Nuffnang

Showing posts with label Thought of The Day. Show all posts
Showing posts with label Thought of The Day. Show all posts

Thursday, June 4, 2026

Catatan 4 Jun 2026

 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...


Catatan untuk kenangan.

Buka tingkap hari ini tengok buah rambutan sudah masak ranum. Harap tiada monyet datang bergayut pada pokok ini.

Buah Rambutan Yang Sudah Ranum



Pesan di wowshop pada 28 Mei, buat ulangan belian kopi Better Cafe barli dan gam arab Munif Hijjaz. [Pesanan pertama boleh klik SINI]
Sampai hari ini pukul 12 tengahari lebih. Beli 4 kotak kopi barli dan gam Arab percuma 1 kotak dan 20 sachet Better Cafe kopi habatussauda. Harga RM132. Asal RM139.

Better Cafe Kopi Gam Arab Dan Barli



20 Sachet Kopi Habatussauda



Tidak ikut Abah dan Emak balik kampung hari ini. Buat sambutan harijadi Emak di kampung. Apapun saya sudah ucap selamat dan doa untuk Emak lepas Subuh. Harap Emak gembira ada makan-makan di kampung.

Notis Gangguan Pembekalan Elektrik



Semalam ada gangguan elektrik dari pukul 2 hingga 6 petang untuk senggaraan pencawang di PCE Tmn PKNM No. 2. Ingat betul-betul tiada elektrik dalam tempoh itu tapi rupanya sekejap seminit sahaja pada pukul 5 petang ketika saya hendak keluar untuk jalan laju. Jadi dapatlah tengok pekerja TNB buat kerja.Alhamdulillah saya doa semoga ok sahaja. Pintu elektrik tiada masalah tutup selepas itu.


Tuesday, May 26, 2026

Selamat Hari Arafah

 بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamualaikum...

Selamat hari Arafah. Mohon keampunan daripada Allah terutamanya. Jangan lupa doakan mereka yang tertindas. Doa banyak-banyak selepas Zohor sampai Maghrib.

Hari ini hari jadi roh kita semua. Waktu ini Allah tanya kita siapa Tuhan kita.

Alhamdulillah hari ini dapat berseorangan lagi.

Jumpa lagi.

#jomdoa


Tangkap Layar Pada 24822



Nota tambahan aktiviti hari Arafah:
Buat aktiviti sendiri seperti zikir dan doa seorang diri selepas Zohor waktu Malaysia. Kemudian pukul 8:30 malam ikuti seorang ini di saluran Youtube. Dia baru lepas sahur dan solat Subuh.s Di sana pukul 5:30 pagi. Ikuti dia zikir 'Allahuakbar' untuk 25 000 kali. Waktu dia solat Dhuha atau ke tandas, saya ambil kesempatan makan malam. Zikir sampai pukul 12:15 pagi waktu Malaysia dan di Arab Saudipun dah Maghrib. Saya tidur, dia teruskan. Terjaga sekejap masuk balik dia masih berzikir. Ikuti sekejap. Mengantuk balik dan tidur dan saya bangun semula pukul 5 pagi waktu Malaysia. Sertai berzikir juga sampai dia cukup 25 000 malah lebih 100 kali iaitu selepas Asar waktu sana. Habis awal sebab dia ingat zikir ini sampai waktu Maghrib. Sementara ada masa dia pula nak bersendirian untuk doa sehingga berbuka puasa. Doa itu rahsia dan masa bersendirian dengan Allah😊. Saya pula sini dah pagi takbir raya pula. Hehe seronok pula walaupun kami di zon waktu berbeza. Harap dapat buat lagi tahun depan. Insya Allah. Dia ada buat waktu Ramadhan lepas.


Friday, May 15, 2026

Kena Rajin Puasa

 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum... 

Nasihat diterima kena rajin puasa sebab belum kahwin. Insya Allah.

Masalahnya kena goda masa seorang diri. Aduhai padahal saya seorang yang suka berjalan seorang diri buat perkara saya suka. Sambil berjalan saya suka buat pencarian jiwa saya. Jadi leave me alone. Muka saya serius dan saya tidak suka pandang orang. Saya suka pandang ke bawah atau mendongak ke langit untuk tengok awan.

Kadang-kadang takut juga. Selepas peristiwa itu saya berdoa pada Allah supaya saya terlindung daripada perkara tidak elok berlaku. Saya doa kalau saya lebih sesuai solo maka biarlah begitu. Kalau tidak mudahkan saya temu jodoh.



Sunday, May 10, 2026

Entah Apa Jadi

 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Tidak tahu apa masalah Blogger ini. Keluarkan 1 pos baru, sampai ke malam ke awal pagi baru keluar dalam feed Google.

Btw saya ada buat tag berantai yang Cuya dan SK bagi tapi macam ChatGPT tidak dapat baca blog saya jadi infografiknya jadi tidak tepat. Ia ikut tekaan berdasarkan nama blog. Oleh itu saya padam. Maaf ya.


Saturday, May 9, 2026

Demi Berus Gigi Ini...

 بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamualaikum...


Lama tidak pergi Tampin naik bas. Akhir pergi pada 31 Jan dan kemudian jatuh sakit. Bulan puasa memang tidak buat sampai habis raya. 

Selepas itu ada peluang apabila tengok pencuci muka habis. Ya tanggal 24 April (Jumaat). Lagi satu hendak tengok kalau harga tiket naik sebab kekecohan harga pasaran minyak. Alhamdulillah harga masih sama iaitu RM1.00 walaupun keliru juga setiap jenis bas ada kenakan RM0.90 tapi saya bagi RM1.00, pemandu tidak pulangkan RM0.10. Ada jenis bas lain yang kenakan RM1.10 tapi tidak minta tambahan RM0.10 cuma ada sekali sahaja minta. Jadi saya simpulkan kena RM1.00. Lain pemandu lain karenah. Haha. 

Ok apabila saya masuk Watson's, saya cari pencuci muka yang saya guna tapi tiada. Sudah tukar rupa dan jenis saya punya tiada maka saya terpaksa cari jenis lain tapi jenama sama. Ini bermula masalah apabila tengok/belek maka terbelek benda lain. Alang-alang saya belek berus gigi sebab jangka hayat sudah habis. Tukar jenama lain sebab berus gigi yang saya pakai sokong si 'Z'. Ironi saya beli berus gigi itu sebelum peristiwa itu. Kenalah guna sebab saya beli banyak berus gigi itu. Takkan hendak buang.

Jumpa jenama Systema Ultra Dense Gum Protect. Cinta pandang pertama tengok berusnya macam ala-ala bunga matahari. Warnapun menarik, warna oren untuk pemegang berus. Makin mahal pilihan berus gigi. Takpelah kerana sayang gigi. Beli sebatang dahulu sebab takut tidak sesuai. Harga asal RM14.50 tapi RM8.70 sebab beli pencuci muka saya (Ya Allah pencuci muka sayapun makin lama makin mahal). Apapun ada niat kalau sesuai cari tempat lain yang murah.

Ok puas hati malahan lagi bagus daripada berus gigi sebelum itu. Harga sahaja yang tidak bagus untuk poket😋

Jadi minggu depannya 2 Mei (Sabtu) hati dah memberontak suruh cari maka pergi lagi untuk pencarian berus gigi tersebut dengan harga murah.  Ingatkan mudah tapi tidak. Rupanya bukan semua pasaraya bawa berus gigi ini. Pencarian di Econsave tiada. Cuma sempat menyelit benda lain iaitu coklat Kinder Bueno Dark sebab murah sedikit daripada Mydin iaitu RM12.90


Kinder Bueno Dark



Lepas itu makan dahulu sebab lapar di Nasi Ayam Gemas Pak Mus. Kali ke-2 makan di sini. Nasi ayam biasa, teh tarik dan air suam cuma RM12.

Nasi Ayam Gemas Pak Mus



Lepas itu cari di Mr. DIY, tiada. Speedmart, tiada. Mydin (cari minggu lepas), tiada. Ada cuma di Tampin Shopping Centre. Harga RM18.50. 2 batang berus gigi sahaja. Tidak jumpa set ada 3 atau 4. Beli sebab lagi murah. Fikirpun kalau beli di Watson's kena beli benda lain baru boleh dapat harga RM8.50. 



Systema Ultra Dense Gum Protect



Warna 2 batang ini warna biru cair dan merah jambu. Tengok di pencarian ada warna hijau cair. Tengok juga di google, nampaknya saya beli di Tampin Shopping lagi murah daripada semua tempat lain. Jadi rasa seronok sedikit. Oklah nanti rajin cari tempat lain atau tunggu harga lagi murah.

Itulah kena coret untuk ingatan dan panduan.

Jumpa lagi.

 P.S: Apsal pos yang diterbitkan lambat keluar dalam senarai blog dan senarai bacaan pos yang diikuti dalam Google?


Friday, April 24, 2026

Doa: Menang Atau Kalah

 بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamualaikum...

Setelah menang beberapa kali dalam dunia blog ini, saya rasa kena terhadkan sebab takut orang lain tidak suka kalau nama saya asyik naik sebagai pemenang. 

Jadi saya doa pada Allah kalau saya menang biarlah hadiah saya dapat itu memang saya perlukan dan kehendaki.

Alhamdulillah berjaya atau tidak saya menang saya rasa gembira sebab saya tahu itulah saya minta. Kalau saya menang maknanya hadiah yang saya DAPAT saya perlukan!

Tq Allah.
 

Thursday, April 16, 2026

Beli ADRAA Tailong Teh Tarik

 بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamualaikum...


Memandangkan saya suka minum teh tarik apabila makan di luar maka saya beli yang siap bancuh 3 dalam 1 untuk diminum di rumah apabila teringin. Kebiasaan akan pilih jenis sihat jadi pilih ADRAA Tailong Teh Tarik keluaran pelakon Rosyam Nor. 



ADRAA Tailong Teh Tarik 



Teh tarik dengan ekstrak dan aroma  daun durian belanda. Tidak sabar untuk rasa bagaimana ekstrak daun durian belanda dengan teh tarik. Daun belanda kaya dengan anti-oksidan.

Saya beli di wowshop. Kebetulan rebat RM7 akan tamat pada 14 April jadi guna pada 13 April (Isnin). Sampai hari ini iaitu Khamis. Tidak terlalu lambat atau cepat.
Saya beli 4 bungkus ADRAA Tailong Teh Tarik (15 peket×23gram) dapat percuma 1 bungkus ADRAA Tailong Teh Tarik (15 peket×23gram) dan 5 peket ADRAA Tailong Kopi. Harga yang saya bayar cuma RM122 berbanding RM127.

Hari ini hari terakhir saya puasa ganti. Insya Allah habis. Lambat untuk selesaikan tahun ini. Hujung minggu habis Syawal dan hari Ahad walaupun sudah masuk 1 Zulhijjah, saya masih terima undangan rumah terbuka. Alhamdulillah atas nikmat.

ADRAA Tailong Teh Tarik Yang Sudah Dibancuh



Kemaskini: Sudah buat air untuk berbuka. Ada bau berbunga macam bau durian belanda. Rasapun ada rasa durian belanda. Saya bancuh 1 peket 1 mug yang Linda bagi tapi tawar. Nanti kena kurangkan air.


Thursday, March 26, 2026

Minuman: Panas Atau Sejuk

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Selasa (24 Mac) 4 Syawal, pertama kali datang kenduri tahlil dan doa selamat rumah baru di AV3D.

Berkenalan drngan tuan dan puan punya rumah.

Bacaan Yasin bermula pukul 2 petang. Kami dari Tampin sampai rumah azan Zohor sudah berkumandang jadi solat dahulu dan kemudian terus pergi. Suka menjadi orang terawal supaya tidak tertinggal baca Yasin dan tahlil.

Buku Yasin



Puan rumah. Ironi tengok dia menangis di peha ibunya ketika bacaan Yasin. Ibunya usap-usap kepala bagi kelegaan pada puan rumah. Mungkin teringat kepada orang yang sudah pergi.

Puan Rumah Yang Duduk Di Lantai Sebelah Ibunya Yang Bertudung Biru



Makanan saya. Saya ambil nasi ayam dan kemudian ambil mi kari. Air teh tarik menjadi pilihan. Syukur sepanjang musim panas berdenting, masih ada tuan rumah buat air panas. Memang pilihan utama saya air panas. Kalau tiada, saya pilih air mineral. Kalau terpaksa baru minum air sejuk tapi kalau boleh tahan, saya akan tunggu masuk kereta untuk minum air biasa yang saya bawa.

Nasi Ayam Dan Teh Tarik



Korang lebih suka minum air apa? Kalau jamu orang datang memang bagi air sejuk kecuali kalau ada tetamu minta air panas atau air mineral.


Wednesday, March 11, 2026

Rabu Kurang Kata: Stokin Comel

 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

21 Ramadhan

Merasmikan stokin comel sempena malam istimewa.☺ MasyaAllah.

Stokin Warna Merah Jambu Gambar Beruang Dan Buah Ceri



Terima kasih kepada Puan Nieza yang memberi stokin ini.

Wednesday, February 25, 2026

Kematian pada 5 Ramadhan 1447 H

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Kematian itu pasti. Kami mendapat khabar sepupu emak (anak arwah Mak Ngah Kintan) sudah meninggal dunia pada 23 Februari (Isnin).

Al-Fatihah



Saya yang merancang tidak mahu balik kampung terus kemas barang dan maklum pada Emak untuk ikut sekali.

Kami terlewat ke Masjid Kariah Repah sebab ketika itu sudah terlepas bacaan Yasin tapi tahlil masih berlangsung.

Solat Zuhur berjemaah di masjid. Ramai yang datang termasuk budak-budak sekolah agama yang terletak berhadapan masjid. Penuh sampai ada yang kena solat bahagian luar. Kemudian selepas solat Zohor disambung pula dengan solat jenazah.

Ingat hendak ikut ke tanah perkuburan tapi panas terik. Teringat kes berjemur masa jenguk kebun Sungai Besar terus batalkan. Emakpun tidak pergi hanya Abah dan anak saudara, Azim yang ikut.

Di Tanah Perkuburan 



Rasa tidak bersemangat hari itu dan esoknya. Teringat kali terakhir arwah tegur saya ketika saya pulang jalan kaki dari masjid ke rumah Uwan. Arwah tegur mengapa saya tidak ikut balik naik kereta. Saya kata Abah ada urusan. Ya saya boleh ambil masa. Kadang-kadang suka ambil masa lepak dalam masjid, tunggu orang tiada baru keluar balik. Lagipun ada rasa keseronokan jalan kaki walaupun jalan raya besar banyak kereta. Selalu berdoa juga ketika melintas (takut juga melintas) kalau kena langgarpun biarlah lepas solat dan ada wuduk. Peristiwa itu hujung bulan Januari.

Tidak sangka ajal menjemput arwah. Arwah ini bilal ke-2 Masjid Kariah Repah. Peramah. Ceria. Isteri arwahpun baik. Isteri arwah pernah makan sebelah saya di kenduri tahlil rumah Makcik Cupik (tidak tulis lagi pasal kenduri ini pada 1 Februari) 

Semoga Allah merahmati arwah dan tempatkan di Syurga Firdaus. Amin. Orang baik Allah sayang. Terngiang-ngiang suara azan yang arwah kumandangkan apabila dengar azan di Masjid Kariah Repah. Seolah-olah arwah yang mengumandangkan azan itu padahal orang lain yang lain yang buat. Monolog pada diri mengapa saya terdengar macam arwah yang azan pula ini.)

Al-Fatihah untuk arwah Pak Ngah Yed (panggilan saya untu arwah)

 

Tuesday, January 20, 2026

17 Januari 2026: Majlis Tahlil Dan Doa Selamat - Uwan

 بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamualaikum...

(TULISAN INI BANYAK GAMBAR. IA SEBAGAI KENANGAN UNTUK SAYA SEMENTARA UWAN MASIH ADA)

Majlis tahlil dan doa selamat diadakan di rumah Uwan seperti biasa sebelum Ramadhan. Istimewa dibuat sempena peristiwa Israk Mikraj. Satu khemah diletakkan bersebelahan kawasan tempat letak kereta bertutup. Ada juga tempat makan berbumbung di hadapan rumah Mok.

Sarapan pagi disediakan untuk mereka yang datang awal sebelum majlis tahlil dijangka bermula pukul 11:30 pagi.

Meja Khemah




Meja Makan Sebelah Kanan (Depan Rumah Mok)


Sarapan Pagi ini ketika awal pagi. Ketika hampir waktu tahlil beranak-pinak makanan dengan cheesekut, seri muka, spageti bolognese dan lain-lain. Makanan disediakan secara potluck oleh anak-beranak Uwan.

Pulut Kuning, Sambal Ikan Bilis, Lempeng, Serawa Durian (Bekas Bertutup Pinggan), Kuih Lapis, 

Koci, Karipap, Donut



Tengahari pula nasi dengan lauk-pauk. Kebanyakan lauk Makchek sediakan macam sambal daun kayu, sambal udang, ayam kampung masak cili api. Lauk-lauk lain anak-anak Uwan yang lain sediakan sekurang-kurangnya 1 lauk. Permulaan lauk-pauk yang ada. Macam biasa beranak lagi lauk-pauk menjelang majlis tahlil macam rendang betik muda, kari daging. Lauk memang banyak.

Sambal Kayu Dan Masak Lemak Pucuk Tangkis


Pucuk tangkis atau Neptunia olaracea


Pandangan Dekat



Pucuk Ubi Dengan Sambal Gila


Dari Dekat Ke Jauh: Sambal Udang, Beefstick, Ayam Kampung Masak Lemak Cili Api, Labu Masak Lemak


Ayam Goreng Tepung


Air: teh tarik, kopi o, sirap ais dan lemon soda biru.

Majlis tahlil dan doa selamat bermula dengan dipimpin Imam Masjid Repah. Majlis bermula sedikit awal pada pukul 11 pagi kerana orang sudah ramai dan Imam datang awal. Alhamdulillah selalu merungut majlis bermula lewat tapi kali ini awal 

Bacaan Tahlil Bermula

Bacaan Tamat




Orang Bersurai Ke Khemah


Kali ini ramai orang yang menghadiri majlis tahlil sampai nasi tidak cukup mungkin sebab kami buat bukan cuti sekolah tapi cuti hujung minggu yang buat orang boleh melapangkan masa untuk datang. Beberapa kali masak nasi sampai pukul 1 lebih baru orang beransur kurang.


Orang Ramai Beratur Ambil Makanan



Sebenarnya buat doa selamat mohon kesembuhan untuk Uwan yang didignosis kanser tekak. Sedih juga.

Makcik Cupik Menangis Peluk Uwan


Makanan saya anbil apabila orang ramai sudah reda. Tidak mampu ambil semua lauk.

Nasi, Sambal Udang, Bifstik, Labu Masak Lemak, Pucuk Ubi Celur Dengan Sambal Gila, Ikan Masin, Sambal Belacan Dan Teh Tarik



Alhamdulillah majlis berjalan lancar. Lauk ada yang habis. Lauk tinggal boleh bagi bungkus untuk saudara-mara dan kami di rumah Uwan. Saya bawa termos air ingat nak ambil teh tarik tapi habis. Beza macam tahun lepas air teh tarik banyak. Kali ini air semua habis kecuali kopi o panas ada banyak baki.



Friday, January 9, 2026

9 Januari 2026

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Genap setahun umur. Tiada rasa hendak sambut harijadi.

Mula-mula buka whatsapps sebelum Subuh tengok tiada ucap rasa gembira sebab orang tidak ingat.

Hehe Emak ucap selamat harijadi di whatsapps borak-borak keluarga. Abah ajak pergi balik kampung untuk sambut tapi saya tolak dengan baik.

Tahun ini saya memilih untuk bersendirian di rumah. Kebetulan tiada kenduri minggu ini.

Jadi tiada kek dan makanan istimewa. Saya tahu saya patut terima. Tidak mengapa. Saya perlukan doa sahaja. Tq Emak dan Abah sebab tidak pernah lupa harijadi anaknya.

P.S: Masak mi kari Opah. Huhu nasib baik sedap kali ini masak.


Friday, December 26, 2025

Makbul Doa

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Berita gembira saya dapat. Alhamdulillah Allah dah makbulkan doa saya supaya ASB buat bayaran zakat dahulu untuk pendeposit sebelum pendeposit terima pengagihan pendapatan.

Emel yang dapat



Senang kerja saya tidak perlu keluatkan zakat untuk ASB untuk tahun depan. Tapi ia dilancarkan pertengahan tahun 2026. Kira saya tidak payah keluarkan zakat awal tahun depan kan? Tunggu tengah tahun 2026. Jadi 2 kali keluar zakat pula. Huhu siapa tahu? Boleh tinggalkan komen ya

P.S: Rasa nak lompat bintang je. Hehe ya malas kira untuk keluarkan sendiri. Selalu rasa ragu-ragu jumlah betul ke ni. Siap minta Emak tolong kirakan.

Tuesday, December 16, 2025

Kulit Labu Boleh Makan

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Pertama kali masak labu. Pertama kali juga masak labu dengan kulitnya.

Rebus labu dan kulitnya. Apabila isi labu lembut baru masak lemak labu. Tanpa daun kunyit sebab daun kunyit dah kuning ditanam.

Labu Masak Lemak (Tinggal Sedikit Ambil Gambar Waktu Malam)



Emak makan dahulu nasi maka tanya emak keras ke kulit labu. Mak kata lembut sahaja.

Sebelum ini Emak masak labu tanpa kulit tapi Emak terbaca labu boleh dimakan dengan kulitnya.

Selain itu lobak merah, kentangpun tidak payah buang kulit. Kalau saya masak untuk diri, kulit lobak merah memang tidak buangpun. Kalau kentang pula, tengok keadaan.