Nuffnang

Monday, November 29, 2021

Rezeki: Menang Duit Dan Makan Percuma Di Hotel Lagi

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Lama tidak menulis. Ada sahaja di sini masih bernafas. Masih rajin jengah blog-blog orang. Alhamdulillah.

Ada rezeki dapat kejar nombor 3 400 000 pada hari Sabtu tapi kurang 2 iaitu 3 399 998 di blog mamapipie.com. Jadi dapat saguhati RM30. Alhamdulillah baru sahaja dapat duitnya hari ini.

Tangkap Layar 3 399 998



Ahad pula ke Hotel La Crista sambut harijadi abah bersama adik-beradik mak. Mereka bawa pasangan dan anak-anak. 3 adik emak tidak dapat datang kerana hal tertentu. Gambar di bawah, di lobi selepas hi-tea sebelum pulang ke rumah.

Gambar Keluarga Besar (Silap Klik Gambar Untuk Tumbesaran)

Hehe mana satu saya dalam gambar atas?

Ok itu sahaja. Insya Allah minggu depan ikut emak untuk perempuan sahaja bermalam di Batang Kali. Insya Allah. Cerita lanjut kemudian.


Thursday, November 18, 2021

Buffet Di Hotel La Crista Melaka

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Rasa macam boleh duta untuk Hotel La Crista Melaka sebab pergi lagi untuk makan buffet pada Sabtu 13 November. Sebelum itu pergi ketika harijadi saya. Kali ini pergi dengan adik bongsu, adik belanja untuk harijadi Nuha (anak buah) dan abah. Kemudian ada perancangan pergi lagi pada 28 November (Ahad) bersama adik-adik emak pula untuk sambut harijadi abah. Insya Allah. Mungkin sebab murah iaitu:-

Dewasa- RM60 sekepala.
Kanak-Kanak dan Warga Emas-  RM40 sekepala.

Makanan macam lauk pun berubah-ubah. Seingat pergi sini lauk tidak pernah sama. Jadi sesuai pergi banyak kali. Makanan pun rasa ok.

Mula-mula ambil pencuci mulut dahulu sebab tahu kalau kenyang sangat tidak lalu makan benda manis.

Seleksi Pencuci Mulut

Kemudian makan salad pula bersama pasta.

Seleksi Salad


Selepas itu barulah makan nasi dan lauk-pauk  seperti ayam goreng Masala, isi ikan goreng tepung masak masam manis, kari daging dan ambil kuah masak lemak. Tidak dilupakan sayur campur. Air pula ambil teh tarik.

Seleksi Makanan Berhampiran Kerusi Kosong Saya Punya :)


Habis makan pilih hirisan daging kambing bakar beserta kuah pudina. Patut warna hijau tapi nampak coklat pula di bawah cahaya lampu. Pertama kali cuba sos pudina. Macam makan ubat gigi.

Seleksi Daging Kambing Dihiris Nipis Bersama Kuah Pudina (Mint Gravy)


Terakhir ambil dim sum (tiada gambar) dan bubur nasi. Selain ambil jeruk ada juga ambil wantan. Tidak tahu apa benda bebola bijan macam kuih bom pula.

Satu  Para Dengan Wantan Dan Bahan Tidak Pasti


Memang kenyang. Penutup minum kopi tanpa gula atau susu. Memang pekat melekat di tekak sampai pulang ke rumah.

Friday, November 12, 2021

Giveaway By Lady Dini 1.0

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

[SEGMEN TAMAT]

Alang-alang tidak tahu hendak tulis apa, jalan-jalan blog orang ternampak satu peraduan ini. Tengok syarat-syarat sangat mudah jadi marilah sertai wahai bloggers yang baca tulisan ini.

Klik kain rentang di bawah untuk baca syarat-syaratnya.

Jangan Klik, Segmen Tamat



Tarikh peraduan dari 12 November-18 November 2021. Lebih kurang seminggu. Cepat sertai nanti lupa.

3 pemenang bertuah akan dipilih dengan hadiah kejutan. Tidak pasti cara apa pemilihan. Mungkin secara rawak atau pusingan roda.

Semoga berjaya semua.


Sunday, November 7, 2021

Rabu: Berjalan Ke AEON Bandaraya Dan Rumah Kueh

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Selamat cuti hujung minggu. Buat apa itu? Harap sihat dan gembira hendaknya.

Hari Rabu hari ke-2 sijil vaksin bertukar kuning, emak dan abah ke Nilai manakala saya ke AEON Bandaraya. Sahaja hendak berjalan-jalan ke sana di samping saya ingin perbaharui lesen memandu walaupun mati Januari tahun depan. Kita tidak tahu apa berlaku nanti, ada peluang baik perbaharui lesen selama 5 tahun. Sebelum ini perbaharui di JPJ Bukit Katil tapi ubah angin. Cuma ingat ada komisyen. Kalau buat di pejabat pos kena RM2.50+ RM150 (lesen). Takpelah nanti buat di JPJ tahun 2027. Haha. Kemudian singgah di Watsons. Terlebih belanja. Lepas itu teringat Fiza ada cerita tentang bagel keju jalapeño. Pertama kali masuk Coffee Bean & Tea Leaf. Jadi agk termangu-mangu cari menu. Cuma jumpa menu piza salmon dan cendawan. Menu variasi pasta tidak jumpa pula. Bagel pula memang dihidangkan depan mata. Takpelah beli bagel dahulu. RM9.50. Juruwang tanya hendak dipanaskan atau tidak. Saya cakap tidak perlu sebab bawa balik. Cuma potong 2 secara melintang. Hehe tengok 2 mata jalapeño sudah hilang apabila bawa balik.

Saya cuba panaskan  separul bagel yang telah disapu krim keju dalam ketuhar mikro tapi jadi keras. Separuh lagi saya letak krim keju dan tidak panaskan, sedap sahaja rasa masin dan pedas sedikit.


Jalapeño Cheese Bagel With Cream Cheese


Ada peristiwa kurang seronok berlaku. Apabila keluar daripada bangunan AEON menuju ke kenderaan baru perasan bungkusan plastik Watsons saya tertinggal di luar tempat menunggu Coffee Bean & Tea Leaf. Nasib baik sedar awal. Alhamdulillah bungkusan itu masih ada di situ. Kalau tidak menangis tidak berlagu. Sudahlah terlebih belanja di Watsons.

Sebelum pulang ke rumah singgah ke Rumah Kueh di kawasan tempat tinggal lama saya. Rumah Kueh terletak di deretan rumah. Jenuh juga cari tapi rupanya tidak jauh daripada rumah lama. Boleh datang lagi. Insya Allah.

Ingat hendak beli lasagna. Rupanya jual pada hari tertentu. Jadi beli krep durian. Besar juga sebiji. 

Krep Durian Daripada Rumah Kueh 5 Biji= RM13


Saiz sebiji krep durian yang berbentuk segiempat tepat ialah 7 sm × 4 sm. 

Banding Saiz Sebiji Krep Dan Sebiji Dipotong Dua


Boleh potong dua.

Ada pencuci mulut lain seperti kek keju leleh, kek tornado, kek biscoff, krim puf, kek red velvet dan lain-lain. Nanti saya buat ulasan apabila sudah beli dan rasa 2-3-4 (bukan semua, jenuh cuba semua nanti)

Balik rumah terus makan bagel dan krep durian 2 ketul. Boleh tahan rasa krep durian tapi bukan kegemaran. Asal dapat makan.

Jumpa lagi.

Tuesday, November 2, 2021

Menjamu Selera (Dine In) Di Warung Hajjah Robiah

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Alhamdulillah hari ini lengkap perlindungan vaksin.  Semalam memang gelisah fikir bukan-bukan takut esok tidak tukar warna kuning. Apa tindakan saya patut buat? Begitulah betapa terlalu fikir. Sebelum itu mak beria-ia sangat ajak keluar makan. Ada patut tanya Isnin lepas, saya cakap "mak, baru seminggu kena suntik." Dalam hati terdetik sijil vaksin digital pun belum dapat  lagi. Apapun sekarang kerisauan hilang! Abah ajak pergi sarapan luar ikut tempat kegemaran saya. Pastilah Warung Hajjah Robiah di Limbongan berdepan Hotel Casa Bonita. Walaupun nama warung tetapi lebih kepada kedai yang mempunyai pelbagai gerai-gerai. Ada menu roti canai, laksa Nyonya, nasi penyet, nasi ambeng, bubur nasi, bakso, soto, mi kari, nasi kerabu, nasi dagang, laksam, ketupat, popia basah dan lain-lain. Banyak sebenarnya

Papan Tanda Warung Hajjah Robiah



Saya teringin untuk makan laksa lemak atau laksa Nyonya. Lama tidak singgah di sini. Jadi saya pesan di gerai jual laksa Nyonya dan beritahu nombor meja. Boleh bayar ketika penjual hantar atau di hujung ketika habis makan. Bayar asing-asing ikut gerai. Jangan lupa bayar sudah. Harga RM4. Murahkan? Air pula pesan teh tarik.

Laksa Nyonya



Servis memang laju. Itulah kebaikannya apabila banyak gerai dalam satu warung. Pilihan banyak dan harga berpatutan. Tidak sampai setengah jam (7:43 pagi - 8:14 pagi) Banyak meja jadi tiada perlu beratur tunggu tempat kosong.

Kalau hendak pergi warung ini terletak di Jalan Limbongan, Pekan Klebang, 75200 Klebang.

Warung ini hanya sediakan sarapan sahaja. Rasanya pukul 12 tengahari sudah kemas untuk tutup.

Saturday, October 30, 2021

Cara Memohon Sijil Digital Vaksinasi Covid-19

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Setelah seminggu lebih maklumat dos ke-2 tidak dikemaskini. Tekad. Jumaat 29 Oktober pukul 3:30 petang, saya membuat laporan di Helpdesk. Harap dapat diselesaikan. Insya Allah. Besar harapan sudah dapat ketika vaksin ke-2 sudah matang.

Selesai Hantar Permohonan



Sabar menunggu lagi. Saya akan cerita setiap langkah supaya mereka yang hadapi masalah ini boleh buat. Tunggu berjaya.

***********************************

Alhamdulillah, pukul 6:51 petang, 30 Oktober saya buka MySejahtera dos ke-2 saya sudah dikemaskini. Jadi lebih kurang 24 jam kena tunggu. Lompat bintang. Terima kasih pasukan Helpdesk MySejahtera.

Ok saya hendak kongsi bagi mereka yang ada masalah macam saya.

1. Pertama buka laman sesawang: 

https://mysejahtera.malaysia.gov.my/help/ ->Tekan Butang Mula

Helpdesk MySejahtera



2. Skrol ke bawah pilih huruf M iaitu Saya telah divaksin tetapi sijil digital tiada di halaman profil

Pilih Huruf M Dan Klik



3. Lepas itu isi butiran dan tekan butang Seterusnya. Isi lagi maklumat. Lepas itu pilih lagi dos pertama atau kedua. Lepas itu muatnaik gambar kad vaksin yang ada maklumat dos pertama atau kedua. Saya tunjuk kedua-duanya. Tandakan pada kotak saya bukan robot. Semak semua pastikan betul dan hantar.

ID ikut ID kita daftar. Pilih Salah Satu Nombor Telefon atau Alamat E-Mel



Tunggu. Insya Allah dalam lebih kurang 24 jam.

Ada kemusykilan boleh tinggalkan komen.

Daripada Kotak Masuk Emel Saya



P.S: 31 Oktober 10:24 pagi, baru masuk emel daripada MySejahtera suruh kemaskini/segarkan profil. Lewat juga beritahu tapi saya sudah segarkan muka surat profil selalu.-->> kena ada internet untuk 'refresh'.



Monolog: Kematian Itu Pasti

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Beberapa minggu lepas duduk terfikir masalah. Kemudian terfikir seorang ini yang suka 'ganggu' saya dalam emel atau blog atau whatsapps atau mesej. Lama dia tidak kacau. Kalau hujung bulan 11 ini tiada gangguan memang cukup setahun. Rasa hendak lompat bintang (tidak habis-habis diri ini dengan lompat bintang).

Tiba-tiba fikir spontan. Entah-entah dia dah meninggal? Masalah Covid-19 memang tidak mustahil.

Adakah saya akan sedih kalau dia sudah meninggal? 

Tidak pasti. Tiada jawapan. Ketika tertengok drama 'Wi-Fi Sebelah Rumah' pada penghujung penutup drama ada tertulis dalam kenangan nama arwah. Eh macam kenal nama tersebut. Mungkin orang lain dengan nama begitu. Saya google. Eh memang dia. Rupa tidak berubah sejak dari universiti. Terkejut dan tidak sangka arwah sudah meninggal tahun lepas tanggal 19 Oktober. Sudah setahun. Walaupun tidak kenal rapat hanya satu kursus yang sama. Tidak pernah diletakkan dalam satu kumpulan tugasan. Tiba-tiba rasa sayu. 
Terjawab juga walaupun tidak kenal rapat pun hati boleh tersentuh.

Kembali pada yang suka kacau. Buka emel pagi ini hendak tengok kalau dapat emel daripada MySejahtera. Lain ditunggu lain yang tiba. Tetiba pula dapat mesej daripada suka kacau suruh telefon sebab dia kena Covid peringkat 3B. Aik peringkat pun ada A,B ke?

Takut pula dengan monolog hati ini.


Wednesday, October 27, 2021

Rezeki: Nasi Goreng Kampung

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Nasiblah tidak dapat ikut emak dan abah ke KL. Tapi kadang-kadang bagus juga tidak pening hendak pergi ke tidak. Rasa seronok duduk rumah. Hehe.

Apapun rezeki datang nasi goreng kampung daripada kantin Mok. Mok berniaga di dalam bangunan RISDA Jalan Ampang. 

Nasi Goreng Kampung



Banyak betul nasi. Gambar diambil lepas sudah makan separuh. Separuh simpan makan untuk sarapan esok.

Kenyang betul. Alhamdulillah.


Terima Hadiah Geng Kuat Komen Fasa 3 Julai-September

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Petang semalam sebelum keluar bersenam tengok peti surat ada surat untuk saya.

Alhamdulillah terima hadiah ke-3 untuk bulan Oktober yang kelam. Tengok sampul surat sudah dapat agak daripada siapa. Tidak lain tidak bukan ialah daripada blogger Shida Radzuan. Alhamdulillah terima dengan elok dan selamat daripada kebasahan hujan.

Buka sahaja terdapat 2 jenis 'mask' : pelitup separuh muka jenama Jovian dan topeng kecantikan. Boleh gunakan nanti.

2 Topeng Muka!



Terima kasih Shida yang rajin memberi hadiah. Semoga murah rezeki! Terima kasih.

Tuesday, October 26, 2021

Mummy Ayu's Birthday Giveaway

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

[SEGMEN TAMAT]

Jalan-jalan terjumpa satu peraduan mudah. Apa lagi terus ikuti. Syarat-syarat sangat mudah:
Klik gambar di bawah untuk tahu lebih lanjut.

Mummy Ayu's Birthday Giveaway



Tarikh tutup: 8 November 2021 (Isnin) 12 tengahari.


Monday, October 18, 2021

Rasa Hendak Lompat Bintang Tapi...

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Alhamdulillah hari ini selesai dapat dos ke-2. Ingat hendak lompat bintang tapi...

Tengok MySejahtera, bahagian Vaksinasi Covid-19, temujanji ke-2  tidak dikemaskini.




Alkisahnya saya pergi PPV Stadium Hang Jebat tapi sudah tiada. Ada papan tanda suruh pergi ke Lapangan Terbang Melaka untuk vaksin ke-2. Gelabah, pergi ke lapangan terbang pun PPV sudah ditutup. Macam cari harta karun pula ada notis KKM (tak silap). Panggilan telefon tidak diangkat. Jadi tekad ke PPV Encore Melaka. Oh lupa, ada pakcik ini hendak ikut dengan kenderaannya dari stadium. Pertama kali ke Encore. 

Alhamdulillah diterima, cuma petugas itu kata maklumat lokasi terima vaksin itu dikemaskini manual. Mungkin itu ambil masa. Harap-harap tiadalah lama sampai 2 minggu. Nasib baik ada kad vaksin tapi lebih lega kalau dalam MySejahtera telah dikemaskini.

Masa untuk menunggu...
Ada sesiapa ada pencerahan berapa lama akan dikemaskini untuk dapat sijil digital?

Salam Maulidur Rasul.

Wednesday, October 13, 2021

Berehat Sebentar Dengan KitKat Dan Mellow Crunch

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Kesabaran diperlukan akhir-akhir ini untuk memuatnaik gambar. Bukan salah Blogger tapi internet yang kejap ada kejap tiada.

Bayangkan untuk pos sebelum ini memerlukan 3 hari untuk memuatnaik gambar. Puas saya cari tempat: Tingkat teratas, tepi tangga, dalam bilik, tepi tingkap. Ikut nasib!

Nasib baik ada coklat. Rasa geram, kita rehat sebenar dengan KitKat dan Mellow Crunch. Kemudian cuba lagi nasib ketika waktu cuaca cerah matahari memancar . Untung sabut timbul.

Bahagian Hadapan Mellow Crunch



Mellow Crunch dengan bebola coklat dan coklat yang memberi tekstur rangup dan lembut berlemak.

Harap internet akan stabil semula.