Nuffnang

Wednesday, August 30, 2023

Nasi Ayam Penyet Dan Creme Brulee

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Alhamdulillah Abah sudah keluar wad lepas CT Scan Selasa 2 minggu lepas.

Saya ambil masa untuk terima kenyataan Abah sudah tidak boleh ke mana-mana sebab kena buat dialisis 3 kali seminggu selang sehari. Benda yang Abah suka buat ialah berjalan, melancong. Tidak dapat bayang benda kita suka ditarik nikmatnya. Macam saya suka duduk rumah tidaklah rasa tapi kalau nikmat kesukaan saya ditarik, dipaksa melancong seluruh duniapun mungkin rasa tidak gembira.

Lupakan hal itu, semalam julung kali keluar makan sarapan di Warung Double Line. Alhamdulillah buka. Haha. Takmolah makan di Warung Sri Tualang yang bertentangan dengan warung ini.

Nasi Ayam Penyet



Julung kali juga mencuba nasi ayam.penyetnya. Selalunya saya makan nasi impit dan rendang paru, mihun hailam, roti canai sahaja. Tukarlah selera.

Oklah rasa nasi ayam penyet cuma sambal tidak pedas sangat. Tulis pada kain rentangnya sambal menyengat. Hehe mungkin sebab saya kuat pedas.

Malamnya makan creme brulee (krim hangus) perisa lemon. Adik buat. Siap beli penyumpit (torch) untuk bakar gula pasir atas creme brulee. Untuk pengetahuan creme brulee macam kastard dengan gula atas dikaramelkan yang mengeras. Rasa sejuk, lembut. Tidak terlalu manis. Memang tidak puas makan.

Creme Brulee Lemon



Oklah itu sahaja hendak cerita. Jumpa lagi.

Friday, August 25, 2023

Tahniah

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...



Alhamdulillah berakhir sudah Majlis Tilawah Dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa Edisi 1445H/2023.

Tahniah kepada qari Muhammad Qayyim Nizam Bin Sarimi.

Johan: Peserta Malaysia Kategori Tilawah



Semoga tahun depan ada pemenang Malaysia bagi setiap kategori sama ada hafazan atau tilawah.

Monday, August 14, 2023

Yupi Gummi

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Abah masih lagi berada di Hospital Melaka (HM) Wad AG. Masuk ke sana dari HAG ke HM pada 4 Ogos. Ingatkan terus tebuk untuk dialisis tapi banyak benda tidak stabil lagi. Darah merah abah rendah. Kena masuk darah. Lepas itu hari ini buat CT scan pukul 2 petang. Harap urusan dipermudahkan. 

Oklah berbalik pada tajuk. Mula-mula diminta gummy itupun saya macam kabur. Saya angguk sahaja masa dengar hendak gummy worms dan coca-cola.

Memandangkan srjak akhir-akhir ini rajin ke hospital, sebelum pergi atau selepas ke hospital akan singgah ke kedai. Mula-mula nampak di Family Store jenama Yupi untuk coca-cola. Worms tidak jumpa di sini.

Singgah Chong Hoe, ada bentuk worms. 7E ada bentuk pizza dan coca-cola.

Yupi Giant Cola Dan Gummi Pizza

Isi dalam Gummi Pizza.

5 Keping Dalam Gummi Pizza



Macam pizza peperoni kan?

Begitulah permintaan yang harus ditepati. Mula-mula tengok ada pengesahan halal. Alhamdilillah ada. Ini rupanya produk dari Indonesia. Hehe. Hargapun tidak mahal sangat. Lingkungan RM1.80-RM2.20 satu. Tengok tempat dan jenis gummy.

Tuesday, August 8, 2023

Upah

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Selesai sarapan di Warung Sri Tualang, balik rumah. Barulah saya boleh tengok betul-betul ruang menonton tv bersepah drngan mainan dan buku-buku di lantai, di meja penuh. Saya lama tidak selia sebab selalu ikut emak ke hospital.

Jadi saya suruh anak buah Auliya dan Aafiya kemas. Aafiya itu merajuk tidak mahu buat. Auliya yang buat. Saya suka dia kemas sebab dia pandai atur dan teliti kemas. Tiba-tiba Ayaanapun menawarkan diri untuk kemas. Saya suruh dia sapu dan sedut habus guna penyedut hampagas. Haha sebenarnya Ayaana itu berminat sebab sebelum ini saya bagi upah pada Auliya gummy worms. Asal hendak bagi upah coklat tapi Auliya minta gummy worms. Mula-mula kabur juga rupanya bagaimana. Cari di kedai ada jumpa. 


Rak Buku Dan Permainan Setelah Dikemas
 
Kali ini Ayaana minta gummy pizza dan coca-cola. Auliya pula minta gummy worms dan coca-cola. 



Ruang Menonton TV Setelah Dikemas


Tidak mengapa, asal mereka kemas ikut piawai saya. Ajar mereka dan tunjuk mana kurang bersih/kemas. Harap rajin selepas ini walaupun tiada upah.

Sunday, August 6, 2023

Warung Sri Tualang, Durian Tunggal Melaka

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Asalnya hendak sarapan pagi di Warung Double Line. Tutup pula. Maka singgah di gerai Warung Sri Tualang. Pertama kali saya makan di sini. 

Warung Sri Tualang


Sinipun ada roti sarang burung tapi berbeza sedikit daripada Restoran Double Line. Sini ada daging ayam kisar di atas telur separuh masak manakala di Double Line cuma telur separuh masak semata-mata. Maaf lupa ambil gambar sebab saya tidak pesan ini. Anak buah yang pilih.




Nasi Ayam


Saya pilih nasi ayam. Kalau di Double Line ingat hendak makan nasi ayam penyet. Pilih menu berat berasaskan nasi supaya lewat makan nanti.

Terima kasih H ( adik lelaki) sebab belanja. Malam ini sudah kena naik flight untuk balik kerja. Kejap cuti semata-mata untuk jenguk Abah.

Abah pesan roti canai untuk dibawa ke hospital.

P.S: Hari ini tidak pergi ke hospital sebab cuma 2 orang penjaga sekali masuk. Semalam keluar awal bagi H masuk. 

Saturday, August 5, 2023

Menghadiri Majlis Resepsi Di The Balairong Freeport A'Famosa

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Sudah lama tidak dapat undangan perkahwinan. Hari ini dapat undangan daripada adik ipar Makchek di Freeport A'Famosa, Sempang Empat Alor Gajah. Sedang elok lepas kenduri singgah HAG (Hospital Alor Gajah) untuk bayar bil. Oh!Ya, Abah masih belum keluar. Kena hantar ke Hospital Melaka pula. Tidak tahu bila dapat keluar hospital betul-betul agaknya.

Luaran The Balairung Freeport A'Famosa



Tidak tahu pula di Freeport A'Farmosa ada dewan majlis resepsi untuk perkahwinan. Tengok ada pakej lengkap dengan pelamin, makan minum, pencuci mulut, kuih-muih, pakaian persalinan. Lengkap semua. Sedia duit sahaja. Inilah kali pertama datang ke sini dan juga The Balairung tempat khusus untuk majlis. 

Pelamin 



Seawal pukul 11 pagi kami sudah sampai. Sebelum itu sesat masuk ke A'Famosa Resort. Nasib baik sedar tengok balik kad kahwin digital. Sampai sini orang belum ramai. Jadi selesa untuk pilih tempat duduk. Dapatlah ambil gambar sedikit sebanyak mampu. Bukan semua. Takut risau sibuk ambil gambar, orang akan bertambah ramai.

Kawasan Masak Lemak Ikan Masin Dengan Nanas,Tembikai, Sambal Belacan, Ikan Masin Dan Pulut Panggang




Ada nadi tomato dan nasi putih dengan lauk-lauk yang sesuai dipadankan dengan lauk seperti ayam masak merah, daging masak hitam, keropok, masak lemak ikan masin dengan nanas, ulam-ulaman, sambal belacan, buah jambu batu dengan asam, kuih-muih seperti pulut panggang, karipap dan kek, pastri. Banyak. Airpun pelbagai jenis warna air sejuk. Air panas tidak dilupakan seperti kopi dan teh tarik. Cendolpun ada.

Kaunter Dessert


Ini makanan dan minuman saya ambil (bawah). Oh!Ya, ada kacang kuda yang digoreng dengan bawang merah. Sedap. Pertama kali makan begini.🙂 Tidak tahu apa nama. Tiada pula ditulis nama. Lepas habis makan ambil pulut panggang, jambu batu dengan asam.

Makanan Dan Minuman Saya Punya. Teh Tarik Kemestian



Tidak banyak ulang makan dan tidak duduk lama sebab tetamu semakin ramai. Salam dengan tuan rumah dapatkan keh buah dan biskut raya buatan tuan rumah yang memang pakar buat kek dan biskut. Sejam juga dalam itu. Lepas itu terus ke HAG. Kemudian balik rumah hantar adik perempuan dan anak-anaknya. Sediakan sedikit makanan untuk Abah. Ada lemang dan rendang nasib dapat di rumah Uwan sebelum pergi ke Freeport. Saya pula ikut emak dan adik lelaki yang baru sampai semalam dari luar negara ke Hospital Melaka. Sampai dini pukul 1 lebih

Sini jauh juga jalan ke Blok AG dari lobi. Hospital Besar katakan. Ramai orang. Adik lelaki turunkan kami depan lobi. Sini hanya 2 pelawat boleh masuk satu masa. Jadi saya dan emak masuk dahulu, kemudian saya keluar untuk beri adik masuk. Pukul 3 lebih baru keluar dari Hospital Melaka.


Friday, August 4, 2023

Seminggu

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Ketika ini menunggu di lobi Hospital Alor Gajah. Waktu melawat pukul 12:30 tengahari. Begitulah rutin sejak seminggu lepas (bermula hari Asyura). Abah dimasukkan ke hospital semula. Kadang-kadang menunggu di sini atau di surau untuk lawatan petang. Nasib baik Abah sekejap di Wad ICU kali ini.

Menunggu Di Lobi. Nasib Baik Ada Wi-Fi Percuma




Nampaknya abah kena buat dialisis. Terima hakikat abah tidak boleh jalan jauh. Masa mula-mula dengar rasa sedih juga tapi mesti sedih lagi pada empunya diri.

Harap abah tiada sesak nafas dan paru berair lepas kena buat rutin dialisis selepas keluar hospital nanti.


Tuesday, August 1, 2023

8

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...

Hujung bulan Julai ada berita sedih sedikit dan berharap bulan Ogos ini ada berita baik. Keputusan terbaik. 

Apapun tunggu dan lihat. Apa yang tidak disukai adalah terbaik jika Allah tentukan begitu. Cuma rasa gemuruh. Kita tengok keputusan. Nanti bagitahu mungkin penghujung bulan 8 atau awal bulan 9? Masa itu muktamad. 

Mampu tunggu.

P.S: Maaf pos akhir-akhir ini banyak pasal luahan.