Nuffnang

Showing posts with label Thought of The Day. Show all posts
Showing posts with label Thought of The Day. Show all posts

Tuesday, November 2, 2021

Menjamu Selera (Dine In) Di Warung Hajjah Robiah

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Alhamdulillah hari ini lengkap perlindungan vaksin.  Semalam memang gelisah fikir bukan-bukan takut esok tidak tukar warna kuning. Apa tindakan saya patut buat? Begitulah betapa terlalu fikir. Sebelum itu mak beria-ia sangat ajak keluar makan. Ada patut tanya Isnin lepas, saya cakap "mak, baru seminggu kena suntik." Dalam hati terdetik sijil vaksin digital pun belum dapat  lagi. Apapun sekarang kerisauan hilang! Abah ajak pergi sarapan luar ikut tempat kegemaran saya. Pastilah Warung Hajjah Robiah di Limbongan berdepan Hotel Casa Bonita. Walaupun nama warung tetapi lebih kepada kedai yang mempunyai pelbagai gerai-gerai. Ada menu roti canai, laksa Nyonya, nasi penyet, nasi ambeng, bubur nasi, bakso, soto, mi kari, nasi kerabu, nasi dagang, laksam, ketupat, popia basah dan lain-lain. Banyak sebenarnya

Papan Tanda Warung Hajjah Robiah



Saya teringin untuk makan laksa lemak atau laksa Nyonya. Lama tidak singgah di sini. Jadi saya pesan di gerai jual laksa Nyonya dan beritahu nombor meja. Boleh bayar ketika penjual hantar atau di hujung ketika habis makan. Bayar asing-asing ikut gerai. Jangan lupa bayar sudah. Harga RM4. Murahkan? Air pula pesan teh tarik.

Laksa Nyonya



Servis memang laju. Itulah kebaikannya apabila banyak gerai dalam satu warung. Pilihan banyak dan harga berpatutan. Tidak sampai setengah jam (7:43 pagi - 8:14 pagi) Banyak meja jadi tiada perlu beratur tunggu tempat kosong.

Kalau hendak pergi warung ini terletak di Jalan Limbongan, Pekan Klebang, 75200 Klebang.

Warung ini hanya sediakan sarapan sahaja. Rasanya pukul 12 tengahari sudah kemas untuk tutup.

Saturday, October 30, 2021

Monolog: Kematian Itu Pasti

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Beberapa minggu lepas duduk terfikir masalah. Kemudian terfikir seorang ini yang suka 'ganggu' saya dalam emel atau blog atau whatsapps atau mesej. Lama dia tidak kacau. Kalau hujung bulan 11 ini tiada gangguan memang cukup setahun. Rasa hendak lompat bintang (tidak habis-habis diri ini dengan lompat bintang).

Tiba-tiba fikir spontan. Entah-entah dia dah meninggal? Masalah Covid-19 memang tidak mustahil.

Adakah saya akan sedih kalau dia sudah meninggal? 

Tidak pasti. Tiada jawapan. Ketika tertengok drama 'Wi-Fi Sebelah Rumah' pada penghujung penutup drama ada tertulis dalam kenangan nama arwah. Eh macam kenal nama tersebut. Mungkin orang lain dengan nama begitu. Saya google. Eh memang dia. Rupa tidak berubah sejak dari universiti. Terkejut dan tidak sangka arwah sudah meninggal tahun lepas tanggal 19 Oktober. Sudah setahun. Walaupun tidak kenal rapat hanya satu kursus yang sama. Tidak pernah diletakkan dalam satu kumpulan tugasan. Tiba-tiba rasa sayu. 
Terjawab juga walaupun tidak kenal rapat pun hati boleh tersentuh.

Kembali pada yang suka kacau. Buka emel pagi ini hendak tengok kalau dapat emel daripada MySejahtera. Lain ditunggu lain yang tiba. Tetiba pula dapat mesej daripada suka kacau suruh telefon sebab dia kena Covid peringkat 3B. Aik peringkat pun ada A,B ke?

Takut pula dengan monolog hati ini.


Monday, October 18, 2021

Rasa Hendak Lompat Bintang Tapi...

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Alhamdulillah hari ini selesai dapat dos ke-2. Ingat hendak lompat bintang tapi...

Tengok MySejahtera, bahagian Vaksinasi Covid-19, temujanji ke-2  tidak dikemaskini.




Alkisahnya saya pergi PPV Stadium Hang Jebat tapi sudah tiada. Ada papan tanda suruh pergi ke Lapangan Terbang Melaka untuk vaksin ke-2. Gelabah, pergi ke lapangan terbang pun PPV sudah ditutup. Macam cari harta karun pula ada notis KKM (tak silap). Panggilan telefon tidak diangkat. Jadi tekad ke PPV Encore Melaka. Oh lupa, ada pakcik ini hendak ikut dengan kenderaannya dari stadium. Pertama kali ke Encore. 

Alhamdulillah diterima, cuma petugas itu kata maklumat lokasi terima vaksin itu dikemaskini manual. Mungkin itu ambil masa. Harap-harap tiadalah lama sampai 2 minggu. Nasib baik ada kad vaksin tapi lebih lega kalau dalam MySejahtera telah dikemaskini.

Masa untuk menunggu...
Ada sesiapa ada pencerahan berapa lama akan dikemaskini untuk dapat sijil digital?

Salam Maulidur Rasul.

Wednesday, October 13, 2021

Berehat Sebentar Dengan KitKat Dan Mellow Crunch

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Kesabaran diperlukan akhir-akhir ini untuk memuatnaik gambar. Bukan salah Blogger tapi internet yang kejap ada kejap tiada.

Bayangkan untuk pos sebelum ini memerlukan 3 hari untuk memuatnaik gambar. Puas saya cari tempat: Tingkat teratas, tepi tangga, dalam bilik, tepi tingkap. Ikut nasib!

Nasib baik ada coklat. Rasa geram, kita rehat sebenar dengan KitKat dan Mellow Crunch. Kemudian cuba lagi nasib ketika waktu cuaca cerah matahari memancar . Untung sabut timbul.

Bahagian Hadapan Mellow Crunch



Mellow Crunch dengan bebola coklat dan coklat yang memberi tekstur rangup dan lembut berlemak.

Harap internet akan stabil semula.

Tuesday, September 28, 2021

Pertama

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Maaf lama tidak menulis. Blog walking pun kurang. Sebenarnya melawan ketakutan dan paranoid.

Takut apa? Takut kena suntik. Alhamdulillah semalam dapat yang pertama. Orang selepas saya tanya kenapa saya menggigil waktu dipanggil masuk bilik. Ya Allah nampak sangat rupanya walaupun berpelitup muka. Allah sahaja tahu rasa hati.

Ok itu sahaja. Tidak mahu cakap banyak-banyak selain puji Allah. Wish me luck untuk kedua. Insya Allah( saya diingatkan selalu ucap alhamdulillah dan insya Allah untuk kelancaran urusan memandangkan saya suka fikir bukan-bukan)

Jumpa lagi.

Friday, September 17, 2021

Lampu Tidur Sebagai Hadiah

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...
 
Alhamdulillah dapat hadiah kerana tangkap nombor 1,111,111 di blog Shikin Razali.

Memula ada drama. Hehe sebenarnya hadiah ini sudah sampai hari Selasa (14 September) Masa itu abah ambil. Saya pula di bilik tidur memang tidak dengar pula van J&T datang.

Rasanya hari itu macam kelam-kabut sedikit. Mak dan abah tiba-tiba ambil keputusan hendak balik kampung. Saya ditinggalkan pesan untuk jaga rumah. Emak kata mungkin barang abah yang akan  dihantar secara COD tiba hari itu. Oklah saya tinggal seorang dengan duit. Untuk elak takut van datang saya tidak perasan, saya duduk bawah sahaja, pintu dapur dibuka supaya senang hendak keluar. Sekali sampai esoknya tunggu tiada.

Eh sebelum itu saya nampak ada satu kotak di tepi tangga. Saya ingatkan adik punya sebab abah tidak beritahu. Sebelum itu ada barang adik ada sampai. Saya memang terus letak kotak dalam bilik adik. Tidak tengok nama. Tidak tergerak hati. 

Sekali esoknya, Shikin whatsapps tanya barang sampai elok ke. Saya cakap barang tidak sampai lagi. Nanti sampai saya beritahu.

Kemudian Shikin whatsapps status barang saya sudah  dihantar dan diterima. Maaflah Shikin otak serabut, fikir benda lain. Haha tunggu barang abah, barang sendiri sudah sampai tidak perasan. Terus terfikir eh kotak yang dapat hari Selasa itu barang saya sendiri ke? Gelabah cepat-cepat pergi ke bilik adik. Tengok nama pada kotak. Memang ya. Cepat-cepat bagitahu Shikin sudah dapat dan terus buka tengok dalam kotak.

Haha hendak pasang lampu tidur pun mencabar sebab hendak keluarkan daripada kotak sangat ketat. Lega barang selamat sampai dan berfungsi dengan baik. Alhamdulillah. Macam rollercoaster. Lampu tidur ini ada 2 lampu. Satu guna mentol satu memang tersedia di kaki lampu. Lampu dipantulkan melalui kristal.

Lampu Tidur Kristal. Lampu Atas Dan Bawah



Tahu tidak barang abah masih tidak sampai. Ini ok lagi sebab COD. Aduh sabar sahajalah menunggu barang tidak sampai. 

Maaf Shikin, otak akak serabut hari itu.

Apapun terima kasih Shikin. Hehe harap tidak serik anjurkan peraduan. Maaf atas kelemahan akak.

P.S: Rasa serabut dengan macam-macam perkara. Doakan semoga dipermudahkan urusan ya. Terima kasih.

Sunday, September 12, 2021

Kronologi Detik Memburu 1,111,111

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Menjelang 11 September 2021. 
Malam 11 malam 10 September cuba tidur tapi rasa tidak selesa pada perut. Matapun enggan tutup. Jadi terpaksa duduk baru rasa selesa. Maka untuk membunuh masa tengoklah tv sementara menunggu mengantuk dan rasa sebu hilang. Letak minyak angin dan minyak pati (eo) di belakang badan. 

Tiada siri tv yang menarik. Ada pukul 12 tengah malam iaitu siri Reflections oleh Suhaib Webb (tafsiran surah al-Baqarah). Lama tidak tengok. Maka blog walking dahulu. Termasuklah blog Shikin Razali. Tengok pengira penghujung hampir ke sasaran 1,111,111. Terdetik di hati alamak mengapa hampir awal pagi? Tengoklah kalau dapat.

Selepas tengok Reflections, persoalan Iblis ini dari golongan mana. Malaikat? Atau Jin? Sambungan perbahasan esok. Ok berbalik pada blog Shikin. Tengok balik. Tidak sampai. Tutup. Caj telefon. Masih tidak mengantuk. Tengok tv lagi. Kali ini setiap jam saya tengok pengira pengunjung di telefon lain. Apabila hampir 1,110,900, baru saya ambil telefon yang dicas. Agak-agak 2-3 kali buka. Alhamdulillah dapat tangkap tepat.

Tangkap Layar 1,111,111


Dapat. Terus hantar e-mel. Sekarang berhempas pulas untuk tidur. Rasa sebu sudah kurang. Tidak pasti bila terlelap. Lepas itu terkejut apabila 'alarm' pukul 5 pagi. Sedia untuk persediaan solat Subuh.

Malam tidur awal pukul 10 lebih. Buat peringatan pukul 12 tengah malam untuk tengok sambungan siri Reflections. Tengok-tengok sudah pukul 1 pagi. Aduh terlepas tengok. Maka sambung tidur sampai 'alarm' 5 pagi.

Harap dapat tengok balik. Jumpa lagi.

Terkini 17 Sept: Syaitan daripada golongan jin berdasarkan surah Al-Kahfi.


Sunday, September 5, 2021

Terima Kasih, Azhafizah

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Alhamdulillah dapat kepala blog(header) dan penanda gambar (watermark) daripada Fiza sebab jadi salah seorang daripada 10 teratas tukang komen bulan Ogos. 

Terima kasih Fiza atas susah payah menciptanya. Saya letak di sini untuk kegunaan akan datang apabila ingin gunakan. Muat turun 2 dahulu.

Kepala 

Tandatangan/ Penanda Gambar

Sebenarnya kepala yang diberi Fiza boleh digunakan untuk buat penanda gambar sebab ia tulisan semata-mata jadi sesuai letak pada gambar. Macam di bawah ini.

Header Pada Gambar



Ambil gambar tahun lepas ketika boleh makan di kedai. Teringin hendak makan yong tau fu. Masa ini dengan Uwan sekali. Apabila edit gambar ini rasa rindu pula. Takpelah ikut aliran keadaan. Sabar dahulu.

Rasa rajin boleh terus buat untuk pos-pos akan datang. Hehe perlukan kerajinan juga sebenarnya.

Jumpa lagi. Terima kasih sekali lagi kepada Fiza.

Wednesday, August 18, 2021

Pencarian 7777

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Sekadar coretan untuk kenangan diri.

Alhamdulillah hari ini jumpa juga no 7777. Tidak sangka dekat sahaja. Punyalah pening ingat jauh nombor 7777 dari rumah.

Ia bermula ketika saya berpindah di sini pada 2016. Kawasan baru, banyak tanah kosong. Jadi kiranya beli tanah dan bina rumah.  Saya tengok nombor rumah saya sangat besar. Lepas itu keliru nama jalan ada A sampai F (ikut cabang/lorong). Jadi kalau Jalan 6, nombornya lagi KECIL daripada rumah di Jalan 4. Kalau tidak faham, abaikan sebab saya pun pening sampai hari ini. Kiranya nombor dalam kiraan menurun.

Mula-mula cari (sebab jalan kaki sekitar kawasan) tidak jumpa masa awal-awal 2016. Kesukaran sebab banyak rumah tiada, jadi nombor rumah pun melompat-lompat. Masa itu saya tolak stroller anak buah bawa keliling. Budak itu kena bawa jalan baru tidur dalam stroller. Masa inilah tengok rumah-rumah orang. Pula itu saya bawa jalan ke Jalan 7 ke atas untuk cari nombor rumah 7777. Gigih cari. Pencarian terhenti seketika sebab ada anjing di satu tempat. 

Hari ini tidak sangka jumpa sebab saya jalan lalu tempat lain. Konon hendak jalan jauh sambil tetiba terfikir hendak buat pencarian semula  seperti dahulu.

Ada nampak rumah kuning besar 2 tingkat yang baru dibina 2018/2019 atas bukit. Kedudukannya memang terpencil dan seram sebab dekat hutan.  Rumah kuning itu satu sahaja di lorong itu. Tapi nekad masuk lorong tersebut sebab perasaan ingin tahu.

Eureka. Jumpa. 2 lot rumah ini ambil. Nombor rumah 7777/7778 Jalan 6D. Ya Allah 5 tahun selepas baru jumpa sebab ada rumah. Kalau tidak  memang tidak akan tahu nombor lot kosong.

Lepas ini saya hendak cari no 8888. Itupun kalau ada rumah didirikan.

Oklah itu sahaja. Untuk maklumat sini kawasan baru. Kalau waze nama taman ada tapi nombor rumah memang kena cari sendiri. Kawasannya memang besar. Boleh bayang kalau setiap rumah didirikan berapa banyak rumah ada. Inipun tidak habis jelajah terutama lorong/cabang jalan terpencil.

Jumpa lagi...

P.S: Korang ada pengalaman yang hampir sama seperti ini?


Saturday, July 17, 2021

Habiskan Apa Yang Ada

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Selamat petang semua. Cuaca sangat cerah dan panas sangat cantik untuk jemur baju. Kalian buat apa itu?

Isnin lepas adik perempuan saya suruh tengok stok minyak pati (eo) yang masih tinggal dalam bilik untuk diiklankan untuk dijual. Jadi saya senaraikan pati yang ada. Memandangkan hampir setahun lebih dia dan keluarga tidak dapat balik.

Alang-alang sebelum itu saya sudah tanya boleh ke habiskan stok makanan yang dia simpan dalam bilik dia juga. Maklum simpan lama-lama pun tidak elok. 

Jadi saya keluarkan dahulu sapuan Lotus Biscoff, biskut Lotus Biscoff yang popular dan teh hitam Ceylon  bersama bergamot jenama  English Tea Shop. Haha nampaknya rezeki untuk perut saya. Saya perasan waktu kena kurung penuh ini stok makanan yang lama-lama akan cuba dihabiskan segera. Bagus juga sebab nanti boleh cari stok-stok baru.

Biskut Dan Sapuan Lotus Biscoff Beserta Teh Hitam Ceylon Bersama Bergamot



Teruja juga hendak tahu rasa bergamot. Terus buat teh tapi kecewa sebab tidak dapat tangkap rasa bergamot itu.

Korang macam mana? Habiskan stok makanan lama ketika ini atau tidak habis?

P.S: Saya sudah habis baca buku Margaretta Gauthier.

Monday, May 31, 2021

Selesai Puasa Enam

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Alhamdulillah selesai hari ini. Sudah tutup buku puasa 6. Dugaan pula hendak tamatkan puasa 6.

Ketika gembira hari terakhir puasa 6, siap hendak lompat bintang lagi sejam (tidak sampai sejam pun) sudah bolos. Haha saya berusaha tapi rancangan Allah pasti berjaya. Maka persiapan berbuka terus dimakan. Teringat hari terakhir saya makan laksa utara.

Takpelah ingat hari-hari bahagia ketika berbuka untuk ganti puasa dan puasa sunat. Dilimpahi makanan enak.

Kombo Burger KFC RM10



Antaranya dapat buka dengan kombo RM10 KFC, dapat mangga harum manis satu kotak, nasi beriani. Abah memang bijak sebab hendak dapat pahala beri orang puasa makan. Saya pun patut buat begitu 

Oklah kepada yang masih berpuasa, selamat berpuasa dan bersedia berkurung sepenuhnya esok.

Saturday, May 15, 2021

Selesai 1 Hari

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Anda bertanya satu hari apa? Satu hari puasa ganti. Lagi 3 hari puasa qada' dan 6 hari puasa sunat. Selamat menjalani marathon puasa kembali. Hehe rasa gembira. Awal-awal dapat buat. Ya asbab tidak dapat berkunjung baik kita gantikan dengan aktiviti puasa.

McDonald's McChicken



Hari pertama puasa, abah belanja McChicken. Terima kasih juga beri duit raya. Rasanya tidak pernah putus abah beri duit raya tiap-tiap tahun. Ironi makin besar makin banyak duit dapat. Hehe. Alhamdulillah. Don't worry duit dapat akan digunakan pada jalan Allah. Saya akan buat pelaburan akhirat, kebaikan dapat juga pada pemberi.

Doakan saya dapat habis buat. 9 hari lagi. Jumpa lagi.

Wednesday, May 12, 2021

30 Ramadan 1442

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Alhamdulillah selesai tarawih terakhir Ramadan. Syukur masih dapat solat di masjid walaupun saya ingat tidak dapat sebab sudah hampir PKP. Sekarang ini tumpu untuk qiamulail pula.

Ya Allah terimalah amal ibadatku. Banyak betul dugaan. Mengantuk jangan cakap. Kuat betul mengantuk.

Sempena hari terakhir tarawih dan boleh solat di Masjid Al-A'lami maka saya beli "Sambal Goreng Letop Cinta" yang diletak berhampiran pintu masuk tempat solat wanita. Harga RM10. Bayar masuk tabung disediakan. Ketika masuk tinggal 2 botol, lepas habis solat terus tiada. Laku betul. Kali ke-2 beli. Pertama kali beli ketika awal Ramadan. Boleh tahan sedap. Ikan bilis rangup dan sudah berkopek. Ia sangat pedas. Memang penambah selera makan saya. Diakui saya tidak lalu makan sangat.

Sambal Goreng Letop Cinta



Apapun tulis coretan ini sebagai kenangan saya dapat bertarawih di masjid. Tahun depan tidak tahu cerita bagaimana.

Saturday, May 1, 2021

Ramadan 1442H

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum... 

Sedar tidak sedar sudah masuk 19 Ramadan. Begitu cepat masa berlalu. Bagaimana Ramadan kalian? Ada bolos? Penuh lagi? Harap-harap puasa dan amal ibadat dilakukan diterima oleh Allah.

Tahun ini puasa berbeza bagi saya. Bagi memastikan saya mudah bangun sahur, saya tidur di ruang tamu. Ia dekat dengan dapur jadi bunyi bising emak abah di dapur buatkan saya terjaga. Alhamdulillah berkesan. Hari-hari sahur. Harap-harap berterusan. Insya Allah. Memang tidak selesa tidur di ruang tamu tapi demi merebut fadilat dan pahala maka ia perlu dibuat. Ini untuk saya. Bagi orang lain mungkin tiada masalah bangun untuk sahur.

Tahun ini dapat solat tarawih jadi dapatlah berbuka di masjid. Mak dan abah memang berbuka di sana hampir setiap hari di sana. Saya kadang-kadang pergi sebab kadang-kadang hendak makan masakan sendiri. Kami bertiga sahaja jadi kadang-kadang tidak berbaloi masak sangat. Saya pula makan sedikit jadi malas berbuka di masjid sebab banyak sangat makanan. Haha pening hendak habiskan. Jadi kadang-kadang selesa berbuka di rumah, makan sedikit, solat Maghrib, sambung makanan berat. Kemudian baru solat Isyak, tarawih dan solat sunat lain.

Tahun ini nampaknya beraya bertiga, tiada 2 orang adik di perantauan dan seorang lagi di Selangor.

Malahan saya tidak belum berkesempatan berjumpa dengan anak buah baru. Adik saya lahirkan anak lelaki bernama Aqil pada Februari di Brunei. Ini gambar terkini.

Muhammad Aqil

Harap istiqamah buat terbaik untuk Ramadan. Saya hendak banyak berdoa terutama waktu hampir berbuka dan bersahur. Insya Allah.

Jumpa lagi.

Monday, April 26, 2021

Perlahan Dan Tetap

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...


Selamat berpuasa. Lebih seminggu tidak menulis. 

Sebenarnya dalam belenggu dugaan. Dugaan hadir 2 hari sebelum puasa. Ingatkan ujian itu selesai dalam tempoh sekejap rupanya berlarutan hingga kini. Rasa ada batu besar hempap atas kepala sekarang.

Saya menghitung sehingga bila ia akan selesai. Harap tidak berpanjangan hingga bertahun- tahun. Allah tahu saya mampu bertahan hingga ada berbelas tahun ujian saya hadapi hingga selesai 100%. Perlahan dan tetap (slow and steady) sedikit satu-satu selesai.

Lebih baik perlahan dan tetap selesaikan sempurna walaupun ambil bertahun-tahun? Korang pernah hadapi ujian yang ambil masa bertahun-tahun untuk selesai? Lepas sudah selesai rasa macam hendak lompat bintang.

Biasalah rasa tidak sabar untuk ujian selesai.

P.S: Ujian Covid-19 ini pun ujian perlahan dan tetap.

Thursday, April 1, 2021

Selamat Datang April

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Sudah melepasi pertengahan Syaaban. Tidak lama lagi bulan Ramadhan tiba. 

Alhamdulillah. Semoga diberi peluang untuk bertemu bulan diberkati dan dicintai Allah.

Alhamdulillah diberi kesihatan yang baik. Harap dapat melaksanakan ibadah dengan baik dan sempurna nanti. Insya Allah.

Selamat pagi semua. Semoga hari anda ceria. Esok Jumaat, penghulu segala hari.

Monday, March 1, 2021

Hello Donut

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Isnin 17 Rehab 1442
Selamat berpuasa sunat semua. Tabik hormat mereka yang lakukan puasa sunat Isnin dan Khamis atau puasa putih, puasa Rejab. Insya Allah saya akan menyusul. Persediaan mental dan fizikal menyambut Ramadan. Tidak sabar.

Abah bawa balik 2 kotak donut. Terdetik banyak juga kalau seorang satu makan 4 biji. Rupanya abah hendak beri kawan dia sekotak(jiran yang duduk di jalan lain). Ok juga salah satu untuk mendapat pahala membeli-belah ialah menguntukkan sebahagian daripada barang-barang yang dibeli untuk dihadiahkan kepada jiran atau disedekahkan kepada mereka yang memerlukan.

Donut Tesco



Bercakap mengenai jiran, saya akan ada jiran sebelah rumah. Abah beri sewa. Alhamdulillah waktu PKP, ada juga orang hendak sewa. Saya tidak boleh ber 'huha' pergi keluar ke sebelah rumah lagi. Selalu saya bebas keluar keliling rumah tanpa tudung. Kini kena berhati-hati.

Ok jumpa lagi.

Sunday, February 14, 2021

I Can Rest In A Peace

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...


*****
Pada ketika ini segala kesakitan telah dilepaskan dan hati hanya berharap mereka diberi kefahaman tentang sesuatu. Memaafkan dan berlapang dada (tidak sakit hati lagi)

Forgive but have not forgotten with a calm heart.

Thank you Allah for granting my wish. I can open a new door.

Sunday, February 7, 2021

Tadabbur Ayat 163 Surah Al A'raf- Orang Yang Memutarkan Peraturan (Cut Corner)

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Terfikir ketika selesai dengar penerangan Ustaz Fazrul Ismail di #Qurantime. Mengenai Bani Israil yang 'cut corner' melanggar peraturan hari Sabtu. Mereka melonggarkan peraturan. Mengikut pendapat (seperti kata Ustaz Fazrul), mereka menahan lukah hari Jumaat dan ambil hasil ikan hari Ahad. Ada pula tahan lukah hari Sabtu dan makan hari Ahad. Memang licik dan putarkan peraturan.

Ayat 163 Surah Al- A'raf

Dan tanyakanlah kepada Bani Israil tentang negeri yang terletaknya berdekatan laut ketika mereka melanggar peraturan pada hari Sabtu (iaitu) ketika datang kepada mereka ikan-ikan (yang berada di sekitar) mereka terapung-apung di permukaan air, padahal hari-hari yang bukan Sabtu ikan-ikan itu tidak datang kepada mereka. Demikianlah Kami menguji mereka disebabkan kefasikan mereka.

Bandingkan dengan keadaan ini terfikir juga kerana kita juga mencari ruang kelemahan sesuatu peraturan atau SOP seperti memakai topeng muka atau kealpaan kita untuk buat penjarakkan sosial.

Apapun apabila ternampak orang terlupa atau melanggar sesuatu peraturan, kita kena tegur tidak boleh diam sahaja. Macam ayat seterusnya. 

Ayat 164

Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata, " Mengapa kamu menasihati kaum yang akan dibinasakan atau diazab Allah dengan azab sangat kuat?" Mereka menjawab, "Agar kami mempunyai alasan (lepas daripada tanggungjawab) kepada Tuhanmu, dan agar mereka bertakwa"

Apabila dibiarkan maka orang yang buat kefasikan dan orang yang tidak menegur akan diazab.

Ayat 165

Maka setelah mereka melupakan apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang -orang yang melarang orang lain melakukan kejahatan dan Kami timpakan kepada orang-orang zalim seksaan yang berat, disebabkan mereka selalu melakukan kefasikan.

Ingatan untuk diri untuk patuh 100% peraturan, tidak dilonggarkan/dibengkokkan dan menegur orang lain tidak buat kesilapan untuk kesejahteraan diri.

Wassalam. Maaf kalau ada kelemahan dan kesilapan. Sila tegur ya.

Friday, January 1, 2021

Terima Kasih Daun Keladi

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

I just want to put a good vibe!

Saya hendak ucapkan terima kasih yang melawat blog saya, beri saya hadiah dan komen serta doa. Moga Allah balas kebaikan anda semua.

Harap semua baik-baik sahaja dan kita diberi kekuatan untuk menghadapi ujian. Sebenarnya ujian paling susah ialah kesenangan kerana ujian ini yang buatkan kita leka. Ujian kesusahan pula buatkan kita muhasabah diri dan harap ia lebih mendekatkan kita pada Allah. Banyak hikmah tersingkap pada 2020. Terpulang pada mata hati untuk melihat.

Ok jumpa lagi. Hanya ingin mengenang perkara-perkara baik untuk disyukuri. Terima kasih kerana masih hidup lagi.