Nuffnang

Tuesday, November 24, 2020

Terima Kasih Dana Miswan

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Ketika tidak disangka, tidak ditunggu-tunggu datang sampul surat putih pukul 10 malam.

Rupanya abah ambil dari peti surat sebab petang hujan. Terkejut ketika diriku yang sibuk ampai baju ditegur suara abah yang menyua surat padaku.

Surat Putih



"Basah!" Memang mudah gelabah betul diri ini. Cepat-cepat bawa ke atas. Syukurlah semua berbalut dengan plastik. Ala yang pernah dapat mesti tahu saya dapat apa kan? Tidak perlu beritahu. Tunjuk gambar.

Tasbih Biru + 2 Pemanjang Tali Pentup Muka 



Terima kasih Dana. Sayakah orang yang terakhir menerimanya? Hehe.


Saturday, November 21, 2020

Review: Maamy Mineral Essence Dan Magnesium Tulen

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...


Sehari  sebelum PKPB iaitu 8 November (Ahad), saya berkesempatan ke TESCO Bandar Melaka untuk membeli kali ke-2 set Mineral Essence dan Pure Magnesium. Saya sangat berpuas hati menggunakannya jadi ulang beli. Kali pertama beli pada 20 Februari (ingat sebab tarikh cantik) dan habis gunakan pada bulan Oktober jadi kena beli baru.

Maamy Mineral Essence dan Pure Magnesium



Saya membelinya kerana tertarik dengan penerangan pemilik Mineral Essence, Puan Maamy dan Mira di Radio Melaka. Mineral Essence ialah mineral ion tulen dari Australia. Ia merupakan asas bagi pemulihan sel-sel tubuh. Persekitaran dalaman badan kita mesti mempunyai mineral-mineral lengkap dan seimbang untuk meningkatkan replikasi dan pembaruan sel normal pada tahap optima. Tubuh manusia  terbentuk daripada 60-80 trilion sel. 

Untuk pengetahuan, saya mengalami kekejangan otot dan tapak kaki sakit sejak terseliuh. Saya syak tempat yang saya terseliuh itu tidak sembuh sepenuhnya. Ia memang memberi masalah kerana mengehadkan pergerakan: saya tidak boleh bergerak aktif tidak boleh berdiri lama, tidak boleh berjalan laju atau berlari. Sedangkan saya suka dalam keadaan bergerak, aktif. Jadi saya cuba kerana Maamy Mineral Essence adalah pembaik pulihan sel-sel badan secara semula jadi. 

  • Mempercepatkan proses penyembuhan
  • Meningkatkan daya ketahanan badan
  • Melindungi tubuh daripada serangan kuman
  • Membantu dalam segala aktiviti bio-kimia tubuh badan

Alhamdulillah penggunaan secara konsisten, saya nampak hasilnya. Saya boleh berdiri lama-lama tanpa rasa kejang atau sakit, laju berjalan dan aktif bergerak. Kadang-kadang lupa saya pernah alami kesukaran untuk berjalan. Apapun masih 90% pemulihan sebab saya tidak dapat habiskan 1.5 liter air mineral yang dicampur 33 titis Maamy Mineral Essence dan 11 titis Magnesium Tulen setiap hari. Rasanya kalau saya ikuti betul-betul, insya Allah kesihatan saya dalam optimum. 




Botol Maamy Mineral Essence

Cara hendak minum. 
  1. 33 titis ME dan 11 titis Magnesium Tulen dititiskan ke dalam air 1.5 liter air mineral (penutup biru/hijau)
  2. Air diminum mengikut berat badan 35-59 kg: 1botol air mineral 1.5 liter ; 60-84  kg: 2 botol air mineral 1.5 liter (3 liter); 85-99 kg: 3 botol air mineral 1.5 liter (4.5 liter)
  3. Habiskan air mengikut berat badan dalam sehari (pagi hingga malam)
Kelemahan: Tidak pasti dengan tepat jumlah titis. Alangkah bagus ada sukatan metrik macam 10 ml. Jadi 1 titis itu kadang-kadang sedikit kadang-kadang banyak. Lagipun jenuh kira. Kiranya kurang tepat.

Botol Pure Magnesium




Beli air mineral banyak-banyak. Itulah kelemahan saya rasa.

Harga satu set ialah RM260.

Kalau hendak tahu lebih lanjut boleh hubungi talian
010- 543  2728 (Maamy)
019- 988 6727 (Mira)
Alamat Syarikat HZ Anugerah Sdn Bhd
Lot 8021 - Aras 1 Bandar Satelit Islam Jalan Pasir Puteh
16150 Pasir Tumboh
Kota Baru Kelantan.

Tidak silap mereka ada buat penghantaran secara pos.

"You can trace every sickness, every disease and every aliment to a mineral deficiency"
-Dr Linus Pauling-


Terlepas 1

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Coretan sebagai kenangan untuk menangkap nombor. Kalau bukan rezeki. Susah juga menangkapnya. Buat kira-kira bila nombor itu akan muncul pun boleh terlepas. Terlebih 1 angka pandangan muka (page views).  

Sepatutnya 2 300 000 bukan 2 300 001  


Semoga berjaya siapa yang dapat tangkap nombor baru nanti di www.mamapipie.com


Wednesday, November 11, 2020

E-Novel: Dunia Rumah Alena- Bahagian 14

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...


Sambungan daripada novel sebelumnya. Lama tinggalkan kini saya sambung semula. Kalau hendak baca bolehlah klik pada E-Novel.

*************************************

Bahagian 14

Si Santa Claus itu telahpun menanggalkan janggut putih salji yang panjang dan topi merah 3 segi. Berubah daripada tua kepada pemuda dalam usia 30-an.

Alena menuding jari ke badannya seolah-olah memberi isyarat "me?". Itu untuk kepastian. 

Si Santa Claus itu menuding jari ke arahnya sambil memanggil 'makcik'. Sah kepada dirinya.

Siapalah ajar dia ini panggil aku yang muda ini makcik?" Alena bermonolog. 

"Oh!Hi" Alena membalas dengan memberi lambaian. Dia tidak selesa sebenarnya untuk borak-borak kosong dengan Santa Claus itu. Alena bangun daripada bangku perlahan-lahan, mata masih memandang ke arahnya.  
Alena tersenyum. " I' m not too old to be called makcik." Lepas itu cuba menjauhkan diri tapi si Santa Claus itu makin menghampiri. Satu langkah Alena ke tepi satu langkah pula si Santa Claus. Pelik keadaan. Dikejar dalam cara penuh diplomasi. Alena ke sisi bangunan pentadbiran Harbour Town. Macam main belon acah. Ada ketika mereka main cak-cak keliling bangunan pentadbiran Harbour Town. Alena ingin menjadi orang pertama masuk ke pintu masuk. 

Lega dapat masuk ke pintu bangunan. Dalamnya terdapat ruang tamu untuk pengunjung. Ada 2-3 orang juga dalam itu. Alena duduk di sofa menghela nafas kelegaan. Cemas juga. Kelegaan itu tidak lama apabila Santa Claus itu masuk. Dia mencari Alena dengan matanya. Apabila bertemu, dia tersenyum dan melambaikan topi ke arahnya. Kemudian menuju ke bilik pejabat.

Dia kerja di sini rupanya. Kata hati kecil. Dia mengerling pada Santa Claus itu dan Santa Claus itu memandang kepadanya. Dia cepat-cepat berpaling dan bangun untuk ke pintu untuk keluar. Niatnya terbantut.


Sambung


Monday, November 9, 2020

Menangkap Nombor Bertuah

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...


Senang tidak menjadi penangkap nombor? Bagi saya senang. Hehe kalau kita rajin melawat blog orang tersebut, tidak perlulah setiap masa tapi setiap hari, insya Allah. Ini kerana kita boleh tahu trafik orang tersebut dengan melihat trafik pengunjung dan agak nombor yang akan kena.

Pengira Pengunjung



Ok nombor bertuahnya ialah 1,315,000. Alhamdulillah dapat tangkap ikut formula yang diberitahu.

Hadiahnya sudah dapat petang tadi. Barang daripada Shoppee.

Bungkusan Hitam



Terus buka. Mula-mula ingat tudung tapi kain batik. Bolehlah buat kain baju kurung memang ada baju yang tiada kawan lagi. Terima kasih Syazni.

Kain Batik Hitam



Sesiapa yang berminat untuk  menangkap nombor ekor bertuah bolehlah ke blog-> www.syaznirahim.com. Perhatikan pengiraan pengunjung melalui pandangan web. Harap ada orang lain yang berjaya nanti. Kalau 2 kali terlepas, saya akan cuba lagi. Insya Allah.

Ok itu sahaja. Jumpa lagi.

Saturday, October 31, 2020

Kucing Garang

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...


Selamat petang semua. Sedar tidak sedar sudah penghujung bulan Oktober. Apa khabar semua? Harap mereka yang membaca gembira dan sihat. Amin.

Saya hendak cerita kucing yang menghuni rumah saya. Saya pernah cerita pasal kucing kuning dalam pos 'Makanan Kucing.' Boleh baca kalau hendak tahu lebih lanjut. 

Selepas itu ada kucing kelabu yang garang yang tumpang sekali. Jadi kena bagi makanan banyak dan sekerap 2 kali sehari. Kucing garang ini memang akan menyeringai kalau saya cuba hampirinya. Kucing kuning pula yang rajin mengiau untuk minta makanan. Mak saya kata ia dengar apabila saya keluar dari bilik tidur di atas. Jadi ia sudah bersedia di luar pintu.

Kucing Kelabu+Kucing Kuning



Kucing-kucing ini memang bukan jenis peramah. Memang tidak dapat dibelai tapi baguslah saya bukan suka belai kucing. Kalau dekat memang  lari. Saya ada ambil gambar. Kalau dekat sahaja,  kucing kelabu menderam atau lari.

Powercat 1.3 kg RM14.70



Semalam pergi Mydin MITC. Kali ini beli makanan kucing jenama Powercat keluaran Adabi. Makanan kucing pun ada yang menyihatkan. Ini makanan sampingan. Nasi atau protein tetap diberi.
 

Sunday, October 25, 2020

Akhirnya Tiba!

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Alhamdulillah selamat sampai sambal hitam roselle daripada Kak Nor Azimah pada 20 Oktober, Selasa. Lewat sehari. Risau juga takut tidak sampai ke tangan. Terima kasih kak sebab beri saya cuba sambal hitam roselle, penulis Asam Garam Kehidupan-> srikandiofficialblog.blogspot.com Kalau baca blog Kak Nor Azimah memang bermacam-macam kegunaan roselle dicuba.

Bungkusan daripada Kak Nor Azimah



Dapat itu saya terus buka. Dalamnya ada beg kotak kecil merah. Ada 2 barang diterima. Sambal hitam dibalut dalam plastik dan pembalut gelembung dan juga tudung pashmina dalam beg kecil merah beserta nota.


Sambal Hitam Roselle

Pashmina Kelabu


Nota Ucapan



Separuh simpan dalam bekas kecil dan selebihnya masuk dalam peti sejuk beku. Makan dengan nasi untuk lagi pedas.

Sambal Hitam Roselle Dalam Bekas Lutsinar






Sunday, October 18, 2020

Kenduri Aqiqah

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...


Selalunya setiap minggu akan sibuk menghadiri pelbagai jenis kenduri. Sehari sampai 2-3 kenduri perlu dihadiri.

Sejak PKPB boleh dikira dengan  sebelah tangan. Rasanya 2 kenduri saya hadiri. Kenduri aqiqah pula yang pertama untuk musim ini. Aqiqah ini untuk Aafiyah anak Amirul (3 pupu). Arwah Nek Inap (moyang saya) dan Nenek Busu (moyang Amirul) adik-beradik. Kami berhubung secara rapat. Acara diadakan di rumah Wan Robi di tanah adat. Jadi rumah Uwan dan Wan Robi berdekatan. Untuk pengetahuan tanah adat tidak boleh dipecahkan dan dijual. Hanya boleh diwariskan kepada anak perempuan (selalu anak perempuan pertama) Pelbagai penama jadi boleh tukar penama untuk penama lain. Misalnya rumah Uwan sudah tukar kepada nama emak (anak perempuan). Jadi tanah adat ini memang luas dan saudara-mara duduk berdekatan.

Ok cukup pasal itu. Acara dimulakan dengan marhaban pukul 10 pagi lebih. Selepas itu doa selamat.

Awal-awal makan kuih. Lepas itu pulut kuning untuk sarapan pagi.

Pulut kuning+Sambal+Rendang Daging



Terliur dengan kambing panggang. Makan ini dahulu.

Khemah Kambing Panggang


Sepinggan Kambing Panggang



Selepas itu makan nasi dengan daging masak lemak cili api, ayam goreng berempah, ulam, sambal belacan dan ikan masin. Tidak ambil gambar sebab tidak sempat dan ramai orang.




Kek kukus buah daripada Mak Long Sayang sebagai buah tangan sebelum pulang. Memang sekejap, pukul 12 sudah bersurai.




Saturday, October 10, 2020

Pemberian: Daripada Blogger Anies

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...


10 minit lagi ke pukul 4 petang. Kereta menghampiri pagar rumah.
"Tidak payah masuk kereta mengundur." Emak beritahu abah.
Saya mengelamun. Otak fikir bermacam-macam.
"Main campak bungkusan Pos Laju ni, "emak mengomel.
Saya nampak sekali lalu. Tidak pasti. 
Apabila turun daripada kereta, saya tidak nampak pula. Hanya nampak beg hitam untuk tanam pokok.
Mana eh? Monolog sendiri.

Hampir tersentak bungkusan itu di bawah kereta. Rosaklah barang dalam ini. Mana tahu barang mudah pecah. Cakap dalam hati.
Saya angkat. 
"Barang Zira ke?" Mak bertanya. Tidak habis-habis petik nama adik.
"Tidak." Isk kalau tahu baik saya jadi penunggu rumah ambil barang.
"Mak, pasal Pos Laju tidak bawa balik sahaja bungkusan ini? Main baling."






"Bungkusan banyak di Pos Laju."
Belek nama penerima dan nama item. Lega bukan barang mudah pecah. Ia tertulis 'telekung'.






Saya dapat telekung ada piping. Memang pernah berhasrat untuk ada sepasang. Terima kasih blogger Anies. Saya terus guna. Semoga murah rezeki. 
Ucapan ditulis pada  bentuk hati.




P.S: Mencabar tulis pos ini, gambar yang saya masukkan, hilang. Masuk lagi, hilang. Macam gam gambar asyik tercabut, lepas itu hilang.






Saturday, October 3, 2020

Makan Malam Di Restoran TAC, Petik Strawberi Dan Pulang

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Mari sambung cerita Cameron Highlands dan habiskan terus tentang percutian ini. Jenuh pula buat banyak bahagian.

Petang itu hujan lebat jadi kami tunggu hujan berhenti. Dalam pukul 6:30 petang hujan berhenti. Maka kami ke arah laluan MARDI sekali lagi untuk makan di Restoran TAC. TAC ialah singkatan Taman Apple Cameron. Kami bercadang untuk makan stim dan panggang. Ambil secara buffet.

Papan Tanda Restoran TAC

Alamat: 891 Persiaran Datang Endah, 39000 Cameron Highlands, Pahang.
No. Tel: 016- 225 0315

Tiada ambil gambar makanan yang ada. Kebiasaan ada pilihan protein seperti daging ayam, lembu, kambing, makanan laut, bebola dan sayur-sayuran. Ambil gambar anak saudara Nuha makan. Itupun bergegar.

Susunan Di Meja Makan



Pilihan makanan memang banyak cuma tiada nasi goreng. Air pula tidak banyak pilihan. Kopi O (black coffee with sugar) tidak pekat, rasa manis kuat. Apapun baguslah air tidak banyak nanti kenyang air sahaja. Aiskrim ada sebagai pencuci mulut. Makanan laut seperti ketam kurang segar macam adik ipar beritahu. Saya tidak makan ketam ketika itu sebab leceh. Lebih banyak makan daging yang dipanggang berbanding makan stim bot.

Secara keseluruhan selesa makan di sini. Kiranya sederhana. Sesuai makan seisi keluarga.

Balik ke apartment. Esoknya pagi-pagi kami sudah berkemas dan daftar keluar untuk ke S Corner sebab anak-anak saudara hendak petik strawberi. Adik hendak beri pengalaman memetik dan menggunting buah. Kami hendak cari sayur pada saat akhir. Jadi kami ucap selamat tinggal kepada adik kerana kami berpecah. Kami akan balik ke Melaka manakala adik ke Rawang.

Gunting Buah Strawberi


Berjaya Gunting Buah Strawberi



Ketika dalam perjalanan, kami singgah beberapa gerai. Emak turun mencari sayur-sayuran dan pesanan daripada makcik yang hendak bunga daisi. Alhamdulillah dapat semua, kami turun dalam 12 tengahari. Singgah R&R untuk solat.

Hasil Belian



Dugaan balik sebab hujan lebat dan lambat di beberapa tempat sebab ada kemalangan. Paling lama ketika hampir di kawasan Seremban.

Kereta Ditarik


Polis Trafik Mengawal Lalu lintas




Kami singgah rumah Uwan hampir Maghrib. Emak beri buah tangan dan makan malam sebelum balik rumah. Penat. Penat dalam kesesakan jalan.

P.S: Berita gempar hari ini- Donald Trumps kena Covid-19.
 

Sunday, September 27, 2020

Review: Nasi Ayam Hailam Pak Husin

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Kejadian ini berlaku bulan lepas ketika pemakaian penutup muka menjadi wajib. 2 Ogos, Ahad.

Warung di tepi jalan. Masuk sahaja lorong Kampung Bukit Dato B, jalan sedikit nampak warung tidak bernama di kiri jalan.

Nasi Ayam Hailam Pak Huisin


Kedai ini menjual nasi ayam hailam, bakso Champa, pelbagai jenis cendol dan kuih- muih. Ramai yang saya lihat beratur untuk bawa balik cendol dan saya lihat banyak cendol dibeli.

Saya memang teringin hendak makan nasi ayam yang sedap. Alhamdulillah nasi ayam di sini sedap dan muai. Banyak kuantiti nasi dan ayam. Sambal cuka diberi lebih dalam botol kalau tidak cukup.
Harga nasi ayam hailam ialah RM6. Keseluruhan saya beri 4 daripada 5 bintang.

Nasi Ayam Hailam



Panduan harga makanan lain

Bakso- RM5
Nasi Lemak- RM3
Cendol Biasa- RM3
Cendol Pulut, Jagung, Kacang- RM3.50

Bagi mereka yang hendak cuba bolehlah datang ke sini. SOP di amalkan.

Alamat: 
Nasi Ayam Hailam Pak Husin
Batu 7 1/2 Jalan Kampung Bukit Dari B
Tanjung Minyak
75250 Melaka
 013- 628 4234

Dibuka setiap hari kecuali Isnin dari pukul 8.30 pagi hingga 6:30 petang.


Saturday, September 26, 2020

Pemberian: Sejadah Biru

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Pin pin. Bunyi hon kenderaan pada lewat petang. Saya tengah khusyuk melayan siri Korea "Madly In Love."

Kawan abah agaknya. Selalu lewat petang kawan abah yang datang. Tetiba terdetik mungkin barang saya. Emel daripada Syazni mengatakan barang telah dihantar daripada Shoppee. Kata kemungkinan sampai 27 September. Mungkin tidak.

Abah sudah keluar. Abah masuk semula membawa bungkusan hitam yang besar. 

Bungkusan Hitam Besar



"Zira punya. Nanti abah hendak whatsapps dia."
Saya tidak sedap hati.  "Abah nanti," Saya ambil dan belek bungkusan.
Bukan Zira punya. Na punya." Semua ingat kalau barang sampai adik saya punya.

Sejadah Biru



Sampai cepat juga. Alhamdulillah. Sejadah yang tebal. Warna kegemaran: biru. Moga saya rajin solat. Terima kasih Syazni kerana pilih saya sebagai pemenang.