan. Tahun depan di mana ya? Ada sesiapa tahu?



  


Saturday, April 18, 2026

Syawal Terakhir Dapat Makan Laksa Lemak Melaka

 بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamualaikum...

Sebelum ini saya ada beritahu Emak, saya tidak jumpa laksa lemak Melaka. Memang susah jumpa selalu buat Makcik Masitah atau Mak Busu tapi tahun ini Mak Busu buat laksa utara. 

Tidak sangka pula tadi pergi jamuan Aidilfitri di Jalan AV 5C ada laksa Melaka! Gembira di hati tapi itulah terlindung. Nasib baik saya tanya sebab ada nampak bihun yang dicelur, saya tanya makan dengan apa? Terus cakap makan dengan laksa lemak. Apa lagi terus ambil walaupun tangan sudah pegang oinggan nasi beriani. Tapi ini lain sedikit selalu gula bebola biasa, ada isi ikan. Kalau cara Emak saya, Makcik Masitah atau Mak Busu kitorang letak isi kerang, udang dan sotong. Bolehlah sebab rasa sama. Bahan sampingan macam timun dipotong halus seperti mancis, taugeh, limau kasturi, hirisan cili merah/hijau.

Laksa Lemak Melaka



Makan 2 kali laksa lemak Melaka. Mula dan penutup makan. Gambar atas itu mangkuk ke-2.

Secoet Nasi Dengan Masak Lemak Rebung Beserta Udang



Lagi satu jumpa lauk lemak rebung dengan udang. Ambil sedikit buat rasa. Udangpun tinggal udang sudah berkopek. Ada rendang cara Negeri Sembilan yang warna kekuningan yang pedas berdentum itu tapi tidak ambillah sebab kenyang sangat.

Insya Allah nanti saya tulis saya hadiri doa selamat dan jamuan Aidilfitri rumah ini. Tuan rumah ini hendak pergi menunaikan haji pada 8 Mei. Dengar mereka cerita hendak buat haji Ifrad. Semoga mereka mendapat haji mabrur. Amin.

P.S: Pergi seorang sebab Emak dan Abah pergi Gambang, Kuantan. Rumah dekat boleh jalan kaki.


Friday, April 17, 2026

💤Akhirnya... 'Mimpi' Itu Tiba💤

 بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamualaikum...


Penantian suatu penyeksaan. Petang 4:30 petang baru dapat dengan tunggu lama. Orang J&T itupun bukannya dia hon (saya suruh dia hon untuk bagitahu sudah tiba untuk saya ambil terus). Tahu-tahu sudah letak dalam rumah (buka pagar awal siap-siap)


Parcel Biru



Harinya telah tiba. Jeng-jeng mari kita buka plastik biru 'Mimpi' ini. Agak besar dan ada satu bahagian keras. Mula-mula terdetik selimut sebab pernah dapat selimut dengan saiz parcel begitu.

Rupanya tekaan pertama saya betul dalam pos sebelum ini iaitu bantal. Ia disertakan dengan sarung bantal warna biru tua. Inilah sebab ditanya warna kegemaran. Warna kegemaran saya ialah hijau zaitun dan biru pekat.


Bantal Itu Dilipat Dua. Ada Lining Keliling Bantal. Atasnya Sarung Bantal



Bantal jenama 'Kun' bermakna dalam Bahasa Hokkien ialah tidur. Ya lepas buka sahaja parcel itu rasa mengantuk sangat tapi tunggu solat Maghrib dan Isyak dahulu. Lepas itu boleh cuba tidur guna bantal baru. Hehe bantal lama saya sudah kempis, tidak gebu lagi.

Lepas solat terus rasmikan dengan buka plastik. 


Bantal Kun Gebu 💤 



Selepas disarungkan bantal.

Bantal Berbaju Biru Tua





Bahagian keliling bantal ada 'lining' warna biru tua.

Pandangan Atas Bantal




Bersedia untuk tidur 💤

Terima kasih SK, saya hendak tidur awal  untuk bermimpi.






Thursday, April 16, 2026

Misi Menangkap 'Mimpi' 36,373,839

 بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamualaikum...

Tanggal 15 April 2026 (Rabu) Puan SK buat lagi misi mencari pembaca angka ke- 36, 373, 839.
Memang mimpilah hendak tangkap angka 36, 373, 839. Paling hampir seperti di bawah:

Tangkapan 36373843



Tangkapan  bersejarah pada 15 April 2026 pukul 4:46 petang.

Sebelum ini saya pernah menang dalam menangkap angka anjuran SK sebelum ini. 




Kali SK suruh whatsapps kepadanya beserta tangkapan layar. Soalan tambahan selain nama, alamat dan nombor telefon ialah warna kegemaran.

Whatsapps Puan SK



Kemudian SK kata 'mimpi' akan diposkan. Terbayang bantal kemudian minyak aromaterapi, lampu tidur dan selimut. Semua kaitan untuk tidur dan kemudian bermimpi. Korang agak saya dapat apa? Penantian yang mengujakan untuk saya.

Apakah Hadiah 'Mimpi' Itu?



BERSAMBUNG......


###########





Beli ADRAA Tailong Teh Tarik

 بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamualaikum...


Memandangkan saya suka minum teh tarik apabila makan di luar maka saya beli yang siap bancuh 3 dalam 1 untuk diminum di rumah apabila teringin. Kebiasaan akan pilih jenis sihat jadi pilih ADRAA Tailong Teh Tarik keluaran pelakon Rosyam Nor. 



ADRAA Tailong Teh Tarik 



Teh tarik dengan ekstrak dan aroma  daun durian belanda. Tidak sabar untuk rasa bagaimana ekstrak daun durian belanda dengan teh tarik. Daun belanda kaya dengan anti-oksidan.

Saya beli di wowshop. Kebetulan rebat RM7 akan tamat pada 14 April jadi guna pada 13 April (Isnin). Sampai hari ini iaitu Khamis. Tidak terlalu lambat atau cepat.
Saya beli 4 bungkus ADRAA Tailong Teh Tarik (15 peket×23gram) dapat percuma 1 bungkus ADRAA Tailong Teh Tarik (15 peket×23gram) dan 5 peket ADRAA Tailong Kopi. Harga yang saya bayar cuma RM122 berbanding RM127.

Hari ini hari terakhir saya puasa ganti. Insya Allah habis. Lambat untuk selesaikan tahun ini. Hujung minggu habis Syawal dan hari Ahad walaupun sudah masuk 1 Zulhijjah, saya masih terima undangan rumah terbuka. Alhamdulillah atas nikmat.

ADRAA Tailong Teh Tarik Yang Sudah Dibancuh



Kemaskini: Sudah buat air untuk berbuka. Ada bau berbunga macam bau durian belanda. Rasapun ada rasa durian belanda. Saya bancuh 1 peket 1 mug yang Linda bagi tapi tawar. Nanti kena kurangkan air.


Saturday, April 11, 2026

Mini Kiub Rubik

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Ada jamuan hari raya taman perumahan. Siap ada main tikam. Anak saudara main dapat kiub rubik. Sebenarnya 3 orang anak saudara kiub rubik. Sebenarnya kecil sahaja. Comel. Jadi minta pada salah seorang anak saudara. Si Ayaana yang beri.



Mini Kiub Rubik 



Lama tidak main. Asal balik kemahiran. Korang pandai main kiub rubik?

P.S: Lupa cara nak selesaikan. Kena tengok balik tutorial di Youtube.

 

Sunday, April 5, 2026

Rezeki Dapat Harumanis

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Semalam hari Sabtu (4 April) hari yang sibuk. Seawal pagi pukul 8 Abah balik dari Tampin ke rumah bawa karipap dan pau kelapa dari kedai Durian Tunggal. Makcik Minah dan suami serta Pak Busu dan isteri hendak datang beraya dari Sungai Penchala.

Mereka datang dalam pukul 11 pagi lebih. Waktu mereka datang tetiba ada dengar bunyi salam. Ingat ada orang lain datang rupanya orang kurier datang bawa kotak kecil berisi harumanis dari Padang Besar. Kejutan daripada kawan Abah bagi harumanis. Rezeki untuk tetamu terus kupas sebiji.

Lepas itu Makcik Minah ajak pergi rumah Kak Nizah di Krubong. Harumanis dan jambu yang dikupas dalam mangkuk yang tinggal terus letak atas meja. Air dalam jag masuk peti sejuk. Takut semut.
Tidak sempat hendak rasa harumanis yang tinggal sebab kemas dan basuh cawan kemudian tukar baju raya.

Keadaan Meja Selepas Tetamu Pulang

Saiz  Sebiji Harumanis



Bawa 3 biji untuk keluarga Kak Nizah. Di sini makan tengahari lauk asam pedas ikan merah, telur masin, telur dadar, sambal picit limau kasturi, timun jepun dan teh o panas ☺ Ini lauk kebiasaan orang Melaka, asam pedas sebab semalamnya kami masak lauk asam pedas ikan ikan siakap. Ada mi jawa tapi saya makan sedikit buat rasa.

Pinggan Saya



Lepas beraya rumah Kak Nizah, kami balik rumah untuk solat Zohor. Ada rumah terbuka di Jalan AV1 bermula pukul 2 petang. Adik perempuan saya sudah telefon dari rumah kami tanya keberadaan kami.

Balik rumah solat kemudian keluar semula ke jamuan rumah dengan Adik perempuan sekeluarga pula.

Sini saya makan soto dan nasi minyak. Sini tidak ambil gambar. Santai makan sebab tidak lapar sangat.

Hampir pukul 4 petang baru balik rumah. Tengok harumanis tinggal cebisan kecil dan biji. Ini mesti anak-anak buah makan 
masa tunggu.

2 Biji Harumanis Tinggal


Sebiji kupas untuk sahur jaditinggal 2 biji. Tidak lama habislah itu.

Nota: Hari ini puasa ganti dan sunat. Insya Allah.


Saturday, March 28, 2026

Menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat Peringkat Negeri Melaka 2026

 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Alhamdulillah tahun ini dapat menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat anjuran kerajaan negeri di MITC.

Perkarangan Hadapan MITC

Kami tidak parking dalam perkarangan MITC tapi kami parking di Planeterium Melaka.

Rumah tidak jauh dari MITC. Bertolak pukul 9:30 pagi sebab majlis bermula pukul 10 pagi hingga 3 petang. 

Laluan Kami

Ada beberapa pintu tapi kami masuk di pintu Mahmud Shah.


Pintu Masuk Kami: Mahmud Shah



Tengok-tengok sudah ramai orang. Cari meja kosong tiada jadi duduk di bangku kayu menunggu. Mak menunggu di situ. Saya dan Abah pergi ke gerai. Banyak gerai/kanopi di sini. Saya beratur di kanopi kambing golek. Abah cari makanan lain.

Makanan Yang Diambil: Antaranya Kambing Golek Dan Ketupat Sotong🤗

Apabila saya sudah dapat 2 pinggan kambing golek, tiada tempat duduk jadi Emak pula bangun cari makanan. 
Pusingan pertama, saya makan kambing golek. Banyak potongan kambing yang diberi. Emak datang ke bangku semula jadi saya bangun cari tempat di meja. Alhamdulillah ada satu kosong jadi saya sambung balik kambing golek.

Pusingan ke-2  bangun cari makanan: mihun soto dengan bergedil, putu mayam. Masa ini saya belum jumpa air panas. Jumpa air sejuk sahaja. 

Jalan kali ke-3. Jumpa air mineral, puding raja dan teh tarik😊 Sebenarnya banyak betul gerai dengan pelbagai juadah tapi saya pilih untuk makan apa. Tanganpun tidak cukup. Jadi jenuh juga bangun cari makanan dari gerai. Makin lama makin jauh saya cari makanan dari tempat duduk. Cuak juga takut tidak jumpa tempat duduk saya. Apapun alhamdulillah walaupun saya duduk dengan orang asing di sekeliling, tempat saya tidak diambil. Mungkin letak bekas tisu atas meja tempat saya duduk tanda saya cop tempat.

Puding Raja, Teh Tarik Dan Air Mineral



Pusingan terakhir makan laksa! Jumpapun. Lepas itu rasa kenyang. Menjelang pukul 11 pagi, orang semakin ramai. Tempat penuh. Tengok-tengok ada orang yang sudah bersila makan di lantai.

Ini meja saya duduk di bawah.

Keliling Kami Deretan Kanopi, Ramai Orang



Padahal hendak juga lepak lama tengok persembahan di skrin tv besar yang diletak keliling dewan. Tidak dapat tengok persembahan Dayang Nur Faizah.
Pukul 11:50 pagi kami sudah bertolak pulang. Rasa meriah tahun ini punya sambutan rumah terbuka Aidilfitri kerajaan negeri. 


Skrin TV Besar Dalam Dewan



Tahun lepas tidak dapat pergi mungkin masa itu majlis terbuka rumah saudara-mara di tempat lain. Tahun sebelumnya dapat tengok persembahan Dato' Hattan. Meremang dengar suara Dato' Hattan secara langsung masa nyanyi lagu raya. Masa itu tidak silap ada kanopi Klebang Coconut Shake dan Batu Berendam Coconut Shake.