Nuffnang

Showing posts with label Buku. Show all posts
Showing posts with label Buku. Show all posts

Saturday, October 8, 2022

Beans & Co

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...


Sejak terjebak minum koko adalah hendak rasa cuba koko lain yang rasa mewah. Semestinya hargapun tinggi sedikit.

Ada pergi rumah adik minta air koko. Eh ada pula. Ditanya pula hendak koko sahaja atau koko pudina. Maka jarang-jarang dapat koko pudina maka itulah pilihan untuk saya. Apabila saya minum, boleh tahan sedap.

Maka saya tanya beli di mana. Beli di platform popular ketika ini. Saya minta pesan satu tanpa tengok harga tapi saya minta yang koko sahaja.

Hehe apabila tengok harga boleh tahan mahal. RM69 setin dengan 550 gram dengan 55% coklat gelap. Kalau yang koko pudina lagi mahal. Hela nafaa sahaja. Pos dengan Ninjavan pula RM1. Murah kos pos sebab diberi kotak dan dalamnya dibungkus dengan bungkusan buih (bubbles wrap) ingat bungkus cikai. Demi untuk merasa. Rasa beli sekali ini sahaja.

Tin Beans & Co Dalam Bungkusan Buih



Oklah rasanya sama macam saya beli sebuk koko Van Hauten. Cuma ini ada dah letak gula, susu tepung, molases.

Tin Beans & Co



Keinginan sudah dipenuhi. Harap tiada racun lagi untuk rasa beli lagi. Jangan termakan godaan dengan perkataan 'artisan' atau 'gourmet drink'

Friday, August 5, 2022

Tukar Buku Baru

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Setelah seminggu melepasi bulan Muharram maka tamatlah buku atau jurnal tulisan saya yang bermula 3 Februari 2016 hinggalah ke hari ini iaitu 5 Ogos 2022.

Awal Muka Surat



Macam-macam tulis dalam ini. Ada strategi main kiub Rubik. Hehe saya berjaya selaras warna sama. Gigih tahu. Tapi sekarang berkarat balik sebab lama tidak buat tapi ada rujukan boleh cuba semula. Kiub Rubik pun sudah tiada.

Pengakhiran Pada Penghujung Muka Surat 


Buku baru. Alhamdulillah masih semangat menulis walaupun bukan setiap hari.

Buku Atau Jurnal Baru!


Ia akan dijadikan rujukan dan panduan akan datang. 

Padang Jarak Padang Terkukur


Eristiwa lain pula. Makchek hantar gambar di atas semalam. Tiada yang kekal abadi. Secara rasminya, rumah Uwan di Tampin dipecahkan sebahagian rumah kecuali dapur. Rumah kampung ialah rumah kayu sudah dimakan anai-anai. Buat baru.

Kalau siap mungkin saya akan letak pada blog. Insya Allah.

Selamat tinggal yang lalu dan selamat datang yang baru.

P.S: Siapa yang panda I main kiub Rubik?


Thursday, June 23, 2022

Oiii, Darah Manis!

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Begitulah tajuk buku yang sangat menarik dan unik. Hasil antologi anekdot dan salah satunya kepunyaan Puan Amie's Little Kitchen. Ia bertajuk 'Seri Wajah Bakal Raja Sehari.' Untuk makluman buku ini berkenaan watak utama dan tunang menjaga adab perhubungan setelah bertunang agar selari dengan tuntutan agama supaya terpelihara hingga ke pelamin. Mesti ceritanya sangat comel dan manis! Awww :) Tidak sabar hendak baca.

Hadiah ini diterima kerana saya berjaya teka jumlah hari bercuti dengan tepat. Tengok tulisan tangan Puan Amie macam tulisan emak saya.

Buku Dengan Ucapan Daripada Puan Amie



Di sampling itu saya dapat T-shirt warna merah hati dengan tulisan Sabah Tea.

Buku Oiii, Darah Manis Dan T-Shirt Sabah Tea



Terima kasih daun keladi Puan Amie. Bungkusan selamat tiba ke tangan saya pada pukul 11 pagi lebih setelah saya buat 'pertanyaan' melalui emel Gdex petang semalam. Terus dapat jawapan hari ini hantar. Alhamdulillah.

Jumpa lagi.

P.S: Alamat penerbitan SYFE rupanya di Taman Tasik Utama. Ayer Keroh. Selalu jalan ke sini untuk ke kedai tomyam. Boleh skodeng tempat penerbitan ini.

Saturday, April 2, 2022

Selamat Berpuasa Dan Beri Buku Secara Percuma

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Sedar tidak sedar sudah masuk Ramadhan 1443 H.

Hari ini juga secara rasminya saya lepaskan buku penulis hlovate pada mereka yang inginkan hari. Alhamdulillah dapat juga beri. Rancang dari tahun lepas. Memang sesiapa berminat dengan buku-buku yang saya beri kena datang sini. Saya beri secara PERCUMA. Terpulang yang ambil daripada saya untuk baca atau jual selepas itu.

Buku: Mencari Suami, Kopi Susu Sepatu Biru, 5 Tahun 5 Bulan Dan Rooftop Rant



Kalau hendak tahu lama saya iklankan pasal beri buku-buku. Tahun ini buku-buku dinyatakan ada tuan baru.

Mungkin saya hendak tambah buku-buku untuk diberi percuma terutama buku Bahasa Inggeris. Ada yang minat hendak dapatkan buku daripada penulis Sophie Kinsella atau Enid Blyton? Atau buku-buku alihbahasa kanak-kanak penulis Enid Blyton? Memang buku lama. Haha.

Berminat untuk dapat buku-buku yang dinyatakan atau yang tinggal seperti pautan di bawah, boleh emel saya. Terima kasih.


Wednesday, February 9, 2022

02022020

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Nombor yang cantik. Sebiru laut buku yang saya terima semalam hasil menangkap nombor 79,000 daripada blog salinasafea.blogspot.com. Rupanya ada hasil nukilan puisi daripada si pemberi.

Buku Antologi Puisi Magisnya 02022020


Menarik buku ini. Saya terus hayati puisi Magisnya 02022020. Mengapa  dipilih 02022020? Diterbalik baca dari kanan ke kiri masih sama nombornya.

Himpunan penulis-penulis dalam bidang pendidikan. Coretan berkaitan tarikh 02022020. Ada kisah suka seperti tarikh perkahwinan, tarikh graduasi, ulangtahun kelahiran, perkahwinan, mengembara.
Ada kisah duka seperti kematian, kisah tentang Covid-19, masalah peperangan.
Ada juga kisah sejagat, mencari ibrah setiap peristiwa, membuat pencarian jiwa.
Tema sangat pelbagai. Puisinya mudah difahami. Saya tiada masalah membaca dari saat terima buku, beriadah dan pagi tadi khatam membaca.

Ketika membaca saya dapati ada nama yang saya kenal iaitu rakan sekelas sekolah menengah. Tidak lupa Syazni, pemilik blog www.syaznirahim.com.

Ada dua puisi yang saya suka. Pertama bertajuk "02.02.2020: Serupa Tapi Tak Sama". Tertarik dengan perspektif penulis.

Rangkap 2 dan 3:

Lihat sepasang sepatumu, daripada
falsafah palindromnya sama
hakikat dan fungsinya berbeza
namun gandingan kiri dan kanannya jadi bermakna.

Lihat pula perlakuanmu, Malaikat
Atid mencatat keburukan di kiri
Malaikat Raqib mencatat kebaikan 
di kantan
tak mungkin kiri dan kantan sama!
Kelihatan serupa tapi tak sama.

Kedua puisi bertajuk "Sebuah Rumah Yang Tak Bergelar Syurga"
Ada perkataan kosong dan dua dalam setiap rangkap.

Rangkap 1

Semalam aku menangis
melihat kosong dan sepinya dunia
seorang tua berbaring lesu dengan
dua tangan kurus
cuba menggapai makna kehidupan
bersama puing-puing lantai yang
reput dan usang.

Anda ingat apa anda buat atau masakan pada 02022020?


Monday, September 13, 2021

Ketupat Daun Palas, Sambal Dan Serunding Kelapa

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Hari Isnin hari menggembirakan kerana abah dan emak akan berpuasa maka makanan yang jarang dapat dinikmati akan dibeli secara bungkus.

Minggu ini makanan yang terpilih ialah ketupat daun palas bersama sambal dan serunding kelapa bersama hirisan serai. Rasanya ada di tempat-tempat tertentu di Melaka. Sambal itu ikut tempat ada pedas sangat.


Ketupat+Sambal+Serunding Kelapa


Selalu jumpa ketika waktu sarapan pagi. Ringkas tapi sedap. Makanan vegan. Kenyang juga walaupun sebiji ketupat yang lembut dan besar. Sambal ini tidak pedas sangat.

Sebiji Ketupat Bersama Sambal Dan Serunding Kelapa


Sekali lagi beli di sekitar kawasan perumahan lama.

Ok jumpa lagi edisi makan makanan bungkus.

Friday, October 24, 2014

Novel Yang Dibaca Dan Kudapan


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...
Sekarang ini tengah sibuk mengemas rumah sebab emak, abah dan sepupu nak datang malam ini. Selain itu sibuk juga keluar beli barang-barang runcit. Saya pula memang tugas memantau anak saudara, Aidan supaya tak kacau Mami dan Dedi dia. Hehe. 

Akhir-akhir ini baru terserempak buku Sophie Kinsella tajuk 'Wedding Night' adik ipar punya. Tak pernah baca buku pengarang ini. Jadi minta pinjam baca. Nasib baik Bahasa Inggeris buku ini mudah difahami.

Kerepek Kentang

Saya perasan di sini saya rajin mengunyah kerepek kentang sama ada yang kentang potong gerigi atau yang biasa. Sini murah sahaja. Maklum makanan ruji di sini banyak gunakan kentang.

Ok itu sahaja nak coretkan. Jumpa lagi. 

  

Friday, January 31, 2014

Saya Dan Buku


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Hari ni dah 31 Januari. Tak lama lagilah adik bongsu saya nak kahwin. Harap-harap semua berjalan lancar dan dipermudahkan. Buat masa ni saya cuma pandang sahajalah apa yang adik saya lakukan. Mungkin dah hujung bulan Februari baru sibuk tolong apa-apa yang patut.

Tak ada apa-apa sangat perkembangan saya. Jarang melayari internet. Lebih sibuk melayan buku novel klasik 'Rilla Of Ingleside'. Itupun baca perlahan-lahan. Kalau ada yang ikuti blog saya, tahun lepas saya pernah coret yang saya beli koleksi buku 'Anne Of Green Gables'. Jadi ni kira menghabiskan buku terakhir siri Anne ni.

Selamat bercuti semua. 
 

Wednesday, February 6, 2013

Novel Percuma Untuk Diberi


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Tadi pergi ke restoran yang sewa kedai emak. Memang setiap bulan pergi kedai makan D' Tasek yang terletak di Ayer Keroh sebab emak ambil sewa kedai. Tempat makan ini menjadi tumpuan kebanyakannya pelajar UteM yang tinggal di sekitarnya.

Memang seronok makan makanan saya suka. Selalunya saya minta nasi paprik atau mihun tomyam dengan air tembikai. Alhamdulillah makanan tidak pernah mengecewakan dan sedap. Buat saya seronok, penyewa kedai bagi percuma pada kami sekeluarga. Rasa sangat pemurah sebab tiap-tiap bulan kami datang. Emak nak bayar tapi penyewa tu tak ambil bayaran.

Ia membuatkan saya terharu kerana penyewa restoran kami tu pemurah terhadap kami. Moga Allah murahkan rezeki. Ini membuat saya terfikir, mengapa tidak saya bersifat pemurah? Oleh itu saya buat keputusan nak beri secara PERCUMA novel-novel yang asalnya saya nak jual. Sesiapa yang berminat boleh klik sini untuk tahu cara mendapatkankannya. Maaf, saya akan beri di tempat pertemuan yang telah ditetapkan dan tiada pos. Satu orang satu novel. Siapa cepat dia dapat. Apa-apa kemusykilan, boleh emel saya. 

Tempat pertemuan: Masjid Tengkera, Melaka. Nyatakan novel yang dikehendaki dalam emel. Senarai novel ada pada tajuk COD Novel Terpakai.

Itu sahaja buat ketika ini. Jumpa lagi. Nak tengok Masterchef Australia musim 4.   

Wednesday, January 16, 2013

Mood Sentimental


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Hai semua. Terlalu asyik dan sibuk dengan siri internet dan buku. Oh, cara yang menyeronokkan untuk diri kalau buat sorang-sorang. Menikmati setiap detik dan menghayati sambil berangan! Haha. 

Doughnut maker atau mesin donut sampai semalam. Hari ini pula pasang periuk api Astro B.yond ganti periuk api biasa yang dah goyang. Hehe. Layan dak Iva yang lasak dan suka buli saya. Suka ketuk-ketuk. Adui sakit betul layan budak tu. Masih pelat panggil saya 'Awong' padahal kena panggil Mak Long. Puas dibetulkan tapi dia belum dapat sebut betul. Redha jerla. Kadang-kadang suruh dia panggil saya Bubu. Sedap sedikit.

Tengahari dapat sms daripada sepupu, dia nak tunang bulan Februari. Hehe telah pasti berita tersebut setelah mendengar khabar angin dia nak bertunang. Alhamdulillah.

Entah saya akhir-akhir ini dalam keadaan sentimental. Tak tahu mengapa. 

Oklah harap korang semua bergembira. 

Monday, January 14, 2013

COD Novel Terpakai


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Sudah lama ingin dinyatakan dalam blog. Rasa berat hati saya ingin menjual novel yang ada dalam simpanan saya. Semoga mendapat tuan baru yang lebih baik daripada saya.  Saya nak jual secara COD. Jual semasa jumpa. Sesiapa di kawasan Melaka yang berminat untuk beli bolehlah emel saya dan jumpa di Masjid Tengkera (sebab dekat dengan rumah). Boleh tengok keadaan novel-novel tersebut. Memang elok, baru dan baca sekali sahaja. Jadi tak kotor sangat.

1. Tajuk:[tunas] SUDAH DIBERI
   Pengarang: Hlovate
   Penerbit: Jemari Seni
   Harga asal: RM21
   Harga jual: RM13 PERCUMA

2. Tajuk: 5 tahun 5 bulan SUDAH DIBERI
   Pengarang: Hlovate
   Penerbit: Jemari Seni
   Harga asal: RM20
   Harga jual: RM12 PERCUMA

3. Tajuk: Rooftop rant SUDAH DIBERI
   Pengarang: Hlovate
   Penerbit: Jemari Seni
   Harga asal: RM21
   Harga jual: RM13 PERCUMA

4. Tajuk: Kemilau Mutiara Raudhah
   Pengarang: Saidatul Saffaa
   Penerbit: Jemari Seni
   Harga asal: RM22
   Harga jual: RM14 PERCUMA

5. Tajuk: Kopi Susu Sepatu Biru SUDAH DIBERI
   Pengarang: Ruby Hazri
   Penerbit: Jemari Seni
   Harga asal: RM21
   Harga jual: RM13 PERCUMA

6. Tajuk:Cerita Dari Hati
   Pengarang: Nurul Nazwa
   Penerbit: Al-Hidayah Publications
   Harga asal: RM19.90
   Harga jual: RM11 PERCUMA

Berminat boleh emel di wina1979[at]gmail[dot]com. Tulis subjek: Buku terpakai yang ingin dibeli. Nyatakan buku apa nak beli dan bila pertemuan ingin dilakukan. Saya akan balas nyatakan jika waktu tersebut boleh. Prinsip siapa cepat beli dulu.

KEMASKINI: Semua buku di atas ingin diberi percuma. Klik di sini untuk maklumat lanjut

Thursday, January 10, 2013

Hadiah Harijadi Yang Diidamkan


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Banyak andaian bermain di benak fikiran tentang nombor misteri semalam. Boleh pula terfikir sampai kut dia telefon untuk ucap selamat harijadi. Tak logik pula TAPI mana tahu dia ada gerak hati kuat. Sampai mengganggu rasa dan perasaan diri hari ini. Hanya mampu berdoa kalau nombor itu daripada pihak MPH maka telefonlah diri ini segera, ketika itu juga.

Maka ketika mengemas dan membuka sarung bantal tiba-tiba telefon berbunyi. Oh yeah tiba-tiba deringan terhenti. Gigih juga nak on balik telefon bimbit kemudian telefon rumah berbunyi. Sah memang daripada pihak MPH. Memang kasi nombor rumah sekali. Angkat memang betul! Mahu menjerit kegembiraan. 

Lagi menggembirakan buku sudah SAMPAI. 1 lagi berita gembira. Mana tahu dia nak beritahu, "maaf cik buku ini kena order sebab sudah kehabisan stok. Ambil masa 3 minggu untuk buku sampai dari U.S." Punyalah imaginasi diri ini sangat kuat sampai fikir dialog lagi si penjual.

Maka kegembiraan ini tak dapat ditahan. Si penjual bertanya bila nak ambil. Ikutkan mahu sahaja kata sekarang. Haha tapi diri ini mampu berkata hujung minggu dan diri ini bertanya jumlah harga buku. RM58.70. Tak kisahlah duit terbang untuk buku. Diri tak rasa membazir dan tak rasa 'terkorban' pun.

Alhamdulillah syukur. Harap-harap semua berjalan lancar bila ambil nanti.
Apapun pertanyaan tentang nombor misteri masih belum terjawab. 


Luahan Kerisauan


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Alahai saya terlepas panggilan telefon. No antarabangsa pula tu. Entah-entah daripada pihak MPH. Hendak telefon balik tak berani takut entah apa-apa. Lagi pula saya terus buang nombor tersebut kalau tak, boleh semak di internet nombor siapa.

Harap-harap kalau daripada MPH, mereka akan telefon dengan semula dengan BERITA BAIK. Tolong ada dan letakkan buku-buku itu di MPH Mydin Mall. Kalau nak buat penghantaran ke rumah saya takmo sebab tak percaya dengan pos sini. Saya punya coklat dan biskut mentega (butter cookies) pernah tak sampai dari UK dan Perancis ok. Terpaksa telan air liur sahaja. Sabar sahajalah dan anggap tiada rezeki.

Ok itu sahaja nak luahkan apa terbuku. Jumpa lagi.

Sunday, January 6, 2013

Harap-Harap Ada


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Semalam pergi Mydin Mall Ayer Keroh dengan mak. Pujuk mak pergi sini sebab saya nak jenguk MPH. Menahan perasaan nak beli siri 'Anne' tu. Dah putus asa yang Popular di JJ dan Tesco tak akan ada buku ini.

Masuk sahaja tengok seleksi buku bahasa Inggeris terhad. Eh ini sahaja ke yang ada? cakap dalam hati. Nak tanya pada pembantu jualan tengok dia asyik borak dengan sorang lagi pembantu jualan. Pusing-pusing tengok mana tahu terlepas pandang. 

Tak tahan terus pergi tanya sorang lagi pembantu jualan. Budak tu pergi pula ke kaunter bayaran tanya buku tu kat orang lain. Di sini rupanya mereka ada sistem tajuk buku. Memang sebiji saya tengok dalam pengkalan data MPH cuma tak terperinci macam berapa kuantiti buku untuk setiap cawangan tu memang saya takde nampak kalau layari laman MPH.

Dia cari buku-buku itu memang ada dalam inventori tapi bukan di MPH situ. Saya tanya tak boleh ke dorang ambil bawa ke Melaka. Saya nampak macam ada di MPH Midvalley. Cakap dalam hati dah lama tak pergi Midvalley. Nasib baik dia cakap boleh kalau ada stok dia akan telefon.

Jadi saya tinggalkan nama dan nombor telefon. Memang rasa tak sabar sangat. Harap-harap lepas 3 hari waktu kerja dapat panggilan berita baik. Haha di samping kenalah sedia duit nanti.

Harap-harap semua berjalan lancar. Nanti kalau dapat. Saya tunjuk rupa buku tu (mungkin gambar tu ambil daripada pengkalan data MPH).

Sebenarnya ada juga MPH buat jualan secara talian tapi malas nak pergi masukkan duit. Lagipun puas kalau dapat tengok dan berpuas hati dengan barang tersebut. Lagipun kalau buku tu terlipat mungkin boleh minta tukar. Apapun harap-harap buku saya hendak mengikut apa saya minta. Memang terperinci masa suruh orang tu carikan dalam pengkalan data. No SSBN, penerbit memang sudah spesifik.

Ok jumpa lagi...

Thursday, December 13, 2012

Macam-Macam


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Macam merajuk sahaja saya dengan blog. Ya memang ada rasa jauh hati sebab rasa susah sangat nak kemaskini tulisan. Jadi untuk mengubati hati luka saya menumpukan jiwa dan raga cewah dengan baca buku. Kebelakangan ini saya baca siri Anne. Ala si penulis L.M.Montgomery tu. Mula-mula baca 'Anne's House Of Dreams' sebab terbantut lama baca di situ. Bayangkan baca ketika tunggu keputusan SPM, SEKARANG baru sambung!Naik kuning buku tu. Nasib baik buku tu dah balut dengan plastik buku. Hehe. Lepas tu lancar pula baca sampai habis. Tak puas dengan kegilaan kepada watak 'Anne'  sambung dengan buku 'Anne Of Ingelside'. Habis juga baca dalam 4 hari. 2 siri selepas buku 'Anne Of Ingelside' saya tiada jadi misi untuk mencari buku klasik tersebut bermula di Pesta Buku Big Bad Wolf. Sini harga buku-buku import mula gila tapi sayang buku yang saya cari takde (ke saya tak jumpa sebab ada 3 juta buku) tapi belilah satu buku ni harga RM8.00. Kalau ikutkan harga buku ini 7.99 pound.

Masih mencari siri 7,8 dan siri pertama(siri pertama pinjam baca daripada Joeriana) Anne. Maka mencari di Popular tapi hampa tiada. Jumpa buku klasik lain macam 'Little Women'. Ada tawaran beli 1 percuma 1. Harga murah pula iaitu RM9.90. Jadi ambil tawaran dengan satu lagi tajuk 'The Adventures Of Tom Sawyer'.

Cari di internet siri 'Anne'  dapatlah petunjuk buku yang dahulu saya beli tu. Ikutkan banyak penerbit keluarkan buku ni sebab buku klasik tapi saya nak cari daripada penerbitan Random House sebab kulit buku cantik dan yang penting memang terbit 100% daripada pengarang. Maksud saya tidak diringkaskan atau ayat diringkaskan. Kalau dahulu mula-mula saya kenal tajuk ini memang versi bahasa mudah dan ringkas. Sekarang saya nak baca yang asli punya. Hehe.

Oh sekarang saya menulis di pc saya. Semua dengan pertolongan adik, si H yang muat turun pemacu 'wireless' yang mana dapatlah saya layari internet. Ralat sedikit sebab saya pakai Windows XP versi lama.

Oklah luahan saya. Jumpa lagi.

Friday, October 7, 2011

Mengulang Baca Novel


 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Selamat malam semua. Hari ni lambat pula buka kilang (blog) Haha gelabah membalas komen dan singgah blog. Terasa macam tak cukup masa nak buat macam biasa.

Disebabkan mengulang semula membaca novel terbitan Jemari Seni tajuk Dame Zoete Sarah. Sapa dah baca? Saya beli tahun lepas masa Pesta Buku di KL. Mengulang baca sebab dah lupa jalan cerita cuma ingat secara kasar Sarah menjadi buruan polis setelah kematian seorang penagih. Dia juga diburu penjahat juga sebab dia ada formula dadah baru. Lupa dah nama dadah tu. Baru baca bab pertama. Novel ni memang mendebarkan selalu buat adrenalin meningkat, teruja nak tahu apa kesudahan. Novel nukilan Khairyn Othman memang tak pernah mengecewakan saya setakat ini. Eh ni buku kedua yang saya baca. Novel pertama yang saya baca Zahrah de Tigris memang membuat saya terfikir tentang perang di Iraq.

Bilalah saya nak tambah koleksi buku dan terutama novel ni? Ada buah tangan baru si Khairyn ni nak kena beli.

Ok itu sahaja luahan saya. Jumpa lagi.

P.S: Saya hantu buku.


Membaca Sambil Makan Coklat Memang Nikmat




Tuesday, August 9, 2011

Maklumat Buku Kisah Orang-Orang Yang Makbul Doanya



Assalamualaikum…

Sebelum ini saya ada kupas pasal buku ini. Jadi nak tulis balik beserta maklumat lengkap supaya sesiapa yang berminat nak cari. Dalam buku ini ada kisah ketika orang-orang soleh berdoa, keadaan mereka dan doa mereka yang boleh kita amalkan. Bolehlah kita buat panduan dan baca doa yang mereka amalkan.



Tajuk: Kisah Orang-Orang Yang Makbul Doanya

Penyusun: Abu Afifah

Penerbitan:  Pustaka Al Shafa Sdn. Bhd.

Harga: RM9.00

Mukasurat: 142

Jumlah Kisah: 63

ISBN: 978-983-159-201-4







Sunday, June 26, 2011

Kupasan Buku 'Kisah Orang-Orang Yang Makbul Doanya'


Assalamualaikum...

Selamat malam semua dan harap anda menempuh hari minggu dengan ceria. Haha, bagi saya pula bangun pagi dengan mimpi yang menyeronokkan. Seronok dapat mimpi indah tapi malangnya tak ingat. Ingat sedikit tapi perincian tak ingat. Pelik kalau mimpi ngeri, saya akan ingat dengan nyata. Tak baik untuk diri mengingati perkara yang kurang elok atau negatif. Kena atasi atau elak mimpi ngeri.

Secara keseluruhan, kehidupan yang saya lalui sangat baik. Alhamdulillah. Kesihatan pun baik juga, tiada penyakit atau sakit teruk. Sekadar ada la sekali sakit kepala. Perkara kecil. Ada jugalah kesukaran tapi tak teruk sangat, masih mampu tangani. Duduk diam-diam bertafakur apabila ada aral dan bertenang. Jangan ditambah kusut dengan melenting atau marah pada Allah atau pada orang lain.

Bercakap tentang hal ini, saya nak kongsi buku yang saya dah baca tapi saya mengulang semula membaca.  Buku bertajuk 'Kisah Orang-Orang Yang Makbul Doanya' oleh Abu Afifah terbitan Al Shafa. Buku ini saya beli pada harga RM9.00. Walaupun murah tapi banyak kisah-kisah yang menginsafkan memberi iktibar kepada kita. Sebagai satu cara kita untuk menghadapi dugaan. Dalam ini ada doa khusus yang boleh kita amalkan. Terdapat banyak kisah tapi saya petik beberapa tajuk seperti "Duri ikan rampasan." Ini perihal nelayan yang ikannya dirampas orang. Maka berdoalah nelayan tersebut. Kisah lain pula yang paling menarik hati saya ialah tajuk "Orang yang masuk batu ke dalam telinganya" Ia berkenaan seorang lelaki yang mana batu masuk ke dalam telinga sampai dalam hingga tabib pun tak dapat keluarkan batu tersebut. Akibatnya dia mengalami kesakitan telinga yang amat teruk dan tidak dapat tidur nyenyak. Maka dia berjumpa seorang alim dan warak untuk bertanyakan bagaimana untuk mengeluarkan batu daripada telinganya seterusnya sakit hilang. Orang alim tersebut menyuruh dia berubat dengan kuasa Allah. Jadi orang alim itu mengajarkan zikir yang maknanya "Wahai Tuhan Yang Maha Tinggi, wahai Tuhan Yang Maha Agung, Wahai Tuhan Yang Maha Penghiba, wahai Tuhan Yang Maha Mengetahui." Dengan izin Allah batu terkeluar daripada telinga, dapat mendengar semula dan tidak sakit lagi.

Tidak rugi anda membeli buku ini kerana boleh dibuat rujukan, boleh diamalkan dan pentingnya tidak bosan dibaca berulang kali. Jadi pada sesiapa mencari buku agama yang bagus, saya cadangkan ini dengan harganya pun murah.

Jumpa lagi.

P.S: Mungkin saya akan petik doa-doa yang ada dalam buku ini untuk diselitkan pada tulisan akan datang jika bersesuaian.