Nuffnang

Tuesday, July 28, 2026

25 Julai 2026: Walimatulurus Izzati Dan Hazrin

 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Hari yang mendung ketika itu. Hujan dari pukul 11 malam tadi sampailah ke pagi hari kami hendak pergi. Hujan tidak berhenti. Sekejap lebat sekejap renyai. Siap pakej guruh dan petir.

Nama Pasangan Pengantin Yang Diraikan Di Hadapan Tepi Kiri Pintu Masuk



Jemputan daripada pengantin perempuan kepada Abah. Pekerja di pusat dialisis. Majlis diadakan di Balairong MITC Melaka berdepan dengan Restoran Al-Marjan yang malangnya telah berhenti operasi.

Masih Hujan Dan Hadapannya Ialah Restoran Al-Marjan Yang Terbiar



Kami (saya,Emak,Abah dan anak saudara Azim) sampai depan dewan pukul 11 pagi. Kami orang ke-2 sampai. Hehe bagusnya sampai awal boleh ambil gambar dengan tenang tanpa orang. Saya suka pelaminnya kombinasi hijau dan putih. 

Pelamin Serba Hijau Putih

Bufet Makanan Utama Dan Air

Antara Menu: MLCA Nangka Muda

Tempat Basuh Tangan Ada Disediakan Cecair Pencuci Tangan Dan Tisu



Suasana dalam dewan ini sejuk sangat. Mungkin dengan penyaman udara dan cuaca hujan di luar. Ada aiskrim kon itu tapi saya tidak ambil. Saya cuma ambil nasi dan kuih. Semestinya teh tarik atau apa-apa air panas. Nasi yang saya ambil, nasi putih dan nasi hujan panas. Lauk ayam masak kerutuk, daging masak hitam, salad, timun, sambal belacan dan MLCA nangka muda. Kuah masak lemak itu memang pedas sesuai dengan selera saya. Kuih pula saya ambil kuih ketayap.

Makanan Dan Minuman Yang Diambil



Masa hendak balik, orang masih tidak ramai dan hujan masih turun. Kitorang sekejap sahaja di sini. Pukul 11:30 pagi kami sudah bersalam dengan tuan rumah. Saya dapat beg cenderamata begini.

Beg Cenderamata


Tisu, Sudu Dan Garfu, Air Mineral



Balik rumah petir kuat macam kena bom. Memang hari itu cuaca mendung sampai ke malam. Rasa macam bulan 12, musim hujan. Cuaca sejuk. Saya seorang di rumah. Emak dan Abah balik kampung lepas hantar saya balik ke rumah.


No comments: