Nuffnang

Showing posts with label Resipi. Show all posts
Showing posts with label Resipi. Show all posts

Saturday, July 31, 2021

Sekali Lagi: Tangkap 3 Juta

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Selesai menonton #Qurantime, tetiba tergerak hati untuk melihat blog mamapipie. Adakah sudah hampir? Buka sahaja memang terkejut sebab memang sudah hampir!

Akhirnya masanya tiba. Tepat pukul 1:06 tengahari muncullah jumlah paparan 3000000 di blog mamapipie.com. Alhamdulillah dapat tangkap dengap tepat kali ini.

Tangkap Layar 3000000



Terus hantar paparan skrin ditangkap ke emel Adda. Sekarang tunggu keputusan rasmi diumumkan.

Alhamdulillah bulan Julai, 3 kemenangan wang tunai berjaya diraih termasuk ini kalau dikira. Insya Allah.

Jumpa lagi.

Friday, April 16, 2021

Buat Teh Chai

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Alhamdulillah sudah masuk Ramadhan ke-4. Tadi berbuka di masjid dan terawih. Sekarang tidak rasa mengantuk pula. Selalu waktu begini sudah pengsan.

Oh saya nak beritahu saya baru tahu resipi teh chai atau chai tea. Itupun tengok rancangan masakan 'Camca' hari Sabtu bersama Chef Nabil. Rupanya untuk buat teh chai guna bunga lawang, buah pelaga dan halia. Bahan-bahan itu ditumbuk untuk keluarkan aroma dan rasa.

Terus buat hari Ahad dan puasa pertama. Saya ikut cara cef masak guna api. 3 bahan disebut dididih bersama serbuk teh. Kemudian masuk gula perang, susu segar (saya guna susu tepung). Rasanya ikut suka kalau hendak guna susu sejat atau susu pekat. Jadi secara ringkas bahan diperlukan

Resipi Teh Chai

* Bunga Lawang
* Buah Pelaga
* Halia
* Serbuk Teh/Uncang Teh
* Gula Perang/Susu Segar/Susu           Tepung/Susu Sejat
* Sedikit garam (pertama kali lupa         letak jadi ia pilihan)

Cubaan Buat Teh Chai



Siap dan saya memang suka rasa  teh chai. Saya kenal teh chai apabila  Pak Busu beri teh chai dalam bentuk uncang dari India. Memang guna sampai habis. Tidak terfikir bahan yang terdapat dalamnya boleh buat sendiri.

Lepas ini boleh buat dan minum sepuas-puasnya. Lagipun buat sendiri boleh tentukan sekuat mana rasa chai melalui 3 bahan yang disebutkan.


Saturday, January 2, 2021

Pertama Kali Membuat Popia Vietnam

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Selamat petang semua. Apa khabar?

Setelah 2 kali pergi ke Cambodia Sup dan kecewa tidak dapat merasa popia Vietnam, abah bercadang untu membuat. Sebenarnya kami buat bersama-sama. Tolong-menolong. Saya kupas udang, tumbuk bawang putih dan cili api untuk sos.

Watak utama mesti ada iaitu kulit popia yang lutsinar. Bahan untuk inti itu terpulang tapi memandangkan abah suka banyak sayur dan ulam, kami gunakan daun selasih Thai, daun pudina, daun salad, timun dan lobak merah dipotong batang mancis. Unsur protein letak udang yang direbus dan kepingan ketam (crabstik) direbus juga. Tidak lupa suhun yang dicelur.

Kulit Popia Lutsinar



Sos pula cili api dan bawang putih ditumbuk, cuka, sos cili Thai, sos ikan, garam dan gula secukup rasa. Bancuh sedikit tepung gandum (tepung jagung sudah habis) dengan air panas. Campur semua dan kami panaskan dengan ketuhar mikro.


Popia Vietnam



Macam-macam saiz popia. Ada gemuk ada kurus. Pertama kali buat jadi ada try and error. Pertengahan buat abah lupa letak daun salad. Ada itu emak taknak timun. Dapat 6 batang. Cukuplah untuk kami 3 orang. Makan sebatang pun rasa penuh. Kalau makan popia sahaja memang tawar dengan rasa berangin daripada daun pudina dan sedikit pedas daripada daun selasih Thai. Jadi pada pendapat saya kena letak sedikit garam untuk popia. Makan dengan sos memang dapat tutup kekurangan yang dinyatakan.

Takpe boleh buat lagi. Kalau saya buat saya akan cari cara lain. Apapun teringin hendak rasa popia Vietnam di Cambodia Sup.

Jumpa lagi.


Tuesday, January 22, 2013

Tak Kenal Tak Cinta


 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Tengok akaun Nuffnang tadi, ada pula saya dapat iklan promosi Australia. Agaknya saya dengan OZ tak dapat dipisahkan. Eheh. Dulu pun saya dalam program ACHEM untuk sambung pengajian di sana. Mula-mula macam tak berapa 'cinta' sangat dengan Australia ni. Emak macam suka dulu saya dapat program ni. Dia kata dekat kalau nak pergi melawat saya. Padahal hati pada USA. Macam kecewa juga.

Lepas itu, belajar Australian Studies barulah kenal sikit-sikit pasal Australia. Pasal binatang paling saya ingat sebab unik ada wombat, wallaby, platypus, emu dan lain-lain. Saya pula dalam kumpulan wombat. Huhu memula tak tahu apalah menatang ni. Lepas cari maklumat baru tahu camne. Si Sha pula kata rupa wombat macam rupa saya. Terus cop saya panggil wombat. Pasrah jerla.

Tapi saya tak dapat belajar di Australia tu. Kegawatan ekonomi. Kami dihantar ke universiti biasa. Kecewa juga. Macam kempunan nak belajar sana.

Apapun saya tak pernah lupa pensyarah-pensyarah saya dan penting saya tak lupa wombie saya :) Jadi ingatan tetap ada.

Allah lebih tahu apa yang baik untuk saya. Moga saya redha dan tidak timbul kekecewaan. Mungkin satu hari saya dapat sambung ke sana. Jika tidak semoga perasaan itu tak hilang.
 

Sunday, August 19, 2012

Masih Dapat Duit Raya


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...
Cerita lama. Ni cuma tunjuk aksi adik bongsu si M yang masih dapat duit raya.
Baik Simpan Cepat-Cepat Duit Raya Ni Dalam Dompet

Duit Raya Dikeluarkan Daripada Sampul
Terbang Juga Duit Ni Dibiar Begini Dalam Kereta

 P.S: Sayapun dapat duit raya tapi tidak sebanyak si M ni :)

Thursday, October 6, 2011

Menggunakan Lebihan Bahan Yang Tinggal Dan Resipi Minuman Mudah: Susu Kocak Atau Milk Shake


 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Dah lama tak berkongsi resipi di blog ni. Maklumlah bulan Syawal banyak makan kat luar jadi masak-masak kat rumah ni kurang. Tapi hari ni saya nak kongsi resipi buat susu kocak.

Aspirasi daripada tinggalan separuh besar tembikai dan susu segar daripada tinggalan adik juga. Haha adik suruh habiskan susu segar. Kebetulan tarikh lupus 8 Oktober ni, maka nak minum satu kotak 1 liter semata-mata tak lalu. Eloklah buat susu kocak tembikai. Ni korang boleh gantikan tembikai dengan buah lain. Kalau korang ada buah yang tak boleh habiskan sebiji atau buah tu hampir benyek. Mudah sahaja nak buat.

Bahan-bahan:
Susu segar
Tembikai
Ais
Sedikit gula (pilihan)

Cara membuatnya lagi mudah. Masuk semua bahan tu dalam pengisar dan kisar. Lupa pula nak terangkan bahagian susu dan tembikai tu. Biar susu tu tenggelamkan atau sama paras dengan tembikai pada pengisar. Kisar sampai hancur tembikai tu.

Ok gambar takde tapi korang boleh bayangkan rupa macam mana kan? Nanti saya tepek di kemudian hari. Selamat mencuba.

Ok itu sahaja nak kongsi. Jumpa lagi tulisan akan datang.

P.S: Saya baru perasan tajuk tulisan saya mesti panjang-panjang.


Monday, August 15, 2011

Resipi: Spaghetti Bolognese (Versi Pedas)


Assalamualaikum...

Terima kasih yang tinggalkan komen sebelum ini. Hehe semua bijak bistari dapat mengagak spaghetti. Spesifiknya spaghetti bolognese (entah betul entah tidak). Kiranya semua pernah buat kan dan masing-masing ada versi cara memasak.

Takpelah saya kongsi cara buat mana tahu ada yang belum pernah buat. Ni buat untuk 3 orang makan. Jadi pandai-pandai anda semua ubah/tambah/tolak bahan yang nak dipakai. Ini versi pedas atau citarasa rakyat Malaysia. Kiranya spaghetti bolognese versi pedas.

Bahan-bahan

1/2 paket spaghetti
Bahan-bahan untuk membuat sos

2 sudu besar minyak zaitun/minyak masak
Seulas bawang putih
Setengah biji cili merah
1 sudu besar cili boh
1 biji bawah besar, potong 2 dan hiris halus
Tomato puri dalam tin/Sos jenama Prego
1/2 paket daging kisar (seperti dalam gambar guna separuh)
5 biji cendawan butang- hiris
Garam- secukup rasa
Gula- secukup rasa
1 sudu besar cuka putih (pilihan)
1 sudu kecil lada hitam
1/4 batang lobak merah (boleh guna sayur lain atau tiadakan)- hiris berbentuk panjang
Sedikit kobis bunga (boleh guna sayur lain atau tiadakan)


Cara membuat

1. Rebus spaghetti sehingga 'al-dante'
2. Rebus lobak dan kobis bunga sehingga lembut

Untuk kuah

3. Panaskan minyak dalam kuali
4. Masukkan bawang putih bersama cili merah yang ditumbuk, daging kisar dan bawang besar. Kacau sehingga sebati dan daging berubah warna ke kelabu. Masukkan cili boh. Kacau lagi sehingga garing. Api sederhana.
5. Masukkan sos tomato/ sos Prego. Kacau dan kemudian masukkan 1 cawan air. 
6. Masukkan lobak dan kobis bunga yang telah direbus bersama cendawan butang yang dihiris. Biarkan ia mendidih seketika.
7. Masukkan bahan perasa seperti cuka, garam, gula dan lada hitam. Kacau 1-2 minit dan tutup api.

Mesti ada buat lain cara kan? Mungkin lagi sedap dan ikut citarasa anda. Hehe. 


P.S: Tak sabar nak dapat kad raya daripada para blogger. Pertama kali dapat daripada mereka ni. Terima kasih kerana bermurah hati nak beri.
P.S.S: Ambil banyak gak gambar tapi pilih 2 gambar untuk diletakkan di bawah.

Spaghetti Bolognese (Versi Pedas)



Spaghetti Bolognese








Monday, August 1, 2011

Resipi Mudah: Pai Epal Nyum - Nyum





Assalamualaikum…

Memandangkan 2 hari tak kemaskini blog maka perlulah gantikan hari-hari tak buat dengan tulisan baru. Hari ini nak kongsi buat pai epal nyum-nyum yang mudah. Siapa-siapa yang nak cuba buat untuk buka puasa bolehlah buat yer.

Sebelum tu saya ada terangkan resipi nak buat kulit pai di sini tapi tulis balik untuk resipi lengkap.

Bahan kulit pai yang rangup

1 cawan mentega yang dipotong kiub (sejuk yang baru dikeluarkan dari peti sejuk
2 ½ cawan tepung serbaguna/ tepung gandum
½ cawan air ais (air+ais kiub)
½ sudu the garam

Cara membuat kulit
  1. Campur tepung dan garam dalam mangkuk besar.
  2. Pecahkan kiub-kiub mentega sejuk bersama campuran tepung dan garam.Gaul sebati.
  3. Selang-seli masukkan air ais dan gaul hingga tepung tidak melekat pada mangkuk.
  4. Masukkan dalam plastik dan kemudian biarkan rehat dalam peti sejuk sehingga sejam atau hingga nak guna.


Bahan inti

1/3 cawan gula perang
¼ cawan tepung serbaguna/tepung gandum
½ sudu teh serbuk buah pala
½ sudu teh serbuk kayu manis
8 biji epal hijau (buang kulit, empulur, potong 4 dan hiris setiap potongan memanjang)
2 sudu mentega
1 biji perahan air lemon


Cara membuat inti
  1. Gaul semua bahan kecuali metega dalam mangkuk adunan.


Cara membuat pai
  1. Keluarkan kulit pai dari peti sejuk.
  2. Tabur tepung pada tempat canai
  3. Bahagi 2 adunan kulit tersebut
  4. Canai doh hingga ketebalan 1-2 cm. Gris mentega pada loyang. Letakkan pada loyang atau loyang pai yang berjejari 9 inci. Pastikan kulit pai ditekan-tekan hujung loyang. Pastikan kulit pai tidak koyak.
  5.  Letakkan semua inti dan kemudian letak cebisan mentega di atas sekali. Tutup inti pai dengan kulit pai yang separuh lagi.
  6. Buat lubang pada atas kulit pai untuk memastikan wap keluar.
  7. Panaskan ketuhar pada suhu 220 darjah Celcius dan masukkan pai. Bakar sehingga 50 minit. Selepas 20 minit pertama, buka ketuhar dan letakkan cairan mentega untuk mencantikkan kulit pai (kulit pai jadi kekuningan-ini pilihan)
  8. Apabila siap, rehatkan pai untuk suhu bilik dan boleh dimakan begitu sahaja atau dengan aiskrim.



Selamat mencuba. Rasa pai yang lemak, masam dan manis.



Pai Epal Yang Baru Dikeluarkan Dari Ketuhar



Makan Begitu Sahaja


Monday, July 25, 2011

Watak Utama Dah Ada Dan Perihal Nuffnang


Assalamualaikum...

Selamat awal pagi Isnin semua. Ahad macam tiada perasaan nak buka internet. Buka blog pun dah malam. Sempat balas beberapa kunjungan. Terima kasih ye. Mengapa eh? Mungkin saya terfikir macam-macam dan dapat emel daripada Nuffnang yang galakkan kita tukar kata kunci (password). Korang tukar tak? Dah tukar, masuk balik, tengah-tengah layari laman Nuffnang ni, boleh ada masalah. Mulalah fikiran fikir bukan-bukan. Mana tahu saya dapat emel bukan daripada pihak Nuffnang yang sebenarnya tapi penggodam yang nak kata kunci baru. Mulalah saya paranoia. Bagi mereka yang baca ini yang pasang iklan Nuffnang sila bagitahu saya korang dapat emel daripada Nuffnang tak?

Oklah cerita lain. Petang semalam saya  pergi Jaya Jusco Bandar Melaka. Akhirnya watak utama dan watak-watak penting saya dah beli. Bolehlah buat pai epal nanti setelah kulit dah buat. Bahan utama ialah epal hijau, serbuk kayu manis, serbuk buah pala, gula perang dan lemon. Lain-lain dah ada seperti tepung gandum dan mentega. Nanti dah buat siap saya akan tunjukkan beserta bahan yang saya buat (lengkap)

Itu sahaja saya nak coretkan. Jumpa lagi. 


Tag also: bahan inti pai epal



Inilah Rupa Watak Utama Bagi Membuat Inti Pai




Serbuk Kayu Manis, Serbuk Buah Pala, Epal Hijau, Gula Perang Dan Belakang Ialah Lemon


Saturday, June 25, 2011

Kronologi Membuat Kulit Pai Atau Boleh Dikatakan Resipi Kulit Pai Gaya Penulisan Deskriptif Dan Kreatif


Assalamualaikum...

Patut sorak keriangan saya dah buat kulit pai. Yahhhhoooo... Simpan doh/kulit pai dalam peti sejuk dan akan digunakan apabila saya dah dapat kesemua bahan untuk membuat inti. Watak utama pai tu belum ada lagi iaitu epal hijau. Ia sesuatu yang mengujakan apabila saya membuat doh. Tiada kesukaran, mengikut sukatan yang mudah iaitu sukatan cawan (1 cawan bersamaan 250 ml). Saya dah ada sukatan cawan metrik. Mentega pula dikeluarkan dari peti sejuk telah dipotong kiub sebanyak satu cawan. 1/2 sudu teh garam dicampurkan bersama 2 1/2 cawan tepung gandum. Dalam resipi menyatakan tepung serbaguna, saya tukar ke tepung gandum. Senang dan pula saya tergesa-gesa selepas solat Isyak ke kedai berdekatan rumah untuk membeli tepung gandum cap sauh yang mahal juga rupanya. Tidak sabar katakan untuk membuatnya. Saya tak mahu menghabiskan tepung yang tinggal sedikit di rumah. Bolehlah ambil angin malam apabila berjalan laju-laju ke kedai.

Saya buat doh tu pun tengah malam. Ambil angin dan ketenangan hening dapur yang tiada orang. Baguslah, saya tidak suka diganggu ketika membuat sesuatu ataupun malam yang dingin memudahkan saya memecahkan kiub mentega dan menggaulnya dengan bancuhan tepung sambil diselang-seli menambah 1/2 cawan air ais. Nak bagi rangup dan berderai. Itulah rahsia yang dinyatakan menggunakan mentega sejuk dan air ais. Jadi membuat doh awal pagi ini hanya suasana sejuk sahaja. Nyaman dingin. Nanti saya berpanas ketika ingin membakar pai tersebut. Kalau nak sejuk, pasanglah penyaman udara di dapur ataupun bakar pai tersebut di rumah iglu ataupun pindahlah ke kutub utara yang memang 100% pasti tiada panas. Intinya pun mengikut resipi senang nak buat, gaul semua bahan :) Maaf yer doh ni saya tak guna pengisar pun. Saya pakai tangan sahaja. Mudah sangat. Gaul bahan tersebut sehingga tiada yang melekat pada mangkuk, bentukkan bulat, heksagon, piramid atau apa bentuk anda suka dan bungkuskan dalam plastik dan biar doh rehat dalam peti sejuk sekurang-kurangnya sejam atau apabila anda nak guna.

Bagaimana penulisan saya kali ini cukup terperinci tak? Haha. Jumpa lagi.

P.S: Untuk resipi lengkap boleh klik di sini



Wednesday, June 22, 2011

Membuat Mayonis Mudah Dan Aktiviti Merayap



Assalamualaikum...

Selamat pagi semua. Terlebih dahulu saya nak ucapkan terima kasih kepada pembaca setia blog saya.

Hari ini saya berpeluang membuat mayonis mudah. Cuba-cuba buat. Rasanya cair mungkin terlebih minyak. Kalau nak cuba bolehlah bahan asas

2 biji telur

Lada hitam

Secubit garam

Cuka

Minyak masak

Eheh mula-mula masuk bahan kecuali minyak masak dalam pengisar makanan. Lepas tu masukkan minyak sedikit demi sedikit. Rasa dan kalau puas hati baru hentikan mengisar.

Memandangkan saya tiada lemon maka saya tak masukkan. Kalau nak lagi sedap masukkan perahan sebiji lemon semasa masuk minyak.

Ok cerita lain pula. Belum berpeluang untuk keluar berjalan. Salahkan cuaca panas dan rumah yang amat selesa serta banyak kemudahan. Haha. Nanti kalau terpaksa (atau memaksa diri) maka akan berlaku juga sesi berjalan merayap.

Kepada bekas rakan sekolah saya, terima kasih kerana setia membaca blog ini dan terima kasih kepada pembaca senyap yang saya tak tahu siapa. Sokongan korang yang membuatkan saya seronok nak menulis blog. Jumpa lagi. 

P.S: Bagi yang duduk di hemisfera utara yang terletak di garisan 23 darjah 26 minit utara, selamat menempuh hari ini. Hari yang siang, terang-benderang yang panjang (soltis musim panas)

Memang Seronok Merayap Waktu Musim Panas Yang Tiadalah Panas Sangat Pun! Nyaman Jer

Friday, May 20, 2011

Resipi Ikan Kukus Halia Cara Saya



Assalamualaikum...

Saya cuma nak kongsi resepi ikan merah kukus/stim. Saya makan  semalam ketika tengok siri 'I have a date with spring' di ntv7 pukul 12:30 malam. Lapar gila, lauk semua dah habis. Mula-mula ingat nak buat ayam panggang untuk makan sambil tengok tv tapi jumpa ikan merah dalam peti sejuk. Jadi fikir ikan lagi sedap kukus memandangkan bahan-bahan lain pun ada. Nasi putih pun masih ada lagi.

Bahan-bahan

Sepotong ikan merah

Halia dihiris halus

Cili api dihiris halus

Bawang besar dihiris halus

2 keping cendawan kering direndam kemudian dihiris halus

Sebiji tomato dipotong lapan

2 sudu cuka

1 sudu sos tiram

1 sudu sos cili

Garam secukup rasa

Air asam jawa

Cara membuat

Ikan dibasuh bersih. Sediakan pengukus di dapur. Letakkan ikan dan semua bahan-bahan ke dalam mangkuk kaca. Tunggu mendidih dan masukkan mangkuk ke dalam pengukus dan tutup penutup pengukus. Kukus sehingga 20-30 minit.



Tuesday, April 26, 2011

Resipi Salad Pasta Fusilli




Assalamualaikum...
Pernah tak makan salad fussili di KR? Mesti tertanya-tanya bagaimana nak buat salad tersebut.

Salad Pasta Fussili


Kalau di KR, pasta fussili berwarna-warni kan. Saya beli yang warna putih je.

Bahan-bahan

Pasta fussili
Bawang besar dihiris bulat-bulat
Kubis dihiris halus
Lobak merah dihiris halus
Cili api dihiris
Secubit garam
Sesudu besar minyak zaitun
Sesudu besar cuka putih
Serbuk lada hitam

Cara membuat

Pada periuk mengandungi air dan garam letakkan pada tungku dapur. Apabila mendidih, masukkan fussili. Rebus mengikut arahan pembungkusan. Kira-kira 10 minit.
Angkat dan toskan. Masukkan bahan-bahan lain ke dalam fussili. Gaul hingga rata. Siap untuk dimakan. 

P.S:Boleh guna apa-apa sayur untuk ganti macam brokoli, lada capsicum dan lain-lain.



Resipi Ayam Panggang Lada Hitam Cara Saya




Assalamualaikum...
Semalam waktu hampir tengah hari ketika sorang-sorang di rumah sambil tengok ulangan bola, terasa mahu makan ayam panggang. Dah ada lauk dan nasi tapi nak makan ayam panggang yang dibakar dalam ketuhar. Maka saya mengambil, 2 keping ayam dalam peti sejuk beku. Masih beku. Maka basuh dan seterusnya resipi ialah

Bahan-bahan

2 keping ayam (mana-mana bahagian ayam boleh)
1 sudu besar minyak zaitun
1 sudu besar cuka putih
1 sudu kecil cili kering serbuk
garam secukup rasa
lada hitam halus (grated) ikut banyak mana

Cara membuat

Gaul semua bahan-bahan tersebut. Masukkan ke dalam kuali leper. Panaskan ketuhar 5 minit pada suhu 200 darjah Celcius.
Setelah itu, naikkan suhu ke 220 darjah Celcius. Masukkan kuali leper yang mengandungi ayam ke dalam ketuhar. Bakar sehingga 25-30 minit. Ayam akan menjadi coklat keemasan.
Mudah sahaja cara saya buat. Anda boleh buat kuah kentang lenyek. Boleh klik di sini. Saya semalam cuma pakai sos je sedap gak.
Selamat mencuba. Jumpa lagi.Maaf gambar tidak diambil ketika itu.