Nuffnang

Saturday, September 20, 2014

J' Aime Les Macarons Di Riccarton Farmers Market


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Hari ini berjalan ke Farmers Market Riccarton. Saja-saja jalan sambil berkelah. Mula-mula beli kopi untuk sarapan pagi sebab saya belum sarapan. Pasar ini dibuka dari 9 pagi hingga 1 tengahari. Pasar yang bertaraf tinggi juga sebab ada jual makarun (macaron). Masa tunggu adik ipar beli kopi tu ternampak gerai makarun. Saya cakaplah pada dia, saya teringin sebab tak pernah makan lagi. Jadi lepas dah beli kopi (ramai orang beratur beli kopi)

Adik ipar cakap makarun ni lah yang paling sedap sebab tak manis sangat. Harga NZD$2.70 sebiji. 


Kotak J'aime Les Macarons


Perasa Makarun



Perasa-perasa yang ada seperti kopi, buah pelaga dengan oren, cili coklat,vanila, pistasio dan lain-lain.



12 Biji Makarun- 11 Salted Butter Caramel & 1 Lemon


Besar juga daripada saiz yang biasa saya tengok. Beli 11 biji perasa salted butter caramel dan 1 biji perasa lemon. Perasa lemon tu saya nak rasa. Aidan mula-mula makan roti lepas nampak makaron tu terus dia ambil satu. Suka dia. Pertama kali juga untuk dia makan. Habis dia makan. Sedaplah tu kan. 

Aidan Makan Makarun


Kawasan Berkelah


Nilah kawasan kami berkelah. Bentang saprah duduk atas tu menikmati cahaya matahari. Saya makan panas-panas pai ikan kod dengan daun parsli, minum mocha. Tiba-tiba kenyang tak jadi makan makarun. Makan di rumah sahajalah. Jangan kempunan tak dapat makan sudah. Sempat Aidan bergolek-golek dan minum susu sebelum pulang.

Selamat berehat semua. Apa aktiviti korang? Untuk warga New Zealand selamat mengundi hari ini.

 

Monday, September 15, 2014

Rezeki Di Spencerville


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Wah kata nak sambung cerita perjalanan ke Christchurch tapi saya melencong cerita lain. 

Sebelum itu nak cakap kerja berjalan dengan lancar. Cuma rasa kerja yang saya buat itu sedikit jadi serba salah dapat gaji lumayan. Haha orang selalu komen kerja banyak gaji sikit tapi saya komen terbalik.

Ok semalam pergi jalan-jalan tengok rumah. Adik saya nak cari rumah yang besar sedikit. Memula kami ke Spencerville. Alhamdulillah kawasan sekeliling cantik gila. Dekat dengan laut dan taman permainan. Boleh saya bawa anak saudara saya Aidan main. Saya memang dah jatuh cinta dan berharap adik dapat sewa. Tuan rumah buat temuramah siapa yang akan sewa. Sewa NZ$600 seminggu atau NZ$2400 sebulan. Sayang saya tak dapat tengok dalam rumah sebab masa sampai Aidan dah tidur dalam kereta tapi adik ipar cakap memang besar gila ruang tamu, dapur dan bilik tidur utama. Dia berharap kitaorang dapatlah.
   

Luar Rumah Sewa Di Spencerville



Lepas itu pergi pusat beli-belah Palms sebab nak beli mainan untuk Aidan dan hadiah untuk bayi nanti adik saya nak pergi melawat. Dah beli dan minum kitaorang pergi ke rumah yang ke-2. Rumah ini untuk dijual jadi adik nak tengok. Rumah ke-2 ni pula atas bukit dan tepi laut tapi saya macam tak suka sangat kawasan ini sebab kawasan keliling tak secantik di Spencerville. Rumah ke-2 ni lagi besar. 2 tingkat ada lif. Sayang tak dapat tengok dalam sebab Aidan tidur sekali lagi dalam kereta. Harga pun 'cantik' juga. Haha. 

Tadi dapat panggilan (adik ipar dapat panggilan) dapat rumah di Spencerville. Alhamdulillah. Hujung bulan tiada aral kami akan pindah ke sana. 

Ok itu sahaja saya nak kongsi. Jumpa lagi. Ada rezeki saya akan ceritakan pasal rumah ini pula.

Sunday, August 31, 2014

Menyesuaikan Diri


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Saya macam terharu ada juga yang masih baca pos saya. Terima kasih. Itu yang mampu saya ucapkan. Sambung kisah perjalanan saya akan titipkan kemudian. Ikut rasa hati ini. Insya Allah.

Pintu Keluar Dari Bilik Tidur Ke Tempat Ampaian



Esok bermulalah tanggungjawab saya. Harap-harap saya dapat jalankan tugas dengan sabar dan bertenaga. Wahaha sini sejuk sangat kadang-kadang malas nak bangun dari katil dan selimut. Kadang-kadang malas nak mandi. Ambil wuduk pun hampir nak terjerit kena air. Oh sekarang baru saya tahu mengapa saya rasa berat hati tapi tugas ini direstui oleh mak. Harap-harap Allah ampunkan kelemahan saya. Rasa jadual hidup tunggang-langgang di sini. Cara hidup berubah tapi tuntutan kewajipan agama tidak harus berubah.

P.S: Selamat Hari Kemerdekaan Ke-57.



Friday, August 29, 2014

Imbas Kembali: Saat Permulaan Perjalanan


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Alhamdulillah diizinkan Allah untuk saya menulis lagi. Syukran kerana membaca. Macam-macam perkara berlaku sepanjang hampir 2 minggu kut? (saya sampai Christchurch hari Khamis 14 Ogos 5 pagi). Sejuk teramat. Suhu dilaporkan 0 darjah Celcius. Saya mengantuk, penat, jet lag. Pihak imigresen berborak-borak mesra pada adik dan adik ipar tentang cuaca. Dengan saya pula macam tegas. Ehem takut saya pendatang haram.

Jet lag, keracunan makanan, cirit-birit, sibuk layan siri bersiri dan rindu nak sambung tengok cerita Korea 'Boys Over Flowers' dan menjalankan amanah yang diberi. Ketika ini barulah berpeluang menulis. Ok marilah kita imbas kembali kronologi yang buat saya mencampak diri ke sini.

Ia bermula Mac 2014 ketika adik si H sekeluarga pulang ke Malaysia untuk perkahwinan adik bongsu si M. Saya diajukan untuk datang ke sini selama 3 bulan. Terkejutlah kan sebab tempoh yang lama dan bukan tujuan untuk melancong semata-mata. Lama juga saya fikir dan menung. Sakit kepala. Akhirnya buat solat istikharah. Hati kata tak mahu tapi keadaan sekeliling menyokong. Adik sokong. Abah sokong. Emak apatah lagi. Tapi perasaan masih tak sedap. Macam-macam benda buruk fikir. Memang kuat imiginasi dan paranoid saya ni. Tak dapat nak tolong. Akhirnya bulan Jun adalah pemutus. Bukan saya yang berikan jawapan. Mak beri jawapan pada H. Maka tetaplah saya akan ke sana. Hati masih samar-samar. Saya nyatakan pada makchek. Makchek cakap pergilah. Moga ada kebahagiaan di sana. Cewah macamkan saya putus cinta ingin mengubat luka gamaknya.


Sayugia diingatkan, saya masih tak teruja pun. Ketakutan masih ada. Paranoia masih ada. Saya pendam tak tunjukkan walaupun orang sekeliling sangat teruja untuk saya. Saya cuba kumpul keberanian setiap hari. Mental tak bersedia tapi saya sedar saya perlu buat persediaan secara fizikal. Kemas bag, beli stokin. Buat saya terharu ketika mood ke longkang, mak belikan seluar katuk 2 pasang dan buatkan jubah hijau baru khas untuk aku bawa ke sana. Saya rasa nak menangis apabila restu mak sampai begini. Bulan Ogos ketika orang sibuk beraya, saya sibuk fikir nak bawa baju apa. Saya sedar saya takkan bawa 1 beg. Sebaliknya 2 beg yang akan masuk kargo. Tak kuasa saya nak sorong beg masuk kapal terbang. INGAT KLIA tu kecil ke? Dah waktu penerbangan lama dengan transit. Terima kasih H kerana buat kakak mu ini selesa. Naik MAS turun Melbourne sambung naik Jetstar turun Christchurch.

 


Stokin


Seluar Katuk


Baju Jalan

Nanti saya sambung cerita kalau ada kesempatan. Insya Allah.

P.S: Rindu pada rumah.



Thursday, August 14, 2014

Sedetik Lebih


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum... 

Setelah lama tidak menulis. Saya di Christchurch. Sudah 2 hari di sini.

Ada rezeki. Saya akan ceritakan kronologi cerita ke sini. Perjalanan ditempuh memang panjang dan memenatkan.





Jumpa lagi. 

Tuesday, March 25, 2014

Not A Good Day


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

It's definitely not a good day. Bulan ni rasa bulan kelabu sedikit dan perit untuk saya hadam. Ujian kepada negara, ujian pada kru dan penumpang MH370, ujian kepada diri ini. Bertabahlah. Saya perlukan masa untuk diri. Banyak-banyaklah sebut ucapan istirja wahai diri.

Harap-harap mendung akan berlalu.

Maaf semua. Tak tahu bila akan timbul semula secara aktif untuk blog ini. Jaga diri semua.

 

Sunday, February 16, 2014

Cili


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...


Ketika berjalan-jalan di sekitar pekan Volgograd sebab nak cari coklat dan cenderamata macam matruska/matruski, kami lalu sebuah kedai makan ini.



Nampak Tak Tertera Perkataan Seakan-Akan yulu


 

Adik saya tanya, "apa nama kedai ni?"
Saya tengok perkataan 4 huruf tertulis "yulu" seperti di bawah. Setelah beberapa hari di tanah Rusia saya terjumpa perkataan sama seperti perkataan Rumi/Roman tapi bunyi berbeza. Contoh macam "pectopah". Bahasa Rusia menggunakan huruf-huruf Greek. Jadi ada simbol delta, pi macam kita belajar Matematik. Malah huruf-huruf lagi banyak daripada huruf-huruf Roman/Rumi. Tak silap ada 36 huruf

Tak ingat siapa yang menjawab soalan adik M. Jawapannya ialah "cili". Haha betul-betul la perkataan Rusia ni sama macam ejaan orang Melayu. Bukan chilli ok.

P.S: "pectopah" bermakna restoran. h jadi huruf, p jadi huruf r. Memang keliru. Malah di visa pasport saya nama saya jadi lain. Hehe. Kalau ada gambar pectopah, saya akan tepekkan. Kalau malas nak letak, takdelah eh :)


Di Belakang Tugu  ^EHN(N terbalik)H

Cuba teka siapakah nama ^EHN(N terbalik)H? Popular ketika Perang Dunia Ke-2. 

 

Selamat Tinggal Leceh, Hidup Semakin Mudah Dengan NIVEA In-Shower Skin Conditioner


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

70% rakyat Malaysia tidak menggunakan losyen secara harian.
-Sumber: TNS Brand Health Tracking Malaysia Females, 2013


Saya ada 2 botol losyen yang tidak habis dipakai. Mula-mula tu bersemangatlah pakai losyen itu beberapa kali dalam sehari. Lama-lama jadi malas nak pakai kerana:

1. Kena pakai selalu. Lebih-lebih lagi selepas solat. Ini kerana nak melembabkan kulit bagi tak kering. Jadi lecehlah pula nak tunggu losyen tu diserap oleh kulit.

2. Melekit. Saya ni dahlah tapak tangan mudah berpeluh. Jadi bercampur air peluh dengan losyen sangatlah tak menyenangkan. Cuaca di Malaysia ini yang panas dan lembab lagi tak menggalakkan nak guna losyen. Lainlah saya di tempat yang sejuk dan kering memang sesuailah kan. Jadi kenalah ada losyen sesuai dengan cuaca di Malaysia ni.

3. Nak cepat ke sesuatu tempat. Tiada masa nak gunakan walaupun ketika nak tidur pun tak ada masa nak letak.

Oleh itu apabila NIVEA memperkenalkan produk NIVEA In-Shower Skin Conditioner, saya macam cakap dengan diri sendiri "apa beza losyen badan NIVEA dengan yang lain?"  Perbezaan pertama ialah losyen badan NIVEA ialah losyen pertama yang bilas pakai. Wah apakah maknanya? Maknanya losyen ini menjadi pelembab/perapi (conditioner) selepas korang gunakan sabun atau gel mandian. Caranya ialah selepas guna sabun/gel mandian dan bilas. Kemudian korang pakai pula NIVEA In-Shower Skin Conditioner. Kemudian bilas. Aturan macam pakai syampu dan perapi di rambut tapi ini untuk badan. Lepas tu siap sudah. Berpakaian dan bolehlah terus mulakan aktiviti. Segar dan bertambah segar serta lembab dan lembut seperti sutera. Jadi tak ada alasan untuk lupa pakai atau tak sempat pakai :)

Perbezaan kedua ialah Losyen NIVEA In-Shower Skin Conditioner mudah meresap dan tidak melekit. Bahan berasas air yang ringan dan tidak melekat. Jadi ia mudah meresap. Kulit terasa lebih halus dan licin. Kita ialah manusia yang mempunyai banyak air dalam badan. Sesuai sangat pakai losyen ini.

Ada 2 jenis losyen yang diletakkan dengan warna yang berbeza. Botol biru untuk kulit normal yang mengandungi minyak badam manakala botol putih untuk kulit kering yang mengandungi bahan mineral laut. Botol didatangkan dalam saiz 250ml dan berharga RM16.90.

Mahu merasai kehebatan NIVEA In-Shower Skin Conditioner dan mungkin berpeluang memenangi iPad Air atau hamper bernilai RM150? Rakan blogger yang berdaftar dengan Nuffnang boleh layari di NIVEA In-Shower Skin Conditioner[KLIK] untuk keterangan lanjut dan syarat-syarat penyertaan.

Selamat mencuba. 

Gambar Dari Laman nivea.co.uk


P.S: Hidup semakin mudah dengan membayangkannya.



 

Friday, February 14, 2014

Merepek Pasal Iklan


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Alhamdulillah, buka akaun Nuffnang ada 3 kempen CPUV. 1 memang dah lama jalan. 2 lagi baru dapat hari ini. Gembira sungguh.

1 daripada Popular Bookstore. Saya memang ulat buku. Datang semangat membaca memang banyak beli dan baca. 

Oklah itu sahaja nak tulis. Nanti tulisan jiwa-jiwa dan tulisan sambungan Kak Nor Azimah suruh tulis saya tak ingat pula. Haha. Tulah suka sangat buat tulisan sambung-sambung. 

P.S: Saya ada masuk Peraduan Syok Menang IT@Harian Metro tapi sampai ke saat ini tak nampak keputusan peraduan. Harap-harap menang ASUS phablet.

Monday, February 10, 2014

Julia And I


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Ingat tak saya pernah ceritakan tentang pemandu pelancong kami ketika di St. Petersburg? Inilah rupa dia seperti di bawah.

Dia ni jenis pemerhati yang teliti juga. Satu hari ketika kami dah puas jalan-jalan di istana (banyak istana kami pergi), abah dan emak pergi tandas. Jadi saya dan Julia ni tunggu di luar. Dia perhati je. Lepas tu tanya pada kerongsang biru saya. "Is this an amulet?" 

Saya macam terkedu jugalah. Saya tanya "what is an amulet?" (sebenarnya saya tahu tapi saja nak tanya). Lepas tu saya cakap tak. Ini cuma kerongsang/pin tudung. Memang saya selalu pakai. Dia puji cantik. Saya cakaplah mak beri. Dia tak tahu betapa sayang saya dengan pin tu. Pernah hilang seketika. Nasib baik jumpa dalam kereta.

Saya tanya dia ada tangkal ke? Lepas tu dia cakap nenek tunang dia ada beri. Saya cakap nak tengok. Tapi takdelah tangkal yang tulis mantera ok atau lambang agama. Cuma sehelai kertas berisi nasihat yang dia bawa ketika peperiksaan. Saya baca dan Julia alihbahasa tulisan tu dalam Bahasa Inggeris.

Abah datang dan terdengar perbualan kami. Abah cakap kami orang Islam tak percaya tangkal. Kami cuma tadah tangan dan berdoa. Abah tunjuk isyarat berdoa.

Hehe kadang-kadang saya macam abah, selitkan pengetahuan tentang Islam. Ini tak saya pergi tanya tangkal dia macam mana. Entah kadang-kadang lurus bendul saya ni. Nasib baik la dia tak keluar salib ke apa kan? Macam dia sehelai kertas yang nenek tunang dia beri dan saya pula kerongsang/pin tudung emak bagi. Mungkin itu maksud dia tangkal kut.


Saya Dan Julia





Sampai Di St. Petersburg, Minta Julia Hantar Kami Ke Masjid






Gambar Tsar Di Salah Satu Istana