Nuffnang

Showing posts with label Kenangan Lama. Show all posts
Showing posts with label Kenangan Lama. Show all posts

Wednesday, February 25, 2026

Kematian pada 5 Ramadhan 1447 H

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Kematian itu pasti. Kami mendapat khabar sepupu emak (anak arwah Mak Ngah Kintan) sudah meninggal dunia pada 23 Februari (Isnin).

Al-Fatihah



Saya yang merancang tidak mahu balik kampung terus kemas barang dan maklum pada Emak untuk ikut sekali.

Kami terlewat ke Masjid Kariah Repah sebab ketika itu sudah terlepas bacaan Yasin tapi tahlil masih berlangsung.

Solat Zuhur berjemaah di masjid. Ramai yang datang termasuk budak-budak sekolah agama yang terletak berhadapan masjid. Penuh sampai ada yang kena solat bahagian luar. Kemudian selepas solat Zohor disambung pula dengan solat jenazah.

Ingat hendak ikut ke tanah perkuburan tapi panas terik. Teringat kes berjemur masa jenguk kebun Sungai Besar terus batalkan. Emakpun tidak pergi hanya Abah dan anak saudara, Azim yang ikut.

Di Tanah Perkuburan 



Rasa tidak bersemangat hari itu dan esoknya. Teringat kali terakhir arwah tegur saya ketika saya pulang jalan kaki dari masjid ke rumah Uwan. Arwah tegur mengapa saya tidak ikut balik naik kereta. Saya kata Abah ada urusan. Ya saya boleh ambil masa. Kadang-kadang suka ambil masa lepak dalam masjid, tunggu orang tiada baru keluar balik. Lagipun ada rasa keseronokan jalan kaki walaupun jalan raya besar banyak kereta. Selalu berdoa juga ketika melintas (takut juga melintas) kalau kena langgarpun biarlah lepas solat dan ada wuduk. Peristiwa itu hujung bulan Januari.

Tidak sangka ajal menjemput arwah. Arwah ini bilal ke-2 Masjid Kariah Repah. Peramah. Ceria. Isteri arwahpun baik. Isteri arwah pernah makan sebelah saya di kenduri tahlil rumah Makcik Cupik (tidak tulis lagi pasal kenduri ini pada 1 Februari) 

Semoga Allah merahmati arwah dan tempatkan di Syurga Firdaus. Amin. Orang baik Allah sayang. Terngiang-ngiang suara azan yang arwah kumandangkan apabila dengar azan di Masjid Kariah Repah. Seolah-olah arwah yang mengumandangkan azan itu padahal orang lain yang lain yang buat. Monolog pada diri mengapa saya terdengar macam arwah yang azan pula ini.)

Al-Fatihah untuk arwah Pak Ngah Yed (panggilan saya untu arwah)

 

Thursday, January 29, 2026

Makan Soto Di Medan Selera Jalan Bunga Matahari Sungai Besar

 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...


Tidur awal malam lepas buka, solat jamak takdim.

Esok pagi rasa lapar. Abah keluar jumpa orang hendak beli tanah. Emak pasti tidak mahu ikut saya keluar jalan awal pagi sekitar hotel. Suasana tenang belum banyak kedai buka pukul 8:30 pagi.

Saya jalan sampai ternampak medan selera. Teruja kalau ada gerai buka. Lagipun teringin makan soto Sungai Besar.

Mula-mula nampak satu gerai susun makanan. Rupanya belum beroperasi. Pukul 10:00 pagi. Pergi hujung nampak ada orang makan dan gerainya. Alhamdulillah minta soto dengan bergedil dan teh tarik.

Soto Dengan Teh Tarik, Belakangnya Botol Merah Isi Kicap, Botol Kaca Isi Cili Cuka



Haha mula-mula letak mangkuk itu saya ingatkan mangkuk cendol (sebab nampak dari jauh kemudian cuma bagi sudu sup). Kecewa sedikit sebab tidak macam saya dulu-dulu makan soto di kawasan kampung. Macam soto biasa jumpa. Takpelah masih sedap cuma sebelum ini pernah makan soto lain yang lagi sedap di Sungai Besar.

Soto Warisan Haji Mispan. Operasi setiap hari kecuali Ahad dari pukul 8 pagi hingga 12 tengahari.


Jelas Menu Makanan Dan Minuman Yang Disediakan Beserta Harga


Soto Warisan Haji Mispan
No. 37 dan No. 38 Gerai Foodcourt
Jalan Bunga Matahari
45300 Sungai Besar
Selangor.


Apapun harga murah. Soto RM4. Saya tambah bergedil jadi RM4.50. Teh tarik RM1.80. 

Cepat-cepat makan sebab takut Abah ada urusan lain. Sekali betul, balik ke hotel, nampak kereta Abah dan daftar keluar. Lepas itu Abah dan Emak sarapan di kedai semalam.

Terus balik. Kena datang lagi ada urusan tertangguh. Kali ini cakap dengan Emak, saya tidak mahu ikut 😑



Monday, January 26, 2026

Selamat Tinggal Kebun Di Sungai Besar

 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Bersiaran daripada Hotel 24 di Sungai Besar. Rehat sambil menulis untuk blog. Datang sini Abah dan Emak. Emak ajak. Mula-mulanya teragak sebab puasa sunat tapi pergi juga untuk tinggal kepada kebun. Entah bila akan singgah ke Sungai Besar lagi kalau sudah tiada urusan.

Bertolak dari Melaka pukul 11 pagi. Singgah R&R Ayer Keroh untuk isi minyak dah isi semula Touch&Go. Kali ke-2 berhenti di R&R Dengkil Utara untuk Abah makan tengahari. Saya dan Emak tunggu dalam kereta. Sementara tunggu ambil gambar dari kereta 

Cuaca Panas Di Tempat Letak Kereta


Kawasan Rehat Dengkil Utara




Sampai kebun keluar daripada kereta pukul 3:28 petang. Ambil gambar buat kenangan.

Kebun Terletak Di Jalan Kiyai Marzuki

Pokok Sawit Yang Muda

Beberapa Batang Pokok Pisang





Kebun ini bersebelahan kubur Islam.

Kubur Islam

Papan Tanda Tanah Perkuburan Islam (2) Kampung Lubuk Pusing



Harap orang yang beli dapat bangunkan dengan lebih baik. Lepas sudah tengok dan ambil gambar kami ke masjid untuk solat. Lepas solat ambil gambar. Saya ambil gambar waktu solat untuk rujukan kalau hotel saya tidak dengar bunyi azan.

Maghrib 7:28 Malam



Apabila puasa rasa macam lemau dan ambil berat waktu solat Maghrib. Lagilah bermusafir.

Dalam Masjid

 
Tanda Sudah Hadir- Masjid Al-Mujahidin



Cari hotel selepas itu di bandar dan dekat tempat makan. Maka Hotel 24 dipilih terletak di kawasan kedai. Ada 2 aras. Dapat Aras 1. 1 katil permaisuri dan 1 katil seorang. Malas ambil gambar bilik. Selesa sebagai hotel asas.

Hotelnya Di Atas Kedai


Ruang Terima Tetamu



Selepas itu singgah restoran. Tidak banyak pilihan sebab makanan dah habis dan makanan panas yang terhad. Saya minta nasi goreng pattaya dan air teh tarik.

Restoran Rashid Fadil



Lepas Emak dan Abah habis makan, kami bawa barang masuk bilik. Restoran ini seberang hotel.

Harap jual beli kebun berjalan lancar. Amin.


Saturday, January 24, 2026

Ceramah Sempena Israk Mikraj

 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...


18 Januari 2025 Ahad.
Mula-mula dapat tahu ada ceramah dan kehadiran Tunku Besar Tampin di Masjid Repah selepas selesai tahlil. Asalnya tidak dapat sertai sebab ingat Abah nak balik ke Melaka selepas Asar. Rupanya Abah nak dengar ceramah jadi balik lepas habis acara.

Di Sebalik Tirai



Lupa nama. Kata peserta rancangan Astro Oasis ketika ini. Tidak silap Mualim Muda. Siapa tahu?

Besarkan Imej



Ya Allah setepek kena sebab waktu itu tiba-tiba mengantuk. Dia kata ketika kita dengar tazkirah syaitan akan kenakan kita 3 benda. Mula-mula celak bagi mengantuk, kemudian gincu untuk bising/bercakap-syukur tidak bercakap-cakap dan rotan untuk badan bagi kita tidak betah duduk diam. Paksa diri untuk tidak terlelap.

Kemudian ceramah tentang adab. Apabila ceramah tamat pukul 9 lebih maka ada acaraca bagi cenderamata Tunku Besar Tampin YTM Tunku Syed Razman bin Tunku Syed Idrus Al-Qadri

Penceramah Dengan Tunku Besar Tampin



Lepas solat Isyak terus ke tempat makan macam tempat semalam. Ramai betul. Tidak ambil gambar sebab cepat-cepat ambil makanan. Makanan disediakan oleh Makchek. Nasi putih, masak lemak daging salai, sayur campur, sambal ikan keli dan sambal belacan. Haha terlupa ada ikan madin atau ulam. Aduh memang kena ambil gambar. Nasib baik dapat duduk meja panjang. Kira saya orang terawal. Memang cepat-cepat makan sebab hendak balik ke Melaka.

Sampai ke Melaka hampir pukul 11 malam.

P.S: Habis sudah pos mengenai aktiviti hujung minggu lepas.


Monday, August 4, 2025

10 Safar 1447

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...


Tarikh bermakna juga. Tarikh lahir diri mengikut kalendar Islam.

Mula tahu itu apabila rakan sekolah menengah  tanya dan dia tukarkan tarikh Masihi kepada tarikh Hijrah.

Lupa sekejap tapi ingat balik lepas satu keadaan.

Korang tahu tarikh lahir ikut tarikh Hijrah? Boleh klik sini. Kalau ikutkan apabila saya masukkan tarikh lahir Masihi, hasil yang keluar 9 Safar tapi teringat saya lahir sebelah malam. Jadi korang kena ambil kira faktor itu juga sebab tarikh berubah sewaktu masuk Maghrib.

Ok itu sahaja hendak kongsi. Jumpa lagi.
 

Friday, May 23, 2025

Poskad Untuk Kamu

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Cari album lama nampak poskad ini beli di Istanbul. Poskad Istana Topkapi. Memandangkan dalam itu ada tidak boleh ambil gambar macam barang-barang Rasulullah. Ada juga gambar artifak dan pemandangan.









Rasa hendak bagi poskad pada pembaca blog yang berminat. Ada 12 poskad jadi saya akan bagi poskad secara rawak. Insya Allah. Sesiapa berminat boleh e-mel pada saya: wina1979@gmail.com. 
Nanti beri alamat dan hendak saya tulis apa atau biar kosong.

Bahagian belakang ini ada penerangan mengenai gambar.

Contoh Belakang Poskad



Oh! Ya, pembaca blog luar negarapun boleh minta. Pentingnya bagi alamat lengkap.

Cukup 12 orang, saya akan tulis TUTUP.

Apapun terima kasih yang baca blog saya.


P.S: Saya akan pos secepat mungkin dan tidak tunggu sampai dapat 12 nama sebab sudah beli setem serentak baru pos sebab takut lambat. Apapun saya akan beritahu apabila sudah pos dalam emel. Insya Allah.

P.S: Mereka yang tiada blog yang baca pos ini boleh juga minta.

Kemaskini 15 Jun 2025: Poskad yang sampai boleh baca di blog Tot.

Kemaskini  12 Julai 2025: Poskad yang sampai di blog Ceritera Kehidupan.

Monday, May 5, 2025

Suka Buat Syarat

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Tonton Alumni Haji di tv Al-Hijrah pukul 6 petang setiap Isnin-Rabu rasa sebak pula.

Tertanya-tanya bila diri ini akan dipanggil untuk menunaikan haji. Baru teringat saya buat janji ketika umrah untuk datang bersama suami apabila buat janji

Masalahnya belum lagi kahwin. Maknanya kena tunggu dah kahwin baru dapat. Silap diri suka buat syarat dan keadaan. Dahlah waktu tawaf keliling Kaabah.


Monday, April 21, 2025

Sama Tapi Tidak Serupa

 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Baca novel ini sebab tidak ingat jalan cerita. Dah lama beli.

Tiba-tiba apabila baca, macam lebih kurang cerita perjalanan hidup ini. Bukan 100% sama tapi ada sedikit persamaan. 


Itulah Allah jentik hati ini.

P.S: Cinta berdasarkan redha Allah. Dijauhkan daripada lelaki tidak berguna.

Apa yang dikehendaki oleh Allah pasti akan berlaku, apa yang tidak dikehendaki oleh Allah pasti tidak akan berlaku. Apa yang ditentukan oleh Allsh baik-baik sahaja.

Tidak tunggu seseorang. Ada jodoh yang tepat, terima. Itu beza saya dan Dahlia.


1 Oktober 2025:
"Ya Allah aku mohon seluruh kebaikan. Yang lambat, yang cepat. Yang aku tahu, yang aku tidak tahu. 
Ya Allah aku berlindung seluruh keburukan. Yang lambat, yang cepat. Yang aku tahu, yang aku tidak tahu.
Ya Allah, aku mohon segala yang dipohon oleh Nabimu, Muhammad S.A.W. dan aku berlindung daripada segala Nabimu memohon perlindungan.
Ya Allah aku mohon syurga dan aku mohon didekatkan segala perkataan dan amalan yang mendekatkan aku kepada syurga.
Dan aku mohon berlindung daripada neraka dan aku mohon dijauhkan segala perkataan dan amalan yang menjerumuskan aku dalam neraka.
Ya Allah jadikanlah ketentuan takdirMu ke atas aku sebagai baik-baik belaka."


Sunday, April 20, 2025

Berserah Dan Berlindung

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...


Apabila sudah rasa lega 'konflik' selama 14 tahun dapat penutup tiba-tiba ada bahagian lain belum diselesaikan.

Apapun saya memang dah serahkan 100% pada Allah sejak 'konflik' tersebut dan saya berlindung kepada Allah daripada melakukan kezaliman ke atas diri sendiri.

P.S: Ambil masa lagi untuk leraikan 100%. Saya patut buat begini selalu seperti dalam pos ini

Saturday, April 12, 2025

Ramadan Dirindui Syawal Menjelang

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Sedar tidak sedar sudah 13 Syawal. Penghujung Ramadan hingga 9 Syawal saya memang tidak buka blog. Saya memang tiada internet guna internet rumah. Lagilah adik ambil bawa balik kampung ke Kelantan. Hehe dapatlah puasa daripada dunia siber.

Rasanya Ramadan yang terbaik, seronok dan menenangkan untuk saya. Rutin yang berbeza daripada Ramadan tahun-tahun lepas. Harap Ramadan tahun hadapan makin bagus daripada sebelumnya.

Lemang Pakcu Buat



Saya Dengan Emak Dan Saudara Mara Di Rumah Makchek


Raya? Ok sahaja. Baju raya tidak sempat hantar untuk raya. Tapi saya banyak baju kurung raya jadi pakai yang jarang pakai.

Apapun seronok baca pengalaman raya rakan-rakan bloggers tahun ini. 

Selamat menjalani puasa 6 Syawal.

Friday, December 27, 2024

Ucap Terima Kasih

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Hidup adalah ujian. Ketika dalam perjalanan ke alam abadi, jumpa pelbagai jenis ragam manusia.

Mereka yang baik, jujur pada aku - terima kasih atas kemurahan hati. Hanya Allah yang dapat balas memberi pahala setimpal

Mereka yang menipu, mengumpat, membuat fitnah - terima kasih juga sebab sudi berikan pahala untuk aku di akhirat atau tanggung dosa aku. 


Sunday, June 25, 2023

Antara Luahan Dan Rasa Bersalah

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum... 

Apabila sedar buat salah dan tidak dapat luahkan kepada orang yang kita buat salah maka ia menjadi beban. 

Mengapa tidak diluahkan? Susah hendak luahkan tapi rasa bersalah tetap ada.
 

 

Friday, May 19, 2023

Tunggu

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Ada ketika kita tidak sabar untuk dapatkan sesuatu. Cuba buat macam-macam untuk dapatkannya tapi tidak berhasil.

Ketika itu rasa kecewa dan sedih tidak dapat dibendung. Perasaan seperti orang ditewaskan. Pada ketika itu juga teringat berapa kerdil diri ini. Tidak berdaya untuk buat walaupun perkara kecil.

Istighfar, bertaubat pada Allah. Redha, bersabar, bersabar, bersabar. Minta lagi pada Allah petunjuk. Bersihkan hati. Betulkan apa yang salah. Minta lagi petunjuk. Ketika itu Allah tunjukkan salah kita dan kita betulkan semula. Istighfar. Mengaku dosa dan minta Allah beri kekuatan untuk jauhkan supaya tidak mengulangi kesilapan sama.

Ulang-ulang. Rasakan berapa lemah dan tidak berdayanya kita. Ingat hari kiamat. Pada ketika kita rasa amannya perbuatan baik yang telah dilakukan tiba-tiba tiada ketika perhitungan di sana. Hilang. Kita muflis. Termangu-mangu bagaimana boleh hilang. Rasakan perasaan itu sekarang. Rasakan perasaan tidak berdaya. Rasakan kita tidak mampu dapat apa yang kita hajati tanpa pertolongan-Nya. Akui kelemahan diri sungguh-sungguh. Buat baik sebanyak-banyaknya sambil harap Allah terima amal kita. Siapa tahu amal itu Allah redha.

Maka tiba-tiba Allah beri apa yang kita hajatkan. Betapa mudah tanpa bersusah payah terims. Kita gembira dan mungkin mengulang semula kealpaan atau mungkin sahaja dosa.

Istighfar dan taubat selalu. Ingat tiada jaminan kita masuk syurga tanpa harap ihsan-Nya.

Thursday, May 18, 2023

Selesai Puasa Ganti Dan Puasa Sunat

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Semakin ke penghujung Syawal,akhirnya hari ini selesai puasa sunat dan ganti.

5 hari ganti dan 6 hari puasa sunat Syawal. Mencabar tahun ini untuk habiskan. Apapun alhamdulillah di sebalik rasa kecewa dan panas luar biasa.

Pada sisi lain, setahun sudah elak minum air kopi kecuali terminum masa raya. Hehe. Godaan dapat ditepis. Teh minum sekali-sekala disebabkan ada tujuan kesihatan. 

Wah tidak sangka boleh berhenti minum kopi. Dahulu saya ditegur oleh teman tapi mesra supaya berhenti minum kopi. Waktu itu 2-3 kali sehari minum. Saya cakap sudah cuba tapi tidak boleh. Sekarang boleh pula.

Nota: Sepanjang Syawal, waktu Maghrib/berbuka pukul 7:16 sahaja tidak berubah-ubah sedangkan waktu Subuh berubah di Melaka. Simpan sebagai kenangan.


Saturday, April 29, 2023

Sibuk Beraya Lagi Hujung Minggu Ini

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Hari ini ada jemputan kahwin di Tampin. Lepas itu ke Ampang Jaya, Selangor pula untuk rumah terbuka. Mok masak sedap. Harus pergi. Lepas itu tidur rumah adik bongsu yang nombor 4. Kira raya. Dapatlah tengok rumah adik pindah baru-baru ini di Sri Damansara. Hehe inipun mungkin ada selit rumah mana-mana sebab sudah di KL maknanya ada saudara-mara abah ajak raya. Jarang dapat jumpa sebab lepas arwah datuk meninggal tahun 2010 kami jarang balik KL/Selangor. Sedihkan? Penghubung kuat sudah tiada. Kalau arwah datuk ada memang rajin ziarah saudara-mara sebab ada itu tidak berapa kenal. Macam hubungan itu sudah ke hadapan. Inipun ramai sudah meninggal tinggal anak cucu yang tidak rapat.

Esok pula ke Shah Alam. Harap semua berjalan lancar. Insya Allah. Jadi sibuk hujung minggu ini.

Jumpa lagi apabila kelapangan.

Saturday, April 1, 2023

10 Ramadan: Setahun Berlalu

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Lama menghilang. Hehe sibuk benda lain jadi blog sendiri terabai. Ada juga jalan-jalan di blog tapi kurang sedikit.

Alhamdulillah sudah Ramadan ke-10. Saya seorang di rumah! Akhirnya dapat buat apa-apa disukai. Sebelum ini rumah ini banyak dikuasai anak-anak buah. Penat dengan mereka juga. Kecoh dan bising budak-budak tidak puasa dan yang baru belajar puasa dan yang sudah biasa berpuasa. 6 orang anak buah daripada umur 12 hingga 2 tahun. Apapun seronok juga ajar banyak buah yang baru berpuasa untuk niat setiap malam. Baca doa buka dan makan bersama-sama. Buat masa ini saya belum buka di masjid hanya mak dan abah buka di sana. Lagipun entah tahun ini saya seronok buka di rumah sebab boleh tentukan bila saya solat Maghrib. Kadang-kadang makan sedikit dahulu baru solat Maghrib dan kadang-kadang habiskan makanan baru solat Maghrib. Kebanyakan buka dengan nasi sebab seorang anak buah yang istimewa (baru belajar puasa) minta nasi lepas itu mesti kena ada sambal atau masak asam atau kuah tomyam. Layankan sahaja kehendak dia. Semalam kain sedikit iaitu soto nasi. Saya ok sahaja. Dah tua makan nasi waktu buka tidak macam ketika budak-budak minta makanan yang bukan nasi.

Sahur saya cuma air putih atau kadang-kadang minum air Quaker Oat Blueberryv 3 dalam 1 campur serbuk koko. Itu sahaja. Semalam timbang berat badan adik saya gelak berat saya 47.05 kg. Memang saya ambil berat pasal berat badan. Rasa oklah ini. Waktu di universiti berat 39 kg sahaja lagi teruk.

Minuman Quaker Oat Blueberry 3 Dalam 1



Apapun seronok baca korang punya menu berbuka dan sahur. Alhamdulillah atas nikmatnya. Jumpa lagi. Insya Allah.

P.S:  Pada perkara lain, alhamdulillah sudah setahun berlalu. Harap tiada lagi gangguan mesej.