Nuffnang

Sunday, October 30, 2022

Perancangan Tidak Menjadi, Hijau Pudina Lembut Dan Popia Thailand!

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Selamat berhujung minggu kepada semua pembaca. Hujung minggu ini perancangan mengejut atau saat akhir semalam. Balik kampung selepas Zohor selepas adik-beradik emak beritahu mereka lepak di Desa Permai, rumah sementara Uwan apabila berkumpul beramai-ramai. Malamnya ada perbincangan tentang tema baju untuk majlis belah lelaki yang sebelum ini majlis nikah buat di Jeli. Mereka sepakat pilih warna hijau pudina. Saya sudah berkerut dahi sebab susah cari warna tersebut. Lagipun warna cerah ini cepat kotor. Aduh kena cari tudung sama juga. Jadi konon pelan dengan emak cari kain atau baju di Tampin sebelum pulang ke Melaka esoknya.

Hasrat mencari kain atau baju tidak kesampaian sebab abah telefon dia sudah sampai di stesen bas Melaka Sentral. Memang tidak bagitahu awal-awal dia sudah bertolak dari Thailand. Oh!Ya, lepas abah selamat pulang dari Madrid pada pagi, selepas Maghrib bertolak naik bas ke Kedah dan seterusnya masuk Thailand. Ada mesyuarat pasal telaga wakaf. 

Maka selepas solat Subuh kami terus cabut ke Melaka Sentral. 

Ambil abah dalam pukul 7 pagi lebih. Kemudian singgah sarapan pagi nasi lemak paru(tidak ingat ambil gambar) di Peringgit depan klinik kesihatan Peringgit. Ramai orang tapau. Kemudian ke Mydin MITC Ayer Keroh untuk beli barang. Tiada rancangan lagi cari kain/baju sebab awal pagi. Kedai belum buka.

Nampak sebelum itu abah ada bawa buah tangan. Salah satunya  nampak ada salad butterhead dalam bekas lutsinar. Abah kata dia dapat percuma. Alhamdulillah.

Apabila dibuka rupanya ada 6 keping popia seperti popia Vietnam. Bezanya persembahannya daun salad butter head terjulur keluar daripada popia selain cicahannya yang berwarna hijau pudina. Dalam popia selain salad, ada kepingan isi ketam dan hirisan halus lobak merah.

Rasa cicahannya seperti ada rasa mustard dan biji sawi dan masam yang menyegarkan. Saya makan sekeping. Lepas itu teringat hendak ambil gambar. 

Popia Thailand Dengan Cicahan



Sedap. Beri idea pada saya untuk cuba kalau rajin.

Oklah itu sahaja hendak cerita. Jumpa lagi.

P.S: Pernah pening cari tudung warna salmon. Juling mata sebab lama-lama tengok macam sama warna. Hehe tengok-tengok tidak berapa kena warnanya dengan baju kurung.Lantak di situ.

Monday, October 24, 2022

Betik

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Talian internet tidak berapa elok pula. 

Buka whatsapps, emak suruh tengok betik di belakang rumah kalau sudah masak. Saya tengok masih hijau lagi.

Betik 2 Biji



Apapun perhatikan lagi esok. Sementara itu ada ciku yang saya petik untuk peram.


 

Friday, October 21, 2022

Undi Pos

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Kasihan adik saya yang nombor 3 tidak pernah dapat mengundi. Itulah kalau sudah duduk luar negara dari lepas asasi sampai sudah kerja, kahwin dan beranak-pinak di sana. Memang sudah rezeki dia di sana.

Jadi rupanya boleh memohon undi pos. Selamat mengundi.

Permohonan Undi Pos



Adik nombor 2 sempatlah balik Malaysia sebelum hari mengundi. 2018 tidak mengundi. Nampaknya kita sama tempat mengundi. Haha tidak tukar kawasan mengundi ke alamat baru.

2018- Saya dan adik bongsu sahaja pergi mengundi. 

Semua bersemangat ke hendak mengundi?

Monday, October 17, 2022

Tentang Pasport Dan Semoga Dipermudahkan Urusan

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Selasa minggu lepas hari mendebarkan sebab Abah tidak jumps pasportnya. Pada hal hendak terbang hari Ahadnya. Abah yakin pasport ada di rumah kerana dia baru ambil gambar. Puaslah cari di setiap pelusok rumah masih tidak jumpa. Saya suruh abah ingat semula di mana dia letak.

Saya sudah cemas. Rasa macam diri sendiri kena. Terimbau beg belakang saya dicuri ketika saya solat di masjid ketika di universiti. Meraung menangis masa itu. Masa itu kunci kereta ada pada beg. Pergi ke kereta tengok ada kunci kereta pada pintu. Nampaknya pencuri geladah juga kereta. Nasib baik tinggalkan kunci pada pencucuk kunci pada pintu kalau tidak jalan kaki balik hostel. Penat juga kalau jalan. Sudahlah malam.

Lepas itu terpaksalah buat semua. Lapor pada polis, kad digantung, kunci sewa hostel. Eh lalut cerita saya.

Cerita pasal pasport Abah. Abah tidak jumpa sampai Rabu pagi. Maka abah pergi laporan polis. Pada hal saya sudah nazar kalau jumpa paspot Abah sebelum Jumaat Subuh, saya akan tunaikan nazar.

Abah takut tidak sempat jumpa pasport. Apabila lepas buat laporan polis, abah terus ke pejabat imigresen. Dikatakan siapa 5 hari bekerja. Memang tidak sempat! Saya dengarpun berdebar-debar. Tidak berani tanya pada Abah secara terperinci. Tidak mahu menambah tekanan. Mampu doa sahaja.

Alhamdulillah dapatlah esoknya sebab merayu. Ya tidak sangka saat-saat akhir hendak terbang ada peristiwa begini.

Jumaat selepas Subuh dari masjid Abah ceria tanya saya barang keperluan masak yang saya hendak sebab saya tinggal seorang jaga rumah selama 11 hari. Hati saya ada rasa lega sedikit. Sebelum itu saya rasa risau sama ada Abah dapat pergi atau tidak.

Apapun semoga dipermudahkan urusan Abah dan Emak ke Maghribi dan Sepanyol. Lancar segala-galanya terutama dengan pihak kastam dan imigresen luar negara.

Tiket Dan Pasport



Abah tunjuk tiket dan passport dalam whatsapps keluarga ketika di KLIA. Dalam penerbangan ke Maghribi atau Morrocco.

Harap-harap indah kenangan dikutip.

Masa saya akan tiba nanti untuk melancong. Insya Allah.  Tapi saya seriau juga melancong seorang. Hehe tapi pernah buat. Seriau dengan kastam.

 

Friday, October 14, 2022

Pertama Kali Makan Nasi Ganja

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Alhamdulillah Isnin cuti Maulidur Rasul itu puasa putih. Maka buka puasa dengan nasi ganja daripada Aida Rich Cafe yang terletak di Taman Tasik Utama berhampiran Restoran Woodfire.

Pertama kali mencubanya. Teruja hendak tahu rasanya.

Bahagian Luar Nasi Ganja Oleh Aida Rich Cafe



Apabila buka bekas polisterin ada nasi, sayur kobis, bendi,  telur sebiji (macam kuah kicap), serunding dan ayam goreng bahagian kaki. Dalam plastik berasingan ada kuah kari yang agaknya pekat.

Isi Dalam Bekas Polisterin. Ayam Menutup Nasi



Rasa sedap, kuah pedas. Semua berasa. Ayam besar cuma nasi sedikit. Boleh ulang lagi.

Alamat:

54 Jalan TU 42,
Taman Tasik Utama,
Ayer Keroh,
75450 Melaka.

Buka untuk makan tengahari dan malam. 12 tengahari hingga 10 malam. Isnin tutup.

 

Saturday, October 8, 2022

Beans & Co

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...


Sejak terjebak minum koko adalah hendak rasa cuba koko lain yang rasa mewah. Semestinya hargapun tinggi sedikit.

Ada pergi rumah adik minta air koko. Eh ada pula. Ditanya pula hendak koko sahaja atau koko pudina. Maka jarang-jarang dapat koko pudina maka itulah pilihan untuk saya. Apabila saya minum, boleh tahan sedap.

Maka saya tanya beli di mana. Beli di platform popular ketika ini. Saya minta pesan satu tanpa tengok harga tapi saya minta yang koko sahaja.

Hehe apabila tengok harga boleh tahan mahal. RM69 setin dengan 550 gram dengan 55% coklat gelap. Kalau yang koko pudina lagi mahal. Hela nafaa sahaja. Pos dengan Ninjavan pula RM1. Murah kos pos sebab diberi kotak dan dalamnya dibungkus dengan bungkusan buih (bubbles wrap) ingat bungkus cikai. Demi untuk merasa. Rasa beli sekali ini sahaja.

Tin Beans & Co Dalam Bungkusan Buih



Oklah rasanya sama macam saya beli sebuk koko Van Hauten. Cuma ini ada dah letak gula, susu tepung, molases.

Tin Beans & Co



Keinginan sudah dipenuhi. Harap tiada racun lagi untuk rasa beli lagi. Jangan termakan godaan dengan perkataan 'artisan' atau 'gourmet drink'

Tuesday, October 4, 2022

Boleh Rupanya

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Pertama kali gabungkan puasa sunat dan intermittent fasting. 24 jam puasa. Kali terakhir makan pukul 6:30 petang, sahur air masak pukul 5 pagi. Buka puasa pukul 7:04 malam.

Apapun boleh rupanya saya buat gabungan puasa dengan IF. Makan sedikit sebab makan banyak perut rasa pedih. Ringan rasa badan. 

P.S: Korang pernah rasa bosan nak makan? Kadang-kadang itu yang saya rasa.

Mengenang Kembali

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Entah mengapa saya tetiba ingin mendengar lagu-lagu lama 80-an dan 90-an.

Buka YouTube, mula-mula taip 80'an love song. Dapatlah senarai lagu dimainkan. Tetiba rasa hendak tengok klip video setiap penyanyi.yang saya hendak. Jadi taip satu-satu tajuk lagu atau nama penyanyi.

Antaranya ialah Olivia Newton-John yang baru meninggal sebulan lebih. Teringat Lagu 'Magic'. Memang berhantu lagu ini berulang-ulang saya tengok. Asyik pula saya tengok klip video. Tengok penyanyi latar dan pemuzik. Dram dan gitar bass yang menonjol. Persembahan Olivia pun memukau. Lepas itu google cari lirik lagu. Tengok penggubah dan penulis lirik. Itu yang bawa ke Xanadu. Cari pula klip video Xanadu. Sedap juga lagu-lagunya. 

Lepas itu merebak tengok Andy Gibbs sebab Olivia ada duet dengan dia dan dikatakan hero Xanadu ada iras rupa Andy.

Ingatkan Andy Gibbs ini dalam kumpulan Bee Gees. Rupanya tidak. Tengok biodata Andy dalam google. Lepas itu tengok klip video Still Alive, How Deep Is Your Love, Alone dan sebuah lagu lagi tajuk lupa kumpulan Bee Gees pula.

Berantai-rantai sambil ingat semula tajuk dan penyanyi.  Tengok video klip ABBA, Romantics, Modern Talking, Hoobastank, Joey McIntyre.

Ramailah. Haha. Apa yang teringat. Ambil masa dari1 Oktober hingga malam tadi 3 Oktober. Bukan terus-menerus 24 jam ya. Ingat tajuk lagu terus cari dalam YouTube.

Ada tajuk saya tidak ingat. Ingat saya akan cari semula.