بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...
Tahun lepas memang langsung tiada pergi kenduri. Ini bagi sayalah tapi tahun ini dapat pergi ke kenduri pertama iaitu kenduri tahlil pada 1 Februari di rumah Uwan, Tampin. Perancangan memang saat akhir. Konon hendak buat pada bulan Mac tapi Uwan kata lambat sangat. Bayangkan bincang minggu akhir Januari. Waktu itu saya kalut dengan vaksin penggalak. Kata buat hujung minggu iaitu 12 Februari. Dalam fikiran, "oh tiada masalah lebih seminggu selepas vaksin." Tiba-tiba tukar pada 1 Februari (Selasa) yang memang Tahun Baru Cina-- 4 hari selepas ambil vaksin. Sebelum itu saya hendak kata syukur saya sihat lepas ambil vaksin. Cuma lenguh pada lengan hingga hari Ahad. Jadi memang boleh pergi dengan senang hati untuk kerahan tenaga. Kenduri buat secara potluck. Masing-masing suka hati hendak bawa makanan apa. Uwan suruh Makchek buat lauk masak lemak perut dengan rebung.
Datang awal ke rumah Uwan bawa lauk ayam masak kicap dengan lada hitam, sebiji tembikai dan sekotak limau mandarin. Khemah sudah didirikan bersama kerusi dan meja.
Bacaan tahlil untuk lelaki dan perempuan memang buat di luar di khemah. Senang ada pengudaraan. Lepas doa selamat boleh terus makan. Cuaca pun cerah dan terik. Alhamdulillah tiada risau hujan. Saya lupa ambil gambar ketika bacaan tahlil. Teringat ketika baca doa tapi telefon bimbit dalam beg tangan di rumah. Biasa jadi tuan rumah bersama, kita sibuk perkara lain. Lagipun makanan secara potluck jadi ada makanan belum sampai jadi memang tidak akan lengkap.
Lauk saya ambil di atas. Macam-macam lauk seperti ikan masak kicap, kari daging, pajeri terung, pecal dan lain-lain tapi ini yang saya ambil (seperti di atas) Baru perasan tiada ulam untuk kenduri kali ini. Masa hendak habiskan nasi, Mok cakap dia terlupa goreng ikan masin jeruk. Mok cakap lauk kurang masin. Lauk yang elok rasa masin lauk singgang ikan dengan keladi. Lepas habis makan saya tambah nasi dan ambil keladi untuk rasa. Laku lauk ini. Tinggal sedikit. Ramai yang datang.
Ini pula makanan kenduri kahwin tanggal 5 Februari di Cheng. Waktu ini cuaca mendung.
Ketika sampai tengahari ada tempat kosong. Waktu balik sudah ramai orang.
Praktikal betul cenderamata yang dapat.
Tidak sabar untuk pergi kenduri lagi.