Nuffnang

Tuesday, January 8, 2013

Januari Bulanku


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Pagi-pagi dikejutkan dengan bunyi sms masuk. "Eh sapalah yang sms ni?"
Tengok-tengok sms daripada Maxis beri ucapan selamat harijadi dan beritahu panggilan percuma. Dalam hati cuma cakap "esoklah harijadi aku apsal hari ini pula mesej begini dapat?"
Apapun terima kasihlah Maxis. Nanti esok saya telefon orang puas-puas.

P.S: Harap esok hari yang membahagiakan dan dapat panggilan berita baik pasal ini.

P.S.S: Haraplah omak eden baik hati kut-kut la nak bagi telefon bimbit untuk anakanda ini. Ehem. Kalau emak baca, janganlah lupa pertimbangkan yer. Hehe. Apapun nak jadi anak yang paling baik berkhidmat kepada emak.



Monday, January 7, 2013

Hari Ini


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Oh!Ya, anak saudara si Adiva dah ada semula di Melaka. Ada tragedi sikit. Waktu dia kat bilik saya, dia main ubat salap Tiger Balm. Mula-mula dia sapu kat perut saya, kat anak patung Pooh. Saya macam khayal sebab sibuk gosokkan bagi rata salap dia letak tu, tak perati sangat apa dia buat. Tengok-tengok dia dah letak kat muka dan kat mata! Apa lagi meraung-raung dia. Saya pula dah cemas basuh muka dan tangan, lap tangan dia. Dia pula masih gosok-gosok mata. Mana nak hilang pedih.
Akhir sekali, umi dia bawa Iva ke bilik air dan sabunkan tangan. Masih melalak. Terus bawa tidur.

Rasa saya ni tak cekap jaga budak-budak kecil lagi. Kadang-kadang saya macam khayal tak perati betul-betul. Dulu tong pemadam api mini pernah hempap tangan dia waktu dia panjat tangga. Meraung budak tu. 

Hari ini hari penat campur hari otak macam 'blur' sahaja. Ok jumpa lagi.

P.S: Rasa bosan maka jenguk feedjit live traffic, wah dari Belgium pun minat peraduan juga ke? :)


Sunday, January 6, 2013

Harap-Harap Ada


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Semalam pergi Mydin Mall Ayer Keroh dengan mak. Pujuk mak pergi sini sebab saya nak jenguk MPH. Menahan perasaan nak beli siri 'Anne' tu. Dah putus asa yang Popular di JJ dan Tesco tak akan ada buku ini.

Masuk sahaja tengok seleksi buku bahasa Inggeris terhad. Eh ini sahaja ke yang ada? cakap dalam hati. Nak tanya pada pembantu jualan tengok dia asyik borak dengan sorang lagi pembantu jualan. Pusing-pusing tengok mana tahu terlepas pandang. 

Tak tahan terus pergi tanya sorang lagi pembantu jualan. Budak tu pergi pula ke kaunter bayaran tanya buku tu kat orang lain. Di sini rupanya mereka ada sistem tajuk buku. Memang sebiji saya tengok dalam pengkalan data MPH cuma tak terperinci macam berapa kuantiti buku untuk setiap cawangan tu memang saya takde nampak kalau layari laman MPH.

Dia cari buku-buku itu memang ada dalam inventori tapi bukan di MPH situ. Saya tanya tak boleh ke dorang ambil bawa ke Melaka. Saya nampak macam ada di MPH Midvalley. Cakap dalam hati dah lama tak pergi Midvalley. Nasib baik dia cakap boleh kalau ada stok dia akan telefon.

Jadi saya tinggalkan nama dan nombor telefon. Memang rasa tak sabar sangat. Harap-harap lepas 3 hari waktu kerja dapat panggilan berita baik. Haha di samping kenalah sedia duit nanti.

Harap-harap semua berjalan lancar. Nanti kalau dapat. Saya tunjuk rupa buku tu (mungkin gambar tu ambil daripada pengkalan data MPH).

Sebenarnya ada juga MPH buat jualan secara talian tapi malas nak pergi masukkan duit. Lagipun puas kalau dapat tengok dan berpuas hati dengan barang tersebut. Lagipun kalau buku tu terlipat mungkin boleh minta tukar. Apapun harap-harap buku saya hendak mengikut apa saya minta. Memang terperinci masa suruh orang tu carikan dalam pengkalan data. No SSBN, penerbit memang sudah spesifik.

Ok jumpa lagi...

Friday, January 4, 2013

Monolog: Doa Secara Rahsia


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

***
Apabila baca tentang doa secara rahsia, saya teringatkan awak.

Disebabkan kelemahan saya dan saya rasa berbuat kasar pada awak, saya serba salah.

Maka untuk hilangkan serba salah, saya doakan awak selepas solat.

Moga awak diberi petunjuk untuk memeluk Islam. Setiap kali doakan awak, saya akan teringatkan senyuman awak dan betapa saya melayan awak dengan buruk.

Ada satu lagi satu doa berkaitan awak. Itu peribadi.
***

Syukur-syukur dia tak akan tahu aku doakan dia. Doa secara rahsia doa yang mustajab.

Kelajuan Internet Lembab


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Sejak dah boleh melayari internet di rumah dengan pc sendiri bermakna bolehlah tengok siri internet dengan selalu. Jadi tengok siri tv Project Runaway dan Top Chef musim 10. Tapi saya perasan lambat gila nak simpan data (buffered) tengok macam di Youtube. Ada tu sampai 7 jam buffered siri akhir Project Runaway. Lama gila. Eh rasa macam sambungan internet streamyx ni makin lembab. Lembab satu hal lepas tu asyik putus sahaja. Terfikir gak takkan sebab TM kenalkan Unifi, streamyx ni dianaktiri, kelajuan tak dipantau. Eh tidak boleh begitu. Kalau begini cara perkhidmatan diberi tapi tiada penyelenggaran nanti beri pandangan buruk. Nak suruh pakai Unifi? Kalau tukar ke Unifi apa jaminan kelajuan internet akan selalu laju? Mungkin mula-mula kut laju lama-lama macam siput. Apabila ramai dah pakai, tak kisah nak buat penyelenggaran.

Sekadar nak meluahkan. Ini pendapat saya. Mungkin orang lain tak mengalami macam saya. Alhamdulillah kalau begitu. Jumpa lagi.

Thursday, January 3, 2013

Pembelian Pakaian Pertama Secara Talian


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Penantian memang menyeksakan. Setelah menunggu pos laju datang. Akhirnya sampai pukul 2 petang tadi. Seluar jeans tirus sampai. Alhamdulillah muat walaupun saiz kurang 1 inci. Hehe memang pesan pun memang naikkan 1 inci sebab kata seluar ni ketat sedikit daripada jeans biasa.

Apapun syukur segala berjalan dengan lancar. Tahu sahajalah macam-macam saya fikir, barang tak sampai. Entah saya ni suka fikir bukan-bukan. Nasib baik apa yang saya fikir tak berlaku.

Tengok orang lain(lebih-lebih lagi adik) beli memang selamba dan rajin juga beli secara talian. Beli lampin, barang kecantikan dalam talian. Jadi saya fikir mengapa saya tak cubakan? Patut orang boleh ketagih beli secara talian.

Itu sahaja nak kongsikan. Jumpa lagi.

P.S: Mungkin beli lagi secara talian kalau jumpa yang berkenan di hati. Nilah jeans (beli 1 sahaja) yang saya beli. Ambil gambar daripada blog akak yang saya beli tu. Berwarna-warni kan? Memang tengok pertama kali dah tergoda.


    

Wednesday, January 2, 2013

Semangat


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Hari ini semangat betul buat kerja. Pukul 5:30 celik mata teringat Nescafe yang buat malam tadi tak minum. Lepas minum tiba-tiba rasa serba salah kat mak sebab merungut kena ikut mak pergi sekolah sampai lewat petang. Maka untuk menghilangkan serba salah tersebut haruslah lebih rajin tolong mak hari ini.

Balang gula yang ada semut tu saya sisihkan semut dengan gula macam pelakon Saadiah buat dalam filem Musang Berjanggut. Memang remeh kerja dan tiada siapa sanggup buat sebab ambil masa juga.

Harap-harap terus bersemangat buat kerja lepas Subuh. Jumpa lagi.
Dapur
P.S: Tak sabar nak tunggu seluar jeans tirus tu. Bilalah nak dapat?  

Tuesday, January 1, 2013

Pencarian Jiwa Bagi 2013


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Malam tadi bekas rakan sekolah bertanya azamku. Aku terkesima. Tengah fikir, telefon bimbitku mati sebab bateri lemah. Dia telefon balik tapi aku pergi sambung fikir dalam bilik termenung.

Masih berfikir dan akhirnya pagi tadi aku buat resolusi ingin memperbanyakkan dan memperbaiki kualiti ibadat. Sentiasa pastikan dahulukan urusan Allah. 

Semoga aku berjaya laksanakan. Istiqamah dan sentiasa berkembang baik :) 

p.s: 8 hari lagi harijadiku. 34 tahun


Monday, December 31, 2012

Jalan-Jalan Beli Barang


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Hari ini hari merayap dan menghabiskan duit serta menjelajah perkara baru.

Keluar pun sebab 'teracun' dengan pembelian dalam talian jadi kena pergi bank untuk masukkan duit. Selalu saya tak berminat nak beli, tengok pun tak tergoda. Hahaha. Tapi dengan blog akak ni yang selalu saya baca (dia buat jual talian dan pos tulisan memang menarik) tetiba saya macam melompat nak beli seluar jeans tirus (skinny jeans). Siap saya ukur dahulu pinggang (sudah lama tak beli seluar jeans). Padahal saya ni skeptikal dengan beli secara pos lagi saya tak percaya khidmat pos, suka beli terus COD (cash on delivery). Beli 1 jeans je (ikut nak beli 2-3) sebab takut tak sesuai saiz. Untuk makluman skinny jeans tak sama sangat dengan jeans biasa. Lagi pula beli dalam talian kira pertama kali jadi nak tahu adakah menyenangkan atau tidak.

Lepas sudah masukkan duit dalam akaun pergi AEON Jaya Jusco. Heh pukul 10 pagi tak ramai orang, medan selera pun takde orang. Orang jual pun baru nak siap-siap. Pergi ke bahagian kasut jenama Scholl (dalam JJ). Hampa sebab selipar saya hendak takde. Masa saya tengok sandal yang saya nak tu di Wangsa Maju Walk ketika puasa. Harga sandal lain mahal. Terfikir mungkin Scholl ni dalam JJ sebab tu mahal. Kalau kedai Scholl sendiri mungkin tak mahal tak macam saya tengok di Wangsa Maju Walk yang kedainya memang tak tumpang bahagian lain.

Kemudian masuk kedai Popular. Cari buku Anne tu kalau ada. Nampaknya memang takkan ada. Lepas tu pergi tingkat 2 sebab teringin nak tengok Perpustakaan Komuniti. Lama niat nak jenguk tapi selalu sibuk melencong pergi tempat lain. Perpustakaan tu memang selesa tapi buku tak pelbagai sangat. Saya nak jadikan tempat ni saya melepak baca buku atau baca majalah. Memang khusyuk baca majalah al-Islam pasal kiamat. Teringat bekas rakan sekolah sibuk tanya pasal 21 Disember yang heboh nak kiamat. Saya gelak je dalam hati. Bila dia call saya cakap selagi belum ada tanda-tanda besar kiamat makna belum lagi kiamat. Sekali betul, dalam majalah al-Islam, ia menceritakan kronologi kiamat. Paling ketara mula-mula kita (orang Islam) perang dengan orang Turk, orang Rom (Kristian), Parsi, Dajjal, Yahudi, Yakjuj Makjuj. Jadi masa itu gila-gila perang sahaja dan semua perang itu perang sangat besar. Saya tak dapat bayangkan betapa haru-biru keadaan. Kira masa ni semua orang ambil bahagian untuk berperang cuma kita di pihak mana. Adakah kita dalam golongan orang Islam atau tidak. Lagi satu majalah tu cakap Dajjal keluar apabila orang dah tak ingat pasal Dajjal. Kalau sekarang ingat maknanya belum lagi. Kita pun harus berdoa jangan bertemu dengan Dajjal sebab godaannya memang kuat. Masa ini memang iman jadi taruhan.

Lepas tu pergi solat, makan di Burger King. Ingat nak makan di medan selera JJ tu sekali ramainya orang tempat pun takde. Saya seorang sahaja jadi tak payahlah nanti duduk tempat kesian orang lain. Masa di Burger King pun sampai ada orang tunggu depan mata untuk duduk tempat saya. Hehe.
Sambung balik baca di perpustakaan sampai 3 lebih. Keluar pergi Tesco beli barang di Nadira Shoppe. Sebelum tu nampak tudung jenis yang saya pernah beli di aidijuma (rujuk pos lalu). Murah pula 2 helai=RM15. 

Beli getah rambut. Akhirnya cabut balik rumah. Puas hati walaupun penat.

Ok itu sahaja. Jumpa lagi.

Saturday, December 29, 2012

Berehat Sebentar


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Kadang-kadang macam tak percaya jer ada orang baca blog saya.

Eh hai selamat pagi, ni baru sahaja sapu sampah dan kemas bilik tidur. Haha kerja yang dilakukan apabila bilik sangat berhabuk dan minta untuk dibersihkan. Hait mengapalah cepat sangat berhabuk. Dahlah kena tunggu mood rajin yang mana bukan datang selalu. Hehe.

Agenda hari ini macam biasa menghadiri kenduri kahwin dan balik kampung. Macam rutin juga hujung minggu atau cuti umum memang begini. Ambil kesempatan sementara bujang ni mengendeng dengan ibubapa dan Uwan. Cherish the time, Na!

Ok pendek sahaja. Moga pagi korang ceria dan menggembirakan. Jumpa lagi.

Thursday, December 27, 2012

Jawapan Peraduan Xplorasi Berita Harian Minggu Ke-4


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Hai, saya nak kongsi jawapan untuk minggu ke-4. Hadiah memang hadiah yang diminati orang ramai iaitu telefon pintar Samsung Note. 

Siapa yang berminat boleh lagi sertai dengan menyertakan 4 kepala akhbar BH untuk 1 penyertaan. Selamat mencuba. Tarikh tutup adalah 5 hari dari 30 Disember 2012.

Objek 1: Bola
Objek 2: Joran
Objek 3: Raket
Objek 4: Basikal

Wednesday, December 26, 2012

Kesimpulan Pos Popular Sepanjang Tahun


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...
Sudah menghampiri penghujung tahun 2012. Alhamdulillah tahun ini saya rasakan lebih banyak pengalaman manis daripada yang pahit. Pengalaman pahit yang saya tempuh saya boleh telan. Tiadalah rasa gila-gila teruk.

Kesihatan secara keseluruhan memang BAIK. Syukur :)

Saya tengok pos-pos popular yang telah diterbitkan. Saya tengok tulisan-tulisan popular ialah tulisan tentang kuiz, resipi dan masakan, pengembaraan (travel) dan peraduan.

Saya cuba pelbagaikan tulisan tapi diakui saya lebih suka tulis tentang diri sendiri lebih-lebih lagi mengenai pencarian jiwa, apa saya rasa, apa saya fikir, apa saya alami. Tulisan begini memang tidak dapat lawan jenis tulisan yang saya sebut tapi saya tulis sebagai ingatan kepada diri sendiri.

Jumpa lagi.

P.S: Baru perasan saya lama tak poskan resipi atau masakan. 


Buat Berlawanan Hajat


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Ingat tak saya pernah tulis yang saya malas nak pergi majlis tunang sepupu saya di Semenyih? Saya buat sebaliknya. Pergi ke sana dan tidak tinggal di rumah untuk "memulihkan" diri. Waktu terbaring itu dah dapat pakaian yang sesuai. BUKAN baju kurung tetapi jubah. Memang jubah adalah sangat versatil. Uwan saya siap tanya siapa jahit dan siapa beli. Haha saya tergelak. Saya cakap "Auntie jahit dan Wanlah yang pilih kain ni!" Uwan cakap memang dia tak ingat. Haha memang jubah ini dah lama buat masa awal 20-an. Syukur masih muat dan sesuai dipakai. Sayang tak dapat paparkan dalam blog sebab rasa leceh betul nak muat naik dengan XP tak dapat kesan perkakas.

Takpelah harap nanti saya dapat berblog gunakan satu perkakas yang boleh buat semua.

Jumpa lagi.

Monday, December 24, 2012

Hujung Minggu


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...
Sungguh sangat sibuk hujung minggu kali ini. Hari Sabtu sahaja sampai 3 kenduri kena hadiri. Kenduri terakhir saya cuma makan buah-buah salut coklat ala-ala air terjun coklat. Hehe. Kenyang sangat.

Ahad pula nasib baik cuma 1 sahaja. Lepas itu balik kampung. Memang tiap-tiap minggu balik kampung. Macam rindu dengan Uwan kena balik selalu walaupun tidak bermalam.
Auntie Nani datang petang tengok saya berbaju kurung. Saya cakaplah tadi ada kenduri kahwin. Auntie macam pelik sebab saya dahulu memang jenis tak rajin ikut mak dan abah pergi kenduri. Saya sanggup duduk rumah sorang-sorang. Saya cakap  sekarang ini makanan kenduri kahwin dah bermacam-macam dan sedap. Hehe tak macam dulu-dulu sama sahaja.

Esok ada kenduri tunang sepupu. Rasa macam malas pula nak turun Semenyih. Ni masih menimbang-nimbang nak pergi ke tidak. Lagipun majlis tunang sahaja. Penat tak hilang lagi dan buat pertama kali buntu nak pakai baju kurung apa. Nampak sangat macam dah habis pilihan untuk baju.

Jumpa lagi.

Monday, December 17, 2012

Jawapan Peraduan Xplorasi Berita Harian Minggu Ke-2


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Lama tak tulis pasal peraduan. Ini saya tahu daripada si Y yang minta abah beli 2 naskhah Berita Harian setiap hari. Peraduan ini setiap minggu tawarkan hadiah yang berbeza. Kalau minggu ke-2, 10 buah kamera DSLR disediakan untuk pemenang. Jadi sesiapa berminat untuk menyertai bolehlah beli untuk minggu ini, minggu ke-3.

Sesiapa yang belum hantar penyertaan minggu ke-2, cepat-cepat hantar sebab kena hantar sebelum atau pada 21 Disember 2012.

Mungkin ada yang belum lengkapkan objek sebab tak jumpa. Ini saya bagi jawapan.

Objek 1: papan hitam
Objek 2: set alat tulis
Objek 3: buku
Objek 4: graduasi

Makluman 1 penyertaan= 4 kepala akhbar Berita Harian.

Itu sahaja jumpa lagi.

Jawapan minggu ke-4. Klik sini.

Saturday, December 15, 2012

Kad Pengenalan Baru Dan Tangan Berpeluh


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...
Semalam pergi ambil kad pengenalan di Jabatan Pendaftaran Tampin terletak di Tampin Square. Mengapa tak buat di Ayer Keroh? Sebab jarang lalu. Kalau dahulu saya buat kad pengenalan di Jalan Hang Tuah, Melaka tapi itulah sudah berpindah ke Ayer Keroh.

Alhamdulillah proses mengambil sangat mudah. Saya dah terbayang kesusahan nak ambil cop ibu jari kanan sebab tangan saya sentiasa berpeluh! Lap atau kesat tisu kuat-kuat pada ibu jari pun tidak berkesan. Agaknya sebab orang yang uruskan saya itu penyabar dan baca bismillah kut. Hehe. Jadi aura ketenangan pegawai tu dapat pada saya yang akhirnya dapat padanan cop ibu jari. Untuk pengetahuan pembaca, masa saya buat tu, pegawai yang ambil cop ibu jari kanan tak berjaya. Terpaksa gunakan dalam sistem dan dia kata kerana itu terpaksa ambil dalam paling lama 3 bulan. Tapi tak juga cuma sebulan lebih sebab saya buat pada 26 Oktober, hari Arafah. Memang saya macam tidak selesa dengan pegawai tu. Dia tak berapa sabar ambil cap jari saya. Memang ini masalah saya. Itu yang saya 'lemah' bab ambil cop jari. Hanya orang yang pandai sahaja boleh ambil.

Kelemahan tapak tangan mudah berpeluh ni memang menyukarkan saya. Terutama waktu ambil peperiksaan. Memang saya kena gosok tapak tangan selalu supaya kertas jawapan saya tak lencun basah. Tangan saya selalu lembab dan kadang-kadang sejuk macam ais.

Ok itu sahaja nak cerita. Jumpa lagi.

P.S: Gambar kad pengenalan baru saya tak cantik.
P.S.S: Ada orang kata, rezeki murah. Entah betul entah tidak.
P.S.S.S: Ada letak e-novel dalam arkib lama. Novel dihasilkan ketika dapat ilham untuk menulis. Bagi yang minat membaca novel boleh klik pada e-novel.


Friday, December 14, 2012

Telefon Pintar Yang Mana Satu


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Hujung-hujung tahun ni banyak pula jualan murah. Gila teruja rasa hati ini. Rasa macam-macam nak beli. Salah satu terfikir nak beli telefon bimbit/pintar yang baru. Telefon yang sedia ada bateri tak kuat sangat dan lagipun 7 tahun saya guna Nokia 3200. Kalau sekarang ni telefon ni dah ketinggalan zaman dan tak ada dalam pasaran.

Tadi ada tengok sedutan berita Apple iPhone 5 keluar Malaysia malam ini. Wowo ada berminat dengan model ini. Pernah guna iPhone 2 adik punya. Cuma susah nak taip kalau buka blogger pos. Saya hendakkan yang mudah untuk menulis blog, senang nak blogwalking dan tinggalkan komen. Penting sekali boleh terus muatnaikkan gambar terus. Takde macam sekarang nak kena alih daripada kamera digital ke pc. Lagi satu kualiti gambar mesti bagus. Saya takmo Samsung sebab dah pernah cuba, sukar nak taip di blogger. Senang cerita telefon tu mesra aplikasi blogger. 

Eh lagi satu telefon pintar daripada Nokia guna Windows 8. Macam menarik sahaja. Siapa tengah guna telefon pintar Nokia pelantar Windows 8? Bagus tak?

Saya ni ketinggalan dengan teknologi. Bukan jenis orang yang terkini dalam perkakasan teknologi ni. Jadi teragak-agak kalau nak beli sebab nak pastikan berbaloi. Saya bukan jenis suka tukar-tukar telefon ikut perkembangan.

Ok itu sahaja coretan saya. Jumpa lagi.


Thursday, December 13, 2012

Hampir Setahun...


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Alhamdulillah kesabaran dan doa untuk pc dapat gunakan untuk online dimakbulkan Allah. Saya rasa hampir 1 tahun saya berdoa pasal ini. Setiap saat saya teringat atau dalam solat, saya berdoa minta dipulihkan semula pc kesayangan ini dan pulihkan perasaaan saya. Syukur-syukur.

Saya teringat ketika saya di Masjid Qiblatain. Saya mendapat tahu Nabi Muhammad S.A.W. BERDOA hampir setahun untuk penukaran kiblat. Sabar menerima cercaan dan sindiran pihak Yahudi kerana umat Islam bersolat mengadap ke Baitulmuqaddis. Baginda tidak berhenti berdoa dan berharap yakin Allah akan makbulkan permintaan baginda. Ketika saya mendengar kisah ini daripada mutawif, saya menangis kerana sebelum itu saya seorang tidak istiqamah berdoa untuk sesuatu dan ingin mengharapkan doa saya segera dimakbulkan. Dengan kata lain, saya tidak bersungguh-sungguh berdoa.

Iktibar daripada kisah ini, saya tak lupa untuk berdoa selalu dan konsisten. Yakin Allah akan makbulkan pada suatu hari nanti. Ada banyak keinginan/hasrat saya suarakan pada Allah. InsyaAllah satu-satu atau serentak permintaan aku akan dikabulkan. Apakah hasrat-hasrat tersebut? Nanti saya akan tulis apabila ia menjadi kenyataan ;D In shaa Allah. Doa khusyuk-khusyuk dan minta seperti anda sangat memerlukan perkara tersebut. Rendahkan diri.

Lagi satu lama tak buka akaun Nuffnang. Alhamdulillah pendapatan berterusan walaupun tidak aktif menulis ketika itu. Harap-harap ketika aktif menulis(in shaa Allah) makin kencang hasil yang masuk.

Ok itu sahaja buat masa ini. Jumpa lagi.