بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...
Satu lagi hadiah saya terima lewat petang. Sama sebab jadi tukang komen terbanyak Julai-Disember 2021 iaitu Pembancuh Kopi PCM-1902 jenama Pensonic. Memang nampak dari luar.
Gelabah sebab tidak pernah guna langsung. Jadi tiada idea macam mana ia berfungsi. Kalau sebelum ini Fiza bagi alat pembakar roti memang tutup mata pun tahu cara gunakan. Masa itu pun macam sibuk sedikit. Lepas itu penat. Jadi buka dan baca manual terlebih dahulu. Tengok perkakas dan aksesori. Buat ikut langkah-langkah tapi tersekat pada langkah 2 sebab tidak dapat buka bekas isi kopi. Ketat sangat. Takut hendak tarik kuat-kuat nanti rosak atau tercabut. Haha rasa macam mencabar betul benda baru ini. Apapun beritahu Fiza barang sudah sampai dan kata belum cuba sama ada berfungsi atau tidak. Gigih tengok YouTube. Ada video sebiji model sama. Nasib baik tengok kalau saya main buat ikut manual, saya mungkin guna kopi halus.
Esok pagi sambung tapi lewat pagi kebetulan abah ajak keluar sarapan.
Lepas itu teliti baca manual rupanya sebelum buat kopi pun kena 'bersihkan' bekas air dengan air sejuk atau saya guna air penapis 2-3 kali. Air terhasil dalam teko kena buang. Kali ini berjaya buka bekas kopi sebab ada selak yang ketat. Itulah kena perhati betul-betul. Nasib baik tapi tidak buat kopi sebab sudah buat kopi awal-awal. Lagi pula was-was sebab tiada kopi yang diberitahu dalam video YouTube. Beritahu Fiza kena cari kopi khas ini. Haha nampak sangat jahil pasal mesin kopi. Nasib baik Fiza kata kopi kampung boleh. Oklah buat esok. Cukup pembelajaran tentang mesin kopi ini.
Ok barulah buat kopi.
Isi air ikut suka hati. Saya letak 6 cawan air yang sudah dirawat. Cukup 1 lebih mug kopi
2 sudu kopi Sekunak. Kopi yang bukan kisar halus. Kopi kampung pun boleh. Letak serbuk kopi seperti dalam gambar di bawah:
Tutup bekas isi kopi.
Letak teko disediakan ke tempat yang betul. Tekan butang hidup.
Tunggu habis air dititiskan ke dalam teko baru tutup suis.
Tuang dalam mug. Pegang pemegang hitam. Hati-hati jangan pegang kaca teko.
Lepas itu minum begitu sahaja atau letak gula atau susu pekat. Saya letak susu pekat.
Sedia diminum.
Terima kasih pemilik blog www.azhafizah.com kerana memberi saya hadiah ini.