Nuffnang

Wednesday, January 19, 2022

Dapat Temu Janji Dos Penggalak

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Ketika seronok terima parcel daripada Puan Amie dan ingin maklumkan kepadanya tetiba dapat notifikasi MySejahtera.

Apabila buka terkejut saya terima temujanji dos penggalak pada 27 Jan iaitu Khamis hadapan. Terkejut sebab belum 6 bulan lagi daripada dos ke-2. 

Pelik pula dapat awal. Dos ke-2 saya pad 18 Oktober jenis Pfizer. Saya sudah kira patut dapat pada bulan April.

Hendak tanya kalau ada sesiapa dapat awal daripada sepatutnya? Atau tolak dan beritahu belum cukup 6 bulan.

Tolong sesiapa yang tahu. Terima kasih.

Tuesday, January 18, 2022

Hadiah: Terpilih Antara 10 Orang Tukang Komen

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Memang tidak sangka akan terima kerana tuan punya badan kata akan pos bulan Februari. Tup-tup terima. Itupun abah yang ambil letak di meja makan. Petang-petang bersedia buat air untuk berbuka tengok ada bungkusan.

Apapun teruja dan ingin tahu apa isi di dalam. Itulah keseronokan dalam proses terima hadiah.

Bungkusan Daripada Nonasani.com


Wah-wah ada:

  • Pelitup Muka 3 Warna Dan Corak
  • Kopiko L.A Coffee
  • Pelekat Peti Sejuk Top Commentators 2021. Betapa gigih beri komen sepanjang tahun.
  • Tikar Sembahyang Saiz Poket- Kalis Air. Ada kompas petunjuk kiblat. Banyak pahala Nona ini. Satu keperluan kalau bawa ini melancong luar negara. Hehe sebab pernah solat luar. 

Buka Bungkusan: 3 Helai Pelitup Muka Pelbagai Warna, Kopiko L.A. Coffee, Pelekat Peti Sejuk Top Commentators Dan Tikar Sembahyang Saiz Poket


Alhamdulillah. Terima kasih Nona. Julung-julung Nona buat senarai penerima hadiah untuk tukang komen ini. Semoga murah rezeki untuk terus buat dan bertambah keberkatan. Bukan mudah tahu untuk hantar hadiah 10 orang. Kena minta alamat, bungkus hadiah dan pos. Saya tabik pada mereka ini.

Jumpa lagi.

Sunday, January 9, 2022

Tua Setahun Lagi

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Ikut tahun Masihi, saya tua setahun hari ini. Memang terasa sudah tua.

Jumaat hari itu saya ke kaunter bank. Setahun juga tidak jejak ke dalam. Apabila isi barang kemaskini maklumat tulisan sangat kecil dan rapat-rapat memang tidak nampak. Tiba-tiba terfikir ah sudah kena ubah kuasa cermin mata ke? Tiba-tiba ada fikiran menakutkan kena buat cermin mata progresif untuk rabun jauh dan membaca!

Entah macam tiba-tiba pula tahun ini ada masalah membaca tulisan kecil. Mungkin lama menghadap skrin telefon bimbit untuk baca blog di tempat gelap. Mungkin kena kurangkan baca tulisan di blog terutama tulisan kecil sangat dan berbunga-bunga.

Apapun usia semakin meningkat dan menghampiri pelabuhan akhirat. Allah hendak ingatkan supaya banyak membaca al-Quran sebelum penglihatan ditarik 100%. Tiada yang kekal. Semua izin Allah.

Tahun ini tiada sambutan. Semalam menyambut harijadi anak sepupu di kampung. Oklah itu. Tahun ini lain pula suasana ketika harijadi.

Jumpa lagi. Insya Allah.


Thursday, January 6, 2022

Ikan Bilis Dari Labuan

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Abah dan emak selamat sampai tengah malam tadi dari Labuan. 3 hari 2 malam. Ada urusan. Saya tidak ikut. Jaga rumah, jaga kucing dan ikan-ikan.

Bawa buah tangan ikan bilis sahaja. Hehe. Untuk rumah ini ikan bilis 1 kg. Untuk yang memesan 1/2 kg.
1/2 kg= RM19 yang sudah siap berkopek. Cantik dan tiada habuk cebisan ikan bilis.

Ikan Bilis Berkopek 500  Gram Dari Labuan



Oklah boleh habiskan nanti.

Sunday, January 2, 2022

Hujan Lebat

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Pertama kali dalam sejarah hujan turun 3 hari berturut-turut. Dari hari Jumaat. Rasanya hari ini paling lebat. Berhenti sekejap ingat sudah reda. Rupanya sambung lagi dengan air turun dengan banyak. Tdak habis-habis menangis. Seolah-olah awan-gemawan kembung/kantung air tidak berkurangan!

Cuaca pun menjadi sangat sejuk iaitu 25°C. Tidak perlu buka kipas. Lantai laminate sejuk. Tidur kena pakai stokin dan selimut. Buka lampu tidur untuk beri kehangatan.

Pandangan Hujan Dari Jendela Bilik


Tolong berhenti wahai hujan! Saya akan keseorangan esok.

Friday, December 31, 2021

Penutup 2021

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Tidak sangka akan menulis pada hari terakhir 2021 tapi menulis untuk beri penghargaan pada Cik Ako @ anakomak6.blogspot.com.

Tidak dijangka sebab tidak beritahu akan dikirimkan hadiah sebagai salah seorang tukang komen utama bulan November 2021.

Planner 2022



Alhamdulillah hadiah diperlukan iaitu perancang aktiviti tahun 2022 (planner). Belum ada lagi.

Terima kasih Cik Ako.

P.S: Sini hujan lebat dari semalam. Berhenti kemudian sambung.

Wednesday, December 29, 2021

We Never Know: Tidak Tahu Masa Hadapan

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

2 hari lagi akan masuk tahun 2022. Memang tidak akan tahu masa hadapan bagaimana? Adakah dapat berblog lagi? Adakah dapat mengembara dengan rancaknya? Adakah masih hidup lagi?

Begitulah tiada yang kekal. Apapun hari ini alhamdulillah saya dapat tangkap nombor dengan tepat. Nombor bertuah tersebut ialah 3,500,000. Entah berapa kali saya tangkap nombor di blog www.mamapie.com. Kadang-kadang tepat, kadang-kadang sipi, kadang-kadang terlepas jauh. Begitulah lumrah. Semua izin Allah. Ada kesempatan. Masa hadapan mungkin sudah tidak dapat buat.

Tangkap Layar 3500000


Sebelum mengakhiri tulisan, saya mohon ampun maaf sekiranya ada tulisan/komen mengguris jiwa.

Insya Allah jumpa lagi tahun hadapan...

Saturday, December 25, 2021

Terima Hadiah Sebagai Pengomen Terbanyak 2021 Blog Abam Kie

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Alhamdulillah selamat sampai hadiah daripada Abam Kie tengahari tadi. Tidak sangka cuti umum pun masih ada penghantaran barang. Terima kasih kepada pemberi kerana beri perkembangan barang. Maklum sekarang boleh rentas negeri jadi boleh pastikan terima barang ditangan. Takut tiada rumah lama.

Bungkusan Hitam


Abam Kie sudah tunjuk gambar barang sebelumnya. Jadi sudah dapat agak warna dan bentuk iaitu selimut gebu hijau pucuk pisang! Terus dirasmikan pakai. Moga pahala untuk Abam Kie.

Selimut Gebu Warna Pucuk Pisang



Terima kasih Abam Kie kerana beri hadiah. Ini usaha marathon kerana komen dari 1 Jan-20 Disember 2021. Subhanallah. Semua dengan kekuasaan Allah izinkan saya gigih istiqamah komen. Kita tidak tahu masa hadapan. Harap dapat diteruskan tahun depan insya Allah.

Jumpa lagi.

Tuesday, December 14, 2021

Gardenia Quick Bites Gold Karamel Masin

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Setelah mencuba black forest, tiba-tiba hendak cuba kembar tidak seirasnya, perisa karamel masin walaupun boleh agak rasa bagaimana iaitu manis dan masin. Harga sama seperti black forest iaitu RM1.50. Sesuai namanya karamel masin mestilah plastik warna mustard.

Gardenia Quick Bites Gold Karamel Masin


Tekstur inti seperti krim dan daripada pandangan nampak sedikit berbanding dengan nisbah roti. Memang tidak nampak dalam gambar berbanding inti black forest.
Masih sama seperti roti black forest, gunakan roti coklat.

Inti Sedikit. Tulisan Inti Itulah Kedudukannya Di Atas Memang Tidak Nampak


Penilaian: Tidak disangka rasanya seimbang antara roti dan krim. Tawar, manis, masin dan sedikit pahit (karamel dihanguskan sedikit agaknya) silih berganti. Tidak bosan dikunyah. Jadi tidak manis sangat. Rasanya sebungkus tidak cukup!

Bolehlah beli lagi.

Monday, December 13, 2021

7-9 Disember: Rumah Hutan Bonda Rozita, Batang Kali

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Bermalam di Rumah Hutan selama 3 hari 2 malam (Selasa-Khamis). Harga dapat RM1100 untuk 3 hari 2 malam (sebelum cuti sekolah dan hari biasa)

Percutian untuk wanita sahaja. Saya diajak oleh emak untuk ikut. 4 orang alumni Tingkatan 6 Sek. Men. Keb. Tunku Ampuan Durah dan saya. Jumlah 5 orang. Hehe saya yang paling muda. Tulang menyibuk.

Kami dapat rumah Kembang Pagi depan Rumah Bonda yang telah dijadikan penginapan juga.

Resepsi Daftar Masuk Rumah Hutan

Sampai dalam pukul 1 lebih. Sementara tunggu daftar masuk pukul 3 petang, saya ambil gambar depan penanda Rumah Hutan.

Pukul 2 lebih kenderaan tut tut datang ambil kami. Mendaki bukit dan menuruni bukit sampailah ke penginapan kami. Memang sebiji rumah dengan senibina kayu di luar disangga dengan pokok-pokok dan terletak di hujung tanah tinggi. Tepi kiri depan rumah terdapat sangkar besar berisi buruk merak dan merpati. Redup sahaja.

Sangkar Burung Di Tepi Rumah Kembang Pagi 


Ketika membuka pintu gelangsar, katil raja menyapa kami depan mata.

Dalam Rumah- Katil King


Sebelah kanan pula katil permaisuri. Malam-malam dengar bunyi binatang berlari atas atap. Ada yang jadikan tempat tinggal. Tidak tahu binatang apa.

Katil Queen-Saya & Emak


Untuk makluman, Rumah Kembang Pagi tiada bili dan tiada meja makan. Makan atas lantai. Berhati-hati jangan tumpahkan makanan atau air pada karpet. Jadi kena pilih kesesuaian jumlah ahli atau sekiranya perlukan bilik boleh pilih jenis rumah lain. Kemudahan dapur masak induksi dan peti sejuk, cerek, kuali, kutleri disediakan. Disediakan kopi pracampur dan teh.

Dapur

Kami memang bawa makanan. Semua bawa rendang. Emak bawa rendang puyuh, Makcik Nuba bawa rendang itik, Makcik Rohana bawa rendang ayam. Hanya Makcik Kasnani bawa masak lemak ayam. Saya gelar Makcik Negeri Sembilan sebab semua asal dan sekolah (mestilah dari sekolah Tunku Durah) Masing-masing cakap berapa lama tidak jumpa.Latar belakang mereka dalam pendidikan. 3 orang pengetua, seorang pensyarah.

Bilik air dan bilik mandi diasingkan. Jadi mudah buat urusan kalau ramai-ramai. Hiasan dinding memang guna jubin abstrak dan bunga.

Bilik Air

Gel Mandian disediakan dalam botol besar. Suka bauan serai yang kuat dan ada biji seperti skrub. Hasil keluarkan Bonda Rozita. Sayang tidak dijual. Bagus kalau gel mandian ini dijual.

Bilik Mandi

Ada disediakan:-
Tuala-5
Tilam Single-2
Sejadah-2 (Tidak Silap-Tidak Guna)
Selimut
Bantal

Di sini aktiviti-aktiviti seperti mandi sungai, rawatan urutan dan spa serta berjalan. Saya suka berjalan tapi aktiviti-aktiviti lain macam kurang kena dengan jiwa.

Warung Bonda Terapi Alam

Lupa beritahu diberi sarapan pagi percuma untuk 4 orang. Hari ke-2 diberi bihun, ayam goreng, kuih-muih seperti koci labu, karipap buncit, kaswi serta teh o. Hari terakhir diberi kueutiau, ayam goreng, kuih-muih dan teh o. Boleh bawa ke bilik atau makan di Warong Bonda Terapi Alam yang tidak jauh daripada rumah penginapan.
 

Monday, December 6, 2021

Sudah Cuba Gardenia Quick Bites Gold Black Forest Dengan Kismis?

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Banyak betul produk/perisa baru yang diperkenalkan oleh Gardenia. Persoalannya sejauh mana kita hendak cuba perisa baru tersebut.

Saya tertarik untuk mencuba perisa black forest apabila ternampak iklan AdSense menari-nari di blog-blog saya lawati. Mata hanya tertancap pada bungkusan black forest. Perisa gandingan iaitu karamel masin tidak saya endahkan. Maka niat untuk mencari bermula.

Bertambah semangat apabila membaca blog mamapipie. Dia  sudah mencubanya dan dia kata sedap.

Beberapa kali percubaan mencari tidak jumpa termasuk di Mydin MITC. Terpaksa minta tolong abah cari semasa beli suratkhabar. Siap tunjukkan iklan pada abah dan abah ambil gambar. Apalah dia tahu apa yang hangat ketika ini. Cuma tahu berita hangat Gardenia akan naikkan harga produk. Itu sahaja.

Pencarian oleh abah tidak berjaya. Saya tidak menaruh harapan lagi untuk dapat kerana anggap barang tersebut cepat habis. 

Tiba-tiba petang semalam saya menjerit kegembiraan nampak bungkusan roti perisa Black Forest atas meja dapur. Bukan satu tapi 3 bungkus! Oh! Abah dan emak pun hendak rasa roti baru tersebut. 

Gardenia Quick Bites Gold Black  Forest Dengan Kismis



Pandangan pertama pada bungkusan. Kemewahan warna ungu memang menggamit untuk belek dan mencuba. Ilustrasi kek black forest dihias ceri sangat menarik. Pengiklanan yang berjaya. Harga sebungkus: RM1.50.

Keratan Rentas Black Forest Dengan Kismis



Tidak sabar hendak makan. Bahagian dalam terdapat krim berwarna putih dan sedikit ungu dan kismis.

Rasa sedap. Boleh tahan. Rasa anggur yang kuat. Roti pula seakan roti coklat. Ok puas hati dapat rasa.

Adakah saya akan beli lagi? Ya.

Jumpa lagi.

Wednesday, December 1, 2021

Alhamdulillah Sambungan Blog Selamat

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Lewat bersiar-siar di blog orang hari ini. Buka blog sendiri macam pelik ada kelainan.

Blog Saya Melalui Versi Mobil

Blog Saya Versi Laman Sesawang


Rupanya blog saya sudah jadi selamat. Hehe tidak tahu macam mana sudah tukar jadi status selamat. Maksudnya ada mangga di tepi nama laman. 

Laman Saya Ada Sambungan Selamat



Ingatkan semua laman blog selamat tapi ada juga blog belum dapat status 'connection is secure'.

Ada sesiapa tahu pasal ini?