Nuffnang

Monday, October 10, 2011

Penghargaan Terima Kasih


 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Dah lama tak buat tulisan penghargaan terima kasih ni. Apabila dilihat pada pos lama barulah teringat. Ingat nak buat sebulan sekali tulisan terima kasih sekali terlupa pula.

Tak rugi pun menyatakan penghargaan kan? Malah Allah tambah-tambah lagi kalau kita bersyukur. Lain orang lain cara. Ada buat pemberian, peraduan dan macam-macam kan. Saya cuma dapat balas lawatan dan semestinya doa juga (sebenarnya doa kan patut untuk para Muslimin Muslimat)  serta pos khas ni.

Terima kasih yang sudi singgah sama ada secara tersinggah atau memang dah tahu blog ni lalu singgah. Hehe kalau saya rajin, boleh ditukarkan cara dengan beri hadiah pula kan satu hari nanti. Satu cara menghubungkan silaturrahim tu dengan pemberian hadiah. Lagi erat. Macam dicadangkan oleh Rasullah. 

Terima kasih juga kepada pembaca senyap dan tak lupa bekas rakan sekolah saya harima. Sokongan saya hargai.

Ok itu sahaja. Jumpa lagi.

P.S: Tolong doakan saya tak lupa diri. Hehe. Takut lupa daratan.


Bunga Untuk Yang Singgah :)




Kenangan Ketika Menonton Jewel In The Palace


 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Selamat petang semua. Tengah buat apa tu? Mesti ada yang ambil angin di luar, minum petang tengok tv, beriadah.

Oklah tak reti nak pusing-pusing cuma nak kongsi sesiapa peminat siri drama Korea. Pernah tengok siri 'Jewel In The Palace Tak'? Siri ni memang popular kan? Kali pertama tak silap 7 tahun dahulu. Cepat masa berlalu.

Saya pun sebenarnya tak pernah tengok siri ini sepenuhnya. Ada tertinggal juga episod. Cuma Jumaat lepas (tak silap saya), saya ada terbaca di suratkhabar, siri ini muncul semula di TV Hijrah. Tak sangka pula. Jadi tadi pukul 3:30 petang memang buka siaran al-Hijrah tengok memang ada. Tapi dah mula ketika Changjin tu cuba ubatkan anak maharaja dan dia kehilangan deria rasa. Bahagian ini memang menarik sebab dia nanti kena tolong Puan Han untuk bertanding jawatan Istana Dapur 1 (tak ingat nama)

Masa tengok siri ni, teringat dulu-dulu ketika borak di laman sembang tengah siri ni tersiar di tv 8 kul 8, tanya pada si rotary (nama samaran) 

Saya: Rot, awak tengok tak siri Changjin tu?
Rotary: Cerita masak-masak ke? Mengarut jer.
Saya: Mana ada mengarut. Tu ada ajar cara memasak dan tunjuk masakan Korea yang unik. Macam-macam dan banyak juga eh makanan dan teknik dalam masakan.
Rotary: Tak best. Baik ko tengok siri pasal motor ke.
Saya: Eleh, tak best awak tengok gak. Ni camne leh tahu siri Changjin tu pasal masak-masak? Saya tak cakap pun siri Changjin siri pasal masak. Haha kantoi. Awak tengok kan. Haha (saya dah gelak kuat)
Rotary: Aku tertengok la. Mak aku bukak.
Saya: Ala ngaku jerla. Ceh salahkan mak pula.
Rotary: Aku tengok mula-mula jer.

Lepas tu perbualan ke topik lain. Nak tutup malu la tu. Kahkah lawak betul budak ni.

Jewel In The Palace- Imej Google


Ok siapa-siapa yang nak tengok siri tu bersiaran dari Isnin hingga Khamis pukul 3:30 hingga 4:30 petang. Seronoknya siri ini guna suara asal dan bahasa Korea tak macam dulu tu guna bahasa Cina. Iklan pun tak banyak. Jadi memang takde terganggu sangat tengok siri ini.

P.S: Saya tanya chatters lelaki lain, ok jer ada yang tak malu mengaku tengok siri ni. Malah ada yang beli vcd siri ni. Apsal si rotary ni malu nak mengaku. Bukan cerita porno pun. Pelik tul tak hilang kelakian tengok cerita masak-masak ni.

P.S.S: Pembesar Min tu kacak kan? :)


Lambat


 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Hari ini (ke semalam) lambat buka kilang ni maknanya lambat tutup kan sebab tuan blog ni takleh tidur. Maka haruslah menulis satu pos untuk memenuhi masa. Berjalan ke blog orang dah pun dilaksanakan dan pastinya ketika ini semua (semua ke?) yang dah beradu di katil empuk.

Bercakap pasal lambat ni kan, saya perasan ada beberapa blog saya lambat dapat pos terkini. Maksud saya in-real time ok, saya buka google reader dan dashboard, tulisan pada blog tertentu lambat masuk. Bukan apa, apabila tulisan tu masuk, saya tengok waktu disiarkan dan waktu diterima tu lewat. Kalau lewat seminit dua tu takpe. Ni ada lewat sampai 1 jam. Ada 1 blog ni sampai 2 jam. Cuba korang tengok kat bawah.


Diterbitkan 1:10 Tapi Terima 2:07 Pagi 10 Oktober




Lagi satu ada blog pula pos terkini tak kemaskini masuk google reader dan dashboard. Kadang-kadang pelik gak. Bukan apa kalau takde kemaskini tulisan/pos maka tak teringat. Cuma apabila dah siap jalan-jalan ke blog yang selalu singgah baru teringat blog orang ni. Itupun teringat sebab dia komen. Eh terdetik, takkan tak kemaskini kut? Tengok-tengok ada pos baru dia tapi tulah kat dashboard dan google reader takde. 

Saya tak suka letak dalam blog senarai blog sebab kalau dalam google reader lagi tersusun macam emel. Susunan nama blog di sebelah kiri dengan pos-pos/tulisan-tulisan di sebelah kanan. Kalau klik satu nama blog di sebelah kiri, maka pos-pos blog tersebut keluar disusun dari tulisan terkini ke tulisan lama (tengok di bawah)

Contoh Tajuk Tulisan Kerana Lily Disusun Mengikut Pos Terkini Hingga Pos Lama.


Lagi pula saya ada lebih 183 blog yang saya ikut atau langgan. Kemas, boleh tengok semua pos-pos semua blog.

Korang ada masalah tak, pos keluar lambat kat dashboard? Takpelah ni luahan saya untuk bunuh masa saya kat blog. Hehe. Jumpa lagi.

P.S: Apapun Google Reader masih di hati. Bukan semua blog saya hadapi lambat dapat pos. Cuma kadang-kadang apabila lambat masuk pos terkini maka lambat komen.


Sunday, October 9, 2011

Di Persimpangan Dilema


 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Semalam ketika di dapur ketika melihat kelibat tubuh emak memasuki dapur, saya bertanya kepada emak  kerana inginkan jawapan sementelah kerajaan menaikkan usia persaraan daripada 58 ke 60 tahun (Belanjawan 2012). Perasaan ingin tahu membuak-buak.

"Mak, nanti nak teruskan bekerja atau bersara tahun depan?"

"Tak tahulah kena tunggu dapat surat daripada kementerian."

"Kalau dapat surat, mak nak sambung tak?"

"Entahlah. Tengoklah camne."

Kali ini nada mak tak melambangkan keyakinan mahupun keterujaan. Bermakna mak tak sangka yang umur persaraan dilanjutkan lagi. Ketika mak berumur 54, Belanjawan 2009 keluar memberi peluang pekerja melanjutkan lagi usia persaraan daripada 55 ke 58, mak tanpa teragak-agak menerima pilihan untuk menyambung perkhidmatan. Apabila mental dah bersedia untuk bersara, diberi peluang keemasan tentulah rasa serba-salah. Persoalan adakah mak akan ambil atau tidak kalau surat pekeliling sampai?

Tunggu dan lihat. Apapun pilihan mak, saya tumpang gembira.

P.S: Ramai cakap mak saya seorang yang kuat bekerja.


Saturday, October 8, 2011

Monolog Hujung Minggu


 بسم الله الرحمن الرحيم

Tak boleh mengharapkan atau terlalu bergantung kepada bantuan atau janji orang lain. Jangan letakkan harapan pada orang kelak merasa kecewa dan merana. Manusia memang tak mampu menolong secara mutlak.

"Prepare for worse". Bukan bermakna bersangka buruk tetapi bersedia untuk terima sebarang kemungkinan yang kita tak suka supaya kita tabah dan tidak terkejut beruk macam tidak menjangka keadaan malang itu tidak akan singgah pada kita.

"Don't be too happy." Bukan bermakna tidak boleh gembira tapi gembira biarlah berpada-pada supaya sedar ia boleh hilang sekelip mata. Sila wahai diri bersyukur pada Allah.


Dah Nak Setahun Dan Punca Pondan


 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Apa yang dah nak setahun tu? Hampir setahun meninggalkan alam percintaan? Tidak. Bukan. Sebenarnya pada bulan ini pada tarikh 29 Oktober maka akan genaplah setahun usia blog ini. Alhamdulillah bertahan dan tetap saya menulis pada blog ini. Hehe alam blogging sangat menyeronokkan. Segelintir dah tahu saya sebelum ini menulis blog di tempat lain yang lebih terpencil tapi sekarang di sini lebih luas pembaca. Asal-asal pun nak buat blog ni biasa-biasa untuk kenalan rapat tapi rasanya alang-alang berblog biarlah kita menulis memberi manfaat pada sesiapa yang singgah.

Kalau blog lama memang sempoi dengan hanya pos tulisan semata-mata. Tiada perabot lain, tiada kain rentang, tiada kotak jerit dan semestinya tiada iklan. Di sini semuanya ada. Bulan depan pula setahun menggunakan Nuffnang. Terima kasih Nuffnang kerana tidak mengecewakan.

Eh tukar topik sedikit, kelmarin dan semalam ruangan Ratu Berita Harian, saya ada baca mengenai salah makan punca pondan. Hujahnya bahan kimia dalam sajian jejas hormon menyebabkan genetik tidak normal. Korang setuju ke dengan pedapat ini?


P.S: Berhati-hati apa yang kita makan



Friday, October 7, 2011

Mengulang Baca Novel


 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Selamat malam semua. Hari ni lambat pula buka kilang (blog) Haha gelabah membalas komen dan singgah blog. Terasa macam tak cukup masa nak buat macam biasa.

Disebabkan mengulang semula membaca novel terbitan Jemari Seni tajuk Dame Zoete Sarah. Sapa dah baca? Saya beli tahun lepas masa Pesta Buku di KL. Mengulang baca sebab dah lupa jalan cerita cuma ingat secara kasar Sarah menjadi buruan polis setelah kematian seorang penagih. Dia juga diburu penjahat juga sebab dia ada formula dadah baru. Lupa dah nama dadah tu. Baru baca bab pertama. Novel ni memang mendebarkan selalu buat adrenalin meningkat, teruja nak tahu apa kesudahan. Novel nukilan Khairyn Othman memang tak pernah mengecewakan saya setakat ini. Eh ni buku kedua yang saya baca. Novel pertama yang saya baca Zahrah de Tigris memang membuat saya terfikir tentang perang di Iraq.

Bilalah saya nak tambah koleksi buku dan terutama novel ni? Ada buah tangan baru si Khairyn ni nak kena beli.

Ok itu sahaja luahan saya. Jumpa lagi.

P.S: Saya hantu buku.


Membaca Sambil Makan Coklat Memang Nikmat




Thursday, October 6, 2011

Spontan Khamis 6 Oktober


 بسم الله الرحمن الرحيم


Nak tulis ulasan mengenai siri Top Chef Just Desserts musim ke-2. Siapa akan menjadi juara? Masih jauh lagi perjalanan siri ini tapi saya rasa Mathew, Chris atau Carlos akan menjadi peserta melangkah ke peringkat akhir.

Salah Satu Hasil Air Tangan Peserta Top Chef Just Desserts Musim 1





Menggunakan Lebihan Bahan Yang Tinggal Dan Resipi Minuman Mudah: Susu Kocak Atau Milk Shake


 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Dah lama tak berkongsi resipi di blog ni. Maklumlah bulan Syawal banyak makan kat luar jadi masak-masak kat rumah ni kurang. Tapi hari ni saya nak kongsi resipi buat susu kocak.

Aspirasi daripada tinggalan separuh besar tembikai dan susu segar daripada tinggalan adik juga. Haha adik suruh habiskan susu segar. Kebetulan tarikh lupus 8 Oktober ni, maka nak minum satu kotak 1 liter semata-mata tak lalu. Eloklah buat susu kocak tembikai. Ni korang boleh gantikan tembikai dengan buah lain. Kalau korang ada buah yang tak boleh habiskan sebiji atau buah tu hampir benyek. Mudah sahaja nak buat.

Bahan-bahan:
Susu segar
Tembikai
Ais
Sedikit gula (pilihan)

Cara membuatnya lagi mudah. Masuk semua bahan tu dalam pengisar dan kisar. Lupa pula nak terangkan bahagian susu dan tembikai tu. Biar susu tu tenggelamkan atau sama paras dengan tembikai pada pengisar. Kisar sampai hancur tembikai tu.

Ok gambar takde tapi korang boleh bayangkan rupa macam mana kan? Nanti saya tepek di kemudian hari. Selamat mencuba.

Ok itu sahaja nak kongsi. Jumpa lagi tulisan akan datang.

P.S: Saya baru perasan tajuk tulisan saya mesti panjang-panjang.


Wednesday, October 5, 2011

Andainya Saya Tiada


 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Selamat malam semua. Alhamdulillah bertemu kita kembali pada tulisan ini. Awal pagi tak dapat buka pc yang asyik 'shutdown'. Nasib baik apabila petang dah boleh buka. Takpelah bersangka baik bahawa PC juga memerlukan rehat yang cukup setelah pulun tengok siri internet dan melayan blog sampai pukul 2 pagi. Tapi andainya satu hari nanti pc umum ni 'kaput' mesti saya seperti cacing kepanasan. Ada pernah pc ni takleh hidup pada bulan April lalu. 2 minggu gak la termenung tak dapat melayari internet. Nasib baik ada adik yang bijak bistari si H tu yang tengok apa masalahnya. Tapi masa tu makan jerla kata-kata nasihat yang diberikan. Haha. Ikutkan dia tak kuasa nak betulkan tapi sebab abah nak juga pakai. Hehe saya tak reti betulkan. Ni tak tahulah kepada siapa nak mengadu kalau ada masalah sebab H dah terbang jauh ke hemisfera selatan.

Maka nak tak nak saya kenalah bertanggungjawab menjaganya. Saya akan buat apa yang sepatutnya. Jadi saya akan kurangkan sikit masa untuk melayari internet dan menggunakan komputer ni. Kalau orang lain akan harap ada masa lebih untuk melayari internet dan melawat blog. Saya pula akan kurangkan.

Ok itu sahaja luahan nak saya coretkan. Eh saya kurangkan tau bukan tiada. Melayari internet akan dibuat petang-petang paling awal pukul 5 atau pukul 6. Pagi dan sebelum pukul 5 takkan dibuat kecuali ada kes khas yang dipertimbangkan penulis.


P.S: Takde yang jawab apa jadi pada House. Ok sesapa nak tahu pengakhiran episod pertama tu: House tak dapat parol sebab buat hal di klinik dan pesakit tu bukan ada penyakit lupus.


P.S.S: Selamat mencapai umur 22 tahun wahai adik 

Ok jumpa lagi jika diizinkan Allah. Kalau saya diam tak menulis ada sebab la tu kan :) Tiada yang fana kekal selama-lamanya.

Gambar Hiasan
 



Gambar Dapat Mewakili Beribu- Ribu Perkataan: Statistik Pada Satu Masa



 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum... 
Lepas poskan tulisan ini.



Tuesday, October 4, 2011

Sinopsis Siri Tv: House S08E01 Twenty Vicodin


 بسم الله الرحمن الرحيم

For foreigners, please use Google Translate to translate this post :)

Assalamualaikum...

Akhirnya siri terbaru House (siri ke-8) episod pertama muncul semalam di saluran FOX pukul 9 malam di US. Di tv Malaysia belum ditayangkan tapi dapatlah tengok di internet. Siri House ni antara siri kegemaran dan ditunggu-tunggu. Jalan cerita setiap episod dan siri makin lama makin menarik. 
Pemegang Watak House, Hugh Laurie - Imej Daripada Google

Kalau pada episod terakhir siri lepas, House langgar rumah Dr Cuddy dan melarikan diri ke luar negara selama 3 bulan. Untuk episod terbaru ni, pada permulaan ditunjukkan House di hadapan pegawai-pegawai untuk penilaian parol. Salah seorang penilai tu tanya dia menyesal tak? House yang terkenal dengan sikap sarkastik cakap kena ke rasa menyesal untuk dilepaskan? Lepas tu sorang pegawai lelaki tu cakap boleh tak awak tak timbulkan masalah selama 5 hari di penjara? Kalau boleh, dia akan dilepaskan. Wah dari sini dah tertarik nak tahu House boleh tahan ke tidak.
House Dengan Alatan Untuk Membersih Menuju Ke Klinik- Print Screen Daripada PC


Lepas tu jalan cerita berjalan tunjukkan setiap hari selama 5 hari.
Isnin- Permulaan hari, setiap banduan ambil ubat termasuk House. House kemudiannya meludah semula bagi ubat kepada seorang banduan ini namanya Middleton. Ditunjukkan perangai House membantu banduan satu sel untuk ambil ubat. Ok ni semua pengenalan watak-watak baru macam ada seorang banduan mengadu sakit lutut dan siku. House marah suruh dia pergi jumpa doktor. House ke selnya mendapati Roland (banduan lain) mencuri makanan. Roland dah tahu House akan dilepaskan Jumaat jadi House tak boleh melakukan kekecohan atau kekerasan. House ada tugasan membersih di klinik banduan, terdengar doktor perempuan memberi preskripsi salah kepada banduan yang mengadu sakit kepadanya. House mencelah suruh rawat untuk lupus. Doktor perempuan tu tanya macam mana boleh tahu pasal hal perubatan dan seorang doktor lelaki memberitahu House ni seorang doktor.

Selasa- Isnin malam Selasa, House tak dapat tidur kerana bunyi cengkerik. House nak bunuh cengkerik tu tapi rakan sel yang bengis tu tak bagi House bunuh kerana itu binatang peliharaan dia. Ironi kan? House pergi ke sel banduan yang sakit untuk cari ruam pada badan bagi membuktikan teori yang banduan tu ada lupus. House jumpa doktor perempuan dan berhujah banduan tu ada lupus. Doktor tu tanya mengapa House masuk penjara. Sementara tu Middleton tahu yang House nak keluar penjara paksa House untuk curi ubat dengan lebih banyak.
House Dengan Doktor Perempuan Yang Merawat Banduan Yang Mengadu Sakit -Print Screen Juga


Ek panjang kalau cerita sampai habis. Apa terjadi pada House? Adakah dia dapat keluar penjara atau duduk penjara lagi selama 4 bulan? Bagaimana dengan banduan yang sakit tu adakah memang mengalami lupus? Nak tahu kenalah tengok :) Korang bolehlah agak/teka dengan tinggalkan komen apa terjadi selepas itu. Sesiapa peminat House bolehlah pergi tengok siri ni di internet.

Rakan 1 Sel Ketika House Merawat Cengkerik Banduan Ini. House Mengucapkan Terima Kasih Kerana Tidak Membunuhnya- Print Screen Daripada PC

Dah lama tak buat sinopsis siri. Kali terakhir episod akhir Masterchef Australia musim ke-3.

Ok itu sahaja. Jumpa lagi. 

Kemaskini 5/10: siapa nak tahu pengakhiran House boleh dapatkan di sini.


Monday, October 3, 2011

Jangan Ditanya Pada Orang Tidak Sepatutnya Menjawab


 بسم الله الرحمن الرحيم

Seperti tajuknya yang panjang kalau dipendekkan bolehlah disimpulkan sebagai jangan tanya soalan bodoh kepada orang yang tidah tahu jawapannya.

Assalamualaikum...

Seperti yang dijanjikan dalam pos sebelum ini.

Dalam pukul 2 petang, tiba-tiba Uncle Mamat bertanya pada salah seorang anak perempuannya di mana nak buat 'meeting' atau persidangan. Majlis perkahwinan belum tamat lagi. Maka diputuskan untuk bersidang secara bersila dan duduk di kerusi tidak jauh dari pelamin. Sementara nak cukupkan korum menanti semua adik-beradik abah duduk (kecuali Uncle Mamat yang sibuk melayan tetamu datang di luar) saya dan beberapa orang lain sempatlah menyibuk ambil gambar bersama pengantin.

Mesyuarat tu untuk adik-beradik abah tapi memandangkan saya tak tahu nak buat apa lagi maka saya ikut sekali mendengar bersama emak. Diikuti kemudian oleh adik perempuan, Y dan Adiva,anak saudara saya. Tukang cakap ialah Pak Ngah. Suara Pak Ngah antara dengar dengan tidak. Jadi buatlah muka pura-pura khusyuk tetapi hati tertanya apabila Pak Ngah sebut nak buat pernikahan pada 26 November ditunda kepada 10 Disember 2011. Sapa pula nak kawin ni? Hati tertanya. Dalam fikiran timbul mungkin salah seorang sepupu TAPI musykil gak sebab sampai buat mesyuarat pula.

Akhirnya tak tahan dengan rasa ingin tahu maka saya bertanya pada emak dan Y. Terlopong dan bagai tak percaya mendengar jawapan. Tidak menyangka yang satu masa terbuka hatinya untuk kahwin. Saya tak pernah tanya soalan yang bagi saya sensitif. Soalan "bila nak kahwin?" adalah soalan yang tidak sepatutnya ditanya pada orang tersebut sebaliknya ditanya kepada pembuat diri tuan punya badan. Tahu kan siapa pembuat diri tuan punya badan? Kalau tak tahu memang tak patut.

Apapun alhamdulillah saya nampak hikmahnya terkandung di dalamnya akhirnya jodoh dia sudah sampai walaupun lambat pada pandangan kita sebagai manusia yang tidak sabar. Saya seolah-olah nampak yang jodohnya sampai ketika tanggungjawab menjaga kedua ibu bapa (arwah nenek dan datuk) sudah selesai. Ye arwah atuk baru sahaja meninggal tahun lepas. Dia yang menjaga arwah atuk serta sebelumnya arwah nenek (dah 13 tahun meninggal) Dia adalah orang yang akan memberitahu anggota keluarga yang lain akan kesihatan datuk. Rupanya inilah rahsianya mengapa jodoh dia lambat. Allah Mengetahui dan Memberikan tanggungjawab tersebut pada dia.

Ok dia ni ialah Makcik Minah. Rasa terkejut tu disulami mahu usik-usik Makcik Minah. Saya sebenarnya tak sangka Makcik Minah nak kahwin sebab sejak saya kecil hingga sekarang tak pernah Makcik Minah sebut pasal pakwe atau pasal dating ke hapa. Jodohnya tiba pada usia hampir 50 tahun. 

Saya terfikir semalaman mengenai Makcik Minah yang sabar jaga kedua ibubapa maka ganjarannya perkahwinannya dirancang untuk dibuat oleh adik-beradik (ditanggung). Itulah tujuan perbincangan. Masing-masing nak buat apa. Abah saya yang menjadi bendahari Keluarga Harun (nama arwah atuk) akan uruskan kewangan. 

Tak rugi berbakti kepada ibubapa dan sabar jodoh yang lambat. Cuma saya nak sedarkan kepada yang membaca tulisan saya ini tolong jangan tanya soalan bodoh kepada yang belum bertemu jodoh walaupun kamu rasa dia sepatutnya dah kahwin ke. Kamu bukan tuhan. Kamu bukan pengatur rezeki dia dan semestinya kamu tak berkuasa. Allah lebih mengetahui dan telah letakkan sesuatu sebab yang kamu tak tahu yang menyebabkan jodoh dia lambat. Hidup merupakan tarbiah untuk kita. Ia penuh hikmah dan rahsia.

Janganlah cakap tanpa akal dan menuduh seseorang yang belum kahwin tu terlalu memilih, tidak bergaul dan sebagainya. Jodoh datang apabila sudah sampai waktunya ketika itu ia tidak dapat dihalang seumpama ajal juga yang tidak kita sangka bila.

Na kagum dengan Cik Nah. Semoga berbahagia.

P.S: Rancang macam gemilang je majlis. Hehe.

P.S.S: Si M (adik bongsu mesti melopong juga semalam apabila mak beritahu dia. Weh balik Malaysia tau kalau ada cuti) 

P.S.S.S: H, kalau baca pos ni cepat-cepat telefon. Haha. Ke dah tau? :)



Gambar Hiasan



Sunday, October 2, 2011

Cuba Teka Peristiwa Yang Buatkan Saya Fikirkan Semalaman


 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Nampaknya cuti hujung minggu ini dihabiskan dengan berjalan ke kenduri kahwin dan memang tak tidur di rumah. Jadi memang takde kemaskini blog semalam.

Hari Jumaat lepas Maghrib bertolak ke rumah arwah atuk (belah abah) di Sungai Penchala untuk tidur kerana lepas Subuh kami (emak+abah+saya) akan ke Tanjung Karang Kuala Selangor untuk majlis pernikahan dan persandingan sepupu saya Hakimah dan pasangannya Mohd Azri. 

Lepas habis majlis persandingan, kami bertolak ke kampung Wan (belah emak) di Tampin. Tidur sana sebab kami (emak+abah+Wan +saya) nak ke kenduri kahwin di Seremban pula.

Puas hati makanan sedap dan saya pun dapati  kenduri kahwin ni makanan makin lama makin sedap serta pelbagai pula tu. Masa Hakimah kahwin tu ada soto nasi dan soto bihun selain dihidangkan dengan nasi putih beserta lauk-lauk yang mengancam macam keladi masak air, nangka masak lemak selain rendang, ayam golek, ulam-ulaman, sambal belacan dan ikan masin. Itu tak kira lagi pencuci mulut macam kuih lopes, dodol, wajik dan aiskrim. Banyak betul makanan. Nasib baik kami ni saudara-mara pengantin bolehlah duduk lama-lama jadi makan pun entah berapa pusingan.

Sebenarnya saya nak cerita satu peristiwa yang saya tak sangka berlaku dan buatkan saya terfikir semalaman. Cuba anda agak apa saya fikirkan? Nanti saya cerita pada pos akan datang sebab ni baru nak panaskan jari-jari setelah sehari tak menaip.

Jumpa lagi.

 

Friday, September 30, 2011

Mahu Kriteria Jiran Blog Yang Begini


 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Tiba-tiba terfikir lak pasal nak ada jiran blog. Macam seronok pula kan kalau ada jiran blog. Jiran blog ni walaupun tidak dapat dilihat dengan mata kasar tapi rasanya sama juga konsep jiran rumah. Kalau boleh naklah ciri-ciri jiran yang baik seperti peramah, baik hati, menyokong, menasihati kalau jiran buat silap dan UTAMANYA ada amalkan selalu saling bertandang/kunjung-mengunjungi antara satu sama lain, bertukar-tukar cerita (dalam blog kata istilah tukar cerita dalam bentuk pos), bertukar-tukar pandangan (melalui komen) dan memerhatikan blog kita apabila kita takde. Lagi markah tinggi kalau jiran tu beri atau saling bertukar-tukar makanan. Itu jiran depan mata yang konkrit dan nyata tapi di alam maya ni jiran yang beri atau tukar-tukar lukisan ke atau apa-apa yang bersesuaian dengan dunia maya.

Apapun saya rasa ni perlukan persetujuan bersama untuk jadi jiran blog. Kalau alam nyata, kita takde pilihan tinggal sebelah sapa kan? Melainkan kita pakat-pakat dengan orang tertentu untuk beli rumah/sewa rumah sebelah-menyebelah.

Ada pandangan/isi nak tambah mengenai ciri-ciri atau kriteria jiran blog yang baik atau apa-apa kaitan mengenai jiran? Boleh juga tinggalkan di ruangan komen.


P.S: Ada berminat nak jadi jiran blog saya yang memenuhi ciri-ciri dinyatakan? :) 

P.S.S: Lepas Maghrib nak pergi KL. Jumpa kemudian.




Thursday, September 29, 2011

Coretan Ini Untuk Awak


 بسم الله الرحمن الرحيم
(Tulisan panjang daripada kebiasaan)

Kehadapan awak yang asyik saya ingati semoga sihat dan berbahagia hendaknya.

Pertemuan kita secara tidak sengaja kan? Saya yang ketika itu teruja untuk bermain roller-coaster Superman Escape di Movie World tapi apakan daya emak dan abah takmo naik. Atas dasar teringin naik (walaupun takut) saya pergi juga sorang-sorang beratur. Tak sangka ramai yang beratur TAPI mereka semua beratur ada kawan. Saya sorang-sorang. Tak boleh bawa apa-apapun hatta beg pun kena simpan dalam loker. Ketika beratur tulah awak datang bersama rakan beratur di belakang. Suara awak macam Gerard Butler telah masuk ke gegendang suara ketika awak berborak dengan rakan awak. Tapi oleh kerana saya rasa gemuruh, saya tumpukan pada diri dan berselawat. Kadang-kadang rasa nak berundur dan keluar daripada barisan apabila kita semakin hampir ke hadapan untuk ke roller-coaster. Jantung saya makin lama makin berdegup kuat. Macam nak terkeluar rasa.

Ya Allah ketika sampai depan pemeriksa perempuan, dia ukur ketinggian. Ok lepas. Dia suruh kosongkan poket (sebab roller-coaster ni sampai menterbalikkan badan). Saya dah kosongkan. Tapi syarat ke-3, suruh buka cermin mata. Oh tidak! Rasa makin pening apabila buka spek. Bertambah rasa takut. Ketika itu ada demo untuk naik roller-coaster tu ada disebutkan mengenai G-Force. Awak teruja bercerita kepada kawan awak. Sungguh saya tertarik mendengar perbualan awak yang sangat berinformatif. Kita bergerak hingga lepas pemeriksaan tiba-tiba perempuan pemeriksa tu bagi saya spek semula sebab hujan lebat pula, operasi Superman Extreme diberhentikan seketika. Saya tak sangka yang saya selalu perhatikan awak dari ekor mata awak dapat tangkap. Pandangan kita bertemu dan awak senyum (masa tu awak dan kawan awak dah selamba duduk tak jauh daripada saya sedangkan saya berdiri seorang ketakutan). Aduh bertambah mahu pengsan.

Silapnya saya sepatutnya membalas senyuman awak tapi sebaliknya saya berpaling tanpa tersenyum pun. Tapi ketahuilah selepas saya berpaling, saya rasa menyesal dan saya tidak berani nak tengok muka awak.

Hujan yang tidak mahu berhenti membuat jiwa saya terseksa kerana terpaksa menunggu untuk naik roller-coaster dan rasa bersalah yang ada. Lama menunggu saya semakin tak keruan maka saya cabut lari dari situ.

Ingatkan sampai di situ sahaja tapi ingatan terhadap awak tak dapat dilupakan apabila saya transit semula ke Gold Coast dan ketika menonton Leap Year di hotel apabila tengok babak antara Anna Brady Declan O'Callaghan, saya teringatkan awak. Lagilah dengan lagu I've Got You macam ada kena-mengena dengan saya.
Saya rasa sebab saya tak layan awak dengan baik saya kena begini (teringatkan awak). Rasa serba-salah. Moga awak pun ingat saya dan maafkan saya. Moga Allah pertemukan kita semula supaya saya dapat minta maaf pada awak.

                     Yang rasa bersalah
                                 -wina1979-




Kat Dalam Superman Escape Tu Kita Jumpa. Abaikan Gambar Abah :(


Nampak Tu Wild Wild West Falls Dari Atas Dijunamkan Kami Ke Dalam Air



P.S: Akhir sekali saya dah pucat lesi main Scooby-Doo. Ya Allah menjerit-jerit masa menjunam. Masa Wild Wild West pun makcik orang putih ni peluk saya waktu dijunamkan ke dalam air. Tak tahulah kalau saya main Superman Extreme. Mungkin saya dah terpeluk awak. Kenangan sungguh di Gold Coast Australia.


Fikiran Khamis: Tersurat Dan Tersirat



 بسم الله الرحمن الرحيم
  
Tak semua perkara dapat diluahkan melalui lisan tapi setiap gerak-geri boleh ditafsir secara tersurat mahupun tersirat.

Berhati-hati dengan orang yang dapat menafsir gerakan pancaindera dan lenggok badan kita kerana mereka tahu keadaan kita ketika itu.

Setuju tak atau ada nak tambah isi?


Gambar Sekadar Hiasan


Wednesday, September 28, 2011

Tak Jadi Pula


 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...
Tak jadi pula nak keluar macam dirancang. Cuaca panas terik pula. Haha jangan cakap saya puteri lilin. Nak jalan kaki kena berkira tentang cuaca ni. Nak tunggu cuaca macam dingin Cameron Highlands? Agaknya kena spontan tanpa rancang banyak-banyak baru jadi pergi.

Ok selamat berehat semua. Jumpa lagi.


Kita Tak Selamanya Berada Di Bawah Apatah Lagi Di Atas


 بسم الله الرحمن الرحيم

Kita tak selamanya berada di bawah apatah lagi di atas. Lumrah alam. Orang baru akan bertukar menjadi orang lama. Orang lama akan menjadi usang dan terpaksa menerima hakikat diri akan digantikan suatu hari nanti. Bak kata pepatah "patah tumbuh hilang berganti". Itulah lumrah yang tak dapat disangkal. Kita tak selama-lamanya abadi di dunia kekal dengan kecantikan/kekacakan apatah lagi segala-gala tentang kebanggaan dunia.

 
Maka tak perlulah berbangga sangat dan merasa megah apa yang kita ada kerana benda-benda tersebut akan musnah dan berpindah pada orang lain. Kita takkan dapat bawa ke kubur. Tanam bersama pun memang tiada gunanya.

 
Sama ada kita di atas atau di bawah, harap-harap kita sentiasa ingat dan sedar hidup untuk berbakti dan beramal bukan untuk menghancurkan diri, orang lain, binatang mahupun alam sekitar.

 
Sekadar untuk renungan diri ini yang pernah berada di puncak sebuah kejayaan yang pernah orang impikan sebelum ini. Jumpa lagi.