Nuffnang

Tuesday, November 3, 2026

Suka Cara/Sistem Lama

 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Selamat pagi semua. Harap semua ok. Tidak ok kita mengadu pada Allah untuk beri kelapangan.

Minggu ini minggu menegangkan sebab saya baru tahu prepaid saya yang ditukarkan kepada RED oleh Maxis pada tahun lepas tidak boleh beli buy validity 365 days. Untuk makluman saya punya pelan lama telah dimansuhkan.

Saya suka pelan lama itu! Kalau tidak aktif dapat 3 bulan. Ini yang baru dapat 50 hari sahaja. Patutlah hari itu saya terkejut lepas tempoh 365 hari tamat, saya tidak tambah nilai lepas 50 hari kena peringatan untuk tambah nilai kalau tidak nombor kena tamat.

Satu lagi kena beli tempoh 365 hari kena pakai pakej FAST. Apahal saya ditukarkan ke pakej RED tiada fungsi beli tempoh 365 hari? Lain kali tanyalah pengguna awal-awal untuk pilih pakej apa. Kena fikir masak-masak tukar pakej sebab fikir pro dan kontra. Alahai saya hendak pelan lama.

Maaf ini pos luahan. 

Kemaskini 5 November 2026

Setelah ditimbangtara, pada hari terakhir kad sim aktif iaitu pada 5 November 2026, saya tukar ke pakej FAST. Caj penukaran ialah RM2. 
Kemudian ambil sim validity 365 kena RM30. Oklah kalau guna pelan/sistem lama saya kena caj RM33.

Setelah tukar maka ini pemuka akaun Hotlink FAST atau PANTAS saya seperti di bawah:-

Internet 1GB Tarikh Luput 5 November 2027 Pukul 21:21


1 GB percuma kerana tukar pakej. Tamat tempoh pada 6 November 2026 9:15 malam.

Alhamdulillah proses penukaran yang mudah. Setelah fikir pro dan kontra maka keutamaan saya adalah untuk kekal aktif kad sim untuk setahun. Tidak perlu fikir untuk tambah nilai selalu. Sayapun tidak guna internet mudah alih. Lebih banyak guna internet di rumah.


Saturday, October 24, 2026

Mencuba Kopi Saigon

 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Pagi tadi pergi kenduri kahwin di Bachang di Dewan Kaca LeQAMR ada reruai Kopi Saigon. Maka teringin untuk cuba.

Mula-mula minta kopi panas tiada maka minta kopi sejuk. Orang depan saya minta yang ada krim dan air dikacau maka pembuat itu cakap itu air coklat. Sayapun tertarik dan minta 1. Saya bawa balik ke kampung untuk minum petang.

Air Coklat Asli Daripada Kopi Saigon



Ya Allah sedap. Secukup rasa manis berlemak dan pekat coklat. Terus cari alamat cawangan Kopi Saigon terdekat. Hehe jumpa tapi selalu tidak diendahkan. Nampaknya akan dilawati masuk ke dalam untuk membeli.

Tidak sabar untuk membeli awal bulan nanti. Insya Allah.

Korang pernah minum air daripada Kopi Saigon? Apa pilihan air yang korang minum?

Kemaskini:


Dalam Kedai Kopi Saigon. Ada Wi-Fi Percuma Dan Makanan



Esoknya Ahad 25 Oktober ada rezeki untuk beli air Choc Original Kopi Saigon sebab balik dari Tampin singgah kawasan kedai Taman Tasik Utama Ayer Keroh, Melaka nampak kedai Kopi Saigon. Sementara Abah ke kedai tomyam yang sewa kedai dengan Emak saya ke Kedai Saigon. Rupanya saiz air yang saya dapat di kenduri tiada tapi sini ada air coklat panas. Asalnya hendak beli itu tapi tengok saiz cawannya macam kecil sedikit daripada Regular (yang ada ais), saya ambil saiz Regular. Hargapun lagi murah daripada air yang panas.

Choc Original Regular RM9.90



Malamnya makan nasi gepuk Mafia (separuh) nasi dan lauk untuk puasa sunat esok. Ingat airpun hendak minum separuh tapi sedap betul sampai sedar-sedar habis. Hehe. Lepas ini ingat beli saiz L pula. Harga saiz L sama dengan air panas coklat iatu RM11.90.

Nota tambahan:
5 November 2026

Beli lagi air coklat asli Kopi Saigon. Hehe beli saiz L pun tidak puas minum.

Pergi lepas Asar sebab pergi ke kedai tomyam biasa pergi. Sementara tunggu makanan, pergi ke Kopi Saigon. Niat minum air itu untuk sarapan tapi malam pukul 9 malam lebih sedut sedikit. Tapikan kalau minum sejuk-sejuk tidak rasa sesedap kalau kita biarkan ais dan air itu kurang sejuk macam saya buat esok pagi untuk sarapan.

Puas hati minum rasa pekat coklat drnfan lemak susu, ada sedikit rasa masin dan manis mencukupi yang saling melengkapi. Hehe nasib baik kedai tidak dekat rumah. Agaknya kalau dekat hari-hari beli sampai jemu.



Monday, October 19, 2026

Pembelian Terkini Daripada Wowshop

 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Beli kopi lagi tapi beli kopi peria katak dan serbuk kayu manis. Sebenarnya saya sudah cuba sekotak tapi beli di kedai kurma untuk cuba. Mula-mula rasa pelik tapi lama-lama rasa ok. Tidak terus beli secara pukal sebab saya ada banyak jenis kopi pracampur.

Apabila kopi habatussauda saya habis barulah beli kopi peria katak ini. Menariknya dapat percuma kopi habatussauda 15 sachet (1 kotak)

Harga dibayar ialah RM130 daripada asal iaitu RM149. Dapat baucer RM10 dan tunai RM9.

Beli 4 kotak (4×15 sachet) dapat percuma 20 sachet + 10 sachet kopi peria katak dan 1 kotak (15 sachet) kopi habatussauda.

Jumlah=105 sachet 😊 Pembelian menguntungkan bagi saya.

Parcel Kegembiraan


Lapisan Atas- Barang-Barang Percuma


Bahagian Bawah 4 Kotak × 15 sachet



Ok lepas ini tidak perlu fikir beli kopi sehingga salah satu jenis sudah habis.


Tuesday, October 6, 2026

1 000 000

 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Secara rasminya blog ini telah mencecah lebih 1 000 000 pandangan muka (PV).

1 000 000 



Orang lain dah lama capai saya baru sampai. Alhamdulillah. Hampir 16 tahun. Saya mula tulis blog ini pada 10 30 Oktober 2010 hingga hari ini 6 Oktober 2026.

Sahaja hendak tulis sebagai kenangan. Harap istiqamah berterusan menulis dalam blog ini.

Jumpa lagi.

P.S: Hari ini Abah ada temujanji di IJN. Harap semuanya baik-baik sahaja.


Thursday, October 1, 2026

Hujung Bulan Yang Melegakan Fikiran

 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Syukurlah benda yang mengganggu fikiran juga akhirnya terjawab. Ingat tidak pos pasal saya daftar zakat khultah ASB? Saya ada tanya pada petugas yang proses permohonan saya. Saya tanya bila mula zakat ini tapi tiada jawapan. Jadi ada perasaan tidak sedap hati.

Tanggal 30 September saya terima sms dalam pukul 12 tengahari lebih. Terkejut pasal bayaran zakat telah diterima MAIWP. Saya mana ada tunaikan zakat di di MAIWP tetapi kalau ada di ZM (Zakat Melaka). Dalam sms itu ada dikatakan ada hantar juga ke emel untuk tengok resit.

Alhamdulillah apabila buka rupanya untuk zakat pelaburan ASNB. Tengok jumlah zakat. Sedikitnya daripada jumlah saya bayar. Kiranya kiraan zakat secara khultah ini lagi rendah daripada kiraan saya buat.

Zakat Pelaburan



Apapun lega kewajipan telah diselesaikan secara automatik.

Saya tulis ini untuk mereka yang mungkin tertanya-tanya sama ada untuk bayar sendiri atau pihak PNB yang buatkan. Kalau berminat, pergi daftar dahulu di pejabat ASNB atau ejen terlibat.

Oklah sekadar menyampaikan maklumat. Jumpa lagi.

P.S: Ada satu lagi urusan tidak selesai lagi. Orang lain senang sahaja selesaikan, saya banyak pula langkah kena buat. Harap ia dipermudahkan Allah nanti. Amin.



Tuesday, September 29, 2026

Hujung Minggu Sabtu Ahad 26-27/9/2026

 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Hari Rabu Abah masuk wad Hospital Melaka, gula rendah. Kelam-kabut juga rasa. Syukur hari Jumaat petang Abah dapat keluar wad. 

Asbab Abah masuk hospital minggu tersebut adik saya nombor 3 si H yang asal mahu pulang minggu depan balik pada 26 September. Samalah adik bongsu si M pula balik sampai malam hari Jumaat.

Maka hari Sabtu pagi sesudah Subuh kami sarapan sebelum balik kampung ke Tampin. Asalnya ingin sarapan di Double Line tapi tutup jadi sarapan kedai di hadapan Double Line.

Si H pula memang terus ke Tampin hari Sabtu sampai pukul 2-3 pagi. Kami sampai dorang masih tidur pukul 11 pagi baru nampak keluar bilik.

Terima kasih H belanja semua orang air Mixue. Saya pilih semua yang saya suka dalam satu air: coklat, teh dan kopi cuma sayang tiada versi air panas. Jadi resolusi saya ambil kurang ais dan gula normal. Jadi saya tanbah air panas. Hehe bijak tak?😋

Mixue Toffee Hazelnut Milk Tea



Boleh tahan sedap. Dominan mula-mula rasa teh dan hujungnya kopi. Ada jeli yang kenyal. 

Sambut harijadi Azim(anak saudara) sehari awal. Abah beli kek coklat. Keknya ada taburan kismis di dalamnya. Hari itu hari makan manis banyak.

Esoknya sesudah Subuh juga (pukul 7:15 pagi) pergi sarapan Laman Hijau. Tujuan pergi awal untuk cop tempat untuk 23 orang. Awal pergi tidak ramai orang.

Pesan mihun kari nyonya ayam dan teh tarik.

Mihun Kari Nyonya Ayam Dan Teh Tarik



Tidak puas minun teh tarik sebab rasa sedikit.

Lepas makan itu, M balik Damansara dan H esoknya akan ke Hong Kong.

Tiba-tiba rasa sunyi di rumah kampung dan sayapun tidak sabar untuk balik ke rumah di Melaka selepas Asar. Uwan kata janganlah balik awal tapi saya kata saya rindu dengan rumah.


Tuesday, September 22, 2026

Hari Ini- Mendung Dan Cerah

 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Petang selepas Asar, tengok pada tingkap sebab ada angin kuat membadai pokok. Cantiknya langit dengan awan.

Pukul 5:49 petang ambil gambar di tingkap paling atas. Subhanallah. Cantik gambar tapi kena kecilkan saiz gambar untuk blog.

Kurang Cantik Gambarnya Lepas DiMampatkan



Pagi rasa sedih, petang rasa ceria sedikit. Begitulah hidup.


 

Monolog: Risau

 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Tonton pasal akidah sunah waljamaah tetiba risaukan dia yang dikelilingi dengan pelbagai fahaman.

Moga Allah sentiasa membimbingmu di jalan yang lurus selalu walaupun engkau selalu diasak oleh pihak Kristian yang mahukan engkau masuk semula ke agama asal mahupun umat Islam yang mengasakmu untuk memilih mazhab lain.

P.S: Saya tidak dapat bayang jika saya ditempat dia. Godaan datang tidak kira waktu

 

Sunday, September 20, 2026

Hujan Lebat Ketika Makan Di Kenduri Kesyukuran Dan Doa Selamat

 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Terima whatsapps Emak mengenai jemputan doa selamat dan kenduri kesyukuran pada 19 September 2026.

E-Jemputan



Kami sampai awal iaitu pukul 11:15 pagi. Majlis bermula 11:30 pagi. Sementara itu kami duduk di dalam khemah berborak dengan puan rumah. Suaminya sudah meninggal. Kira doa selamat masuk rumah baru dan tahlil.

Rumah Kenduri



Pukul 11:30 pagi kami masuk rumah. Majlis bacaan Yasin dan tahlil bermula. Emak duduk di kerusi, saya duduk di lantai.

Duduk Di Lantai


Baju Kenduri Dan Baca Yasin Daripada Buku Yang Diterima



Pukul 12 tengahari tamat bacaan tahlil dan kami dijemput makan. Macam biasa tempat makan nasi sudah ramai lelaki beratur. Jadi saya pergi bahagian kambing golek. Jadi orang ke-3 😋

Kambing Golek Dengan Kawan-Kawannya



Lepas habis makan kambing golek kemudian ambil nasi hujan panas tiba-tiba hujan lebat turun. Saya dan Emak bernasib baik duduk tengah khemah. Mereka yang duduk di bahagian tepi khemah terpaksa masuk rumah. Walaupun begitu, percikan hujan masih kena pada nasi dan teh o saya. Terpaksa saya makan membelakangkan percikan hujan dan pinggan nasi saya makan atas penyandar kerusi. Memang basah sedikit tudung dan baju sebab angin kuat menolak hujan yang lebat. Tidak ambil gambar makanan nasi dan tauhu berlauk. Saya tidak ambil kek atau kuih sebab perut rasa sebu. Makan sedikit sahaja.

Kami balik apabila hujan sudah reda dan ada sedikit air hujan. Rasa tidak selesa masa ini sebab baju, tudung dan kain basah. Anak buah pula lencun basah srbab redah ambil kambing golek. Balik rumah azan Zohor berkumandang.

Jumpa lagi.

P.S: Alhamdulillah pos terbaru saya terus naik dalam senarai tulisan terbaru blogger.

Tuesday, September 15, 2026

FOMO: Roti Sunshine

 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Akhirnya dapat juga beli roti jenama Sunshine. Alhamdulillah. Sebelum ini harapkan semoga Mydin ada. Terbaca pos Nur sebelum ini dia beli poketto tiramisu di Family Mart.

Hari ini ikut Emak dan Abah ke bank dan Hospital Melaka. Masa menunggu Abah masuk bank, saya ke Family Mart dan jumpa. Kepalang gembira hati ini.

Saya ambil 2 produk iaitu Poketto Sandwic Tiramisu dan Hokkaido Milk Summer Berries. Tidak sabar untuk cuba.

Sunshine Poketto Sandwic Tiramisu Dan Sunshine Roti Berkrim Beri Campuran



Jumpa lagi.

Wednesday, September 9, 2026

31 Ogos 2026: Majlis Aqiqah Dan Kesyukuran Muhammad Zaiyan Syaiqul

 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Maaf lama tidak kemaskini blog. Minggu lepas minggu kenduri untuk saya.

Hari Isnin ada majlis aqiqah dan kesyukuran di Jalan Sesapan, Kampung Batang Nyamor, Kota, Rembau. Kiranya majlis dianjurkan oleh adik tiri (sama bapa berbeza ibu) Emak.

Saya siap awal iaitu sebelum 10 pagi. Saya bercadang pakai jubah hitam bersulam bunga emas kuning dan tudung hitam. Hehe sahaja tulis untuk rujukan.

Jubah Hitam



Sampai sana lebih kurang pukul 11 pagi. Menunggu Pakcu sebab kami tidak jumpa Jalan Sesapan dan tidak tahu rumah di mana. Majlis baru bermula dengan marhaban tapi kami terlepas majlis cukur/potong rambut Muhammad Zaiyan. Kami duduk di khemah sahaja sebab tidak muat duduk di dalam. Hanya kumpulan marhaban duduk depan pelamin.

Kumpulan Marhaban



Selepas kumpulan marhaban keluar pada pukul 11:27 pagi, kumpulan lelaki pula masuk untuk bacaan tahlil dan Yasin.

Kumpulan Marhaban Keluar Pada Pukul 11:27 Pagi


Majlis Tahlil Bermula Pukul 11:44 Pagi



Kumpulan marhaban dan kami yang tidak duduk di dalam makan dahulu. Kira 2 sesi. Saya ambil nasi minyak, ayam goreng, kari kambing dan acar jelatah. Tidak lupa sebotol kecil air mineral dan teh tarik.

Makanan Biasa Ditemui Dalam Kenduri



Tidak ambil kuihpun sebab kenyang. Sebelum bertolak saya sudah makan berat sedikit. Lepas selesai makan, kami bagi ruang mereka yang baca tahlil untuk makan pula. Kami beralih tempat ke hadapan rumah lepak di sana. Saya cuma ambil agar-agar mangga dalam mangkuk kecil untuk dibawa pulang.

12:30 tengahari kami dah keluar. Cuaca panas terik dan nampak kepulan awan di balik Gunung Datuk.

Kepulan Awan Berlatarkan Gunung Datuk



Sempat ambil gambar cenderamata saya dapat dalam kereta.

Cenderamata Diterima



Tidak sabar tunggu majlis pernikahan dan persandingan sepupu saya pada hari Sabtu minggu ini. Jumpa lagi.


Saturday, August 29, 2026

Coretan Minggu Maulidur Rasul

 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Hari ini seorang di rumah. Tidak rancangpun ingat hendak ikut balik kampung tapi Abah kata minggu tidak balik kampung. Kemudian malam tadi kata balik pula. Hmm...tidak ikut jawabnya sebab tidak suka buat keputusan saat akhir lagipun saya sudah pesan barang.

Minggu ini tidak masak. Emak pula yang hendak masak. Hehe agaknya masakan saya kurang memuaskan hati. Saya cuma masak nasi dan kemas dapur itu memang kerja saya. Rabu malam ada sambutan Maulidur Rasul. Ada bacaan selawat dan ceramah. Terima bekal nasi putih, sambal belacan, sayur campur dan kari ayam. Makan nasi pukul 9 malam lebih di rumah. Kira buka puasa berat sebab di surau cuma makan kurma dan air putih.

Makan Selepas Solat Isyak. Saya Yang Berdiri Baju Kurung Warna Biru Seluar Merah Jambu😅



Hari Khamis malam Jumaat bacaan Yasin sendiri dan dapat 2 bungkus nasi lemak. Alhamdulillah buka dengan nasi lemak dengan telur mata kerbau.

Lusa ada kenduri aqiqah dan doa selamat. Tidak pasti akan ikut. Kalau Abah dan Emak balik Melaka dari kampung hari Ahad maka saya ikut pergi kenduri. Insya Allah.

Itulah luahan minggu ini. Jumpa lagi.

 

Wednesday, August 26, 2026

BOSSBROTHERS Halal Sos Peri-Peri Pedas Gilar 270g

 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Pembelian ke-2 dapat hari Sabtu 22 Ogos 2026. Rasmikan ketika berbuka puasa hari Isnin ketika makan cekodok putih. Pesan hari Khamis pukul 10:13 malam.

Pembelian Saya



Parcel BOSSBROTHERS Halal Sos Peri-Peri Pedas Gilar 270g

 

Pertama kali mencuba tahun lepas ketika beli di Chong Hoe. Asal hendak cari sos peri-peri Nando's itu tapi tidak jumpa. Maka jumpa yang seakan-akannya. Harga di kedai runcit RM14.90 murah lagi daripada sos Nando's. Ia memenuhi citarasa saya dan memang pedas betul. Dua kali beli di kedai. Hehe selalu rasa kena minum air kopi susu atau coklat atau teh susu lepas makan. Atau kalau malas sulam minum air, kena campur sedikit mayonis atau sos bijan kewpie itu. Haha guna banyak sos.

Memandangkan jarang ke Chong Hoe. Cari di Mydinpun tiada maka marilah guna Shopee.

BOSSBROTHERS Halal Sos Peri-Peri Pedas Gilar 270g




Alhamdulillah barang sampai dalam kotak kecil dengan pembungkus gelembung.
Insya Allah kalau susah lagi hendak beli di kedai, boleh beli lagi secara dalam talian. Ada niat untuk beli cheese bomb jenama Mama Food sebab sudah susah jumpa di kedai.

Ok jumpa lagi.



Wednesday, August 19, 2026

Terjebak Juga

 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Akhirnya saya terjebak dengan Shopee! Tergoda juga akhirnya untuk buat pembelian dengan pelantar ini.

Alkisahnya digoda perlahan-lahan. Tanggal 17 Ogos 2026 pukul 9:27 malam saya telah daftar keluar pembelian pertama iaitu tudung bawal kapas bercorak bidang 45' warna hijau lembut. Buat bayaran secara COD. 

Tangkap Layar Butiran Pesanan Di Laman Shopee




Saya guna laman sesawang Shopee. Jadi apabila buka balik saya tidak dapat tengok status barang. Bagi saya kelemahan sebab kena muat turun aplikasi Shopee untuk tengok status. Patut untuk galak orang beli macam saya kena mudah akses melalui mana-mana sama ada laman sawang atau aplikasi. Saya tunggulah sama ada dapat barang atau tidak. Tidak merugikan saya. Saya menunggu dalam teka-teki.

Akhirnya hari ini pukul 1 lebih saya dapat whatsapps daripada van Shopee. Huhu saya bayar RM11. Tidak kisahlah pembelian pertama yang berjaya. Jakun sekejap.

Parcel Comel Yang Ditunjuk Dalam Whatsapps



Alhamdulillah barang diterima dengan selamat dalam beg zip tertutup. Hehe saya beli sehelaipun diberi layanan yang bagus. Tahniah kedai Miss Blue. Harga murah, banyak potongan dan cepat. Insya Allah mungkin saya beli lagi di kedai ini.

Tudung Bawal Kapas Saiz 45' Bercorak Warna Hijau Lembut




Kalau saya disuruh beri kadar pengalaman guna Shopee, saya beri 4 daripada 5 bintang. Shopee sila ambil komen saya.

Ok jumpa lagi.

P.S: Hari ini sinki tersumbat.